Khalid Samad |
Yang Tercantas dan Yang Dicantas Posted: 14 Jun 2011 05:38 AM PDT Pada tengahari, hari Ahad 12 Jun, setelah selesai mengunjungi beberapa walimah, saya menuju ke Pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat AJK PAS Pusat yang pertama bagi sesi 2011–2013. Ini juga merupakan mesyuarat AJK PAS Pusat yang pertama bagi saya selepas hampir 20 tahun. Sekembalinya saya selepas sekian lama mungkin merupakan satu rekod untuk 'PAS Book of Records' - sekiranya wujud sebuah buku seperti itu! Mesyuarat ini juga merupakan satu mesyuarat yang penting. Perlantikan SUA bersama para penolongnya, KP, Bendahari, Pengarah JPP dan Pesuruh Jaya (PJ) Negeri; semuanya akan dilantik di dalam mesyuarat ini. DS Presiden bersama TP dan 3 NP telah bermesyuarat di sebelah pagi dan cadangan mereka berhubung kesemua pelantikan tersebut akan dikemukakan untuk persetujuan mesyuarat penuh AJK Pusat. Yang pasti, bermacam jenis andaian telah kedengaran, ada yang menggambarkan perubahan menyeluruh bakal berlaku, ada juga yang menggambarkan tiada rombakan sama sekali. Ada juga kedengaran kononnya usaha melobi, termasuk yang membabitkan diri saya sebagai PJ Selangor, dengan munculnya kempen di laman sosial seperti FB. Sebenarnya saya tidak tahu menahu mengenai perkara seperti itu dan tidak juga berhajat untuk mengetahuinya. Saya sudah lama memutuskan untuk tidak menerima jawatan tersebut sekiranya ditawarkan sekalipun kerana sebenarnya lebih ramai yang yang saya fikirkan berkemampuan. Tambahan pula sekiranya berlaku perubahan dan saya menjadi penggantinya, sudah pasti saya akan dituduh menjatuhkan yang lama untuk menjadi yang baru, sedangkan saya tidak pernah pun bercita-cita sebegitu. Apa yang saya inginkan hanyalah peluang untuk menegur perkara yang saya fikirkan tidak betul. Saya telah sampai agak lewat pada jam 2.30pm. Walaupun saya telah berusaha untuk menepati waktu, namun terlalu banyak program di Shah Alam pada hari yang sama. Setibanya saya di bilik mesyuarat, persoalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPP) dan Bendahari sedang dibincang. Saya sempat menyokong cadangan supaya ditukarkan Dr. Hatta ke jawatan Pengarah JPP dan Dato' Halim ke jawatan Bendahari. Ini adalah kerana PAS akan berhadapan dengan PRU tidak lama lagi dan Pengarah JPP perlu mampu memanfaatkan teknologi terkini di dalam bidang kommunikasi, media dan 'public relations'. Beliau perlu juga mampu bergegas dari satu tempat ke satu tempat mengikut keperluan dan walaupun saya menghormati Dato Halim dengan segala ilmu 'micro-electionnya', mungkin agak sukar untuknya memenuhi kedua keperluan tadi dengan baik. Pertukaran berhubung dua jawatan ini yang dicadangkan pimpinan tertinggi diterima dan seterusnya DS Presiden membaca senarai PJ Negeri untuk dibincangkan bersama oleh AJK Pusat. Nama yang disebut sebagai PJ Selangor ialah YB Dr. Rani ADUN Meru. Selangor merupakan salah satu dari lima negeri yang ditukar PJ. Apabila nama Dr. Rani disebut maka ada yang ingin membincang sebab-sebab beliau dipilih dan mengapa pertukaran dilakukan. Pada saat itu, DS Presiden terus meminta saya dan YB Dato Dr. Hassan Ali untuk keluar dari bilik mesyuarat. Kami berdua pun terus bangun dan keluar. Sambil berjalan keluar sempat juga saya bertanya secara berseloka, "Eh, saya bukan calon PJ, kenapa pula saya juga kena keluar?" Soalan saya hanya dijawab dengan gelak ketawa oleh yang lain. Saya dan Dato tunggu di luar untuk lebih kurang 15 minit. Sekembalinya kami ke bilik mesyuarat maka dimaklumkan Dr. Rani dipersetujui oleh mesyuarat supaya dilantik sebagai PJ Selangor yang baru. DS Presiden menyebut bahawa perkara ini dilakukan supaya Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor boleh menumpukan kepada tugas-tugas Exco mereka dan pada masa yang sama tugas mengukuhkan parti untuk menghadapi PRU ke 13 diserahkan kepada yang lain. Saya menerima penjelasan itu dengan baik kerana sememangnya persoalan PRU merupakan isu yang amat penting. Prestasi Exco juga akan menyumbang ke arah memenangkan calon-calon PAS yang lain dan oleh itu perlu diberikan tumpuan untuk penambah-baikan. Pada masa yang sama, semestinya persoalan pengukuhan parti juga perlu diberikan tumpuan; dengan harapan agar lebih banyak kerusi-kerusi yang ditandingi PAS akan dapat dimenangi. Untuk perkara tersebut dicapai, tumpuan perlu diberikan di kawasan yang ditandingi oleh PAS tetapi tewas. Mungkin agak berat untuk dilakukan sekiranya tanggung-jawab sebagai Exco Kerajaan Negeri turut disandang pada masa yang sama. Mungkin ada yang akan berkata, "Di Kedah dan di Kelantan boleh pula?". Ya, di sana mungkin boleh tetapi ini Selangor, bukan Kedah atau Kelantan. Di Selangor PAS bertanding di 20 kerusi dan hanya menang 8 darinya. Di Selangor PAS tetap lemah dari banyak sudut, jumlah ahli, jumlah cawangan, kewangan, aset dan lain-lain. Oleh itu Selangor tidak boleh disamakan dengan Kedah dan Kelantan. Namun yang penting ialah untuk semua memahami bahawa kesemua ahli dan pemimpin PAS memiliki keistimewaan dan kekuatan masing-masing. Pengurusan parti yang baik akan berusaha untuk menggembleng kekuatan dan keistimewaan ini supaya imej PAS dapat dilonjakkan ke hadapan dengan lebih berkesan sehingga dapat dilihat sebagai pengganti kepada UMNO. Untuk itu dicapai, semua perlu berganding bahu dengan penuh keyakinan bahawa PAS bukan seperti UMNO. Tiada usaha untuk mencantas, meminggir atau menjatuhkan mana-mana pihak. Yang dilakukan bukan atas sebab pertimbangan-pertimbangan seperti itu, tetapi sebaliknya atas pertimbangan kepentingan perjuangan dan parti. Inilah sebenarnya yang UMNO tidak mampu faham dan mungkin tidak akan faham. Mereka menganggap bahawa budaya cantas mencantas adalah amalan PAS sepertimana ianya merupakan darah daging dalam UMNO. Ini dapat kita lihat apabila sejurus selepas keputusan tersebut dibuat, Ketua Pembangkang Selangor telah segera bertindak untuk menuntut TS Menteri Besar untuk mengugurkan Dato Hassan sebagai Ahli Exco. Ini kerana kononnya, Dato tidak lagi diterima atau mewakili PAS di Selangor. Penjelasan yang diberi DS Presiden dianggap sebagai alasan semata-mata. Sebaliknya, mengikut pemikiran UMNO, ini merupakan amalan cantas mencatas sepertimana yang wujud di dalam UMNO sejak sekian lama. Saya ingin menyatakan di sini, bahawa jawatan Exco tersebut amat perlu dikekalkan, sepertimana kehendak DS Presiden. Ini kerana mereka akan terus menyumbang ke arah pengukuhan PAS serta kemampuan PAS bersama PR untuk mencapai kemenangan gemilang di dalam PRU ke 13. Sehubungan itu, harapan UMNO untuk memenangi 30 kerusi DUN di Selangor akan turut terkubur apabila rakyat bertindak mencantas UMNO buat kali keduanya di Selangor. Dengan kekalahan tersebut, UMNO akan turut terkubur dengan sendirinya. Maka insyaAllah, pada waktu itu kita akan lihat bahawa yang tercantas dan yang dicantas adalah Ketua Pembangkang Selangor sendiri. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan