Ahad, 5 Jun 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Petisyen Membantah Kelewatan Projek Hospital Shah Alam

Posted: 04 Jun 2011 01:45 AM PDT

SHAH ALAM 4 JUN - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyeru orang ramai untuk menandatangani petisyen membantah kelewatan projek Hospital Shah Alam yang sehingga kini gagal disiapkan oleh pihak pemaju.

Orang ramai boleh menandatangai petisyen bantahan kelewatan itu melalui online di alamat seperti berikut: http://www.khalidsamad.com atau di  http://www.petisyen.com

Dalam petisyen bantahan itu menyatakan perasaan amat dukacita atas terbengkalainya projek pembinaan Hospital Shah Alam selama satu tahun tanpa adanya penyelesaian hingga ke hari ini.

Semenjak projek ini dihentikan pada Jun 2010, dimaklumkan bahawa ianya akan ditender kembali melalui proses tender terhad di mana kontraktor-kontraktor berwibawa sahaja akan dijemput dan projek ini akan dimulakan kembali paling lewat pada Mac 2011.

"Sekarang, kami dimaklumkan bahawa tender telah pun dipanggil dan sebut harga dari 6 kontraktor yang dijemput telahpun diterima tetapi tender berkenaan dibatalkan dan tender baru akan dipanggil. Ini dengan sendirinya bermakna bahawa projek Hospital Shah Alam akan terbengkalai untuk tempoh paling kurang 10 bulan lagi sebelum ianya dimulakan kembali," menurut petisyen bantahan itu.

Petisyen bantahan juga menyatakan pemanggilan tender baru akan menyaksikan Hospital ini paling awal disiapkan pada 2015 sedangkan ia sepatutnya siap pada 2011. Bagaimanakah projek yang sepatutnya mengambil masa 4 tahun boleh tergendala sehingga 8 tahun?.

Kelewatan ini bererti warga Shah Alam dinafikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Pusat. Pada masa yang sama tapak projek dewasa ini dalam keadaan terbiar dan telah menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

"Kami ingin menyatakan bahawa terbengkalainya projek ini adalah bukti ketidakmampuan Menteri Kerja Raya. Beliau telah membenarkan perebutan kontrak di antara kroni serta lebih mengutamakan politik dari perkhidmatan kesihatan untuk rakyat," katanya.

Tambah petisyen bantahan itu, berterusannya keadaan ini tanpa adanya apa-apa tindakan dari Kerajaan Pusat akan bererti ianya suatu keadaan yang dipandang remeh oleh kerajaan Pusat atau ianya disengajakan sebagai suatu penderaan terhadap warga Shah Alam.

"Kami yang bertandatangan di bawah ingin menuntut supaya projek ini dimulakan kembali dengan kadar segera. Sekiranya gagal, Menteri Kerja Raya hendaklah meletak jawatan atau beliau dipecat sebagai Menteri Kerja Raya oleh Perdana Menteri," menurut petisyen bantahan itu lagi.

PETISYEN MEMBANTAH KELEWATAN PROJEK HOSPITAL SHAH ALAM
01 Jun 2011

Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya, MALAYSIA

Y.A.B. Datuk Seri,

PETISYEN MEMBANTAH KELEWATAN PROJEK HOSPITAL SHAH ALAM

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

2. Kami yang bertandatangan di bawah, ingin merakamkan perasaan amat dukacita atas terbengkalainya projek pembinaan Hospital Shah Alam selama satu tahun tanpa adanya penyelesaian hingga ke hari ini.

3. Semenjak projek ini dihentikan pada Jun 2010, kami dimaklumkan bahawa ianya akan ditender kembali melalui proses tender terhad di mana kontraktor-kontraktor berwibawa sahaja akan dijemput dan projek ini akan dimulakan kembali paling lewat pada Mac 2011.

4. Sekarang, kami dimaklumkan bahawa tender telahpun dipanggil dan sebut harga dari 6 kontraktor yang dijemput telahpun diterima tetapi tender berkenaan dibatalkan dan tender baru akan dipanggil. Ini dengan sendirinya bermakna bahawa projek Hospital Shah Alam akan terbengkalai untuk tempoh paling kurang 10 bulan lagi sebelum ianya dimulakan kembali.

5. Pemanggilan tender baru akan menyaksikan Hospital ini paling awal disiapkan pada 2015 sedangkan ia sepatutnya siap pada 2011. Bagaimanakah projek yang sepatutnya mengambil masa 4 tahun boleh tergendala sehingga 8 tahun?.

6. Kelewatan ini bererti warga Shah Alam dinafikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Pusat. Pada masa yang sama tapak projek dewasa ini dalam keadaan terbiar dan telah menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

7. Kami ingin menyatakan bahawa terbengkalainya projek ini adalah bukti ketidakmampuan Menteri Kerja Raya. Beliau telah membenarkan perebutan kontrak di antara kroni serta lebih mengutamakan politik dari perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

8. Berterusannya keadaan ini tanpa adanya apa-apa tindakan dari Kerajaan Pusat akan bererti ianya suatu keadaan yang dipandang remeh oleh kerajaan Pusat atau ianya disengajakan sebagai suatu penderaan terhadap warga Shah Alam.

9. Kami yang bertandatangan di bawah ingin menuntut supaya projek ini dimulakan kembali dengan kadar segera. Sekiranya gagal, Menteri Kerja Raya hendaklah meletak jawatan atau beliau dipecat sebagai Menteri Kerja Raya oleh Perdana Menteri.

SILA TANDATANGAN PETISYEN MEMBANTAH KELEWATAN PROJEK HOSPITAL SHAH ALAM SECARA ONLINE DI PETISYEN.COM

Selangor Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik

Posted: 04 Jun 2011 01:00 AM PDT

SHAH ALAM 4 JUN : Kerajaan Selangor akan membina lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk memberi keselesaan  hidup kepada rakyat.

Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk pembinaan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri.

Khalid berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengenal pasti enam lokasi untuk pembinaan perumahan mampu milik iaitu di Bangi, Antara Gapi dan Kota Puteri di Kuala Selangor, Taman Sains Selangor 2, Bernam Jaya dan Gombak.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pecah tanah projek perumahan mampu milik di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, semalam.

Sekurang- kurangnya sebanyak 124 unit pangsapuri mampu milik berharga kurang RM100,000 akan dibina atas tapak seluas empat ekar yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan PKNS akan diarah untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja  berpeluang memiliki rumah ini.

"Kerajaan negeri tidak mahu kelemahan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu berulang apabila orang yang berkemampuan diberi kelonggaran untuk membeli rumah murah dan menyewakan pula kepada orang lain," ujar Khalid.

Keutamaan untuk memiliki rumah ini akan diberikan kepada keluarga berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, ibu tunggal dan keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pangsapuri mampu milik ini yang berkeluasan antara 750 hingga 850 meter kaki persegi adalah antara pembaharuan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat dan ia terkandung dalam Buku Jingga yang menjadi manifesto Pakatan Rakyat.

Sumber: TVSNEWS

Rumah Panjang Dirobohkan, Selangor Rampas Tanah PJS1

Posted: 04 Jun 2011 12:30 AM PDT

Kurang sehari selepas rundingan dengan kerajaan negeri Selangor, pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd semalam menyerbu kawasan PJS1 dan memusnahkan dua rumah panjang yang dihuni oleh tiga keluarga.

Pemaju yang dilengkapi dua jentolak dan diiringi sekumpulan polis tiba pada jam 2.30 petang semalam dan terus mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah mereka dengan segera.

Di sebalik rintihan dan rayuan penduduk, pemaju dengan disaksikan pihak polis terus merobohkan rumah pertama yang dihuni oleh sebuah keluarga golongan kurang upaya pada jam 4 petang.

Hujan lebat juga gagal menghalang pihak pemaju bertindak meranapkan rumah kedua sejam kemudian.

Penduduk hanya diberikan secukup masa untuk mengeluarkan barangan mereka sementara pekerja pemaju itu terus memusnahkan tingkap rumah mereka.

Kerja-kerja meroboh sebelum ini berjaya ditangguhkan selepas ahli majlis MBPJ Latheefa Koya campur tangan dengan mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi.


Perintah penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor berunding dengan pemaju dan MBPJ merundingkan beberapa permintaan bagi pihak penduduk.

Permintaan itu termasuk melupuskan sewa PPR di mana penduduk akan bepindah serta faedah bank ditangguhkan sehingga unit rumah mereka siap.

Namun, sehingga insiden merobohkan rumah itu semalam, penduduk berkata mereka tidak menerima sebarang surat berhubung rayuan mereka, mahupun unit PPR yang dijanjikan itu.

"Kami tidak diberi apa-apa. Malah, kami tak tahu mahu ke mana selepas ini," kata Mahalingam Veeriah, penduduk yang kurang upaya.

Seorang lagi penduk Pusparani Balakrishnan berkata mereka hanya meminta Peter's Brickworks untuk menangguhkan kerja-kerja meroboh hingga Isnin ini bagi membolehkan mereka memindahkan barangan mereka.

"Tetapi, mereka serbu rumah kami dengan sekumpulan kongsi gelap dan secara paksa menghalau kami keluar," katanya sambil menambah keluarganya turut diugut.

Sementara itu, dalam reaksi berhubung kejadian berkenaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan untuk merampas tanah seluas 11 ekar di PJS1 bagi memastikan rumah mampu milik dan sekolah dapat dibina di tanah berkenaan.

Khalid berkata setiausaha kerajaan negeri telah diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi mengeluarkan notis 7A mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara kepada pemilik-pemilik tanah itu: Lee Man Construction Company Sdn Bhd dan Kembar Empat Sdn Bhd.

"Kerajaan Negeri kesal kerana pemilik tanah telah gagal menyokong kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian menyeluruh untuk menyediakan rumah mampu milik walaupun mereka telah mendapat ganjaran yang tinggi melalui pemilikan tanah.

"Mengikut rekod, tanah itu telah diberi kerajaan negeri pada tahun 80-an kepada dua syarikat berkenaan dengan harga RM100 seekar untuk tujuan pembangunan bagi menyelesaikan masalah setinggan di kawasan tersebut," kata Khalid dalam satu kenyataan akhbar lewat petang semalam.

Menurut beliau, kerajaan Selangor akan juga berbincang dengan Bank Negara bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemilihan pemaju-pemaju yang gagal membina rumah mampu milik kepada rakyat setelah diberikan tanah.

Tanah di PJS1 itu telah diberikan kepada Syarikat Peter Brickworks Sdn Bhd telah dipilih oleh Bank Negara Malaysia untuk dimajukan.

"Kita risau pemaju sebegini yang kurang bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Sebab itu kita mahu berbincang dengan Bank Negara tentang kualiti pemilihan pemaju," kata Khalid.


Sumber: Malaysiakini

Kerajaan Negeri Arah SUK Selangor "Ambil Semula Tanah" PJS1

Posted: 03 Jun 2011 03:15 AM PDT

1. YAB Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor mengarahkan YB Datuk Mohd Khusrin Munawi,  Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk "mengambil semula tanah" di Projek Pangsapuri PJS1 serta-merta ekoran keengganan pemaju Peter's Brickworks Sdn  Bhd untuk mematuhi arahan Kerajaan Negeri untuk "stop work order" (pembekuan kerja pembangunan) di atas projek tersebut.

2. Arahan "stop work order" telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 30 Mei 2011 tetapi sebaliknya pada keesokan harinya Pemaju bersama Bailiff mahkamah berserta dengan 20 orang anggota polis bertegas untuk melaksanakan proses pengusiran dan perobohan rumah 2 orang penghuni rumah panjang tersebut.

3. Kerajaan Negeri berpendapat bahawa polisi 'sifar setinggan' yang dilaksanakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan BN sebelum ini gagal menyelesaikan permasalahan setinggan secara holistik.

4. Kerajaan Negeri juga berpendapat tindakan Pemaju melaksanakan tindakan perobohan 2 unit rumah panjang tersebut pada HARI INI  jelas menunjukkan keangkuhan Pemaju melanggar arahan Kerajaan Negeri.

5. YB Setiausaha Kerajaan Negeri seterusnya melalui Pejabat Daerah dan Tanah Petaling akan menyiapkan dokumen bagi pengambilan semula tanah tersebut seperti yang diperuntukan oleh Kanun Tanah Negara.

YB Dr. Xavier Jayakumar                                              
Ahli Exco Kerajaan Negeri  Selangor
Tarikh : 3 Jun 2011, Jumaat, 6.15 petang

Tiada ulasan:

Nuffnang