Ahad, 10 Julai 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


CATATAN : MEMBERSIH DI KL (Bahagian 2.0)

Posted: 10 Jul 2011 02:05 AM PDT


9 Julai 2011, Sabtu
1.45 petang :
Kami mula keluar dari Masjid India. Suasana riuh rendah dengan suara orang ramai. Kedengaran suara lantang yang mengarahkan semua yang ada di masjid untuk bergerak menuju ke Stadium Merdeka. Kami pun menyertai perarakan tersebut. Orang semakin ramai.

Kami menggunakan Jambatan Bunus. Hari tiba-tiba nampak mendung. Teringat saya akan doa yang dibacakan selepas solat hajat tadi ! Kami masuk ke Leboh Ampang. Manusia semakin ramai. Kami bersama-sama melaungkan "Hidup Rakyat", "Laaila haillallah", bertakbir dan sebagainya. Kami menjadi semakin bersemangat.


Saya berharap kami akan berjaya sampai ke destinasi yang dituju iaitu Stadium Merdeka.

Tiba-tiba hujan mulai turun. Kami terus bergerak dengan tanpa mempedulikan hujan yang bakal turun lebat.Saya dan Dr. Hamdan berada di barisan hadapan juga.

"Alhamdulillah, turun juga hujan...." kedengaran suara dari belakang.

Semasa sampai di persimpangan Bangkok Bank kami nampak sepasukan polis fru dan trak merah. Kami meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan beberapa das. Suasana menjadi kecoh. Gas pemedih mata telah ditembak ke arah kami. Bau pedih terus menusuk ke mata dan hidung kami. Dan ia semakin pedih!

Dr. Hamdan memberikan air kepada saya dan saya membasah sapu tangan. Saya lapkannya pada muka. Muka semakin pedih. Mata dan hidung berair.

Hujan semakin lebat. Kesan gas pemedih mata menjadi kurang. Namun selepas melepaskan gas, pihak polis terus mengejar kumpulan kami. Kami mula melarikan diri. Tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Kami berlari di dalam hujan lebat menyelamatkan diri. Saya nampak seorang pemuda yang mengetuai kumpulan tadi telah dicekup oleh dua orang polis.

Saya mencari Dr. Hamdan dan mengajaknya berlari ke tepi kedai. Rupa-rupanya di situ telah ada ramai orang berlindung di situ. Masih berlari.

Kemudian saya dan Dr. Hamdan berhenti dan duduk di tepi kedai bersama orang ramai.. Dr. Hamdan mengajak saya ke tempat lain. Saya ikut dia ke tempat yang agak tersorok sedikit dari jalan besar.
Berteduh sebentar.

Tidak kelihatan polis mengejar kami lagi.  Hujan masih lebat. Ramai juga yang berteduh di situ. Kumpulan kami tadi telah berpecah.

2.30 petang :
Tidak lama kemudian hujan mulai berhenti. Saya dan Dr. Hamdan bertanya sesama sendiri tentang Amir dan anak saudaranya. Semasa keadaan kelam kabut tadi, saya sempat nampak Amir berlari di tepi bangunan. Mungkin beliau ada di belakang kami.

Kami bercadang meneruskan perjalanan. Kumpulan yang berpecah tadi mulai bersatu semula di sebatang jalan.

Tiba-tiba, Dr. Hamdan berkata dia hendak berehat sekejap. Dadanya menjadi sesak. Kami pun terus duduk di tepi sebuah hotel. Kami melihat orang semakin ramai di jalanan semula. Hujan sudah berhenti sepenuhnya.

"Semasa lari tadi, tak sedarpun saya dah berumur 55 tahun," kata Dr. Hamdan kepenatan. Saya lihat wajahnya masih bersemangat walaupun nampak kepenatan.

Tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada Amir. 
"Hello, Amir. Di mana sekarang ?"
"Aku kena tangkaplah..! Kami berdua kena tangkap,"
"Kena di mana ?"
"Masa duduk di tepi kedai tu. Tiba-tiba kamim kena cekup, OK, nanti saya call balik" kata Amir.
"OK, bagitau nanti ke mana kena hantar."

Saya minta pandangan Dr. Hamdan. Adakah perlu meneruskan perjalanan atau tunggu di sini menanti perkembangan Amir yang sudah kena tahan.
Meneruskan perjalanan selepas hujan.


Setelah berbincang, kami bercadang meneruskan perjalanan sambil senitasa menghubungi Amir. Kemudian, menyertai semula kumpulan yang mula menjadi semakin besar. Kami bersemangat semula melaungkan kata-kata semangat.

Masing-masing basah kuyup akibat hujan lebat tadi. Sampai di satu simpang kami bergabung pula dengan kumpulan lain. Kami mendengar arahan menyatakan menuju ke KLCC. Di simpang tadi kami bergabung dengan kumpulan yang di ketuai Dr. Hatta Ramli dan Datuk Chua Je Meng. Kami semakin bersemangat !
Tong sampah BERSIH...

Orang berkumpul semula. Semakin ramai...

Dr. Hatta Ramli memimpin perarakan.
Kumpulan remaja Cina dan India ini sangat bersemangat menjerit "Hidup Rakyat..!"


Kumpulan semakin besar. Orang ramai memenuhi di sepanjang jalan. Di kiri kanan setiap simpang saya lihat pihak polis telah menyekat jalan. Sehinggalah tiba-tiba kami mendengar lagi bunyi tembakan. Bau asap gas pemedih mata mula datang. 

Mata saya menjadi pedih semula. Kalau tadi, hujan telah mengurangkan kesan pedih, tetapi kali ini kepedihannya agak kuat. Saya dan Dr. Hamdan berundur ke tepi kedai. Air dalam botol semakin habis.  Mata sudah berair. Kami berlari ke belakang mencari tempat berlindung.

Di situ, saya dan Dr. Hamdan diberikan garam oleh seorang wanita untuk kami kemam bagi mengurangkan kesan gas. Namun, ia kurang berkesan. Mungkin kerana ia garam halus. Kami berjalan lagi. Tiba-tiba saya ternampak orang ramai berkerumun di hadapan sebuah restoran Cina.
Gas pemedih mata sudah mari...!!!

Rupa-rupanya seorang wanita Cina (mungkin pemilik atau pekerja restoran) telah memberikan garam kasar kepada para demonstran. Dia juga membenarkan kami mengambil air di paip kedainya untuk kami membasih muka yang semakin pedih.

"Ambil garam. Ambil garam makan," perempuan itu menjerit. Saya dan Dr. Hamdan turut mengambil garam dan menngemam garam kasar. Saya juga sempat membasuh muka dan membasahkan sapu tangan. Kesan pedih menjadi kurang. Memang garam kasar amat berkesan mengurangkan kesan gas pemedih mata.
Terima kasih nyonya. Najib kena tau ni....

Apabila keadaan reda, kami meneruskan perjalanan. Namun, Dr. Hamdan mengadu lagi kepenatan dan sesak. Maka, kami mengambil keputusan untuk berehat dahulu dan tidak mengikut kumpulan ke KLCC.

Pada masa yang sama, saya membaca mesej daripada Amir yang menyatakan dia telah dibawa ke pusat tahanan di Pulapol, Jalan Semarak.



Mereka berkumpul beramai ambil gambar di hadapan KLCC.

Pasukan berkudapun ada. Nasib baik tak ada pasukan berunta.
4.30 petang :
Kami juga masing-masing menghubungi rakan-rakan lain untuk bertanyakan perkembangan di tempat lain. Memikirkan hal Amir dan rakan-rakan yang telah ditahan polis. Kami mengambil keputusan tidak ke KLCC. Dr. Hamdan menelefon adiknya di Wangsa Maju untuk mengambil kami.

Adik Dr. Hamdan tidak dapat masuk kerana masih ada lagi sekatan jalan raya. Dia meminta kami tunggu di KLCC. Kamipun berjalan kaki. Kaki semakin pedih melecet. Tetapi terpaksa juga berjalan. Tak tau sudah berapa kilometer kami sudah berjalan.

Sampai di KLCC, kelihatan orang masih ramai. Kelihatan juga sebuah jip dan sebuah bas PDRM. Kami menunggu di perhentian bas. Adik Dr. Hamdan memberitahu bahawa di situpun dia tidak dapat masuk. Dia mencadangkan kami pergi ke Ampang Park. Kami lihat juga pihak semakin ramai di depan KLCC walaupun himpunan sudah tiada.

Saya lihat kebanyakan polis tersebut masih muda belaka. Masing-masing mengambil gambar bangunan KLCC. Mungkin mereka dari negeri lain. Saya terdengar juga bunyi tembakan beberapa kali.

Atas cadangan adik Dr. Hamdan, kamipun berpatah ke belakang menuju ke Jalan Ampang. Melepasi Wisma Central, kami melihat sepasukan polis sedang berkumpul. Terdapat juga pasukan polis berkuda.

Saya mendapat tahu kira-kira 14 orang peserta dari Teluk Intan telah ditahan polis. Ia termasuk Amir, Ustaz Fatah dan beberapa orang lagi. Maklumat seterusnya kesemua mereka ini telah dibebaskan sejak petang tadi tadi. Alhamdulillah.

Kami meneruskan perjalanan ke Ampang Park. Di hadapan Restoran Pizza Hut, akhirnya kami dapat berjumpa dengan adik Dr. Hamdan. Akhirnya kami dapat keluar dari KL menuju ke Taman Melewar...! Alhamdulillah. Di sana, pakcik kepada Dr. Hamdan pula menghantar kami balik ke Teluk Intan. Sampai ke rumah tepat jam 1.30 pagi....
Alhamdulillah.

Tahniah kepada semua demonstran yang berani menghadirkan diri walau berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan. Insya-Allah, Allah redha kepada kita. Allahu akbar!!!

Tamat. Jumpa lagi di BERSIH 3.0. Insya-Allah.

CATATAN : MEMBERSIH DI KL (Bahagian 1.0)

Posted: 09 Jul 2011 07:58 PM PDT


9 Julai 2011 (Sabtu)
7.00 pagi :
Kami bertolak ke Teluk Intan. Saya bersama Amir, Dr. Hamdan dan anak saudara Amir. Kami ikut Sabak Bernam. Kami terpaksa menempuh 5 sekatan jalan raya polis. Dua kali kereta digeledah polis. Mereka mencari barang yang ada unsur Bersih 2.0. Memang kami kami tak bawa apa-apapun. Kami tak bawa baju bersih. Hati bersih adalah.

Sekatan jalan raya terakhir di Kelana Jaya agak lama juga. Dalam ruang bagasi kereta ada tabung kebajikan PAS pulak. Sampai empat anggota polis menyelongkar kereta Amir. Kad pengenalan kami diambil dan dicatat. Akhirnya lepas juga selepas bersoal jawab dengan mereka. 

Masa itu, keadaan jalanraya amat sesak. Maklumlah, tiga lorong polis jadikan satu.

11.30 pagi :
Meletak kereta di Stesen LRT Asia Jaya. Parkir sudah penuh. Kami terus ke stesen. Kami lihat suasana amat lengang. Waktu itu, cuma kami berempat sahaja. Polis berpakaian seragam lebih ramai daripada kami, duduk merata-rata.

Kami berpakat pecah kepada dua kumpulan, Amir bersama anak saudaranya manakala saya bersama Dr. Hamdan. Kami pergi ke tandas. Semasa melalui kumpulan polis, kami diperhatikan atas bawah oleh mereka. Kami senyum dan angkat tangan tanya mana tandas.

Kami bercadang naik LRT dan turun di Stesen Masjid Jamek. Selepas membeli tiket dan tunggu, tren pun tiba. Dalam tren, agak sesak. Kami terpaksa berdiri. Kalau tengok muka setiap orang dalam tren tu, memang semuanya pergi himpunan Bersih. Kami memberikan senyuman sebagai isyarat satu tujuan ke sana.

Setelah melalui enam stesen, barulah kami tiba di Stesen Masjid Jamek. Di sana, orang sudah mulai ramai. Polis ? Lagi ramai.

Kami terus turun ke jalan. Kami lihat ada sedikit kekecohan di depan sebuah kedai. seorang pemuda dikerumuni beberapa anggota polis berpakaian seragam. Memang polis sudah ramai! 

Saya menghubungi YDP PAS Teluk Intan Ustaz Ismail dan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Fatah. Mereka dan rombongan sedang berada di Kg. Baru. Mereka tidak dapat bergerak kerana polis ramai. Masjid Kg. Baru juga telah ditutup.

Rupa-rupanya, Masjid Jamekpun telah ditutup. Hidup negara Islam!

12.30 tengah hari :
Selepas makan,  Amir dan anak saudaranya pergi  meninjau ke Sogo. Saya dan Dr. Hamdan masih lagi di sekitar Jalan Masjid India. Kami singgah di sebuah kedai makan mamak. Terasa lapar. Makan daging kambing.

Pintu besar Stesen LRT Masjid Jamek telah ditutup.

Pada masa yang sama, saya lihat pihak polis mula bergerak tidak membenarkan orang ramai berkeliaran di kaki lima kedai dan bangunan. Polis semakin banyak.

Polis minta orang ramai jangan berkumpul. Kami nak pergi mana ?

Selepas makan, Dr. Hamdan mengajak saya ke Masjid India. Dalam perjalanan, saya lihat orang semakin ramai. Ada juga kedai-kedai yang dibuka walaupun telah diberi notis dua hari lepas supaya menutup kedai.

Rupa-rupanya, ada arahan supaya kedai-kedai ditutup. Maknanya, kedai ditutup bukanlah atas kerelaan peniaga sebagaimana yang digembar gembur oleh media!
Polis dan jurufotonya pun ramai.


Sampai di Masjid India, orang telah mulai ramai. Di setiap persimpangan, telah dihalangi oleh makhluk bertopi merah. Kebanyakan orang ramai menuju ke Masjid India kerana waktu sudah hampir masuk waktu Zuhur.

Saya mendapat mesej daripada Hj. Azhar. Dia berada di KL Sentral. Di sana ada ramai pimpinan.

12.28 tengah hari :
Saya dapat mesej lagi daripada Hj. Azhar : Mahfuz dan Salahudin kini berada di KL Sentral.

12.40 tengah hari :
Beberapa minit kemudian saya dapat mesej lagi daripada Hj Azhar : Mahfuz dan Salahudin kena tahan. Dibawa ke balai Jinjang !

Saya menghubungi Ustaz Fatah. Dia kata masih berada di Kg. Baru. Dia kata polis semakin ramai dan menangkap sesuka hati orang yang berkeliaran di sana.

Tidak lama kemudian saya mendapat panggilan daripada seorang kawan menyatakan Ustaz Fatah dan rakan-rakannya pun telah ditahan polis !

Meneruskan solat walaupun asap dah banyak !

Selepas mengambil wudhu, kami masuk ke ruang solat dan bersolat sunat. Ruang solat semakin penuh.

1.20 petang :
Azan Zuhur berkemundang. Tenang mendengar azan.
Kemudian bilal melaungkan iqamat. Sebaik sahaja selesai iqamat, tiba-tiba kami terdengar bunyi tembakan bertalu-talu. Saya agak ini mesti tembakan gas pemedih mata.

Memang betul. Bau gas mula menyerap ke hidung kami. Beberapa orang jemaah terus menutup tingkap masjid tetapi baunya masih terasa. Kelihatan beberapa orang jemaah yang terbatuk-batuk.

MasyaAllah, rupa-rupanya pihak polis menembak gas pemedih mata ke arah masjid dalam keadaan kami mulai hendak solat Zuhur..!

Kami meneruskan juga solat Zuhur walaupun dalam keadaan sedikit mata pedih. Selepas itu, Ustaz Sobri Arshad menjadi imam solat hajat. Di dalam doa beliau selepas solat hajat ialah meminta keselamatan kepada semua peserta Bersih dan memohon kepada Allah agar menurunkan hujan !...

Bersambung lagi...

PENIAGA KL RUGI RM40 BILION...?

Posted: 09 Jul 2011 05:51 PM PDT


 
Kuala Lumpur, 10 Julai – Para peniaga di sekitar Kuala Lumpur hari ini mendakwa mereka kerugian hampir mencecah RM 40 billion gara-gara perhimpunan haram BERSIH semalam.
Makcik Ros, seorang peniaga karipap mendakwa beliau kerugian kira-kira RM 56.89 juta selepas perniagaan terpaksa ditutup bagi mengelakkan bertembung oleh peserta perhimpunan haram BERSIH.
"Selalunya Makcik buka jam 8 pagi dekat Central Market, tutup jam 12 tengah hari dengan jualan purata RM 30 juta hari biasa, dan RM 50 juta hari minggu", kata Makcik Ros dengan nada kecewa kepada wartawan PemudaGombak.com yang kehairanan.
Manakala seorang penjaja aiskrim, En Din Yasin, merungut jualannya merosot mendadak daripada RM 7 billion setiap hari, tetapi semalam hanya RM 68.90 sahaja.
Selalunya pada hujung minggu ramai kanak-kanak akan membeli aiskrim miliknya, tapi semalam ia berkurangan.
"Saya amat marah kepada BERSIH", kata En Din Yasin dengan nada tegas.
"Selalunya jualan kami mencecah RM 37 juta sehari, tapi hari ini terpaksa makan sendiri sahaja…", kata Kak Ros dan Pak Jib ketika membuat sidang media kepada wartawan PemudaGombak.com selepas BERSIH.
Peniaga cendol, Pak Jib pula hampir sama ceritanya, beliau menganggarkan kerugian yang dialami semalam kira-kira RM 65 juta untuk cendol biasa, RM 38 untuk cendol special serta RM 96  untuk cendol aiskrim.
"Semalam saya tidak berani untuk membuka gerai cendol saya di Puduraya", kata Pak Jib kesedihan.
Sementara itu, Persatuan Peniaga Roti Canai Kuala Lumpur (PERCOKAI) Encik Ebrehem Alikatak berkata, setakat laporan yang diperoleh lewat petang semalam, anggaran kerugian penjaja-penjaja roti canai seluruh Kuala Lumpur dianggarkan RM 28 billion.
"Ia adalah anggaran sahaja untuk roti canai biasa, dan tidak termasuk roti telur, roti sardin, roti tirai, roti pelempang dan lain-lain", kata Encik Ebrehem Alikatak sambil menepuk meja dan menjegil mata kepada wartawan PemudaGombak.com

Tiada ulasan:

Nuffnang