:: cina islam | 2011 :: |
- Akibat karikatur : Kelantan haramkan Utusan Malaysia
- Mohamad Sabu hadir pelancaran LL4G malam ini
- Perubahan agak besar di Perhubungan PAS Kelantan
- P'raya masjid: Nama Agong diheret, kata Aziz Bari
- Murtad fenomena yang tidak mengejutkan
- Anak Najib, Nooryana Najwa bertunang warga Kazakh
- Nik Azizi : Tiada Pas tanpa nama Islam
- Pengharapan..
- Utusan Biadab, Hina syariat Islam.
- Minyak Zaitun Mampu Kurangkan Risiko Angin Ahmar
- Felda : Untung RM 1 Bilion Tapi Hutang RM 6 Bilion
- Permohonan semakan MP Sg.Siput Didengar 7 Julai Ini
- Ki-moon dapat sokongan PBB untuk penggal kedua
- 28 terbunuh, bas bertembung di Sudan Selatan
- Qari Negeri Sembilan, qariah Johor juara
Akibat karikatur : Kelantan haramkan Utusan Malaysia Posted: 17 Jun 2011 11:58 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - KOTA BAHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta. Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadzli Shaari berkata, keputusan itu dibuat berikutan penyiaran karikatur yang disifatkan menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina, yang disiarkan dalam akhbar berkenaan. Katanya, surat rasmi oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Urusetia DUN akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai perkara itu. "Tindakan itu akan berterusan sehinggalah pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara rasmi atau menarik balik penyiaran karikatur berhubung isu itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Semalam, Pas melancarkan kempen 'Boikot Utusan Malaysia' kerana mendakwa akhbar itu menghina agama Islam menerusi karikatur yang disiarkan pada Rabu lepas. |
Mohamad Sabu hadir pelancaran LL4G malam ini Posted: 17 Jun 2011 11:36 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - Ismail Hashim. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan akan hadir dalam Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang diadakan malam ini di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, dekat sini. Sebagai salah seorang pemidato dalam majlis itu, beliau akan berada sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal melancarkan program itu bermula jam 8.00 malam. "Ya, saya akan hadir dalam majlis itu," katanya. Ketika ditanya harapannya kepada rakyat Malaysia, beliau berkata, semua anggota masyarakat perlu bangkit menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku termasuk dalam negara ini. Terdapat tiga lagi ucapan selain dari beliau yang mewakili Pakatan Rakyat, Pengerusi LL4G, Noorazman, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan Najib. Selain pidato, hadirin akan melihat persembahan multimedia mengenai apa yang berlaku dalam Flotilla 1, persembahan lagu Gaza dan deklamasi sajak Palestin oleh Dr Lim Swee Tin. Penyanyi nasyid, Muadz Dzulkifley juga akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu bersemangat termasuk adaptasi daripada Hadis Nabi Muhammad SAW. Menghimbau sejarah pada 8 Mei 2002, dua pemimpin utama Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor pernah berada sepentas berbicara tentang isu sama, Palestin. Pertemuan dua pemimpin utama umat Islam negara ini telah menghasilkan Pernyataan Bersama berbunyi: "Atas semangat kemanusiaan dan keamanan sejagat, kami atas nama rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan keturunan serta fahaman politik yang berbeza-beza, berkongsi rasa, cita dan perjuangan dengan seluruh rakyat Palestin yang mempertahankan hak di bumi kelahiran mereka. "Kami menggesa seluruh warga dunia agar turut serta menyuarakan dan memberikan sumbangan dalam bentuk apa sahaja sehingga rakyat Palestin dapat hidup dengan aman dan damai di negara yang berdaulat''. Sementara itu, AJK Pemandu LL4G Malaysia, Zulkefli Mohd Nani dalam kenyataannya berkata, penentangan terhadap kezaliman Israel menuntut kesanggupan semua rakyat negara ini tanpa mengira ras, agama dan budaya. Menurutnya, LL4G adalah sebuah gabungan badan bukan kerajaan Malaysia, akan menyertai bersama lebih 600 sukarelawan antarabangsa dari pelbagai bangsa dan agama, dalam Misi Kemanusiaan "International Freedom Flotilla 11" ke Gaza hujung bulan ini. Menurutnya, kesemua kapal antarabangsa ini dijangka berada di lautan pada 27 atau 28 Jun ini. "Misi Pelayaran Kemanusiaan ini bakal disertai oleh 13 buah kapal antarabangsa; 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo, akan belayar bersama menghantar bantuan kemanusiaan. "Sekali gus memberi tekanan supaya Israel menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin. "Bertemakan Pertahankan Kemanusiaan atau Stay Human, misi ini bergerak berdasarkan prinsip-prinsip keamanan dan mematuhi seluruh undang-undang antarabangsa termasuk semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," jelasnya. Zulkefli turut memaklumkan misi ini akan membawa bersama bantuan kemanusiaan seperti peralatan hospital yang amat diperlukan oleh penduduk di Gaza, bahan-bahan pendidikan untuk kanak-kanak serta barangan pembinaan asas yang diperlukan dalam pembinaan semula bangunan. Justeru, beliau berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan menaja pembelian peralatan yang diperlukan, boleh melalui akaun Muslim Care (Viva Palestin: 564490211159 (Maybank). |
Perubahan agak besar di Perhubungan PAS Kelantan Posted: 17 Jun 2011 11:30 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - KOTA BHARU, 18 Jun: Badan Perhubungan PAS Kelantan hari ini membuat rombakan agak besar dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti. Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim. Manakala bendahari - Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad menggantikan Datuk Anuar Tan Abdullah. Selain itu Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri menampilkan sarjana lulusan Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof. Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun. Pengumuman mengenai perubahan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan media di Pejabat PAS Negeri hari ini. Bagaimanapun beberapa jawatan utama lain tidak berlaku sebarang perubahan. Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Abdullah. Begitu juga jawatan Ketua Penerangan tidak berubah, Dr Mohamad Fadzli Hassan selepas dilantik tahun lepas. Selain itu Setiausaha Kerja Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mohd Zain dilantik sebagai Penolong Setiausaha II menggantikan Mohd Ridha Mohd Zain. Penolong Setiausaha I, Mohd Nasir Che Daud kekal. Pelantikan tersebut bagi tempoh 2011/2013 dibuat berdasar kepada Fasal 40 (5), Fasal 40 (3) (m) dan Fasal 79 (3) Perlembagaan PAS pindaan 2011. Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri kali pertama selepas muktamar itu juga melantik tujuh ahli jawatankuasa baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Takiyuddin Hassan (Exco), Datuk Anuar Tan (Exco), Hisham Fauzi (peguam), Senator Mumtaz Mohd Nawi, Hussin Embong (AJK PAS Gua Musang) dan Datuk Dr Johari Mat (ahli akademik). Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat setiausaha, bendahari dan pengarah jabatan pilihan raya sebelum ini. Sementara itu Zulkifli berkata, beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi melaksanakan tugas baru di Perhubungan PAS Negeri. "Tugas ini suatu yang berat tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak tentunya ia sukar untuk dilaksanakan. "Insya Allah saya akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Setiausaha Perhubungan sebelum ini. Kalau ada perubahan bakal dibuat ia hanya berdasar kepada kehendak semasa," ujarnya. Beliau juga merakam ucapan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh Pesuruhjaya bagi melaksanakan tugas yang begitu mencabar itu. Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan.HD/- Ulasan : Tahniah kepada yang terlantik dan penghargaan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan jawatan yang disandang untuk sesi yang lepas, semuga ianya memberi kekuatan kepada PAS Kelantan bagi mengekalkan kemenangan yang diperoleh sejak tahun 1990 itu. |
P'raya masjid: Nama Agong diheret, kata Aziz Bari Posted: 17 Jun 2011 11:24 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - Meskipun mengakui Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam hal-hal berkaitan agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja-raja Melayu, namun pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari mempertikaikan cara nama Seri Paduka diheret setiap kali bagi membidas dasar-dasar kerajaan negeri Pulau Pinang. "Hanya selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih Pulau Pinang, tiba-tiba peranan Agong menjadi tokoh yang signifikan. "Nama Baginda digunakan bagi menghalang sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu kepada Malaysiakini. Abdul Aziz berkata prosedur atau peraturan yang betul mengikut perlembagaan adalah bagi pihak Istana Negara atau setiausaha sulit Yang di-Pertuan Agong bagi mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya sebagai ketua agama dan bukannya oleh pihak-pihak yang lain. "Pastinya bukan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan. "Jadi beliau harus diam. Biarkan Baginda melaksanakan tanggungjawab yang diperuntukkan oleh perlembagaan - bebas daripada kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri," kata Abdul Aziz. Beliau juga membidas dakwaan 'mengarut' oleh kumpulan pendesak Melayu, PERKASA yang berkata adalah salah bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid diadakan. "Pertama, tidak ada fatwa mengatakan pemilihan itu adalah haram mengikut Islam," katanya.Fatwa Lagipun menurut profesor itu lagi, umat Islam, sama ada dari Umno, PAS dan PKR, semuanya pernah terbabit dalam pemilihan parti masing-masing. "Jika ini tidak mengikut Islam, majlis fatwa sepatutnya mengeluarkan hukum berhubung perkara itu," katanya. Semalam, hasrat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid bagi sesi 2012-2013 dengan kaedah pilihan raya terpaksa dibatalkan. Keputusan itu dibuat di Istana Negara di Kuala Lumpur apabila Yang di-Pertua Negri Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Mesyuarat agung masjid-masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan hari ini dan esok itu sepatutnya memilih jawatankuasa kariah di 151 daripada 200 masjid tetapi kini ditangguhkan sehingga notis lanjut. Pemilihan ala pilihan raya yang dicadangkan itu bagi membolehkan anak kariah mengundi secara sulit untuk memilih pemimpin kariah yang sebelum ini dipilih oleh MAIPP. Bantahan pelbagai pihak yang didalangi Umno begitu lantang kerana gusar pilihan raya kariah masjid akan menghakis sokongan kepada parti itu yang kini gagal menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang setelah ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008. Umno mendakwa pemilihan secara demokrasi itu akan hanya membawa perpecahan di kalangan umat Islam selain mengheret masjid ke kancah politik kepartian. Malaysiakini/- Ulasan : Kebimbangan UMNO yang memuncak dengan peluang untuk mengambil kembali Pulau Pinang semakin pudar dan hancur maka mereka sanggup melakukan apa saja termasuk pergunakan kuasa ketiga. Semuga rakyat Pulau Pinang terus menolak politik kotor yang sekian lama diamalkan oleh BN setelah mereka kehilangan kuasa pada tahun 2008. |
Murtad fenomena yang tidak mengejutkan Posted: 17 Jun 2011 10:06 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - Kenyataan Media MAPIM MAPIM berpandangan adalah tidak mengejutkan gejala murtad kelihatan agak tinggi seperti yang didedahkan oleh pihak Menteri Ehwal Islam JPM jika masyarakat melihat pelbagai faktor yang menyumbang kepada gejala tersebut. Jika dilihat faktor yang berkaitan dengan budaya hidup , status sosio-ekonomi , persekitaran masyarakat , isu kekeluargaan , kegagalan pendidikan Islam yang berkesan semada secara formal mahupun tidak formal serta kegiatan da'wah serta khidmat dari pihak berkuasa berkaitan dengan urusan mualaf yang tidak berkesan, adanyanya usaha terang-terangan mahupun secara halus mempengaruhi agar orang Islam keluar dari Islam , semua ini menyumbang kepada pemurtadan di negara ini. Faktor sosio-ekonomi sering menyebabkan golongan mualaf mahupun orang Melayu Islam tertekan dengan kesempitan kehidupan dan dengan itu terdedah kepada pujukan yang akhirnya murtad. Menjadi jalan terakhir bagi seorang Islam bila keadaan hidup yang terdesak berakhir dengan pilihan untuk keluar dari Islam tertutama bila pendidikan dan penghayatan Islamnya amat rendah. Demikian juga dengan masalah tekanan keluarga yang tidak mampu diatasi oleh penganut Islam yang baru. Ditambah dengan tidak ada yang dapat didekati untuk mendapatkan kaunseling , seorang mualaf terdedah dengan pengaruh dan tekanan dari keluarga , akhirnya memilih untuk murtad. MAPIM juga berpendapat bahawa terdapat persekitaran masyarakat yang juga tidak menyokong untuk seorang mualaf dapat hidup sebagai seorang Muslim yang terbela. Ujudnya ketidakpedulian masyarakat terhadap mualaf telah menyebabkan mereka merasa tersisih dan tidak diperhatikan. Sementara itu berlaku juga kesulitan yang dihadapi oleh mualaf untuk mendapat bantuan dan berurusan dengan pihak berkuasa agama. Sering kerumitan yang dihadapi menyebabkan seorang mualaf hilang keyakinan dan harapan untuk mendapat pembelaan sehingga mereka membuat keputusan untuk kembali kepada agama asal. |
Anak Najib, Nooryana Najwa bertunang warga Kazakh Posted: 17 Jun 2011 06:34 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - Anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor - Nooryana Najwa secara rasmi bertunang dengan seorang pembesar kerajaan , Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam. Hanya media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan. Menurut Bernama majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara. Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah. Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya. "Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi," kata pemimpin PAS itu. Sebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Kazakh Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu. Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu. Jemputan khas sahaja |
Nik Azizi : Tiada Pas tanpa nama Islam Posted: 17 Jun 2011 06:33 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - KOTA BHARU - Apa guna Pas tanpa nama Islam! Demikian tegas Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), ketika menjawab cabaran sesetengah pihak supaya menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu. Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas diwujudkan untuk memperjuangkan agama Islam dan adalah suatu perkara mustahil untuk menggugurkan nama dan asas perjuangan yang dipegangnya selama ini. "Mana boleh gugur perkataan Islam, kalau gugur Islam tiada parti Pas, Melayu lebih Melayu kerana Islam, tetapi UMNO tolak Islam, khianat kepada agama dan bangsa sendiri," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaatnya di Dataran Ilmu di sini, semalam. Sebelum ini, pelbagai pihak mencabar Pas menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain. Sinar/- Antaranya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi yang menjelaskan ia perlu dilakukan kerana Pas sendiri yang memberi alasan ramai orang bukan Islam keliru dan takut apabila disebut negara Islam sehingga menyebabkan parti itu menukar dasarnya kepada negara berkebajikan. Isu itu timbul apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu, dua minggu lalu, mengumumkan parti itu akan menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan, sekali gus menimbulkan tanggapan parti itu menukar dasarnya. Dalam pada itu, Nik Aziz menggunakan kesempatan pada kuliah Jumaat kelmarin, untuk menerangkan isu 'negara berkebajikan' yang diperjuangkannya kini dan dilihat sebagai salah satu usaha bagi mengelak ahlinya keliru dengan slogan tersebut. Menurutnya, konsep negara berkebajikan bukan bermakna Pas mengubah dasar perjuangannya, sebaliknya ia adalah satu daripada program parti yang juga selaras dengan perjuangan ajaran Islam. Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu gusar dengan slogan baru itu walaupun mendakwa mempunyai persamaan, tetapi inti pati yang dibawa Pas cukup berbeza. "Buat apa nak takut, macam orang jual nasi kerabu, kalau nasi kerabu kamu lebih sedap orang akan beli, tidak perlu takut, tetapi kalau takut itu bermakna apa yang kamu jual itu tidak bernilai," katanya. |
Posted: 17 Jun 2011 04:52 PM PDT "Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran" (QS. Al Baqarah: 186). Tidak ada masa depan kecuali mempunyai harapan, kata orang bijak. Kenyataannya memang demikian. Harapan seringkali menambah semangat hidup dan fokus untuk meraih sesuatu yang diharapkan. Orang-orang yang rela mengorbankan waktunya untuk bangun tengah malam di saat banyak manusia terlelap, lalu berwudhuk dan melaksanakan shalat tahajjud serta mengadu nasibnya kepada Allah, juga karena memiliki harapan. Tentunya banyak harapan yang akan diraih di saat demikian. Termasuk di antaranya, harapan mendapat perlindungan Allah dari segala bahaya, memperoleh jalan keluar dari berbagai permasalahan hidup yang kadangkala begitu dahsyat menantang, dan harapan-harapan kebaikan lainnya. Bagi orang-orang seperti ini, yang ditunggu pasti ada. Dan Allah berjanji tidak akan menyia-nyiakan permintaan hamba-hambaNya yang ikhlas. Dalam berbagai firmanNya, Allah pun telah berjanji untuk mengabulkan doa, antara lain, "Berdoalah kepadaKu, niscaya Aku kabulkan doamu" (QS. Al Mukmin: 60). Namun, penting bagi diterimanya doa adalah taat dan baik perilakunya. Dengan demikian, orang-orang yang senantiasa menjaga dirinya dengan perilaku-perilaku yang baik sama dengan menjaga harapan-harapannya agar dipenuhi oleh Allah. Sebaliknya, orang-orang yang gemar dalam kemungkaran dan sombong adalah orang-orang yang sesungguhnya tak memiliki harapan. Karena itu, sangat aneh bila orang-orang seperti ini dipilih sebagai para pemimpin yang akan mewujudkan harapan masyarakat. |
Utusan Biadab, Hina syariat Islam. Posted: 17 Jun 2011 04:50 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - IPOH, 17 Jun, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini mengecam karikatur terbaru yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia berjudul "Kekeliruan Kes Rogol" pada 15 Jun lalu yang disifatkan menghina syariat Islam. Beliau kesal atas karikatur sebegitu yang dianggap langsung tidak bertanggungjawab dan menidakkan sensitiviti masyarakat beragama Islam di Malaysia. Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol. Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video. Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti. Penyiaran karikatur itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada 2 pihak berkuasa berbeza jelas mempersendakan golongan ulama dan Islam. Beliau berkata, "Kartun sebegini jelas mempunyai niat jahat untuk memperlekeh pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam. Unsur-unsur sebeginilah yang membawa kepada perpecahan umat. Bertentangan dengan objektif media itu sendiri sebagai alat perpaduan." Ujar beliau lagi, "Pihak Utusan Malaysia seharusnya jelas dalam membicarakan soal ini. Zina dan rogol, adalah dua perbuatan yang mempunyai definisi berbeza. Justeru, mempunyai pemberat serta pertimbangan berbeza dalam soal hukum. Karikatur sebegini boleh mencetuskan salah faham kepada Islam malah mempersenda aspek sistem keadilan di dalam Islam." Dalam pada itu, beliau meluahkan kekesalan terhadap sikap PERKASA dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dilihat seolah-olah membela Utusan Malaysia dengan mendakwa ia hanyalah sindiran terhadap golongan yang tidak memahami undang-undang Islam dan masalah persepsi individu. Tindakan Utusan Malaysia ini turut dikecam oleh Persatuan Ulama Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Selain itu, Mursyidul Am PAS Datuk Bentara Setia Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai "Denmark Malaysia" kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam. Sehubungan dengan itu, PAS Perak menggesa pihak Utusan Malaysia menarik balik siaran karikatur ini dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia atas kebiadapannya mempersendakan perundangan Islam. |
