Nurul Izzah Anwar |
04 Jul 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI KEWANGAN] Posted: 08 Jul 2013 03:05 AM PDT PEMBERITAHUAN PERTANYAAN [ Lembah Pantai ] TARIKH : 4 Jul 2013 (Khamis) Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimanakah unjuran defisit fiskal 4% dapat dicapai bagi Belanjawan 2013 apabila terdapat pengumuman-pengumuman perbelanjaan yang tidak direkod belanjawan seperti BR1M 3.0 yang dianggarkan mencecah RM7.2 bilion dan juga projek MRT yang sehingga sekarang kosnya masih tiada persetujuan. JAWAPAN Tuan Yang di-Pertua, Selaras dengan usaha konsolidasi fiskal, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 4.8% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) pada tahun 2011 kepada 4.5% daripada KDNK pada tahun 2012. Kerajaan komited untuk mengawal defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada kadar 4% daripada KDNK pada tahun 2013. Tuan yang di-Pertua, Peruntukan Bantuan Rakyat 1 Malaysia 3.0 (BR1M 3.0) adalah tidak termasuk di bawah Belanjawan 2013 dan perlaksanaannya tidak akan menjejaskan peruntukan perbelanjaan bagi tahun 2013 serta unjuran 4% defisit fiskal. Dalam Belanjawan 2013, Kerajaan telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM3.0 bilion di bawah BR1M 2.0 yang memanfaatkan 4.3 juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Sebarang pengumuman bagi BR1M berikutnya akan diambil kira dalam Belanjawan 2014. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan sentiasa memastikan perbelanjaan ini adalah dalam lingkungan kemampuan hasil dan sasaran defisit Kerajaan selaras dengan konsolidasi fiskal. Sementara itu, pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) dijangka tidak akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2013. Tuan Yang di-Pertua, Dalam memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan mapan, defisit fiskal dirancang untuk dikurangkan lagi kepada 3.0% pada tahun 2015. Dalam usaha ini sumber hasil akan diperluas dan diperkukuhkan dan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan dipastikan cekap dan berkesan serta menetapi sasaran matlamat Kerajaan |
Posted: 07 Jul 2013 09:04 PM PDT KENYATAAN MEDIA MASALAH DALAMAN UMNO MENYEKAT PELUNASAN JANJI PEMANSUHAN AKTA HASUTAN PERDANA MENTERI – DI MANAKAH TERLETAKNYA KUASA SEBENAR DATUK SERI NAJIB? Saya bersedia memberi YAB Perdana Menteri senaskhah Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 yang telah saya sediakan dan serahkan ke Parlimen minggu lalu, sama seperti sewaktu saya mencadangkan pemansuhan 4 perisytiharan darurat sekitar April 2011. Kata-kata serta kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, apatah lagi janji sebegini wajib dilunas dan diberikan sepenuh perhatian oleh kerajaan di bawah seliaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib bakal mengalami pertembungan dalaman parti yang membawa kepada percanggahan pendapat – dolak dalih menerusi pendirian Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar semua yang ingin memansuhkan Akta Hasutan ini; termasuk anggota-anggota kabinet yang bersetuju dengan pemansuhannya termasuk Datuk Seri Nazri Aziz, serta Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang melahirkan hasrat beliau pada 17 Jun 2013 supaya undang-undang lapuk, termasuk Akta Hasutan 1948 digantikan secepat mungkin. Jikalau dibanding dengan undang-undang sedemikian dengan negara-negara seperti Kanada dan India, jelas bahawa seharusnya hasutan tidak boleh digunapakai tanpa kewujudan bukti yang menunjukkan hasutan yang disebut membawa bersama ugutan keganasan dan huru-hara. Tambahan lagi, kenyataan Ahmad Zahid bahawa sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan tidak akan ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang cuba menghasut adalah salah. KEADILAN berpendirian bahawa undang-undang sedia ada mencukupi; sebagai contoh, Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) mampu menangani kenyataan-kenyataan yang mungkin mengakibatkan ketakutan atau kegusaran di kalangan masyarakat. KEADILAN jua amat gelisah dengan pengumuman Datuk Seri Zahid tentang keperluan mewujudkan undang-undang baru bagi menggantikan kuasa Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan pada 2011. Menurut Datuk Seri Hishamuddin, mantan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab membebaskan 1,476 pada awal 2012, hanya 4 orang ataupun 0.27 peratus daripada tahanan terdahulu yang terlibat di dalam kes jenayah. Sebaiknya, perbincangan dalaman kabinet yang rata-rata merangkumi pimpinan UMNO dilaksana terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman atau janji dibuat oleh mereka yang digelar Menteri! Perlu diingat, bahawa tanda mercu demokrasi adalah 'Rule of Law' dan 'Protection of the Rights of the Citizen from the power abuse of the State' – nyata sekali tuntutan agar Akta Hasutan terus dikekalkan malah diminta juga dikembalikan Akta EO di dalam bentuk 'baru' menghakis legitimasi demokrasi kerajaan. Sepatutnya, kerajaan harus mengambil kira 'Kehendak Rakyat' majoriti (People's Will) dengan 'Kehendak Politik' (Political Will) untuk memulihkan demokrasi termasuk melaksanakan tugas sebuah kerajaan agar menyelesaikan 'root cause' atau sebab sebenar mengapa hasutan mahupun jenayah berganda dan bukan mencari jalan mudah dengan menggunakan akta-akta lapuk dan anti-demokratik untuk 'menutup' krisis perpecahan perpaduan serta keadaan jenayah yang meruncing. Adalah jelas akta-akta ini menjadi senjata politik dan bukan alat untuk mempertahankan hak rakyat hidup bersatu dengan semangat muhibah dan selamat di negara ini. Oleh demikian, hentikan permainan mempolitikan hak serta memperjudikan keselamatan nyawa maupun harta benda rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu jenayah harian yang memperlihatkan kekurangan anggota polis di jalanan – hanya 9,335 daripada sejumlah 106,079 anggota polis bertugas di dalam Jabatan Siasatan Jenayah; sedang nisbah polis dengan penduduk adalah 1:270 . Menteri Dalam Negeri yang terbaru wajib menyelesaikan isu penugasan semula anggota PDRM, termasuklah memperbaiki kadar tangkapan yang memperhasilkan dakwaan dan salah laku di mahkamah, bukannya membiar masalah dalaman UMNO menganggu gugat usaha reformasi ke arah Malaysia yang lebih baik. Segala cadangan yang sudah acap kali diberikan seperti tadi mampu dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang adil, rasional dan matang. Hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih – itulah saja gambaran yang dapat rakyat saksikan dengan kenyataan bercanggah kepimpinan Umno yang sedang membuat 'political posturing' tanpa menghiraukan keperluan dan kehendak rakyat. Akhir kata, Presiden Umno wajib bersuara dan menyatakan pendirian muktamad mengenai janji memansuhkan Akta Hasutan. Sekiranya tidak, integriti serta kredibiliti kerajaan minoriti Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus dipersoal oleh rakyat apabila janji demi janji yang dibuat tidak pernah ditepati. Nurul Izzah Anwar |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan