Isnin, 16 Mei 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Selamat Hari Guru

Posted: 15 May 2011 04:28 PM PDT

Perutusan Hari Guru 2011

Pada hari menyambut dan menghargai jasa guru saya terpanggil untuk menyeru agar insan bernama guru bangkit mendidik anak bangsa menjadi warga malaysia berjiwa merdeka yang sebenarnya.

Janji Pakatan Rakyat untuk menaikkan pendapatan guru sememangnya tidak akan mencukupi untuk membalas budi dan sumbangan para guru kepada pembangunan negara.

Sepertimana tradisi perguruan dalam sejarah perjuangan negara yang melahirkan tokoh-tokoh tersohor seperti Pendita Za’aba, Aminuddin Baki ‘Bapa Pendidikan Malaysia’, dan juga Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah yang merupakan Penyelia Sekolah-sekolah Melayu Negeri Selangor yang pertama – kita tidak harus mensia-siakan jasa mereka dengan berdiam diri serta berpuas hati dengan keadaan negara kita yang semakin gelap merdekanya.

Negara kita yang masih diikat garikan dengan Akta Darurat sebuah Negara Polis yang masih belum bebas dan merdeka.

Negara kita yang terus diracuni polemik perkauman sempit dan ancaman rekaan pertembungan antara agama dan tamadun masih belum bermaruah dan merdeka.

Negara kita yang dipapakedanakan dengan amalan rasuah dan pembaziran serta ketirisan projek maha gergasi masih memerangkap rakyat dalam kemiskinan buatan pemerintah masih belum mewah dan merdeka.

Negara kita yang diconteng arangkan dengan fitnah politik lucah buat ditonton paksa oleh setiap lapisan masyarakat termasuk mata-mata si anak kecil didikan kita masih belum berakhlak dan merdeka.

Oleh demikian apabila kita semua berdepan dengan kemelut hasil manusia yang zalim dan rakus, maka menjadi wajib untuk semua termasuk guru-guru bangkit menuntut dikembalikan hak dan janji merdeka yang dipelopori angkatan guru di awal sejarah perjuangan bangsa dan negara.

Guru adalah pendidik dan patriot kepada idealisme negara merdeka.

Guru adalah pendidik dan pejuang keadilan dalam masyarakat.

Guru adalah pendidik dan penyuluh jalan ilmu menuju Malaysia yang lebih baik.

Guru adalah pendidik dan benteng utama pertahanan negara.

Pimpin dan didiklah kami, cikgu.

Selamat Hari Guru.

Tiada ulasan:

Nuffnang