Khamis, 5 Mei 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Coretan Ringkas

Posted: 05 May 2011 03:15 AM PDT

Coretan ringkas isu semasa.

1. VIDEO SEKS FITNAH TERHADAP DSAI

Bagi saya, ini merupakan bukti muktamad betapa terdesaknya UMNO. Sebuah video yang jelas bersifat lucah, diambil entah dari mana, kemungkinan besar dari Siam, ingin digunakan untuk menjatuhkan DSAI.

Pertama, orang yang menayangkan video mempunyai niat jahat kerana ditayang dihadapan wartawan dan meminta 'pemimpin pembangkang dan isterinya' (pastilah DSAI dan Wan Azizah) meletakkan jawatan, kalau tidak maka akan didedahkan kepada umum. Kalau tiada motif politik, serahkan sahaja kepada Jabatan Agama dan minta disiasat.

Kedua, jelas juga Dato T mendapat layanan istimewa. Sepatutnya ditangkap polis tetapi seperti yang dilihat semasa acara angkat sumpah mubahalah, dilindungi Polis!

Ketiga, boleh disiarkan petikan video lucah di dalam akhbar dan TV! Hebat, bila ada kepentingan politik, semua boleh!

Beginilah, semua yang kenal DSAI secara dekat telah mengatakan pelakon yang berlakon (dibawah sinaran spotlight supaya mudah dirakam) itu bukan DSAI. Termasuk Wan Azizah sendiri. Lagipun sudah ramai yang timbulkan isu perut yang boroi, misai dan janggut, rambut, pinggul dan bahu dan sebagainya.

Yang duk sibuk bab sumpah mubahalah ni pula satu hal. Ini merupakan bukti bahawa UMNO ingin rosakkan Islam, bukan mahu ikut Islam! Islam tuntut apabila tuduh seseorang berzina, bawa 4 saksi yang adil. Bukan suruh buat sumpah mubahalah yang diguna untuk kes Li'an. Kalau tidak bawa 4 saksi, maka kena hukum Qazaf dan orang yang menuduh itu diistiharkan tidak boleh diterima lagi persaksiannya!

Sekarang orang yang menuduh tidak dikenakan Qazaf dan persaksian melalui sumpah mubahalah itu dijaja merata sedangkan persaksiannya sudah tidak boleh diterima. Inilah undang-undang syariat UMNO yang sesat lagi menyesatkan.

2. KES LIWAT 2

Skrip lama hendak diguna pakai kembali - recycle. Adakah UMNO fikir rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu bodoh dan boleh ditipu lagi dan lagi dengan menggunakan skrip lama?

Soal DNA masyarakat umum sudah mengetahui bahawa ianya diambil dari DSAI semasa beliau ditahan dahulu. DNA boleh dimasukkan ke dalam sampel, tiada masalah. Itulah sebabnya, kerap sangat mencuba sampai ada 5 DNA dalam exhaust yang sama! Termasuk DNA dirinya sendiri! Ini merupakan bukti yang nyata bahawa sampel itu telah dirosakkan dan tidak boleh digunapakai. Tapi oleh kerana dianggap Melayu mudah diperbodoh, maka terus digunakan juga.

Bukti muktamad adalah pengakuan tuan punya kondo, En. Hassanuddin Nordin, bahawa pada hari itu, dia dan keluarganya berada di dalam kondo tersebut. Menurutnya lagi, si penuduh tidak masuk dalam kondonya!

3. TAWARAN MASUK BN DAN KELUAR PR

PM sudah pening kot? Adakah PAS ingin masuk BN dan keluar dari PR sedangkan semua tahu sebab musabab dia menjemput PAS masuk adalah kerana BN sudah mula karam? Kalau bukan kerana karam, mengapa hidung tak mancung, pipi tersorong?

Hakikatnya, politik perkauman adalah politik dunia ketiga. Politik dunia pertama adalah berhubung hak dan keadilan, pentadbiran dan urus kelola yang bersih dan baik. Politik UMNO politik dunia ketiga. Jijik, fitnah, lucah, zalim, perkauman dan rasuah. Maka biarkanlah UMNO karam dengan labu-labunya.

Namun, dalam pada itu ini peluang baik untuk membuktikan bahawa PAS tidak gila kuasa. Ada yang kata PAS kemaruk kuasa sehingga sanggup, kononnya gadaikan Islam untuk berkuasa dengan DAP. Hakikatnya, kalau PAS gila kuasa, sudah tentu akan bersama BN yang sedang berkuasa! Kan lagi mudah kalau kuasa adalah apa yang diutamakan!

