Selasa, 30 Julai 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


KEADILAN Menggesa Polis Menyiasat Pendedahan Mywatch - DSAI

Posted: 29 Jul 2013 09:33 PM PDT


PETALING JAYA 29 Julai: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar pendedahan Pengerusi badan Pemantau Jenayah, My Watch, R Sri Sanjeevan berhubung penglibatan polis dengan sindiket jenayah disiasat.
Katanya, KEADILAN juga menggesa tahap keselamatan terhadap Sanjeevan ditingkatkan selepas cubaan bunuh terhadapnya pada 27 Julai lalu.
"Kita mengulangi desakan supaya polis siasat secara terperinci percubaan bunuh ini termasuk dakwaan anggota polis terlibat dalam sindiket jenayah dan kegiatan haram,"
"KEADILAN tidak menolak bahawa insiden yang menimpa Sanjeevan seperti yang dinyatakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mungkin memiliki kaitan langsung dengan hasrat beliau untuk mendedahkan perkara itu," kata Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
SanjeevanSri Sanjeevan, 29, parah di bahagian rusuk kanan selepas ditembak dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang dua hari lalu.
Mangsa kini dilaporkan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar , Seremban setelah mendapat rawatan di Hospital Jempol. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Menurut Anwar, Sanjeevan sebelum itu mendakwa menerima ancaman pada 11 April 2013 apabila diserang empat lelaki bersenjata parang di 'basement' sebuah hotel di Kuala Lumpur, diikuti ancaman diekori beberapa lelaki mencurigakan di Terminal LCCT Sepang.
"Insiden tembakan yang melibatkan beliau dua hari lalu turut berlaku beberapa jam selepas beliau memuatnaik tulisan di akaun Twitter miliknya bahawa beliau menerima ugutan tembak dipercayai dari anggota polis," kata Anwar.
Sanjeevan"Sehubungan itu, KEADILAN menuntut supaya pendedahan Sanjeevan disiasat serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. KEADILAN juga memohon supaya kawalan keselamatan ke atas Sanjeevan di hospital ditingkatkan," tegasnya.
Jelas Anwar, kes-kes bunuh melibatkan penjawat awam semakin kerap berlaku dan menimbulkan ketakutan kepada rakyat.
"Kekerapan kes-kes bunuh secara tembakan ala 'mafia' kebelakangan ini dilihat menjadikan penjawat awam sebagai mangsa, sebelum ini turut mengorbankan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya tiga bulan lalu," jelasnya.

keadilandaily

Pembunuh Upahan Semakin Laku Di Malaysia

Posted: 29 Jul 2013 09:17 PM PDT


Polis perlu memberi perhatian serius terhadap kejadiaan pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat semakin berleluasa terutama membabitkan mangsa golongan berprofil tinggi.
Semalam sahaja, dua kes tembak dilaporkan -- satu di ibu negara dan satu di Bukit Mertajam -- menyebabkan seorang maut dan dua cedera. Terbunuh dalam kejadian semalam ialah Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi.
Satu lagi kejadian dilaporkan di Ipoh, Perak malam kelmarin menyebabkan seorang lelaki maut dan dua parah ditembak lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee, pada 10.15 malam.
Khuatir dengan trend itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar, berkata kejadian seperti itu memberi gambaran yang kurang elok terhadap tahap keselamatan di negara ini.
Katanya, kes pembunuhan golongan berprofil tinggi sering dikaitkan dengan dakwaan wujudnya pembunuh upahan tetapi tiada pembunuh upahan yang ditangkap atau didakwa setakat ini (pada tahun ini).
"Penguatkuasa perlu menyiasat dan menyelesaikan dengan segera kes tembak terutama yang membabitkan individu berprofil tinggi," katanya.
Beliau mengulas mengenai kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, semalam.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.
Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April.  
Sehubungan itu, Akhbar mengesyorkan pihak berkuasa meningkatkan usaha membanteras penyeludupan senjata api yang menyumbang kepada peningkatan kes pembunuhan termasuk kononnya oleh pembunuh upahan.       
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, pasukannya mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membawa masuk senjata api ke negara ini berikutan kejayaan pasukan khas merampas sejumlah senjata api dalam tempoh dua minggu ini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan senjata api itu dibawa masuk dari negara jiran dan tidak mendedahkan jumlah rampasan senjata.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas sejak kejadian kes pembunuh upahan menggunakan senjata api semakin berleluasa.
Menurut rekod Bukit Aman, sepanjang 2012 Selangor mencatat peningkatan tertinggi kes membabitkan penggunaan senjata api diikuti Pulau Pinang, Kedah, ibu negara dan Kelantan.
Selain kes tembak yang disebut di atas, terdapat kejadian tembakan membabitkan orang awam, antaranya:
* 18 Julai - Seorang guru maut ditembak dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Keladi, Kulim, Kedah.
* 8 Julai - seorang guru penolong kanan hal ehwal murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, maut selepas terkena tiga das tembakan dalam kejadian di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Baharu, Kelantan.
* 13 Mei - Seorang lelaki cedera parah selepas terkena dua das tembakan dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Dato Suleiman, Johor Baharu, Johor.
* 11 Mei - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, Pulau Pinang, dipercayai berkaitan perniagaan.
* 11 Mei - seorang pembantu kedai barang-barang lusuh ditemui mati di dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas.
* 7 Mei - seorang lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai makan di Sungai Daun.
Sepanjang bulan April pula, sebanyak 10 kes tembak melibatkan kematian dan cedera dilaporkan media. - Bernama,

Tiada ulasan:

Nuffnang