Khalid Samad |
Menjelang Muktamar Pas Dan Pemilihan Tahun Ini Posted: 24 Aug 2013 11:31 PM PDT Sudah lama saya tidak menulis. Sepanjang Ramadhan saya hanya meletakkan tulisan orang lain serta beberapa video ucapan saya untuk tatapan pengunjung. Saya sedar ada banyak yang diperkatakan tentang saya, oleh mereka yang ingin 'menyelamatkan PAS' dan 'menyelamatkan Presiden' (kononnya) tetapi saya memilih untuk mendiamkan diri, buat seketika. Biarlah bulan Ramadhan diisi oleh usaha mentarbiyyahkan jiwa dan menundukkan nafsu. Bagi mereka yang merasakan diri mereka dijamin syurga, biarlah mereka teruskan dengan kerja memfitnah dan menabur dusta. Itu 'hak' mereka untuk menempah kemurkaan Allah sambil manusia lain berusaha mencari keredhaanNya. Ada yang kata, "mereka tidak pun menyebut nama kamu...". Adakah mereka anggap Allah tidak tahu siapa yang mereka maksudkan apabila mereka menaburkan fitnah dan tuduhan tersebut kepada hadirin dan hadirat yang tidak tahu hujung pangkal? Juga budaya baru dari yang ingin 'menyelamatkan PAS' dan 'menyelamatkan Presiden' (kononnya). Alhamdulillah diucapkan. Semoga dusta dan nista mereka menambahkan lagi pahala sepanjang Ramadhan. Apa lagi boleh dilakukan? Sudah dinasihati tetapi tidak mahu mendengar. Kedegilan manusia yang inginkan dosa sedangkan Allah dan RasulNya menyeru kepada kebajikan dan keampunan. Saya yakin mereka ini samada merupakan agen UMNO dalam PAS atau telah termakan dengan propaganda UMNO sehingga menganggap 'PAS dan Presiden perlu diselamatkan'. Sedangkan kedua-duanya tidak menghadapi sebarang ancaman. Sepertimana juga melayu tidak diancam oleh PR. Taktik pembohongan sama yang diguna-pakai. Mungkin dari penasihat yang sama? Pada pertengahan bulan Syawal ini biarlah saya pula membuka cerita. Merongkai kembali segala fitnah yang ditabur oleh mereka sehingga akhir Ramadhan. Tidak, bukan untuk membela diri tetapi untuk melepaskan mereka yang tertipu supaya tidak menjadi pemanjang lidah fitnah dan dusta. Sama ada sedar atau tidak, sebenarnya fitnah ini semua ada kena-mengena dengan pemilihan muktamar yang bakal tiba. Dan ada juga kena mengena yang rapat dengan hala-tuju yang ingin dibawa golongan yang ingin 'menyelamatkan PAS dan menyelamatkan Presiden' (kononnya). Ada yang tidak senang dengan sikap saya mempertahankan Pakatan Rakyat walau dalam apa jua keadaan. Apa jua yang saya katakan, ianya untuk membela dan mempertahankan PR. Sehingga sanggup menyanggah semua tindakan, termasuk yang melibatkan PAS, yang boleh menjejas hubungan PAS dan PR. Apa boleh buat? Bukankah keputusan muktamar empat kali berturut-turut adalah untuk mengukuhkan PR? Respon saya terhadap tuduhan mereka akan saya kemukakan dalam 4 bahagian seperti berikut: 1. Senarai fitnah yang dilemparkan terhadap saya dan jawapan ringkas terhadapnya. 2. Menjelaskan maksud 'khianat' kerana ada yang masih tidak faham maksudnya. 3. Perancangan golongan yang ingin 'menyelamatkan PAS dan Presiden', (kononnya). 4. Perbincangan dengan seorang pimpinan UMNO berhubung PRU ke 14 semasa berhari raya. BAHAGIAN PERTAMA: FITNAH YANG DILEMPARKAN TERHADAP SAYA Oleh kerana ketegasan saya mempertahankan kerjasama dalam PR maka saya sering dijadikan sasaran. Ini sesuatu yang pelik memandangkan kerjasama PR adalah keputusan muktamar sendiri! Kali pertama saya dilanda fitnah adalah selepas PRU 2008 apabila usaha untuk gagalkan PR melalui kaedah mencetuskan perbalahan dengan DAP khususnya telah saya dan beberapa sahabat lain gagalkan. Akhirnya kami digelar 'Kumpulan Erdogan', 'Anwarinas', 'Parasit' dan lain lagi oleh golongan yang ingin gagalkan PR dan berdamping dengan UMNO. Kali ini, hasil dari pertembungan di Kota Damansara, yang tidak diketahui atau dirujuk kepada pihak Negeri Selangor, maka saya dituduh 'lebih PKR dari PAS', 'telah menjatuhkan Almarhum Hassan Shukri', 'mahu jatuhkan Presiden', 'mahu jatuhkan ulama', 'tidak wala' dan thiqah' dan sebagainya! Ditambah pula dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam kes pertama yang diulang tayang oleh kumpulan baru pula. Adakah mereka 'pewaris Hassan Ali'? Sedangkan keputusan bertanding di Kota Damansara, bagi saya, merupakan tindakan mungkir janji yang tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti Islam. Janji telah dibuat oleh PAS Negeri dan PAS Pusat sepertimana dijelaskan oleh Mustapha Ali sendiri selaku wakil PAS dalam perundingan kerusi di peringkat Pusat. Pandangan saya untuk mengingatkan pimpinan akan janji kita bersama serta kerugian yang terhasil dilihat sebagai tindakan ingin 'menjatuhkan Presiden' walaupun tiada sebarang kecaman terhadap Presiden telah saya lakukan dalam tulisan saya. Dan kemenangan calon UMNO di KD dipandang sebagai 'tidak mengapa'. Seterusnya dilebarkan lagi fitnah terhadap saya dengan menuduh saya ingin jatuhkan kepimpinan ulama'. Ekoran dari itu maka telah disebarkan beberapa 'poster' melalui FB khususnya, yang mengandungi tuduhan dan fitnah yang perlu saya jawab secara ringkas. Mereka yang membuat 'poster' ini tahu ianya tidak benar dan adalah fitnah. Bagi mereka balasan atas kerja-tangan mereka. Yang memanjangkannya pula mungkin tidak tahu ianya fitnah dan penjelasan ini adalah untuk mereka ini, supaya mereka tidak menempah dosa tanpa disedari. Poster fitnah yang disebar-luas melalui FB tertentu. a) "Saya akan masuk PKR jika MB Selangor bukan dari PKR". Ini kononnya yang saya kata untuk mengugut pimpinan PAS, khususnya Presiden, supaya TSKI kekal sebagai MB Selangor selepas PRU ke-13. Sedangkan Presiden sendiri telah mengarahkan sedemikian melalui panggilan telefon kepada PJ PAS Selangor, Dr. Abdul Rani, sehari selepas keputusan PRU diketahui. Surat yang ditandatangani DS Presiden berhubung perkara yang sama menyusul selepas itu. Saya sendiri bersetuju supaya TSKI kekal sebagai MB tetapi bukan kerana dia dari PKR tetapi kerana kepimpinannya telah menyumbang kepada kemenangan PR di Selangor. Agak peliklah pula kalau MB bukan dari PKR maka saya akan masuk PKR. Kalau MB dari PAS lagi baiklah saya kekal dalam PAS! Aduhaai...Mengarut! b) "Tuan Guru Presiden Merupakan Punca Pertembungan Antara Golongan Ulama' Dan Golongan Anti Ulama'." Ini kononnya disebut oleh saya dalam wacana 'Kemenangan Yang Ditangguh' di Melaka pada 6Julai 2013. Sesiapa yang menonton video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak mendakwa sedemikian dan tuduhan ini merupakan fitnah yang jelas dan nyata. Malahan istilah 'anti-ulama' pun tidak saya sebut kerana dalam PAS tidak mungkin ada yang 'anti-ulama' setelah menerima konsep kepimpinan ulama'! Mengarut lagi... Sebenarnya fitnah asal menggunakan ungkapan '...antara golongan ulama' dan profesional' tetapi diubah-suai kepada '...antara ulama' dan anti ualama'...' mungkin atas sebab lebih dramatik. Dasar penipu memang begitu: ubah ikut suka. Apa yang saya sebut ialah bahawa selepas 2008 golongan Hassan Ali telah berusaha untuk menggambarkan bahawa adanya pertembungan di antara ulama' dan profesional dan usaha ini dipertingkatkan sehingga menjadi meruncing apabila ide 'Unity Government' dicampakkan oleh Tuan Guru Presiden secara mendadak. Apabila ramai dari golongan profesional menolak ide ini maka penyokong Hassan Ali mengambil kesempatan untuk mendakwa adanya pertembungan profesional dan ulama'. Sebenarnya, dalam video program berkenaan saya telah menyebut secara jelas bahawa pertembungan berkenaan tidak wujud. Sebenarnya bagi saya, agenda 'pertembungan ulama' dan profesional' adalah rekaan UMNO dan media BN untuk menimbulkan pergeseran dalaman PAS. Mereka yang memanjangkan isu ini hanya memanjangkan agenda UMNO dalam PAS samada sedar atau tidak. Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah persalahkan Tuan Guru Presiden dalam soal mencampakkan ide 'Unity Government'. Bagi saya ianya satu tindakan untuk mencetuskan perbahasan berhubung satu pilihan yang mungkin tidak difikirkan oleh yang lain sebelum itu. Ianya dicampakkan untuk dibahas dan apabila ianya ditolak maka Tuan Guru Presiden pun menerimanya dengan baik dan menerima juga hakikat bahawa ianya satu pilihan yang sukar diterima pada masa itu. Tulisan saya dalam blog pada ketika itu juga tidak menyerang Tuan Guru Presiden tetapi menjelaskan, dari hemat saya, mengapa ianya dicadangkan dan sebab mengapa ianya ditolak. c) "Ahli PAS Tidak Wajib Wala' Kepada Keputusan Majlis Syura, Mereka Bukan Dapat Wahyu Pun." Ini juga kononnya apa yang saya ucapkan dalam program wacana di Melaka yang sama. Sekali lagi sesiapa yang mendengar video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak sebut kata-kata sedemikian rupa! Semakin mengarut! Yang saya sebut ialah adanya perbezaan di antara pandangan dan wahyu. Dalam soal wahyu kita tidak boleh bahas dan kita perlu sami'na wa ata'na. Dalam soal pandangan kita boleh berbincang dan berbahas. Saya berikan contoh kisah Hubarb dan Rasulullah (SAW) di Badr. Tidak pernah saya sebut bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat melalui proses Syura, termasuk keputusan Majlis Syura, maka tidak wajib untuk kita patuh. d) "Wala' Dan Thiqah Konsep Yang Bercanggah Dengan Islam Dan Macam Teokrasi, Semua Dari Paderi Dari Tuhan, Kamu Bantah Kamu Sesat." Ini juga kononnya apa yang saya ucapkan dalam program wacana di Melaka yang sama. Sekali lagi sesiapa yang mendengar video program berkenaan akan mengetahui bahawa saya tidak sebut kata-kata sedemikian rupa. Apa yang saya nyatakan ialah jangan jadikan wala' dan thiqah itu seperti amalan teokrasi dalam erti-kata memberikan kepatuhan membuta-tuli tanpa mengenali mana pandangan dan mana wahyu, atau mana yang boleh ditegur dan dibincang dan mana yang tidak boleh. Berhubung isu wala' dan thiqah ini, amat jelas bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat oleh jemaah melalui syura, semua kena patuh. Itu adalah disiplin berjemaah dan hukumnya 'wajib jamaii'. Kalau tidak sudah pasti akan berlaku kecelaruan. Namun, keputusan yang dibuat melalui proses syura sekalipun boleh dikaji kembali selepas perlaksanaannya dari sudut keberkesanannya dan ketepatannya. Ini dinamakan sebagai 'post-mortem' dan ianya merupakan kebiasaan dalam PAS selama ini. Dalam soal Kota Damansara, bagi yang mengikuti apa yang berlaku, mereka akan sedar bahawa PAS Selangor dan saya tidak mengeluarkan sebarang pendirian sehingga Dato' Mustapha Ali (SUA) sendiri turun ke KD dan mengisytiharkan calon PKR sebagai calon PR. Selepas itu dan hanya selepas itu barulah PAS Selangor membuat PC menyokong kenyataan SUA kerana itulah apa yang telah dipersetujui di peringkat Negeri dan Pusat. Seterusnya semua telah diam dan isu ini saya timbulkan kembali selepas PRU selesai sebagai sebahagian dari post-mortem saya. Kalau setuju maka setuju, kalau tidak, tidak menjadi masalah. Itu hanya pandangan. Maka tidak perlu menabur fitnah. Fitnah merupakan jalan mudah menempah neraka. Yang pelik ialah apabila ada golongan mempertikaikan kebijaksanaan kerjasama PR secara keseluruhannya, ianya diterima sebagai teguran yang membina dan tidak pula menyalahi konsep wala' dan thiqah! Tetapi bagi yang mempertahankan kerjasama PR ianya dianggap tidak wala'? Persoalan kepelikan ini akan saya kupas dengan lebih terperinci dalam bahagian ke-tiga insyaAllah. Bersambung... WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan