:: cina islam | 2011 :: |
- Rampasan kuasa di Mesir, Amerika Dalang?
- SKMM akan panggil pasangan persenda Ramadhan
- Wang besar’ untuk pertahan Kuala Besut
- Visa haji diperketat
- Puting Beliung Soulik landa China, ratusan ribu penduduk berpindah
Rampasan kuasa di Mesir, Amerika Dalang? Posted: 14 Jul 2013 01:39 AM PDT 5 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Nik Abdul Aziz Nik Mat Tindakan Amerika dan sekutunya (menyokong rampasan kuasa) adalah menghina umat Islam Mesir yang telah membuat keputusan memilih seorang presiden dari kumpulan Islamis secara sah. Sikap Amerika itu adalah kelangsungan daripada penghinaan yang pernah dilakukan oleh regim sekular Mesir sebelum ini yang dipimpinan oleh Gamal Abdel Nasir, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Sesungguhnya penghinaan Amerika itu samalah dengan puak-puak Ahli Kitab yang sentiasa bersikap suka menghina orang Arab dan sanggup berdusta terhadap Allah. Menurut Al-Quran, Ahli Kitab itu berkata: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi (ditujukan kepada orang-orang Arab), dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)." (Maksud Al-Quran Surah Ali-Imran ayat 75). Berdasarkan firman Allah SWT ini, seharusnya umat Islam menganggap penghinaan Amerika itu sebenarnya turut menghina secara langsung persoalan hak dan akidah umat Islam Mesir, malah di seluruh dunia. Ini kerana umat Islam diajar untuk memilih kebenaran dalam melantik pemimpin yang benar-benar ingin melaksanakan Islam dalam urusan kerajaan. Maka sikap Amerika dan sekutunya itu sudah mencabar iman umat Islam kerana mendorong umat Islam mengikut telunjuk mereka. Justeru atas prinsip keimanan (menjaga akidah) didoakan agar umat Islam di Mesir dibekalkan oleh Allah kekuatan dan kemenangan demi menjulang panji-panji perjuangan Islam terus subur di bumi anbiya' itu. Kepada Amerika ingatlah, sehebat mana sekalipun kamu dalam mencaturi politik umat Islam Mesir, akan sampai ketikanya kamu pasti berdepan dengan kemusnahan. Lihatlah sebelum ini Rusia, salah satu kuasa besar dunia turut menjadi pencatur utama politik dunia, akhirnya Rusia tidak boleh gah lagi. Ia berpecah-belah setelah kebangkitan kuasa rakyat. Begitu juga bumi Mesir sebelum ini, paling bersejarah dengan kekuasaan kerajaan Firaun, berjaya mencipta tamadun piramid dan kemakmuran Lembah Nil, tetapi sampai ketikanya Firaun turut kecundangan berdepan dengan kebenaran yang dipimpin oleh Nabi Musa. Justeru Amerika yang mengadu domba umat Islam Mesir hari ini pasti berdepan dengan kekecewaan. Berdasarkan perkembangan terbaru, menyaksikan kebangkitan dan kesediaan umat Islam Mesir mempertahankan kebenaran dan hak melawan campur tangan tentera Mesir dan Amerika. Kekentalan semangat jihad penyokong Morsi dan rakan Ikhwanul Muslimin yang tidak berganjak mendesak pemulihan kuasa rakyat dan pembelaan terhadap Morsi adalah lambang kuasa kebenaran (baca demokrasi) berdepan dengan percaturan Amerika dan tentera Mesir. Ia suatu kesedaran dan kebangkitan sekali lagi rakyat menolak pencabulan hak dan kebenaran demi mengembalikan maruah Islam yang tercalar. Semoga Allah menolong orang-orang yang beriman dan berjuang di atas jalan-Nya. Nik Abdul Aziz Nik Mat, AL-MURSYIDUL AM PAS. 5 Ramadhan 1434/14 Julai 2013. |
SKMM akan panggil pasangan persenda Ramadhan Posted: 13 Jul 2013 11:47 PM PDT 5 Ramadhan 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR 14 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil pasangan yang mempersendakan Ramadan dengan memuat naik gambar makanan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman facebook mereka. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, akan dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu yang mendapat bantahan banyak pihak. "SKMM akan memanggil mereka bagi membantu siasatan kes itu dalam masa terdekat, buat masa ini kita serah pada SKMM untuk jalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Pasangan itu yang juga bekas penuntut National University of Singapore mempersendakan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh...wangi enak dan menyelerakan' berserta logo halal. Hari ini, satu lagi akaun facebook telah memuat naik status yang mempersenda Ramadan dengan menampilkan iklan berbuka puasa dengan babi panggang yang turut diletakkan logo halal. Mengulas mengenainya, Jailani berkata, perkara itu telah dibawa kepada SKMM yang mengesahkan akaun itu diwujudkan oleh pengguna dari luar negara. "SKMM akan membuat laporan kepada pengurusan facebook dan meminta mereka menyekat atau memadam akaun berkenaan," katanya. Dalam pada itu, Jailani menasihatkan pengguna facebook terutama umat Islam supaya membuat laporan terus kepada pentadbiran laman sosial itu atau SKMM jika mendapati ada perbuatan menghina kesucian Islam dalam laman sosial itu. Pengguna facebook juga dinasihat supaya tidak berkongsi atau menyebarkan status berkenaan bagi mengelak berlakunya suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. - BERNAMA |
Wang besar’ untuk pertahan Kuala Besut Posted: 13 Jul 2013 11:39 PM PDT 5 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Harakahdaily/-BESUT: PKR yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan sejumlah wang yang agak besar untuk memancing undi bagi mengekalkan kemenangannya di Kuala Besut. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata Umno BN akan menjadikan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan dan Idulfitri ini bagi menyongok para pengundi. "Saya juga dimaklumkan oleh kerana sambutan hari raya sudah dekat mereka (BN) gunakan kesempatan ini untuk duit raya, majlis berbuka puasa besar-besaran dan pelbagai bentuk untuk menyogok pengundi," ujarnya kepada media, kelmarin. Apa yang penting, katanya kesedaran rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih serta pemimpin yang amanah. Menurutnya, politik wang atau rasuah politik mesti dihentikan segera kerana bakal memudaratkan sesebuah negara serta meruntuhkan tamadun. "Kita tidak risau BN menggunakan politik wang dalam semua tindakannya tetapi yang penting ialah kesedaran rakyat bahawa kita mahu sebuah kerajaan yang bersih dan pemimpin yang amanah. "Mereka (BN) menggunakan wang yang besar dalam pilihan raya. Jika budaya ini disuburkan adalah amat malang bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi," katanya. Namun, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa yakin dengan sifat peribadi calon Pakatan Rakyat dari PAS mampu memberi lonjakan serta harapan untuk menang PRK ini. Menurutnya, calon PAS tersebut bukan sahaja popular dikenali dengan perwatakan pemurah serta disukai ramai . |
Posted: 13 Jul 2013 10:00 PM PDT 5 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Arab Saudi larang golongan tua, pesakit kronik elak penyebaran MERS-CoV Riyadh: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan peraturan baru tidak mengeluarkan visa haji kepada golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik tahun ini bagi mengelak penyebaran Sindrom Pernafasan Asia Barat - Virus Korona (MERS-CoV). Menurut pengumuman Kementerian Kesihatan negara itu, peraturan itu akan berkuat kuasa pada musim haji tahun ini dan musim umrah berikutnya. Bagaimanapun jurucakap kementerian, Khalid Al-Mirghalani tidak menetapkan had umur namun berkata, golongan tua yang lemah dan tidak sihat dari segi perubatan tidak akan dipertimbangkan mendapat visa. Beliau memberitahu Arab News, Kedutaan Arab Saudi di luar negara akan mematuhi arahan tegas kementerian yang dihantarnya menerusi Kementerian Luar itu. Di Kuala Lumpur; Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima surat daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai arahan terbaru itu. "Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas," katanya. Selain itu, Arab Saudi juga tidak akan mengeluarkan visa haji dan umrah kepada mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang. "Jemaah lain dikecualikan adalah pesakit kecacatan imun, penyakit serius, wanita hamil dan kanak-kanak," kata jurucakap itu. Virus baru korona itu menjangkiti 66 orang, termasuk 38 kematian sejak September tahun lalu di negara pentadbiran diraja itu. Kementerian Kesihatan negara itu katanya, mengambil semua langkah pencegahan bagi memerangi penyebaran penyakit itu dengan bantuan pakar perubatan tempatan dan antarabangsa termasuk pihak berkuasa daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sebagai tambahan kepada syarat itu, katanya kementerian menggariskan peraturan kuarantin di negara ini. Ia termasuk sijil sah vaksinasi meningitis, 10 hari sebelum jemaah berangkat ke bandar suci Makkah dan Madinah serta vaksinasi polio oleh jemaah dari negara di mana penyakit itu berleluasa. Ada juga syarat pilihan vaksin ke atas influenza sebagai langkah berjaga-jaga ke atas serangan selesema, tambahnya. Katanya, kementerian menegaskan jemaah supaya menjaga kebersihan diri dengan betul. Mereka juga perlu memastikan masakan bersih, simpanan, pengangkutan dan kaedah hidangan bagi mengelak cirit-birit, muntah, keracunan makanan, disentri, demam kepialu dan taun. - AGENSI |
Puting Beliung Soulik landa China, ratusan ribu penduduk berpindah Posted: 13 Jul 2013 09:55 PM PDT 5 Ramadhan 1434 H. [MOD] BEIJING: Puting beliung kuat melanda tenggara China hari ini sehingga memaksa ratusan ribu penduduk di wilayah pesisir pantai berpindan selepas membadai utara Taiwan yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut. Puting beliung Soulik menyebabkan sistem pengangkutan dan perdagangan di seluruh Taiwan terjejas dengan anggota kecemasan di Taiwan masih bertungkus-lumus untuk mengembalikan semula tenaga elektrik untuk kira-kira 520,000 kediaman dan mengalihkan ratusan pokok yang tumbang di jalan raya. Kali ini taufan melanda wilayah China di Fujian pada petang semalam, dengan kelajuan angin 119 kilometer sejam, demikian menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China. Kira-kira 300,000 penduduk di Fujian terpaksa dipindahkan dari rumah mereka, lapor agensi berita rasmi Xinhua. Di Fujian dan Zhejiang, satu lagi wilayah pesisir pantai, perkhidmatan kereta api digantung sementera manakala penerbangan dibatalkan dengan bot nelayan diarah kembali ke pelabuhan. Perkhidmatan kaji cuaca China memberi amaran kemungkinan berlakunya tanah runtuh dan banjir. - AP |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan