Jumaat, 20 Mei 2011

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud


SPR bantu jangka hayat Kerajaan BN

Posted: 20 May 2011 05:20 AM PDT

PAS menyifatkan langkah SPR untuk melaksanakan pengundian awal (advance voting) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti sebagai langkah bagi memenuhi hasrat Kerajaan BN untuk terus memerintah.
 
Perlaksanaan langkah tersebut ternyata bukan langkah pembaikan bagi sistem pilihanraya di tanah air, tetapi merupakan langkah berundur ke belakang, lebih tidak telus dan penuh dengan kekeliruan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan, realiti itu terserlah apabila ia akan dilaksanakan oleh SPR tanpa menjemput wakil-wakil parti pembangkang utama, khususnya Pakatan Rakyat, bagi membincangkannya terlebih dahulu. 

Menurut beliau, tindakan SPR itu menjadikan langkah tersebut penuh dengan tanda tanya dan kekeliruan kerana tidak dapat dipastikan siapakah golongan yang terbabit dengan undi awal.

Sebaliknya, katanya, sekiranya wakil-wakil Pakatan Rakyat dijemput untuk membincangkan perkara itu, pelbagai pandangan boleh diberikan bagi menjadikan langkah pembaikan pengundian yang hendak dilaksanakan oleh SPR benar-benar praktikal dan telus.

"Tetapi ini tidak berlaku, SPR tak pun menjemput kami. Ia akan dilaksanakan tanpa diberikan penjelasannya kepada kita tentang perkara itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini, mengenai langkah SPR untuk melaksanakan undi awal (advance voting) pada PRU Ke-13 sebagai langkah yang dikatakan pembaikan bagi sistem pengundian di tanah air.

Menerusi langkah itu seperti yang dilaporkan, pengundi-pengundi terbabit akan mengundi satu atau dua hari lebih awal dari hari pengundian, manakala kertas-kertas undi mereka itu akan dimasukkan ke dalam beg, disimpan dan dibilang bersama pada hari pengundian sebenar.

Menurut Mustafa, langkah tebaru SPR itu ternyata amat terbuka kepada penyelewengan, lebih-lebih lagi sehingga kini sudah dapat dikesan terdapat para pegawai SPR sendiri yang menyeleweng dalam melaksanakan tugasnya dengan memberikan kerjasama kepada Umno BN bagi memenangkan parti itu dalam pilihanraya. 

"Sedangkan untuk mengelakkan penyelewengan, kertas-kertas undi itu sepatutnya akan dibilang terus di tempat mengundi dengan disaksikan poling agen dan caunting agen, disimpan dan disekalikan pada hari itu dengan menggunakan Borang 14.

"Dengan cara itu, langkah tersebut akan lebih bermakna, berbanding yang akan dilakukan oleh SPR itu yang sememangnya terdedah dengan pelbagai penyelewengan," katanya.
  
Sekiranya wakil-wakil Pakatan Rakyat dijemput oleh SPR untuk membincangkan perkara itu sebelum dilaksanakan, katanya, itulah antara imput yang akan diberikan kerana itulah kaedah yang sepatutnya dilakukan. 

Menurutnya, penyelewengan yang akan berlaku menerusi langkah itu sudah tidak boleh dinafikan lagi, memandangkan pada masa lalu sudah terdapat bukti-bukti pegawai-pegawai SPR sendiri yang berkerjasama dengan Umno, BN dan KDN berhubung dengannya, termasuk berkaitan pendaftaran pemilih.

"Malah saya sendiri mempunyai bukti dan maklumat jelas mengenai mereka yang terbabit, tetapi saya tidak mahu dedahkan lagi pada hari ini," katanya.

Dengan perlaksanaan undi awal itu, beliau menjelaskan, di negara kita kini terdapat tiga jenis pengundian iaitu pengundian biasa di pusat-pusat pengundian berdasarkan senarai nama pemilih berdaftar dan undi pos yang melibatkan tentera, polis dan kakitangan awam yang bertugas di hutan atau di kawasan pendalaman.  
 
Undi pos sendiri, tegas beliau, sememangnya penuh dengan kekeliruan dan penyelewengan yang masih gagal diatasi oleh SPR sehingga kini.

Katanya, walaupun telah diberikan pelbagai pandangan oleh Pakatan Rakyat untuk diperbaiki, tetapi ia tetap gagal diatasi oleh SPR akibat salah guna kuasa para pemimpin Umno BN dengan kerjasama pegawai-pegawai SPR.

"Begitu juga dengan senarai nama-nama pengundi khususnya pengundi-pengundi baru. Ia juga penuh dengan penyelewengan akibat salah guna kuasa para pemimpin Umno BN dengan kerjasama pegawai-pegawai SPR, KDN dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Jadi sekarang dengan adanya pula undi awal atau 'advance voting' ini, penyelewengan pasti akan tambah menjadi-jadi dalam pengundian di negara kita yang semuanya itu dilakukan bagi memenuhi hasrat Kerajaan BN yang memerintah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar SPR memanggil wakil-wakil parti utama untuk membincangkan mengenainya terlebih dahulu sebelum melaksanakannya pada PRU Ke-13 nanti. 

Tiada ulasan:

Nuffnang