Oleh kerana kuasa bukan matlamat utama tetapi sebaliknya perubahan dan soal mendidik rakyat berhubung politik dunia pertama dan politik Islam, maka PAS menolak jalan mudah untuk berkuasa. PAS memilih jalan yang sukar, jalan yang akan berjaya hanya apabila rakyat sedar.

4. SOAL 'AL-KITAB'

Dalam soal Al-Kitab jelas kelihatan UMNO menyerah kalah atas desakan politik. PAS sejak awal lagi sudah konsisten mengatakan bahawa ianya tiada masalah menurut syariat Islam dengan mengemukakan hujjah-hujjah yang bernas untuk menyokong pendirian tersebut. UMNO sebaliknya hari ini kata 'NO' tetapi esok tiba-tiba kata 'YES' tanpa mengemukakan hujjah atau alasan. Jelas bagi yang mahu berfikir, UMNO menentukan hukum berdasarkan kepentingan politik mereka semata-mata.

5. PILIHAN RAYA UMUM KE 13

Akhir sekali, isu PRU ke 13. Saya bersetuju dengan pandangan DSAI, bahawa ianya akan diadakan pada bulan Jun atau Julai ini. Ini rancangan BN buat masa ini tetapi sudah pasti mereka akan pantau keadaan dan suasana. Kalau pihak SB kata jangan lagi, mereka akan tangguh tetapi buat masa ini, itulah rancangan mereka.

Kearah mencapai kemenangan, BN telah berkerja keras mendaftar para pengundi di kawasan sasaran mereka. Termasuklah Shah Alam yang melihat pendaftaran 5,000 pengundi baru dalam masa 3 bulan pertama tahun ini. Hebat, hebat BN. Dalam soal menipu tiada yang boleh menafikan kehebatan UMNO, juara penipu dunia.

Namun, strategi mereka boleh dipatahkan dan saya menyeru semua rakyat Malaysia, Selangor khususnya, untuk jangan membenarkan UMNO menafikan hak tuan-tuan sekalian untuk memilih kerajaan tuan-tuan sendiri. Ke arah ini, semua perlu berkerja keras untuk memenangkan PR dengan berkempen kepada jiran, rakan taulan dan semua yang dikenali, jadikan PRU ke 13, PRU yang bersejarah di mana BN ditukarkan dengan PR di perkingkat Pusat!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Muktamar PAS Tahun 2011 – Pemilihan

Posted: 04 May 2011 10:32 PM PDT

Ada yang bertanya saya berhubung pemilihan yang akan diadakan semasa Muktamar tahun ini. Mereka bertanya, "atas dasar apa perlu kami memilih dan siapa patut kami sokong?" Saya menjawab secara umum, "pilih yang boleh menunaikan tanggungjawab yang datang bersama jawatan tersebut".

Seperti yang sering diingatkan, jawatan adalah tanggungjawab dan bukan penghormatan. Atau dalam istilah yang digunakan Ketua Pemuda PAS Pusat, 'takhlif laa tasyrif'. Ini bermakna, kita pilih seseorang itu dengan tujuan utama supaya dia memainkan sesuatu peranan, bukan sebagai pengiktirafan terhadap kehebatan dirinya. Ini adalah lebih-lebih lagi sekiranya jawatan tersebut bersifat 'eksekutif' atau untuk 'execute' iaitu melaksanakan sesuatu tugas atau peranan.

Dalam PAS, semua jawatan AJK PAS Pusat adalah bersifat 'executive'. Mungkin itu sebabnya ianya disebut sebagai Jawatankuasa KERJA PAS Pusat. Penekanan diberi kepada perkataan KERJA! Maknanya, seseorang yang dipilih untuk menyandang mana-mana jawatan dipilih kerana dipercayai dia boleh membuat kerja yang perlu dibuat oleh seseorang yang menyandang jawatan tersebut. Sekiranya kemudiannya dia didapati tidak mampu atau tidak sesuai untuk kerja berkenaan, maka dia boleh ditukar.

Ini sebenarnya semangat disebalik kata-kata 'takhlif laa tasyrif'. Sekiranya atas dasar penghormatan, atau 'tasyrif', ianya penganugerahan atas sebab kehebatan seseorang dalam bidang tertentu. Maka anugerah itu adalah atas sebab apa yang telah dan sedang dilakukan dan ianya tidak menuntut sesuatu prestasi atau perlaksanaan selain dari apa yang telah dicapai. Sebagai contoh, tokoh perniagaan untuk tahun 2011 adalah berdasarkan pencapaian seseorang peniaga pada tahun berkenaan dan walau apa sekalipun yang berlaku selepas itu, beliau yang dianugerah tokoh perniagaan 2011 tetap merupakan tokoh pada tahun tersebut, walaupun pada 2015 katakan, dia bankrupt! Dalam erti kata lain penganugerahan itu tidak mewajibkan beliau melakukan sesuatu, termasuk meneruskan prestasi cemerlang dalam perniagaan beliau.

Pemilihan atas dasar 'takhlif' pula mengambil kira kerja yang perlu dilakukan dan orang yang dianggap paling mampu untuk melakukannya. Oleh itu, dua aspek penting perlu diambil kira semasa membuat pilihan. Yang pertama kerja atau tanggung jawabnya dan yang kedua kemampuan calon-calon yang dicadangkan.

Dalam soal kerja untuk setiap jawatan, ianya dijelaskan secara umum di dalam perlembagaan. Sebagai contohnya, kerja atau tanggung jawab Presiden dinyatakan dengan jelas sebagai 5 tugas utama, iaitu, secara ringkas:

  1. Melaksana pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan
  2. Bertanggung jawab atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas JK PAS Pusat
  3. Melantik SUA, Penolong SUA, Bendahari dan lain-lain di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat JK PAS Pusat.
  4. Mengambil apa-apa jua langkah demi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli JK PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing
  5. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat JK PAS Pusat dan Jk Harian PAS Pusat.
Adalah jelas dari yang di atas bahawa jawatan Presiden menuntut peranan tertentu dan bukan sekadar anugerah atas kehebatan atau ketokohan seseorang. Ianya adalah jawatan yang bersifat eksekutif atau untuk membuat kerja tertentu.

Begitu juga semua jawatan yang terdapat di dalam JK PAS Pusat!

Setelah dipilih maka prestasi mereka yang dipilih dipantau selama tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apa-apa kekurangan dan kelebihan perlu disuarakan dengan ikhlas dan terbuka dalam muktamar tahunan atau apa-apa program muhasabah parti yang diadakan. Teguran dan kritikan ini tidak wajar dianggap sebagai bersifat tidak hormat atau tidak wala' kerana seperti yang dijelaskan, mereka dipilih untuk melaksanakan sesuatu tugas, bukan sebagai penganugerahan sesuatu penghormatan atau darjat. Maka sekiranya perwakilan beranggapan tugas tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh mana-mana pemimpin, maka perwakilan berhak untuk menegurnya.

Sekiranya selepas segala teguran dan nasihat, prestasi tidak berubah atau tidak mampu ditingkatkan, maka pada Muktamar tahun kedua, pejawat-pejawat yang tidak menyerlah dan tidak berprestasi baik boleh ditukar. Pengguguran dari jawatan tidak bererti seseorang itu tidak baik, tidak mantap imannya atau kurang 'alim, tetapi hanya bererti bahawa dia tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

Inilah sebabnya mengapa pilihan tidak wajar dilakukan semata-mata atas dasar menghormati ketokohan seseorang tanpa mengambil kira kemampuannya untuk memainkan peranan seperti yang diperlukan bagi jawatan tersebut. Sekiranya dia tidak berprestasi dengan baik, maka dia tidak akan ditukar atau ditegur disebabkan dia dipilih atas sebab ketokohan tertentu yang tetap dimilikkinya. Ketokohan seorang pemidato, ulama', professional atau penulis tidak hilang di atas sebab dia bukan seorang pelaksana (executive) yang baik. Ketokohan tersebut tetap kekal pada dirinya tetapi dia tidak merupakan orang yang sesuai untuk jawatan pelaksana yang diinginkan dan diperlukan parti.

Orang yang dipilih dibebankan dengan tanggungjawab yang berat dan oleh itu, tidak wajar kita menzalimi seseorang yang kita tahu tidak mampu tetapi oleh kerana suka dan hormat, kita meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahunya. Itu bukan 'suka' atau 'hormat' pada seseorang. Sebaliknya ianya sesuatu penganiayaan. Namun, lebih zalim lagi, setelah kita membebannya dengan tanggungjawab sebegitu berat, kita tidak pula membantunya.

Oleh itu saya menyeru kepada semua yang akan ke Muktamar PAS tahun ini untuk memahami apa yang kita lakukan semasa kita membuat pilihan. Semoga pilihan itu adalah yang terbaik bagi jawatan berkenaan dengan kita memberikan amanah itu kepada yang ahli padanya atau yang mampu melaksanakannya. Kedua saya menyeru semua untuk menerima keputusan Muktamar dengan hati terbuka dan siapa sahaja yang terpilih, mereka hendaklah diberi sokongan yang padu dan tidak berbelah-bagi. Namun sekiranya walaupun dengan sokongan ini ada yang gagal menunjukkan prestasi yang diinginkan, maka ditukarnya selepas 2 tahun!

Selamat bermesyuarat Agung Tahunan dan seterusnya bermuktamar.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang