N50 Dun Sri Muda |
- Pandangan Penganalisis Politik - MSO
- Apakah Skop Kerja Jawatan Pegawai Politik - Shuhaimi Shafiei
- SPR Harus meyakinkan Rakyat
- Pesanan Presiden
Pandangan Penganalisis Politik - MSO Posted: 02 Jun 2013 11:51 PM PDT Pandangan Penganalisis Politik-MSO Isu Azmin dan Dr Rani, Elok Khalid Tidak JelaskanLebih baik Khalid tidak cuba menjelaskan isu berkenaan. Rasanya tinggal saja isu itu biar ia mereput sendiri lebih baik. Betapa pun alasan diberikan, orang tidak akan terima, kerana hakikatnya kenapa Azmin dan Dr Rani tidak dapat jadi Exco orang sudah tahu. Sudah dihadam dan sudah pun menjadi najis. Faktor masa dan kapasiti yang disebut Khalid itu menyebabkan orang akan ketawa. Kapasiti apa? Memang jumlah Exco hanya 10 orang saja. Dan cara pembahagian 6:4:4 itu tidak menjejaskan mereka untuk mendapat peluang menjadi Exco, sebab mereka ketua. Ketua biasa diletakkan di hadapan bukan di belakang. Diberi juga alsan kerana mereka ketua parti, maka elok mereka menumpukan kepada parti. Apakah kerja untuk memperkasakan parti terletak dibahu mereka, dan bukankah jawatan Exco membantu mereka? Apakah Khalid sudah ubah semangat perlantikan Exco bahawa ketua parti tidak boleh menjadi Exco kerana mereka harus perlu menumpukan tugas kepada memperkasakan parti? Tidakkah jawatan MB itu dapat dipegang bila parti berkuasa? Kalau begitu sesiapa pun hendak duduk seperti Khalid. Tidak menjadi ketua tetapi dapat menjadi MB. Ia mudah, ringkas dan menguntungkan. Khalid tidak payah bersusah memperkasakan parti yang memungkin dia menjadi MB. Serah saja kepada sang ketua. Peraturan dibuat Khalid itu atau cuba diketengah Khalid itu songsang 'kalak'. Maksudnya songsang jenis tahap biawak. Ia umpama biawak yang berjalan mengiring macam ketam. Formula atau teori 'ekonomi' Khalid dalam hal ini berada di tahap 'gombal' dan tidak boleh dipakai. Selogiknya ketua partilah yang menjawat jawatan lebih tinggi dalam kerajan seperti MB atau Exco itu. Tidak berbangkit di sini soal kuasa dan perkenan sultan. Kuasa dan perkenan sultan itu hal lain yang ganjil dan ajaib. Tindakan sultan dalam amalan sebegini adalah sesuatu yang luar biasa. Lebih baik Khalid berterus terang saja menceritakan hakikat sebenarnya. Ketelusan dan integriti Khalid selama ini tercemar dengan cerita ala-ala pak pandir dan sekelompok kumpulan lawak Jawa begitu mengenai Azmin dan Dr Rani itu. Khalid harus insaf sesiapa di dalam dunia ini bila dia bertanding dalam pilihan raya, cita-cita tertingginya menjadi MB kalau peringkat negeri. Peringkat pusat pula menjadi perdana menteri. Hanya wakil rakyat yang 'terputus wayer' sahaja yang tidak pernah ada cita-cita ditahap itu. Lazim mereka yang syahwat hidup akan ada keigininan untuk berkahwin. Tolollah seseorang ahli politik itu kalau tidak ada azam dan cita-cita demikian. Apakah Khalid seorang yang bersifat demikian? Nampaknya tidak. Beliau juga seperti seronok dengan jawatan MB Selangor. Lebih seronok dari menjadi Pengerusi Eksekutif PNB atau jaga estet sawit, di Guhtrie. Kepada Khalid jangan cuba mengajar orang makan pisang kalau kita sendiri cerah perut bila makan pisang. Ajarlah orang makan apel seperti mana apa yang kita makan baru orang lain juga sihat dan gemuk seperti kita. Sebelum ini Setiausaha Politik Khalid juga, Faekah Hussein cuba memberi penjelasan apa yang berlaku. Kononnya perlantikan Exco Selangor tidak ada campur tangan mana-mana pihak dan ia mendapat kerjasama baik dari pihak Sultan. Iya ... baik, baik sebab kerjasama itu berpihak kepada anda. Cuba kalau kerjasama itu tidak berpihak kepada anda, tidak cukup mulut untuk bercakap mengenainya dan tidak cukup kertas untuk menukil fasal itu. Tidak terlambat untuk Khalid atau Faekah untuk menjelaskan kedudukan sebenrnya. Tidak ada guna kita bersikap hendak menjaga aib muka orang lain tetapi terpaksa melomorkan najis ke muka orang lain di satu pihak. Biarlah bersikap adil dan pro. Berkata benar itu lebih baik dari segala-galanya. Lagipun baik Azmin dan Dr Rani mereka sudah menerima hakikat kenapa mereka tidak boleh menjadi Exco. Bukan kerana soal kapasiti dan masa seperti Khalid sebutkan tetapi kerana lain yang begitu dijaga untuk tidak diluahkan. Khalid tidak perlu mengambil hati kedua mereka dan penyokong mereka lagi. Guna saja alasan yang benar itu untuk menceritakan segala-galanya. Khalid bilanglah, orang tidak marah sebaliknya orang akan menerima asalkan ia benar dan tidak cuba ditimbuskan dengan perkara-perkara lain seperti kapasiti dan masa itu. Walaupun Khalid sudah baik, tetapi beliau perlu menjadi lebih baik dan ikhlas dengan berterus terang dalam soal ini. |
Apakah Skop Kerja Jawatan Pegawai Politik - Shuhaimi Shafiei Posted: 02 Jun 2013 11:16 PM PDT SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjelaskan mengenai pelantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar yang didakwa tidak pernah dibincangkan secara lanjut dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor. Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, MPN Selangor juga ingin mengetahui skop kerja jawatan itu supaya lebih jelas peranannya. "MPN Selangor akan meminta penjelasan lanjut daripada Tan Sri Abdul Khalid kerana timbul pertanyaan mengapa pula Setiausaha Agong PKR selaku ahli politik boleh dilantik ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. "Manakala saranan MPN Selangor di Kongres ke-9 PKR di disanggah tidak mahu pentadbiran kerajaan negeri melibatkan orang politik," katanya. Shuhaimi menegaskan, semua posisi penting yang berada di pentadbiran kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan yang terdiri dari Menteri Besar, Exco kerajaan negeri dan ahli majlis adalah terdiri daripada orang politik. Beliau juga mempersoalkan dengan pelantikan tersebut, bagaimana pula tafsiran tidak mahu orang politik berada dalam kerajaan dapat dipenuhi atau diabaikan. "PKR Selangor bertegas saranan pemantapan organisasi melibatkan ahli Pakatan Rakyat (PR) berkelayakan perlu dilakukan dan menyokong apa juga usaha pemantapan secara menyeluruh perlu segera dilaksanakan bermula di pejabat MB, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), pihak berkuasa tempat (PBT) dan seterusnya GLC lain," katanya. Beliau berkata, peristiwa seorang wakil rakyat PR dihalau keluar dari mesyuarat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu segera ditangani kerajaan negeri kerana insiden itu memalukan keseluruhan sistem penyampaian pentadbiran kerajaan Selangor. Malah katanya, PKR Selangor menekankan penglibatan anggota PR yang berkelayakan supaya dasar bersama PR boleh segera dimulakan bagi memenuhi mandat besar diperoleh dalam PRU13 sinarharian |
Posted: 02 Jun 2013 10:36 PM PDT PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal buat PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya. "Malah, pengumuman tersebut membuktikan bahawa Kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia," kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan media hari ini. Katanya, PKR sekali lagi menuntut SPR untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik. Sebagai langkah permulaan, selaras dengan usul di Kongres Nasional Tahunan ke 9 PKR pada 25 Mei lalu, PKR kekal menuntut agar Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Omar segera meletakkan jawatan. "Ini bagi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa. Menurut beliau, Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR. SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik. "Oleh kerana itu, PKR bersama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri," tegas beliau. Azmin juga menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor-syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya. "Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlaku 'conflict of interest' dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan pelaksanaan pilihan raya," katanya. fmt |
Posted: 02 Jun 2013 10:02 PM PDT KUALA LUMPUR, 2 Jun — Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengingatkan anggota partinya agar meneruskan perjuangan mereka walaupun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah berlalu, serta tidak termakan dengan "helah" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Wan Azizah menegaskan, tindakan Najib mengumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diletakkan di bawah jawatankuasa khas pilihan Parlimen (PSC) adalah cubaan mengalih perhatian sebenar dalam isu penipuan pilihan raya dan menjadikan beliau seolah-olah sedaya upaya memperbaiki imej pengendali pilihan raya tersebut sebagaimana tuntutan aktivis Bersih dan Pakatan Rakyat (PR). "PRU13 belum selesai, kemenangan kita dirampas, kita kena teruskan lagi ... sebab ini kalau kita biarkan PRU13 berlalu begitu sahaja, rakyat akan lupa. "Kita juga jangan terpedaya dengan helah Najib ... dulu semasa Bersih, kita lari bertempiaran, pedih mata, kemudian selepas berhimpun, masuk Parlimen dengan wakil rakyat, wujudkan jawatankuasa khas, tapi tak banyak perubahan pun," kata Wan Azizah dihadapan pemimpin akar umbi PKR ketika majlis minum petang di Taman Tasik Perdana di sini. Dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan pengendali pilihan raya itu, Najib semalam mengumumkan SPR akan dikawal selia oleh panel PSC yang merangkumi pemimpin daripada kedua-dua parti politik kerajaan dan pembangkang bagi meningkatkan kredibiliti mereka. Isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga mendakwa, isu persempadanan pilihan raya juga menyebabkan PR tewas apabila SPR terlibat untuk menewaskan pembangkang. "Saya percaya rakyat dah beri kita mandat dalam pilihan raya lalu ... Namun persempadanan semula menjadi masalah, dia pusing-pusing nak kalahkan kita. "Undi-undi ini SPR memang terlibat nak kalahkan calon PR," katanya lagi, dan mengingatkan kepada wakil rakyat PKR agar meneruskan khidmat mereka di kawasan yang telah dimenangi. "Kita dah menang, di tempat kita menang, kita kena beri khidmat kepada rakyat," katanya. Pengumuman Najib itu dilihat cubaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap SPR, namun pemimpin pembangkang juga turut menggesa agar Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar digantikan dengan muka baru bagi merealisasikan cadangan tersebut. Malahan, pembangkang turut menuntut agar PSC yang diwujudkan bagi mengawal selia SPR harus diketuai oleh PR bagi mengelakkan konflik kepentingan kata pemimpin daripada gabungan pembangkang. Pengarah pemerhati pilihan raya Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP), Ong Kian Ming berkata ianya disebabkan rasa tidak percaya terhadap SPR. Lebih tinggi dalam kalangan pemimpin PR berbanding BN. Pengendali pilihan raya itu dituduh memihak kepada BN oleh pembangkang dan membantu parti dengan 13 parti komponen itu kekal berkuasa dalam Pilihan Raya 2013 pada 5 Mei lalu. "Kita sudah lihat contoh PSC untuk pembaharuan pilihan raya tidak menunjukkan banyak tindakan berkesan diambil ... salah satu puncanya kerana ia diketuai BN," katanya merujuk kepada jawatankuasa yang dipengerusikan pemimpin komponen BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula membandingkan situasi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di kebanyakan negara-negara Komanwel, yang menjadi lumrah pemimpin pembangkang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan. Di negara yang mempunyai jawatankuasa berkenaan, PAC biasanya bertanggungjawab memantau perbelanjaan kerajaan bagi memastikan keteluasan akauntabiliti. Pemimpin PAS itu berkata, kepentingan seperti itu boleh dilihat dalam cadangan pembaharuan sistem "first past the post" yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah. Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh bagaimanapun menegaskan pembaharuan pilihan raya perlu dilaksanakan supaya SPR lebih adil, telus, dan bebas sebelum PR mengetuai PSC itu dapat dilaksanakan. Ahli Parlimen Kuantan itu turut beranggapan langkah diambil Najib adalah cara mengalih perhatian rakyat terhadap dakwaan penipuan pilihan rata yang dibangkitkan PR. Sejak pengumuman keputusan Pilihan Raya 2013, PR telah menganjurkan Himpunan "Black 505" di seluruh negara menolak keputusan pilihan raya. Penganjurnya, Datuk Johari Abdul turut berkata himpunan berkenaan akan terus dijalankan walaupun Yang Di-Pertuan Agong telah menitahkan agar setiap rakyat menerima keputusan pilihan raya. malaysianinsider |
You are subscribed to email updates from N50 Dun Sri Muda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan