Rabu, 3 Julai 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Selangor Kaji Haramkan Shisha

Posted: 03 Jul 2013 04:11 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengkaji kewajaran dari sudut kesihatan sebelum mengeluarkan fatwa mengharamkan amalan menghisap shisha di negeri itu.
Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Daroyah Alwi berkata, Jabatan Kesihatan Selangor akan mula menjalankan operasi pemeriksaan dan pemantauan di setiap premis yang menjual dan menyediakan khidmat shisha bermula Ogos depan.
Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa berkata, pihaknya akan menunggu hasil laporan daripada Jabatan Kesihatan sebelum menyerahkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk pandangan mufti sama ada untuk mengharamkan pengambilan shisha terhadap masyarakat beragama Islam atau tidak.
"Setakat ini tidak ada lagi keputusan untuk mengharamkan shisha tetapi jika didapati ia berbahaya dan melanggar Peraturan Kawalan Hasil Tembakau maka kerajaan negeri akan membuat keputusan untuk mengharamkannya," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.
Menurut beliau, shisha kebiasaannya dihisap selama 45 minit sehingga sejam bersamaan 40 hingga 60 batang rokok sekaligus meningkatkan paras karbon monoksida sehingga boleh menyumbang kepada penyakit barah.
Melaka merupakan negeri pertama mengharamkan shisha di negeri itu pada tahun 2009, kemudiannya Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 29 Jun lalu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.
Pandangan sama turut dilontarkan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman yang menganggap shisha boleh dikategorikan sebagai haram kerana mendatangkan kemudaratan kepada individu sama seperti rokok dan cerut.
Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menimbang kemungkinan untuk mengikut jejak Perlis. Mstar/-

Tanah runtuh di Ukay Perdana

Posted: 03 Jul 2013 04:08 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Kejadian tanah runtuh yang berlaku ketika para pekerja sedang melakukan kerja-kerja menanam cerucuk di tapak pembinaan. Foto ihsan CHINA PRESS.
KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak pembinaan di Ukay Perdana di sini pada pagi Rabu mengakibatkan tiga pekerja asing terbunuh dan seorang lagi cedera.
Seramai lapan pekerja sedang melakukan kerja-kerja menanam cerucuk di kawasan pembinaan Sierra Ukay untuk kediaman satu tingkat ketika tanah runtuh berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi Rabu.


Tanah runtuh itu mengakibatkan empat pekerja tertimbus manakala yang lain terselamat.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (Operasi), Mohd Sani Harul Said berkata, ketika anggota bomba tiba pada kira-kira pukul 11.30 pagi, dua mangsa telah dikeluarkan dari runtuhan itu oleh para pekerja binaan.
Tiga pekerja binaan yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan di Ukay Perdana. Foto ihsan SIN CHEW
"Salah seorang daripada mereka, seorang warga Myanmar telah meninggal dunia, manakala seorang pekerja rakyat Bangladesh mengalami beberapa kecederaan termasuk patah kaki.
"Dua lagi pekerja yang dibawa keluar dari runtuhan tetapi mereka sudah pun meninggal dunia.
"Mayat mereka akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala pekerja yang cedera akan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.
"Kami masih menyiasat punca kejadian tanah runtuh," katanya, sambil menambah bahawa jabatan itu akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menyiasat secara terperinci berhubung perkara itu.
Mohd Sani menjelaskan bahawa tapak pembinaan itu terletak di kawasan cerun bukit di Ukay Perdana.
"Kami akan menghubungi pemaju. Operasi dijalankan tempoh sejam," katanya.
Mstar/-

Tiada halangan tunai umrah ketika Ramadan: Jamil Khir

Posted: 03 Jul 2013 04:03 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Tiada halangan bagi rakyat Malaysia untuk menunaikan umrah ketika Ramadan walaupun virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dilaporkan menular di Arab Saudi. 

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tidak timbul isu sekatan bagi jemaah umrah akibat penularan virus itu. 

"Tidak timbul isu sekatan, cuma visa sekarang ini diperketatkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memberi laluan pembinaan semula kawasan Tawaf di Masjidil Haram ketika ini," katanya selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kompleks Darul 
Kifayah di sini, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Zainal Abidin Jaffar. 

MERS dilaporkan meragut 33 nyawa di Arab Saudi sejak September lalu selain menyebabkan 55 lagi jatuh sakit setakat ini. 

Jamil Khir berkata, ketika ini, tempoh sah visa umrah dipendekkan kepada 15 hari berbanding 30 hari sebelum ini bagi memberi laluan kepada projek pembesaran Masjidil Haram demi keselesaan jemaah. 

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal ehwal kesihatan para jemaah di mana mereka wajib melepasi pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan mengerjakan umrah atau haji. 

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kepada 70 kakitangan MAIWP bagi menghargai individu yang menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan sepanjang tahun lalu. - BERNAMA 

Harga minyak mentah Asia melonjak berikutan kebimbangan di Mesir

Posted: 03 Jul 2013 04:01 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

SINGAPURA: Harga minyak mentah melonjak tinggi dalam dagangan Asia hari ini susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap krisis politik di Mesir sehingga boleh menjejaskan bekalan minyak mentah dunia dari Asia Barat, demikian menurut penganalisis. 
Kontrak utama New York bagi penghantaran minyak mentah jenis 'light sweet', West Texas Intermediate (WTI) untuk bulan Ogos melonjak AS$2.20 kepada AS$101.80 setong dalam dagangan pagi tadi, manakala kontrak Brent North Sea pula meningkat AS$1.11 kepada AS$105.11 setong. 

Saham WTI menokok AS$1.61 untuk ditutup kepada AS$99.60 di New York yang menyaksikan kenaikan tertinggi sejak Mei, tahun lalu. 

Minyak mentah Brent North Sea turut melonjak AS$1 kepada AS$104.00 setong dalam dagangan Amerika Syarikat. - AFP

Aceh dilanda gempa bumi lagi.

Posted: 03 Jul 2013 03:59 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

LAMPAHAN, Indonesia 2 Julai - Gempa bumi sekuat 6.1 pada skala Ritcher melanda wilayah Aceh hari ini, menyebabkan tujuh orang maut berpuluh-puluh yang lain cedera.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu berlaku kira-kira pukul 2.37 petang (3.37 petang waktu Malaysia) di kedalaman kira-kira 10 kilometer, 55 kilometer dari selatan Biruen.

Seorang doktor di klinik bandar Lampahan, daerah Bener Meriah, Ema Suryani berkata, seorang kanak-kanak maut apabila dihempap dinding rumahnya yang runtuh.


Seorang doktor di klinik bandar Lampahan, daerah Bener Meriah, Ema Suryani berkata, seorang kanak-kanak maut apabila dihempap dinding rumahnya yang runtuh.

''Kami merawat kira-kira 50 orang dengan pelbagai kecederaan apabila rumah mereka runtuh.
''Antara kecederaan yang mereka alami adalah luka sehingga patah tulang,'' katanya.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang cedera dibawa daripada beberapa buah kampung dengan dua buah trak.

Wartawan AFP melaporkan, orang ramai lari keluar dari bangunan dalam keadaan panik di Banda Aceh ketika gempa bumi menggegarkan kawasan kejadian selama kira-kira satu minit.

Satu gempa bumi kuat berlaku di Aceh pada 2004, menyebabkan tsunami dan meragut nyawa 170,000 orang di Sumatera dan berpuluh ribu orang lagi di negara-negara sekitar Lautan Hindi. - AFP



Pergolakan Mesir ragut 16 nyawa

Posted: 03 Jul 2013 03:56 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KAHERAH 1 Julai - Ketua tentera Mesir hari ini memberi masa 48 jam kepada kerajaan Mesir pimpinan Presiden Mohammed Mursi untuk menjawab tuntutan rakyat atau pihak tentera akan menggunakan cara tersendiri untuk masa depan negara ini.

Jeneral Abdel Fateh al-Sisi dalam kenyataannya yang disiarkan melalui siaran televisyen tempatan berkata, tunjuk perasaan yang diadakan secara besar-besaran semalam mendesak Mursi meletakkan jawatan dan tuntutan tersebut tidak pernah berlaku yang dilakukan secara pungutan suara di negara ini.

Sementara itu, seramai 16 orang terkorban dan lebih 780 orang lagi cedera apabila tercetus pertempuran antara penentang Mursi dan penyokongnya dalam demonstrasi besar-besaran bagi mendesak beliau meletakkan jawatan, semalam.
Pertempuran itu berlaku selepas sejumlah penunjuk perasaan bertindak menyerang ibu pejabat Ikhwan Muslimin, yang merupakan pergerakan dipimpin Mursi, di Kaherah ketika demonstrasi utama diadakan di Dataran Tahrir di sini.

Seramai 12 orang maut dalam pertempuran, manakala empat lagi meninggal dunia akibat kecederaan, kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan kepada saluran televisyen satelit swasta, hari ini.

Rakaman televisyen menunjukkan bangunan tersebut terbakar ketika berpuluh-puluh orang menyerang ibu pejabat Ikhwan Muslimin itu dengan membaling batu dan bom petrol.

Penyokong Ikhwan Muslimin pula melepaskan tembakan ke arah penyerang untuk mengundurkan mereka.
Kekecohan itu diburukkan lagi apabila empat menteri yang masing-masing memegang porfolio pelancongan, alam sekitar, komunikasi dan hal ehwal perundangan meletak jawatan hari ini.

Sebanyak lapan anggota Parlimen daripada kumpulan berfahaman sekular, turut meletakkan jawatan dalam Majlis Syura, Dewan Tinggi Parlimen Mesir, kelmarin.

Majlis Syura pula berkata, sekurang-kurangnya 22 anggota Parlimen telah meletakkan jawatan.
Pembangkang Mesir dikenali sebagai pergerakan Tamarod yang mengetuai demonstrasi itu memberi Mursi sehingga esok untuk berundur daripada jawatan tersebut.

Jika Presiden Mesir itu tidak berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, Tamarod yang bermaksud pemberontakan dalam bahasa Arab, mengancam meningkatkan kempen kekacauan dan huru-hara.

"Kami memberi Presiden Mohammed Mursi sehingga pukul 5 petang esok (11 malam waktu Malaysia 2 Julai) untuk meletakkan jawatan, bagi membenarkan institusi negara bersedia mengadakan pilihan raya presiden awal.

"Jika tidak, kempen huru-hara akan dilancarkan,'' jelas Tamarod dalam laman webnya.

Pemimpin agama dan institusi pengajian tinggi Islam terkemuka di Mesir, Universiti al-Azhar kelmarin melahirkan kebimbangan dan memberi amaran bahawa perang saudara mungkin tercetus ekoran pertempuran antara penyokong dan penentang Mursi. - AFP


Penduduk Hong Kong tuntut pilihan raya telus

Posted: 03 Jul 2013 03:54 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

HONG KONG 1 Julai - Beribu-ribu penduduk Hong Kong mengadakan tunjuk perasaan di sini, hari ini bagi menuntut China mengotakan janji bagi mengadakan pilihan raya demokrasi sepenuhnya di wilayah ini.

Tunjuk perasaan itu diadakan ekoran peningkatan kebimbangan campur tangan daripada pemimpin Parti Komunis ke atas pilihan raya Hong Kong yang akan diadakan pada 2017.

Bekas tanah jajahan Britain itu dipulangkan kepada China pada 1 Julai 1997 dengan janji hak mengundi sejagat sebagai 'sasaran terakhir' untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Hong Kong.
Penunjuk perasaan berhimpun sambil berteriak tanpa menghiraukan hujan dengan sesetengah daripada mereka turut mengibarkan bendera Britain serta kain rentang prodemokrasi.

Aktivis muda kini semakin ramai dengan tinjauan menunjukkan kumpulan itu menganggap diri mereka lebih daripada rakyat Hong Kong berbanding warganegara China, trend yang membimbangkan kerajaan yang mahu wilayah ini menunjukkan lebih 'kesetiaan' kepada tanah besar.

Meskipun China berjanji untuk membenarkan pilihan raya secara langsung kepada pemimpin di bandar raya ini pada 2017, tindakan pegawai kanan China, baru-baru ini meningkatkan kebimbangan Beijing mungkin cuba menyingkirkan calon pembangkang.

"Saya hanya mahu melakukan apa yang kami perlu lakukan iaitu memaklumkan kepada Beijing supaya tidak menghancurkan Hong Kong.

"Ini adalah tunjuk perasaan pertama saya dan pemimpin Hong Kong perlu melakukan lebih banyak lagi untuk mempertahankan hak penduduk," kata seorang penunjuk perasaan, Dominic Wong, 70. - REUTERS

Angka kematian gempa Aceh meningkat 22 orang

Posted: 03 Jul 2013 03:53 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

LAMPAHAN, Indonesia 3 Julai - Angka kematian akibat gempa bumi sekuat 6.1 pada skala Richter yang melanda Aceh semalam, meningkat kepada 22 orang.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, setakat ini, 22 orang dilaporkan maut, 210 orang cedera dan beribu-ribu bangunan serta rumah musnah dalam kejadian semalam.



Beliau berkata, kematian tersebut dilaporkan di daerah Aceh Tengah dan Bener Meriah.

Di Aceh Tengah, enam kanak-kanak maut dan 14 orang lain terperangkap dalam sebuah masjid ketika mereka sedang mengadakan sesi pembelajaran al-Quran. - AFP




'Saya tidak akan berundur': Presiden Mesir

Posted: 03 Jul 2013 03:47 AM PDT

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Morsi berkata beliau berhasrat untuk meneruskan tugasnya sebagai pemimpin negara itu kerana sudah dipilih menerusi pilihan raya yang adil lebih setahun lalu walaupun terdapat bantahan besar-besaran supaya beliau meletak jawatan. 


"Rakyat sudah memilih saya dalam pilihan raya yang bebas dan adil," kata Morsi dalam ucapan yang disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan. 


Morsi berkata, menghormati perlembagaan adalah satu-satunya jaminan untuk menentang pertumpahan darah dari terus berlaku. 



Beliau berkata demikian selepas pihak tentera memberi beliau tempoh selama 48 jam bermula semalam untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden berikutan bantahan besar-besaran oleh rakyat negara itu terhadap pemerintahan beliau.- AFP

Srikandi mujahidah di teratak Sayyid Qutb

Posted: 03 Jul 2013 02:31 AM PDT


24 Syaaban 1434 H. [MOD]-

"Ustaz Hasrizal taksub Sayyid Qutb!" ujar seorang ahli sebuah forum.


Sayyid Qutb itu sendiri sudah cukup kontroversi untuk seseorang dikaitkan dengannya. Apatah lagi perkaitan itu adalah dengan sebuah ketaksuban. Mungkin disebabkan oleh kekerapan saya memetik pendapat Sayyid Qutb, saya dilihat taksub kepadanya. Hakikatnya, jika saya taksub dengan pendapat Sayyid Qutb, sayalah musuh utama Sayyid Qutb kerana taksub adalah apa yang Sayyid Qutb musuhi.



Saya kerap memetik pendapat Sayyid Qutb kerana dalam pengucapan, saya selalu memfokuskan perbahasan kepada mengaitkan mesej al-Quran dengan realiti semasa. Apabila realiti semasa itu pula banyak berkisar tentang pengaruh idea-idea Barat dalam membentuk pandangan alam Muslim hari ini, maka datanglah kupasan Sayyid Qutb. Bagi saya, Tafsir Fi Dzilal al-Quran karya Sayyid Qutb adalah satu bentuk tindak balas tafsiran al-Quran terhadap idea-idea yang datang dari Barat. Jika kita biasa dengan idea-idea Barat itu, maka Tafsir Sayyiq Qutb ini akan lebih dihayati niche yang terkandung di dalamnya.



Sesungguhnya Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah.



Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam. Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.



Namun, tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.



Di dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.



Bonda Yang Mulia



Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.



Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.



Sayyid Qutb dibesarkan oleh bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah yang menjadi srikandinya.



Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur'aan:



"Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra' yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami makna bacaan itu…

Ketika aku membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap ketika…

Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung." [ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].



Mematangkan Anak



Sayyid adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada diri anaknya Sayyid beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.



Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.



Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya al-Atyaaf al-Arba'ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:



"Bonda..

Siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?

Engkau telah memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan 'wahyu' bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?."



Amat benarlah bagai yang dikata pepatah: "tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia". Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman…



- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]



http://saifulislam.com/

Besi pacak leher rakan

Posted: 03 Jul 2013 02:14 AM PDT

Foto
24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Teluk Intan: "Saya tak tahu dari mana kepingan spring besi itu muncul. Yang saya tahu, sebaik saja kereta kami berhenti selepas terbabas, rakan saya tak sedarkan diri dan berlumuran darah dengan besi spring itu terpacak menembusi lehernya."


Demikian kata Lim Kim Hooi, 40-an ketika menceritakan kematian rakannya, Ooi Yean Teong, 44, dalam kejadian di Kilometer 42, Jalan Sitiawan ke Teluk Intan, di sini, jam 2.20 pagi semalam.
Mangsa yang memandu kereta Proton Wira mati di tempat kejadian akibat parah selepas sekeping spring besi yang biasanya dipasang pada bahagian penyerap hentakan lori tertusuk di lehernya. 


Lim berkata, sebelum kejadian dia dan Ooi dalam perjalanan pulang ke rumah dengan rakannya itu memandu kereta manakala dia duduk di tempat duduk penumpang hadapan.


"Kami dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Teluk Intan selepas keluar makan di Sitiawan," katanya ketika ditemui, semalam
metro/-

Surau 100 tahun terbakar rayu sumbangan

Posted: 03 Jul 2013 02:13 AM PDT


24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

TAIPING: Surau Kampung Sungai Petai di Bukit Gantang di sini hangus dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10 malam tadi.

Surau yang berusia hampir 100 tahun diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai.

Beliau merupakan bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak dan ayahanda kepada Ustaz Idris Hj Ahmad Ahli Parlimen Bukit Gantang.


Menurut Ustaz Idris, surau tersebut baharu sahaja dibaik pulih tiga tahun lepas bagi tujuan keselesaan masyarakat di sini untuk menunaikan ibadah dan mengaji agama.


Difahamkan di surau inilah Program Ijtimak Muzakarah bulanan yang diadakan pada Ahad minggu pertama hampir 100 tahun yang diasas oleh ayah beliau.

"Sekarang program ini masih diteruskan oleh Sohibussamahah Datuk Seri Hj Hasan Ahmad Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Soleh Haji Ahmad Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak dan Ustaz Zakaria Hj Ahmad," katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada umat Islam perihatin agar menghulurkan sumbangan bagi membina semula surau tersebut.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Ahli Parlimen Malaysia Kwsn Bkt Gantang di nombor 558051300273.


Timbul depan ibu

Posted: 03 Jul 2013 01:51 AM PDT

23 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Foto
Temerloh: Keajaiban berlaku apabila mayat mangsa lemas, Susisusanti Amaqmus, 15, timbul betul-betul di depan ibunya, Ramlah Musa, 40, yang berada di lokasi gerakan mencari mayat gadis berkenaan dilakukan di Sungai Semantan, Kampung Kelubi, Mentakab, di sini, semalam.

Mayat Susisusanti yang lemas bersama seorang rakannya, tiga hari lalu ketika mandi di sungai itu timbul di depan Ramlah pada kira-kira jam 2.15 petang.
Kakak mangsa, Ajura, 25, menyifatkan perkara itu sebagai kuasa Allah untuk menunjukkan betapa mulianya kasih seorang ibu terhadap anak yang amat disayanginya.


"Ibu saya tiba di bandar ini dari Batu Pahat, Johor, Ahad lalu, apabila dimaklumkan mengenai kejadian menimpa adik saya dan nyata kehadirannya amat bermakna dalam usaha mencari mayat adik saya," katanya.
SUSISUSANTI

Terdahulu, mayat seorang lagi mangsa, Mohd Ramzi Ariyanto, 16, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, jam 8.30 pagi semalam.

metro/-

Isu Idris-Mat Said kini muncul di Kuala Besut

Posted: 03 Jul 2013 01:40 AM PDT


24 Syaaban 1434 H. [MOD] -


BESUT: Biar pun BN bertapak kukuh di Dun Kuala Besut sejak pilihan raya umum 2004, namun Dun terbabit pernah dimenangi PAS pada empat pilihan raya umum sebelum itu.


PAS pernah menang pada pilihan raya umum 1959, 1969, 1974 dan 1999.



Situasi itu membuatkan Umno dan BN tidak mampu mendabik dada menjuarai dengan mudah pilihan raya kecil Kuala Besut tidak lama lagi.





Tambahan pula isu dalaman dan luaran terus membelit parti itu.



Penyisihan terhormat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said daripada jentera utama pilihan raya BN Kuala Besut bukan lagi sekadar cerita kedai kopi.



Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut membuatkan Umno Terengganu bergolak semula.



"Isu kuasa autonomi diberi Umno pusat kepada Idris di Kuala Besut dengan mengenepikan Ahmad Said dilihat boleh membantu PAS," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS Dun Kuala Besut di Kampung Baharu petang semalam.



Menurutnya, penyisihan Ahmad sudah tentu memanaskan isu lama yang sudah berkocak dalam Umno sejak 2008.



Selain itu isu tempatan dengan lambakan permohonan milik tanah rakyat yang tidak selesai juga tidak boleh dipandang ringan.



Kata Wan Azhar isu tanah bukan perkara kecil di Kuala Besut kerana banyak tidak selesai sehingga mengundang kemarahan rakyat.



Katanya, ditambah pula isu nasional dengan kepincangan pengurusan pilihan raya umum lalu masih diperkatakan rakyat secara meluas.



Wan Azhar juga berkata, undi kepada calon PAS pada pilihan raya umum lalu meningkat sebanyak 178 undi.



"Begitu jumlah undi diraih calon BN di Kota Putra, Hulu Besut dan Jertih juga didapati merosot berbanding 2008," ujarnya.



Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.


Di peringkat pusat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera dan kempen BN bagi menghadapi PRK Kuala Besut

harakah/-

Tiada ulasan:

Nuffnang