Rabu, 5 Jun 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Sepatutnya Balai Polis Paling Selamat

Posted: 04 Jun 2013 03:47 PM PDT

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, kejadian tiga tahanan mati di dalam lokap dalam masa dua minggu akan menjatuhkan imej serta reputasi polis sekiranya tiada tindakan tegas diambil pada pegawai yang terlibat.

Beliau juga berkata, selaku badan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat, anggota polis yang melakukan kesalahan sehingga menyebabkan tahanan di dalam lokap terbunuh perlu dikenakan tindakan yang tegas serta tidak dilindungi oleh undang-undang.

"Sepatutnya balai polis jadi tempat ruang terselamat bagi mana-mana orang kerana ia tempat yang mengikut undang-undang.

"Bila perkara begini berlaku dan menteri dalam negeri tak ambil tindakan tegas, ini menjatuhkan imej dan reputasi polis dan juga menghilangkan kepercayaan rakyat pada polis," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Dalam masa kira-kira dua minggu, sebanyak tiga insiden kematian tahanan dalam lokap iaitu pada 21 Mei, N Dhamendran, 32, mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada 26 Mei pula, R Jamesh Ramesh, 40, ditemui mati sehari selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. Manakala, pada 1 Jun lalu pula, jurutera P Karuna Nithi, 42, mati dalam tahanan polis di Tampin, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam sidang medianya semalam pula berkata, anggota polis yang didakwa terlibat dengan kematian Dhamendran akan digantung tugas hariannya.

Bagaimanapun, mengulas mengenai tiga kematian tahanan tersebut, Zahid yang mempertahankan pasukan polis berkata, tidak adil jika menyalahkan pasukan polis secara keseluruhan hanya disebabkan tindakan sesetengah anggota yang melampaui garis panduan operasi siasatan.

Berita ihsan Malaysiakini
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tunggu Kebenaran JKR Lawat Tapak Hospital Shah Alam

Posted: 04 Jun 2013 03:46 PM PDT

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata beliau menunggu surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat selama empat bulan berhubung permohonannya melawat tapak serta laporan projek pembinaan hospital di kawasannya.

Selaku wakil rakyat Shah Alam, Khalid berkata beliau bertanggungjawab untuk mengetahui perkembangan pembinaan hospital tersebut.

Katanya lagi, surat permohonan untuk melawat tapak serta laporan tentang projek pembinaan itu telah diberi kepada syarikat kontraktor pembinaan pada Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, syarikat tersebut meminta beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat, untuk memohon pada JKR negeri pada bulan yang sama.

"Lepas hantar surat pada JKR negeri, dia jawab kena dapatkan kelulusan daripada JKR Pusat dan saya telah hantar surat. Sampai sekarang saya tak dapat surat balasan.

"Ini bukan nak bina tempat simpan nuklear. Ini hospital. Apa susah sangat nak beri kebenaran dan laporan. Mereka cuma perlu beri penerangan dan sejauhmana projek itu dah berjalan seperti yang dirancang.

"Ini bukan milik Umno. Ini milik rakyat. Bukan guna duit Umno tapi duit rakyat. Dan saya wakil rakyat kepada rakyat Shah Alam," katanya.

Beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS III Selangor berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini penangguhan berhubung projek tersebut berlaku ekoran pertukaran tender kepada kotraktor pembinaan. Hospital yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu dijangka siap pada Oktober tahun ini.

Pada Disember tahun lalu, menteri kerja raya ketika itu Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dilapor berkata kerja-kerja struktur hospital itu 98 peratus siap namun masih perlu menunggu kerja mekanikal dan kerja elektrik.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada Oktober 2013 dan akan menyediakan 300 katil dan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa daripada sumber dalaman yang diperolehinya, projek itu kini tertangguh lebih 70 hari .

Sehubungan itu, Khalid meminta supaya Menteri Kerja Raya yang baru Datuk Fadillah Yusof supaya campur tangan berhubung perkara ini.

"Jadi saya minta supaya menteri kerja raya yang baru supaya ambil kira tentang perkara ini dan beri kebenaran kepada saya untuk melawat tapak dan beri laporan perkembangan projek," katanya lagi.

Berita ihsan Malaysiakini
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tiada ulasan:

Nuffnang