Isnin, 8 Julai 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Ustaz Azhar bakal bantu jentera kempen pemuda di Kuala Besut

Posted: 07 Jul 2013 05:18 PM PDT


Dewan Pemuda PAS Terengganu akan menggerakkan  jentera pilihanraya dengan sehebat-hebatnya dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Besut nanti kerana ianya penting bukan sahaja di peringkat negeri malahan di peringkat nasional.
Penegasan ini dinyatakan oleh ketuanya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditanya tentang persiapan jentera pemuda negeri baru-baru ini.
Jentera pemuda selain dari akan berkampung di Kuala Besut, juga akan menerapkan strategi sentuhan mesra kepada pengundi-pengundi terutamanya anak-anak muda dan sebagaimana tradisi PAS, akan menghindari sikap kasar dan kesat ketika berkempen.
Beberapa program juga telah dan akan dirancang bagi menyemarakkan lagi kempen PRK ini dengan ditunjangi oleh pemuda DUN Kuala Besut dan Kawasan Besut sebagai tuan rumah.
"Kita akan menurunkan tokoh-tokoh dan ikon anak-anak muda (dalam PRK ini) seperti Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sendiri, timbalannya, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus serta ramai lagi.
InsyaAllah dengan sentuhan mereka ini, anak-anak muda ini akan membuat perubahan dalam PRK ini," kata beliau melahirkan keyakinan.
Beliau juga meminta agar jentera Umno tidak bertindak agresif supaya perjalanan PRK yang pertama selepas PRU 13 ini, berjalan dengan lancar dan sempurna.
"Kita mengharapkan agar jentera Umno jangan bersikap agresif, bersikap kasar, kerana kami Dewan Pemuda PAS negeri dan pemuda-pemuda telah menanamkan suatu sikap yang baik untuk turun (berkempen).
Dan kami tidak akan berundur ke belakang jika sikap kasar dan agresif dan samseng (jika) dilakukan oleh petugas-petugas Umno,"
Beliau bersikap optimis apabila ditanya tentang keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang telah mengumumkan tarikh PRK pada bulan ramadhan (24 Julai) dengan beliau mengajak anak-anak muda mengambil semangat dari Perang Badar.
Walaupun dalam serba kekurangan, akan tetapi semangat dan keyakinan kepada Allahlah maka tentera yang sedikit tidak mustahil akan menewaskan tentera yang banyak dengan izin dari Allah.
Tambah beliau lagi, jika sekiranya SPR mengadakan PRK dalam bulan syawal juga, tidak menjadi masalah kepada pejuang-pejuang PAS yang akan mengambil iktibar dari kisah peperangan Ahzab yang dimenangi oleh tentera-tentera Islam dengan berbekal semangat ruh taqwa.
Ruh taqwa itu adalah hasil didikan pada bulan ramadhan yang menurut beliau lagi, akan diperolehi jika bersungguh-sungguh dalam mengerjakan dan meningkatkan mutu ibadat masing-masing sambil beliau menyeru agar pemuda sentiasa memperkuatkan kualiti ibadat.
Berkeyakinan penuh bahawa persiapan jentera Pemuda Kawasan dan Dun berada ditahap yang tinggi, beliau menyeru agar keupayaan jentera pemuda dipertingkatkan ketahap maksimum menjelang penamaan calon sehingga hari pembuangan undi.
Sambil melahirkan keyakinan yang tinggi PRK kali ini bakal berpihak kepada PAS, beliau seterusnya memberikan gambaran laluan PAS untuk kembali memerintah Terengganu terbuka luas sekiranya menang PRK Kuala Besut ini.

"Saya mengharapkan PRK kali ini bukanlah suatu pilihanraya yang mengecewakan kita tetapi pilihanraya yang menggembirakan kita kerana laluan kemenangan  untuk PAS memerintah negeri Terengganu kemungkinan cerah kalau kita menang.
Sekarang kita sedang membuat dua petisyen di Hulu Besut, dengan kes yang berlaku apabila undi pos dibeli oleh calon yang ada pada masa itu dan insyaAllah petisyen yang kita buat di Kuala Berang.
Maka (sekiranya) dua petisyen ini jugak menang di mahkamah ataupun akan berlaku PRK, laluan kita kearah kemenangan di Terengganu insyaAllah terbuka," ujarnya penuh keyakinan.
Beliau akhirnya merayu kepada pengundi-pengundi di Kuala Besut agar melihat bagaimana kegagalan Menteri Besar sekarang Dato' Seri Ahmad Said dan memerintah Terengganu dengan dendam dengan mengenepikan banyak projek yang sepatutnya dijalankan di Besut.
Inilah masanya bagi pengundi Kuala Besut untuk menghentikan keegoan Ahmad Said yang bagi beliau tidak menghormati Dato' Seri Idris Jusoh, tokoh dari Besut yang telah banyak merancang projek bagi penduduk Besut.

Tiada ulasan:

Nuffnang