Sabtu, 2 Julai 2011

.

.


POLIS KETAGIH SALAH GUNA KUASA KE ATAS PENYOKONG BERSIH

Posted: 01 Jul 2011 09:36 AM PDT

POLIS KETAGIH SALAH GUNA KUASA KE ATAS PENYOKONG BERSIH
From:
Ahbak 1963
To:

Hasrat menganjurkan perhimpunan Bersih secara aman pada 9 Julai ini yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menerima reaksi 'gila' dari Kerajaan zalim BN yang menggunakan instrumen polis untuk mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat.

Pelbagai tuduhan tidak masuk akal digunakan oleh polis untuk mengganggu program Bersih . Tuduhan paling 'common' adalah perhimpunan Bersih adalah perhimpunan haram kerana tiada permohonan permit dikemukakan. Hakikatnya polis yang suka perhimpunan haram diadakan kerana Timbalan Ketua Polis Negara ( TPKN ) sendiri dilaporkan berkata sebarang permohonan permit tidak akan dilayan. Apa gunanya permohonan permit dipohon jika TKPN sendiri menyatakan permohonan tersebut tidak akan dilayan.

Sebenarnya kenyataan TKPN tersebut adalah bercanggah dengan sekyen 27 Akta Polis 1967 kerana tugas meluluskan permit adalah di tangan Ketua Polis Daerah (KPD) . Jika TKPN sudah mendahului KPD apakah jaminan KPD akan berani mengatasi keputusan TKPN? Adalah jelas TKPN bukan sahaja jahil undang-undang bahkan beliau telah menyalahguna kuasa beliau . Adakah orang sebegini yang akan menjadi Ketua Polis Negara kelak ?

Tuduhan lain terhadap Bersih adalah perhimpunan Bersih akan menjejaskan keselamatan negara dan mengganggu keamanan. Bagaimanakah suatu perhimpunan yang belum diadakan sudah diketahui akan menjejaskan keselamatan dan mengganggu keamanan? Adakah polis bertindak sebgai pak nujum di sini?

Penganjur Bersih telah berulang kali menyatakan perhimpunan yang ingin diadakan adalah perhimpunan aman bagi menuntut satu pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini. Jika benar ia mengganggu keamanan maka sudah tentu ia bukan datangnya dari Bersih sebaliknya boleh dihujahkan ianya datang dari mereka yang ada ajenda buruk yang ingin mengganggu perhimpunan aman Bersih.

Adalah menjadi tugas polis menjaga keamanan dan polis sepatutnya menolong Bersih dari gangguan anasir -anasir yang ingin mengganggu keamanan perhimpunan bersih .

Polis juga mesti jujur dan profesional. Adakah perhimpunan Bersih yang ingin diadakan secara aman akan menjejaskan keselamatan negara atau ianya menjejaskan keselamatan Umno dan BN? Sejarah membuktikan polis di negara ini gagal membezakan antara keselamatan negara dan keselamatan Umno ?

Bersih mempunyai rekod yang bersih menganjurkan perhimpunan ratusan manusia di Kuala Lumpur secara aman dan polis pula malangnya mempunyai rekod yang buruk dan kotor mengganggu perhimpunan aman Bersih.

Mahkamah sendiri telah menyatakan di dalam kes perhimpunan Bersih yang pertama dahulu bahawa perhimpunan Bersih adalah aman dan tidak menjejaskan keamanan sebaliknya polis yang menganggu perhimpunan aman tersebut. Saksi- saksi polis yang memberi keterangan di dalam kes Bersih yang pertama mengakui semasa disoal balas oleh peguambela bahawa perhimpunan Bersih yang pertama adalah aman dan tidak menjejaskan keselamatan .
Yang lebih penting lagi Mahkamah sendiri membebaskan kesemua tertuduh yang didakwa terlibat dalam kes perhimpunan Bersih yang pertama dahulu. Mengapakah pihak polis dan Peguam Negara tidak mahu berkongsi keputusan Mahkamah tersebut dengan rakyat.

Terdesaknya Umno ingin mensabotaj perhimpunan aman Bersih sehinggakan sanggup menggunakan Mahaguru Silat untuk menakutkan orang ramai. Sejak bila pula menuntut pilihanraya adil dan bersih ada kaitan dengan pencak silat. Jika hendak pencak silat sangat kami cadangkan lebih baik pergi ke Gaza berpincak silat dengan Zionist di sana. Bukankah itu medannya yang sebenar ?

Portal Malaysikini melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Onn yang menyokong tindakan polis menangkap mereka yang memakai baju kuning berlabelkan bersih kerana ujar Hishamuddin adalah haram memakai baju kuning tersebut. Hujah Hishamuddin adalah jika aktiviti bersih adalah haram maka memakai baju kuning bersih juga adalah haram.

Malang sungguh bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai Menteri yang ada kelulusan undang-undang tetapi jahil undang-undang. Saya mengesyorkan kepada Hishamudin jika pun kamu benci sangat dengan bersih janganlah sampai menggadaikan maruah dan integriti kamu. Ada masanya elok juga untuk kita menyembunyikan kejahilan kita .

Haram atau halal sesuatu perkara baik dari segi agama atau undang-undang adalah berdasarkan dalil dan bukannya berdasarkan kenyataan menteri. Mungkin Hishamudin boleh tunjukkan pada kita di bawah peruntukkan mana dan di dalam undang-undang mana memakai baju kuning berlambang bersih adalah satu kesalahan.

Jika kita menerima hujah Hishamuddin memakai baju kuning bersih adalah haram kerana aktiviti bersih adalah haram maka secara logiknya jika seseorang terlibat dengan berlumba motor secara haram, maka segala peralatan yang beliau pakai termasuklah helmet, seluar, jacket kulit dan motor yang beliau tunggang adalah kesemuanya haram.

Memakai baju kuning berlambang bersih adalah tidak haram kerana tiada mana undang-undang yang melarang pemakaian baju kuning. Yang salah dan haram adalah tidak memakai baju dan seluar di khalayak ramai. Polis yang menangkap mereka yang memakai baju kuning berlambang bersih telah bertindak di luar batas undang-undang dan boleh di saman kerana melakukan tangkapan yang tidak sah. Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.

Menangkap mana mana orang yang memakai baju bersih sedangkan memakai baju tersebut tidak dilarang oleh mana-mana undang-undang adalah melibatkan pelucutan kebebasan seseorang dan yang demikian ianya melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi Umno dan Hishamuddin janganlah terlalu paranoid dengan warna. Jika satu waktu dulu Umno takut dengan warna hijau Petronas kerana warna hijau Petronas dilihat sama dengan warna bendera Pas, kini warna kuning pula yang ditakuti? Sampai bila Umno nak takut dengan warna?

Apa pun kami berterima kasih kepada polis, Menteri Dalam Negeri, Perkasa , Pemuda Umno, Mahaguru Silat, Mufti Perak, Utusan Malaysia, RTM dan TV3 kerana tolong mempromosi secara percuma perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini. Segala 'jasa baik' kamu tersebut kami serahkan pembalasannya pada Allah.

Untuk rakyat yang cintakan demokrasi dan pilihanraya yang adil dan bersih marilah sama sama kita beramai ramai menyertai perhimpunan aman bersih pada 9 hb Julai 2011 ini. Buktikan pada semua bahawa kita adalah rakyat yang cintakan keamanan dan demokrasi yang tulin.
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Tiada ulasan:

Nuffnang