Minyak Zaitun Mampu Kurangkan Risiko Angin Ahmar Posted: 17 Jun 2011 04:49 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - WASHINGTON 16 JUN : Warga tua yang mengambil minyak zaitun dalam pemakanan mereka didapati kurang berdepan risiko serangan angin ahmar berbanding mereka yang tidak berbuat demikian. Ia hasil penyelidikan terhadap lebih 7,000 penduduk Perancis yang disiarkan semalam di Amerika Syarikat. Penyelidik dari Institut Penyeliikan Kesihatan dan Perubatan Kebangsaan di Bordeaux, Perancis menjalankan kajian itu terhadap 7,625 orang yang berusia 65 tahun ke atas dari tiga bandar raya iaitu Bordeaux, Dijon dan Montpellier untuk tempoh selama lima tahun. Sepanjang tempoh kajian itu, hanya 148 daripada mereka diserang angin ahmar. Kajian itu diasingkan kepada beberapa kumpulan berkaitan penggunaan mereka terhadap minyak zaitun - daripada mereka yang tidak mengambilnya langsung kepada mereka yang menggunakannya untuk menyapunya pada makanan, memasak dan membuat roti. Penyelidik juga mengasingkan kumpulan itu berdasarkan berat badan, aktiviti fizikal dan amalan diet dengan mendapati kumpulan yang memakan minyak zaitun secara intensif hanya terdedah kepada 41 peratus serangan angin ahmar berbanding mereka yang tidak memakannya langsung. Penemuan itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Akedemi Neurologi Amerika. - AFP |
Felda : Untung RM 1 Bilion Tapi Hutang RM 6 Bilion Posted: 17 Jun 2011 04:46 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - KOMENTAR : Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan memberi keterangan bercanggah dan berdolak dalih ketika cuba mencanang Felda sebagai sebuah syarikat kerajaan yang mencatatkan keuntungan berlipat ganda dan kononnya tidak pernah "membebankan" peneroka-peneroka dengan pinjaman yang diambil olehnya. Bagaimanapun Ahmad mengaku di Parlimen hari ini bahawa meskipun kedudukan Felda begitu utuh, syarikat itu membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad juga menegaskan tidak ada syarikat dalam kumpulan Felda yang menanggung kerugian. Ini menurutnya adalah kerana Felda mencatat keuntungan RM1.197 bilion pada tahun lalu. Bagaimanapun Ahmad Maslan kemudian mengaku bahawa sebuah syarikat yang dibeli untuk memasuki pasaran minyak masak di Amerika Utara menanggung kerugian. Namun Ahmad menyifatkan kerugian itu fenomena biasa dalam pembelian aset di luar negara. Dalam ucapannya di parlimen itu, Ahmad mempertikaikan angka-angka yang dirujuk oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerugian terkumpul Felda sebanyak RM500 juta dari tahun 2007 hingga 2010. Sebahagian besar daripada kerugian itu dikatakan ditanggung oleh Felda Global Ventures menerusi pelaburan-pelaburan rapuh di luar negara, kata Anwar sambil memberikan contoh-contoh pelaburan yang dimaksudkan. Anwar meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing. "Saya tidak tahu dari mana ahli parlimen Permatang Pauh mendapat angka-angka ini," kata Ahmad dengan sekali lagi mencanang keuntungan RM1.197 bilion Felda tahun lalu. Anwar berkata Felda sepatutnya mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda sekiranya pengurusan lebih telus. Namun akibat pengurusan lembab, peneroka dinafikan hak untuk menikmati keuntungan lebih tinggi memandangkan harga kelapa sawit dan getah dunia melambung tinggi. Anwar menegaskan pencapaian anak syarikat Felda tidak mencerminkan aset begitu luas yang dimiliki oleh Felda serta potensi keuntungan yang bakal dicapai. Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009. Peneroka Felda dilihat sebagai "simpanan tetap" Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah. Tahun lalu, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diharamkan dan disaman kerana mendakwa Felda mungkin bankrap jika terus menanggung kerugian akibat pemborosan dan pelaburan yang tersasar. Pada hari ini Ahmad mendakwa peneroka Felda tidak pernah ditindas, namun keputusan-keputusan Mahkamah dalam beberapa saman yang difailkan oleh peneroka menunjukkan hakikat yang sebaliknya. Ribuan peneroka Felda memenangi hak untuk mendapatkan pampasan daripada Felda setelah hakim memutuskan mereka ditipu bayaran untuk hasil sawit yang diusahakan. Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang. |
Permohonan semakan MP Sg.Siput Didengar 7 Julai Ini Posted: 17 Jun 2011 04:45 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - KUALA LUMPUR 16 JUN : Permohonan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D Jeyakumar untuk mencabar keputusan kerajaan kerana didakwa gagal memberi peruntukan pembangunan bernilai RM1 juta untuk kes yang diwakilinya, akan didengar pada 7 Julai ini oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan Kuasa-kuasa Khas) di sini. Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam B.Mahaletchumi yang mewakili Jeyakumar, dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bagi pihak Peguam Negara. Pada 25 Februari lalu, Hakim Datuk Aziah Ali memberikan kebenaran kepada Jeyakumar selaku pemohon untuk memulakan tindakan tersebut setelah menolak bantahan Peguam Negara. Pada 29 Oktober tahun lalu, Jeyakumar, 52, memfailkan permohonan bagi memperoleh pengisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dbekalkan dan disediakan kepada semua ahli Parlimen secara saksama. Dalam permohonannya, Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia, menamakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden, selepas Pejabat Pengarah Pembangunan Perak menolak permohonannya mendapatkan dana untuk disumbangkan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan selain dana bagi projek kecil untuk perkampungan Orang Asli. Beliau memohon perintah supaya kesemua responden itu menjelaskan bidang kuasa masing-masing dalam mengagihkan dana daripada Peruntukan Khas Kawasan Pilihan Raya dan menyatakan prosedur pengagihan peruntukan itu sejak 2008. Sementara itu, mahkamah menetapkan 19 Julai ini untuk mendengar permohonan Pejabat Peguam Negara bagi menggantung perintah Mahkamah Tinggi pada 25 Februari lalu yang membenarkan Jeyakumar mencabar keputusan kerajaan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.TVS/- |
Ki-moon dapat sokongan PBB untuk penggal kedua Posted: 17 Jun 2011 04:40 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU 18 Jun - Majlis Keselamatan PBB semalam memberikan sokongan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon(Gambar) untuk menjawat jawatan itu buat penggal kedua. Ia merupakan langkah penting terakhir sebelum Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 192 buah negara, yang menentukan keputusan berhubung perkara tersebut. Sokongan tersebut diberikan sehari selepas ia tertangguh ekoran apa yang disifatkan oleh diplomat-diplomat PBB sebagai masalah penangguhan prosedur dan teknikal dari beberapa negara Amerika Latin. - Agensi |
28 terbunuh, bas bertembung di Sudan Selatan Posted: 17 Jun 2011 04:39 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - KAMPALA, Uganda 18 Jun - Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh apabila dua buah bas bertembung di Sudan Selatan, semalam. Jurucakap polis Uganda Utara, Johnson Kirama berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 50 kilometer dari sempadan Uganda di Selatan Sudan. Beliau berkata, 17 rakyat Uganda dan 11 warga Sudan merupakan antara mangsa terbunuh dan lebih 20 orang cedera dibawa ke sebuah hospital berdekatan sempadan berkenaan. - Agensi |
Qari Negeri Sembilan, qariah Johor juara Posted: 17 Jun 2011 04:28 PM PDT 16 Rejab 1432H. [MOD] - AMIRAHMAN bersama Suraya selepas muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Majlis Islam Sarawak, Kuching, malam tadi. KUCHING: Qari Negeri Sembilan, Amirahman Abas dan qariah Johor, Suraya Abu Hassan dinobatkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan Ke-54 di Dewan Majlis Islam Sarawak di sini, malam tadi. Johan tilawah masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM15,000 dan pakej menunaikan ibadat haji. Sementara qari Perak, Anuar Hasin dan qariah Sarawak, Roziah Ayub muncul naib johan qari dan qariah. Tempat ketiga dimenangi qari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali dan kategori qariah pula dimenangi juara bertahan, Nor Azrah Ayub. Pemenang naib johan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 bagi tempat ketiga. Pemenang sagu hati menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang. Hadiah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah. Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Seramai 15 qari dan 14 qariah memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing pada tilawah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu. Johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia. |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2011 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan