Nurul Izzah Anwar |
Andai Sultan Melaka memerintah Posted: 23 May 2011 08:36 PM PDT (diterbit di Sinar Harian, 24 Mei 2011) Menyingkap kembali sejarah saya tertanya apakah mungkin budaya politik negara dan nasib rakyat dibawah pemerintahan seorang raja yang mulia lagi beriman dan budiman? Sekiranya Sultan Melaka memerintah, mungkinkah rasuah dibenarkan sehingga sebuah istana yang bermula dengan kos RM400 juta dijangka melebihi RM1 bilion? Apa pula dengan ketirisan ekonomi berjumlah RM28 bilion setahun berterusan sehingga hanya kelompok elit yang bertambah kaya manakala rakyat jelata terus melata berkais pagi makan pagi? Kalau Sultan Melaka memerintah, mungkinkah laksamana angkatan laut akan membeli kelengkapan perang, termasuk kapal yang mampu timbul atau yang sengaja tenggelam dengan harga berpatutan tanpa komisen beratus juta ringgit kepada seorang baginda yang hanya pada nama dan bukan pada takhta? Bagaimana pula dengan perbelanjaan lain negara, adakah ia secara berhemah dan bijaksana atau boros membazir tanpa penghujung? Adakah jalan keretapi akan dibina dengan harga berlipat ganda dari biasa ibarat landasan bersalut emas? Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah hulubalang dan pahlawan penjaga keamanan akan mempertahankan rakyat atau menangkap lalu dikurung dan dipukul rakyat jelata tanpa sebab dan bicara kerana memelihara kepentingan puak tertentu. Janganlah penjaga aman cepat menahan reman rakyat yang mungkin di'Kugankan' atau di'Aminulrasyidkan' atau di'Beng Hockan' atau di'Sarbanikan' tanpa saksi, warna kulit, umur dan hayat. Adakah begitu murah dijual janji ikrar sumpah pahlawan untuk beberapa keping emas atau kepingan timah tanda gelaran disemat di dada baju? Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah rakyat dibiarkan menanggung beban hidup melampau tanpa subsidi hasil khazanah negara yang sememangnya mencukupi jika tidak diboroskan atau dikalihkan untuk projek-projek mewah maha membazir? Harga barang naik termasuk gula melaka tetapi subsidi korporat besar dikurangkan dengan begitu perlahan sehinggakan sang siput dinobatkan juara pertandingan lari merentas desa? Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah tanah jajahan Pulau Batu Putih, Blok L dan M atau sumber air mentah diserahkan tanpa sebarang suara pahlawan berteriak marah atau keris keramat dihunus berani melainkan di perhimpunan agung para lanun buat tontonan dicermin sendiri? Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah tata susila bangsa dan agama yang mencerminkan nilai-nilai murni sejagat menjadi pencorak budaya dan amalan rakyat? Adakah baginda sanggup melihat martabat qazaf direndahkan dengan hanya lafaz sumpah buat selindung fitnah mengorbankan syariah akibat kerenah tiga sekawan yang buta hukum tetapi celik konspirasi berbayar demi mengaut untung sementara duniawai tetapi mengecap kerugian kekal ukhrawi? Adakah baginda akan berjuang memperkasakan perlembagaan mensejahterakan rakyat atau berdiam saja apabila lanun politik memperkosakan janji kemerdekaan hak rakyat? Di manakah Sultan Melaka atau pemerintah Melayu yang akan membela rakyat secara jujur? Itulah dia seribu kemungkinan perjalanan sejarah yang menjadi tanda tanya kerana tidak lama lagi kita rakyat semua dapat membuat pilihan menentukan masa depan negara dan mencorak sejarah kita sendiri yang lebih baik, lebih makmur dan lebih saksama di peti undi, itupun kalau tidak dirompak lanun politik. Marilah kita belajar dari sejarah untuk mencipta sejarah lebih gemilang kerana sudah tiba masanya kita laksanakan reformasi politik secara berkesan dan menyeluruh. |
Kenyataan Media – Loji Rawatan Kumbahan Lembah Pantai Posted: 23 May 2011 08:28 PM PDT LOJI RAWATAN KUMBAHAN PANTAI 2: PANTAI 2 SEWAGE TREATMENT PLANT: TRANSPARENCY AT STAKE Saya mewakili penduduk Lembah Pantai dan Kuala Lumpur secara umumnya, mengalu-alukan usaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 bagi mengurangkan bau dan bahaya loji tersebut kepada orang ramai. Saya difahamkan Kementerian di peringkat akhir penganugerahan kerja-kerja penaiktarafan tersebut kepada kontraktor. Saya mengalu-alukan usaha mengubah loji rawatan kumbahan berdasarkan teknologi kolam terbuka kepada loji berjentera sesuai dengan pawai keselamatan terkini. Pun begitu saya juga menyeru agar wang rakyat yang besar yang dibelanjakan untuk projek ini diuruskan dengan telus. Penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 tidak terkecuali. Sebelum ini anggaran bebas meletakkan kerja-kerja penaiktarafan pada harga kira-kira RM500 juta. Justeru, saya teramatlah prihatin memandangkan dalam pengetahuan saya, tiada usaha tender terbuka dibuat bagi kerja penaiktarafan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2. Jika Kementerian sudahpun berada di peringkat akhir menganugerahkan kerja-kerja tersebut, ini bermakna projek tersebut dibuat secara rundingan terus dengan kontraktor. Apa yang membimbangkan saya ialah projek tersebut akan dianugerahkan pada nilai kontrak RM1 bilion, iaitu 100 peratus lebih mahal daripada anggaran pasaran. Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak telah pun mengumumkan kepada rakyat bahawa amalan rundingan terus akan ditamatkan. Maklumat ini membuktikan program-program transformasi yang dijaja oleh Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang makna. Apabila kita mengambilkira jumlah hutang kerajaan yang akan diwarisi oleh generasi mud anegara kita, dakwaan peningkatan kos 100 peratus ini teramatlah mendukacitakan. Dengan ini saya menyeru Menteri yang bertanggungjawab untuk menjelaskan sama ada usaha tender telah pun dibuat untuk mendapat harga terbaik untuk projek ini. Saya juga berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai projek ini untuk tampil ke hadapan dan memberikan lebih maklumat agar kita dapat menghentikan sebarang penyalahgunaan wang rakyat. Saya akan memantau secara dekat pelaksanaan projek ini untuk memastikan rakyat di Lembah Pantai dan Malaysia amnya mendapat nilai terbaik untuk wang mereka. NURUL IZZAH ANWAR AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI 24 MEI 2011 |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan