Nuffnang

Nurul Izzah Anwar

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:24 PG

Nurul Izzah Anwar


TPP (Trans-Pacific Partnership): Kedaulatan Malaysia Dikorbankan Demi Perdagangan Bebas?

Posted: 13 Jun 2013 09:02 PM PDT

(TPP) adalah inisiatif Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang bakal melibatkan 12 buah negara dan secara terkini memasuki pusingan rundingan ke-17. Malaysia telah menyertai perbincangan TPP mulai Oktober 2010.

Malangnya, rakyat Malaysia termasuk Ahli Dewan Rakyat tidak dimaklumkan mengenai kandungan perbincangan TPP. Pengecualian dari perbincangan, debat atau sebarang bentuk penyertaan , apatah lagi keseluruhan proses mendapatkan pengesahan Parlimen sebenarnya menafikan hak orang awam untuk mengawasi, meneliti mana-mana perjanjian antarabangsa -sama ada dua hala atau pelbagai hala yang boleh menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara.

Walaupun Kerajaan dibenarkan untuk menandatangani perjanjian dan rundingan antarabangsa tanpa perlu mendapatkan kelulusan Parlimen, skala dan saiz TPP melangkaui mana-mana perjanjian lain di dunia. Selaras dengan matlamat Presiden Barack Obama untuk menjadikannya ‘perjanjian perdagangan’ abad ke-21 yang bernilai, TPP jauh melebihi kuasa dan kualiti perjanjian pelbagai hala yang telah dipersetujui di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Hakikat ini sahaja sepatutnya sudah menjadi amaran bahaya supaya berhati-hati menangani isu tersebut.

Kerisauan utama KEADILAN adalah kemungkinan Kerajaan akan menandatangani perjanjian TPP tanpa mengambil kira pendapat orang ramai, keprihatinan mahupun kepentingan rakyat Malaysia. Walaupun KEADILAN pada dasarnya menyokong FTA jika semua pihak terlibat dalam proses ini, di samping mendapatkan kajian dan pengesahan Parlimen, namun semua FTA mestilah berdasarkan prinsip-prinsip “perdagangan yang adil” yang tidak menjejaskan bidang sosio-ekonomi, alam sekitar, domain budaya, hak-hak pekerja, orang awam keselamatan dan keselamatan negara. Dengan itu, KEADILAN mendesak akan penubuhan satu kumpulan pakar kajian tahap Parlimen yang terdiri daripada pakar-pakar Malaysia dan seluruh dunia untuk meneliti tentang maklumat terperinci TPP dengan kadar segera.

KEADILAN punyai alasan yang munasabah untuk mengambil berat. Ini adalah kerana dengan menyertai perjanjian perdagangan tersebut:-

- TPP memberikan hak undang-undang lebih kepada perniagaan asing berbanding yang tersedia kepada perniagaan domestik melalui fasal dipanggil resolusi penyelesaian pertikaian “pelabur-kerajaan” (ISDS). Justeru, kami mempersoalkan niat kerajaan menyertai satu perjanjian yang memberikan kuasa kepada syarikat-syarikat asing untuk mencabar undang-undang negara dan peraturan-peraturan di luar mahkamah domestik. Mereka tidak lagi diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi menerusi undang-undang tempatan terlebih dahulu. Situasi ini sangat menakutkan kerana ia membolehkan syarikat-syarikat asing untuk memintas undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal untuk kepentingan orang awam terutamanya undang-undang yang berkaitan dengan sumber semula jadi, perlindungan alam sekitar, dan dasar kesihatan.

- TPP mengandungi peruntukan berhubung pelanggaran berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS) yang terdiri daripada farmaseutikal asas sehingga maklumat dalam talian digital. Peruntukan ini akan menyebabkan peningkatan kos ubat-ubatan yang dibeli oleh Kerajaan kita, dan juga untuk penggunaan sendirian ubat-ubatan. Selain itu, beberapa peruntukan akan menghalang privasi, ungkapan dan inovasi di Internet sebagai Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) yang dikehendaki untuk memantau aktiviti harian pengguna internet, dan diberi kuasa untuk bertindak dengan cara melumpuhkan akses atau penjerut jalur lebar, lantas menghalang kebebasan bersuara secara langsung.

Jikalau Kerajaan berhasrat menandatangani perjanjian TPP, kami menuntut kerajaan Malaysia memastikan jaminan dan keselamatan tertentu:

1) Memperkukuhkan undang-undang alam sekitar kita dengan piawaian antarabangsa untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan ekosistem.
2) Mencontohi amalan terbaik antarabangsa untuk menentang sekeras-kerasnya ISDS, dan menggabungkan amalan-amalan terbaik dalam Penyata Dasar Perdagangan.
3) Menggubal undang-undang untuk melindungi kepentingan pengguna internet tempatan dan mengekalkan kebebasan maklumat selagi ia tidak melanggar undang-undang keselamatan yang sedia ada.

Satu kajian telah dibuat oleh Institut Peterson, yang menyatakan bahawa Malaysia bakal mendapatkan keuntungan yang besar melalui TPP. Walau bagaimanapun, ramalan tersebut tidak sesekali mengutamakan kesan perjanjian perdagangan ini terhadap jurang pendapatan rakyat atau pengekalan alam sekitar negara kita. Justeru, harus disedari bahawa TPP(terutama proses yang membawa kepada kesepakatannya) akan menimbulkan pelbagai risiko sosial, politik dan ekonomi, yang akhirnya akan menjejaskan integriti sebenar perjanjian TPP.

Saya akan membuat satu usul di Parlimen bagi menuntut pembentukan Kumpulan Pakar Parlimen mengenai TPP – sebagai syarat bahawa badan legislatif harus dimaklumkan tentang sebarang perjanjian yang mengikat negara kelak. Hal ini adalah untuk memastikan perlindungan hak demokrasi Parlimen Malaysia, terutamanya peranan legislatif Parlimen dalam menyemak dan meratifisasikan pengesahan semua bentuk perjanjian.

Ternyata, kebimbangan tentang kepentingan negara tidak boleh diremehkan. Kami tidak akan menerima jaminan membuta-tuli bahawa Kerajaan Malaysia akan melaksanakan tugasnya atas kegagalan menjamin kepentingan dan kedaulatan negara sepanjang perjanjian-perjanjian antarabangsa sebelum ini seperti pertikaian sempadan (territorial disputes) Pulau Batu Putih dengan Singapura dan Blok L dan M dengan Brunei; Perjanjian Bekalan Air dengan Singapura dan Perjanjian Tanah KTM Tanjung Pagar juga dengan Singapura.

Saya akan terus memberi keutamaan kepada penglibatan dengan wakil-wakil Dewan Perniagaan kaum Cina, Melayu, India di dalam hal ini. Kami menerima dengan baik jemputan Kedutaan Amerika Syarikat yang menawarkan ruangan dialog dengan pelbagai kumpulan perniagaan dan masyarakat sivil di Malaysia dalam pemaknaan rundingan TPP. Saya berhasrat untuk mewakili kepentingan rakyat Malaysia dalam pusingan perundingan seterusnya yang akan diadakan di Malaysia dan akan membawa dengan saya wakil-wakil dari Dewan Perniagaan masing-masing yang jua berkepentingan.

TPP ini mungkin dibentuk dengan semangat ‘Perdagangan Bebas’, tetapi adakah ia benar-benar ‘perdagangan yang adil’ buat Malaysia?

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP