PARLIMEN BUKIT GANTANG |
Pilihanraya Sarawak: Kerusi PAS hampir selesai Posted: 18 Mar 2011 07:16 AM PDT oleh Nazri Abdullah. KUALA LUMPUR, 18 Mac: Pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak kini berada di tahap akhir, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Beliau yang kini berada di Kuching ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pembahagian kerusi khususnya untuk PAS, hampir selesai. "Masih dalam perbincangan dan PAS sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi. PAS tidak banyak yang bertindih, cuma sekarang perbincangan peringkat akhir," katanya yang hadir ke sana atas tujuan itu. Katanya, kesemua urusan pembahagian itu akan selesai dalam masa terdekat memandangkan spekulasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubar bertiup kencang. Apatah lagi semalam berlaku pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri. Ada pihak mendakwa dalam pertemuan itu Abdul Taib telah menyatakan hasrat pembubaran Dun kepada Yang Dipertua Negeri. Spekulasi itu turut mendakwa Dun Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini dan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon. Ianya diperkuatkan lagi dengan lawatan serentak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri Bumi Kenyalang itu pada Sabtu ini yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri. Mengulas mood rakyat Sarawak ketika ini, Nasharuddin yang sebelum ini hadir melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Miri berkata, rata-rata mereka mahukan perubahan. "Mereka seperti menanti kehadiran pilihan raya negeri ini. Kita dapat dengan dari perbualan-perbualan mereka. "Sokongan kepada Pakatan Rakyat saya kira Alhamdulillah baik, malah pada pelancaran DHPP sebelum ini juga turut disertai suku kaum Dayak," katanya lagi. Beliau turut memaklumkan, PAS telah pun memulakan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan ditandingi mereka sejak beberapa bulan lalu. Media pro-Umno semalam menggambarkan wujud perpecahan teruk dalam parti komponen Pakatan Rakyat ekoran 'perebutan' kerusi yang bakal ditandingi. Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semalam berkata, proses tawar-menawar antara parti kompenen itu adalah biasa namun yakin proses itu akan diselesaikan dengan segera. |
Dun Perak: Jika sah, kenapa perlu dikawal ketat Posted: 18 Mar 2011 06:47 AM PDT KUALA LUMPUR 18 Mac: Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada campur tangan polis. Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diperlukan ekoran setiap kali berlangsungnya sidang Dun di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat. Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK). "Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami. "Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan," katanya yang dilapor TV Selangor. Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas. "Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab," katanya. Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil. Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April nanti. |
You are subscribed to email updates from PARLIMEN BUKIT GANTANG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan