Rabu, 6 Julai 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Pakatan Rakyat Kerah 300,000 sertai Bersih

Posted: 06 Jul 2011 02:48 AM PDT

KeadilanDaily

Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat bersetuju untuk mengerahkan 300,000 ahli dan penyokong ke perhimpunan Bersih pada hari Sabtu, 9 Julai ini di Stadium Merdeka.

"Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat menyokong keputusan Bersih bagi menuntut pilihan raya yang telus, bebas dan adil.

"Majlis akan mengerahkan 300,000 ahli dan penyokong ke perhimpunan Bersih pada hari Sabtu, 9 Julai ini di Stadium Merdeka," katanya pada sidang media di G Tower, di Jalan Tun Razak, sebentar tadi.

Beliau turut menuntut kerajaan menghormati semangat pertemuan di antara Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan Yang di- Pertuan Agong.

"Kami kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri seolah-olah mereka tidak peduli pertemuan Bersih dengan Tuanku. Seolah-olah Yang Dipertuan Agong memanggil 'kumpulan haram' untuk berbincang.

"Polis perlu ambil kira semangat pertemuan ini. Jangan keruhkan keadaan untuk membuat tangkapan," jelas Anwar.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, S.Ambiga pula dilaporkan akan berusaha sedaya upaya untuk mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka.

Pihak pengurusan stadium berkenaan dikatakan tidak membenarkan stadium itu digunakan atas alasan satu konsert raksasa akan diadakan di situ, meskipun sebelum ini konsert itu  telah dibatalkan.

Najib Kata Dia Adil

Posted: 06 Jul 2011 01:24 AM PDT

Harakah

Oleh Subky Latif

MENGULAS tentang rancangan unjuk rasa Bersih 2.0 bagi menuntut perjalan pilihan raya bersih dan adil serta mewujudkan sebuah SPR yang adil dan bersih, maka Perdana Menteri Najib berkata bahawa dirinya dan kerajaannya telah mengendali perjalanan pilihan raya dan mewujudkan SPR yang adil dan bersih.

Alasan mudahnya betapa ia bersih dan adil ialah ada pembangkang berjaya mengalahkan BN di lima negeri dalam Pilihan Raya  Umum 2008 dulu dan ditambah pula BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya itu.

Termasuk akal setengah orang yang tidak panjang akalnya dengan alasan itu.

Oleh kerana adanya cerita jenaka arnab tertidur di tengah perlumbaannya dengan kura-kura, maka kalah arnab oleh kura-kura dalam perlumbaan itu. Adakah dapat diterima dalam realitinya kura-kura juga sama pantas berlari dengan arnab?

Pembangkang lima negeri dalam pilihan raya lalu bukan bukti perjalanan pilihan raya sudah adil dan bersih. Ketempangan yang wujud itu menyebabkan BN kalah dilima negeri saja. Kalau ia tidak tempang ia bukan kalah dalam banyak negeri lagi, malah belum tentu Putrajaya sentiasa dikuasainya.

Mungkin Najib dan kerajaannya betul-betul adil dan bersih, tetapi dia mesti mencari logik yang lain.

Pada Najib apa yang dibuatnya sudah dirasakan adil dan bersih tetapi ia perlu diuji dan disemak imbang. Diodit dulu apa yang dibuat dan apa yang dikata.

Tidak ramai orang yang didakwa di mahkamah mengaku bersalah. Cakapnya tidak diterima terus. Bicarakan dulu dan hakim serta mahkamah akan menentukan dia bersalah atau tidak.

Semua orang kata Firaun adalah sekejam-kejam pemerintah. Al-Quran yang Maha Benar itu mengatakan Firaun kejam, tetapi Firaun tidak pernah dirinya kejam dan zalim.

Bukan Firaun saja tidak mengaku dia zalim. Bahkan Haman dan Qarun serta orang-orang yang mendapat nikmat dari pemerintahannya mengaku Firaun adalah seadil orang.

Al-Quran merakamkan sekalian orang yang pernah beriman mengaku beriman apabila ditanya Allah. Setengah yang mengaku beriman itu sebenarnya tidak beriman. Setiap yang beriman itu mesti melalui ujian dulu sebelum masing-masing disahkan beriman di hadapan Allah.

Sebelum Najib mendakwa dirinya dan kerajaannya sentiasa adil dan bersih, dunia menyaksikan betapa Hosni Mubarak, Muamar Ghadaffi, Basher Asad dan lain-lain mengaku diri mereka dan pemerintahan mereka adalah adil dan bersih.

Tidak pernah Bosni Mubarak memenangi pilihan raya Presiden dengan undi kurang dari 98 peratus. Tidak ada siapa di negaranya sepanjang pemerintahannya sanggup berkata dia tidak adil dan tidak bersih.

Yang dapat menentukan dia bercakap benar atau hanya berbohong ialah  amalan demokrasi di negara itu. Jika demokrasi itu mati, yang mati akan dikata hidup, yang zalim dikata adil dan yang adil dikata kejam.

Di hadapan mata kita, orang yang mengaku adil di Mesir, di Libya, di Yaman dan di Syria semuanya dikata tidak adil oleh orang-orang di jalan raya. Gadaffi dan Basher Asad masih berkuasa tetapi di jalan raya orang memekik mereka kejam. Hosni Mubarak dan Ben Ali dari Tunisia sudah tidak dapat mempertahankan diri bahawa mereka itu adil dan bersih.

Ia adalah antara hujah bahawa sesorang pemimpin yang mendakwa dirinya begitu dan begini belum dapat dijamin betul bagai yang didakwanya. Ketentuan adil dan kejamnya akan dapat dilihat dari sebuah pemerintahan yang telus yang memberi ruang kepada semua institusi dan orang melakukan semak dan imbang.

Najib dan kerajaannya boleh jadi benar adil dan bersih bagai yang didakwanya. Tetapi pernan semak dan imbang dalam pemerintahannya tidak begitu berbuka. Terlalu banyak yang memperikai kejituan perjalan mahkamah, jabatan peguam negara dan personaliti pimpinan setengah polis, tiada apa yang dilihat kerajaan Najib dapat membetulkannya.

Maka payah rasanya dakwah Najib tentang adil dan bersih kerajaannya hendak dipertahankan. Apabila kita tidak dapat terima bulat-bulat dakwaan Najib tentang keadilannya dan kerajaannya, maka kita tidak boleh melihat bulat-bulat Tok Guru Nik Aziz, Azizan Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng betul belaka.

Mereka boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Apa pun ketelusan mereka dan kerajaannya akan menentukan kedudukan mereka. Dengan berbagai tunjuk perasaan kecil dan sederana dan banyak aduan polis dan aduan SPRM yang dibuat terhadap kerajaan mereka akan dapat menentukan mereka telus atau sebaliknya.

Bagi mengetahui Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain telus atau tidak lebih mudah disemak imbang dari menyemak imbang pentadbiran Najib dan BN.

Unjuk  rasa yang dicadang Bersih itu adalah langkah bagi membetulkan guna demokrasi. Bila demokrasi itu lurus maka mudah diketahui kerajaan dan ketuanya adil atau tidak.

Peguam Bela Masih Belum Diberi Akses Untuk Menyoal Rosmah Dan Najib

Posted: 06 Jul 2011 01:17 AM PDT

Malaysiakini

Janji pihak pendakwaan bagi mengaturkan pertemuan beberapa saksi utama termasuk perdana menteri dan isterinya untuk disoal oleh pihak pembelaan masih belum ditunaikan, kata peguam kanan Karpal Singh.

Walaupun dua bulan sudah berlalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri dalam pertuduhan meliwat ke atas dirinya, nanum peguamnya masih belum diberi akses untuk menyoal saksi utama yang ditawarkan, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika mendedahkan perkara itu, Karpal menyoal bagaimana pihaknya dapat membuat persiapan jika pihak polis dan pendakwaan gagal membekalkan saksi berkenaan.

“Hingga hari ini, kita hanya mampu menyoal lima saksi termasuk doktor Pusrawi, tetapi mereka bukan saksi utama. Pada mulanya, pihak polis dan pendakwaan banyak membantu. Namun, sekarang mereka tidak lagi beri bantuan.

“Malah pegawai penyiasat, Supt Jude Blacious Pereira, juga tidak lagi kelihatan. Mahkamah telah mengarahkan Jude dan pihak pendakwaan untuk membantu tetapi tiada yang menghulurkan pertolongan. Macam mana kita nak sediakan pembelaan?" soal Karpal.

Katanya lagi, sehingga sekarang tiada persiapan dibuat bagi pihak pembelaan menyoal Najib dan Rosmah.

Sebelum ini kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju saksi disoal oleh peguam di kompleks mahkamah Jalan Duta.

“Kenapa harus kita pergi Pejabat Perdana Menteri – kita mahu tempat berkecuali dan ini sudah dipersetujui sebelum ini," kata Karpal.

Pihak pendakwaan menawarkan 72 saksi kepada pihak pembelaan, termasuk 27 saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan dalam kes membaitkan Anwar itu.

Hanya Sistem Pilihanraya Yang Adil Akan Melahirkan Kerajaan Yang Adil

Posted: 05 Jul 2011 06:38 PM PDT

Malaysiakini

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Merujuk kepada kesediaan pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memindahkan perhimpunan 9 Julai ini tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam, Nik Aziz mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana mencemar duli untuk campur tangan.

"Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

"Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT," katanya dalam surat yang dihantar kepada Seri Paduka dan dimuatkan di Facebook.

Semalam BERSIH 2.0 yang diwakili oleh pengerusinya Datuk S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan di Istana Negara.

“Kami telah memberitahu Tuanku bahawa kami menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

“Sehubungan itu, perhimpunan di atas jalan raya tidak akan berlangsung (pada Sabtu),” kata Ambiga kepada pemberita selepas bertemu Tuanku lebih satu jam setengah.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sejak seminggu lalu hambatan ke atas BERSIH 2.0 menjadi-jadi dengan tidak kurang 100 orang menjadi mangsa termasuk wakil rakyat Pakatan yang memakai sertai memiliki baju kuning pertubuhan itu ditangkap polis.

Berikut surat penuh Nik Aziz itu:

Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011. Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihanraya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya. Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku di atas kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia. Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihanraya yang adil tidak akan mendatangkan huruhara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata. Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).

Walaupun Di Stadium Bersih 2.0 Akan Dapat Sokongan- Nik Aziz

Posted: 05 Jul 2011 05:54 PM PDT

The Malaysian Insider

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya Himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini akan tetap mendapat sokongan rakyat walaupun terpaksa diadakan di stadium.

Menteri Besar Kelantan berkata Himpunan Bersih 2.0 akan menjadi manifestasi kepada kebangkitan rakyat yang menentang segala penyelewengan dan permainan "politik jahat" Umno-Barisan Nasional (BN).

"Walau di mana pun Himpunan Bersih 2.0 diadakan pada 9 Julai ini, saya penuh yakin bahawa ia tetap merupakan manifestasi kebangkitan rakyat yang menentang segala tipu daya dan permainan politik jahat Umno-BN.

"Saya yakin Yang di-Pertuan Agong (Tunku Mizan Zainal Abidin) selaku payung rakyat jelata tentu akan bertindak untuk kebaikan seluruh rakyat," kata Nik Aziz dalam laman Facebook.

Tegas Nik Aziz, ekoran pendirian terbaru Yang di-Pertuan Agong dalam isu Himpunan Bersih 2.0, beliau yakin Umno-BN tidak lagi "mempunyai kuasa" untuk mempergunakan institusi diraja demi kepentingan politik.

"Umno-BN tidak usah berharap untuk mempergunakan instituti beraja untuk mempertahankan mereka.

"Segala usaha mereka untuk menudung segala penyelewengan sistem pilihan raya tidak akan berjaya kerana kebangkitan dan kesedaran rakyat sudah sampai ke kemuncaknya," katanya.

Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini di stadium.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 bagi membincangkan lokasi yang sesuai — sebuah stadium — bagi perhimpunan Sabtu ini tetapi menegaskan tawaran itu adalah bersyarat.

Kelmarin Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan "yang pentingnya."

Selain itu pemimpin Pakatan Rakyat secara sepakat menerima tawaran mengadakan  Himpunan Bersih 2.0 di stadium.

Siri Jelajah Dato Seri Anwar Ibrahim Ke Terengganu

Posted: 05 Jul 2011 04:54 PM PDT

Demi Rakyat

7 Julai 2011 (Khamis)

Program 1

9.00 – 12.00 Mlm – Ceramah Perdana – Demi Rakyat

Lokasi – Kampong Nerang, Jerangau Sungai – Dungun

Penceramah:

1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

2. YB Saifuddin Nasution

3. YB Wan Hassan Ramli

4. YBhg Abd Rahman Yusof

—-

Program 2

9.00 – 12.00 mlm – Ceramah Gempur Perdana

Lokasi – Hujung Jambatan Kuala Berang – Hulu Terengganu

Penceramah:

1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

2. YB Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang

3. YB Azan Ismail

4. YB Wahid Endut

Tiada ulasan:

Nuffnang