Selasa, 18 Jun 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Sidang DUN : ADUN PAS fokus ucapan menurut potfolio

Posted: 18 Jun 2013 05:27 AM PDT

Petikan : Buletin Online
 
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/wahid%20sumpah.jpgKUALA TERENGGANU - Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata pengagihan tugas-tugas mengikut beberapa potfolio kepada semua wakil rakyat telah disepakati dan keutamaan akan diberi kepada Adun-adun baru yang muda untuk berucap pada persidangan dewan kali ini.

"Kita (PAS) telah bahagikan tugas-tugas kepada semua Adun, kita beri keutamaan kepada Adun-adun muda yang baru supaya berucap. Ambil peluang ini untuk bercakap di dewan dan yang 'veteran' jika ada peluang dan kesempatan kita juga akan bercakap.

"Kita telah beritahu kepada semua adun ambil kesempatan waktu soal jawab lisan, kemukakan soalan tambahan atau mencelah minta penjelasan.

"Masalah kita (ahli dewan) adalah kerana masa yang terhad, kita (PAS) ramai kali ini. Kadang-kadang isu banyak, bila masa terhad mungkin tidak sempat untuk kupas isu," ujarnya selepas majlis angkat sumpah pada Ahad 16 Jun.

Beliau yang juga ADUN Wakaf Mempelam akan menumpukan soal Petroliam dan berkaitan dengan royalti serta Dana Khas.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Dr%20Alias%20sumpah.jpgSehubungan itu, Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Dewan Undangan Negeri PAS Terengganu YB Dr Alias Razak berkata, beliau akan berucap dalam konteks isu-isu yang berkaitan kesihatan dan teknologi.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya yang juga ADUN Paka akan menyentuh soal pendidikan termasuk pengajian tinggi dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu yang juga ADUN Chukai YB Haji Hanafiah Mat akan memberikan fokus ucapannya kepada soal industri.

Selain itu, ADUN PAS yang lain akan diberi tanggungjawab sebagaimana dibawah;

1. ADUN Ladang YB Dato' Tengku Hassan Tengku Omar - Ekonomi dan Pentadbiran
2. ADUN Tepoh YB Ustaz Hishamudin Abdul Karim - Belia dan Pelancungan
3. ADUN Manir YB Ustaz Hilmi Harun - Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar
4. ADUN Batu Burok YB Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - Pembalakan
5. ADUN Alor Limbat YB Ustaz Ariffin Seraman - Teknologi Maklumat
6. ADUN Sura YB Wan Hapandi - Kemudahan Awam
7. ADUN Teluk Pasu YB Ustaz Ridzuan Hashim - Usahawan dan Pengguna
8. ADUN Rantau Abang YB Alias Harun - Kebajikan dan Wanita
9. ADUN Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah - Agama dan Penerangan

Sidang DUN : Usul bincang perobohan Pasar Payang ditolak

Posted: 18 Jun 2013 05:02 AM PDT

Petikan : Buletin Online

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Dr.%20Syed%20azman%20Usul.jpgKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr. Syed azman Syed Ahmad Nawawi mewakili seluruh peniaga dan semua pihak yang menolak tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mahu merobohkan Pasar Besar Kedai Payang telah membawa usul tersebut ke Sidang Dun Terengganu pada hari ini.

Malangnya, kerajaan Umno-BN berdegil, tidak mahu menerima usul tersebut, bahkan ketika Dr. Syed Azman membacakan usul itu, beliau telah diganggu oleh Speaker DUN Mohd Zubir Embong dan para penyokong Umno-BN. [Lihat Video]

Berikut adalah Teks Usul yang dikemukakan, yang menjadi ucapan Dr. Syed Azman;
Usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan negeri Terengganu.

Tuan Yang Di-Pertua,

Tuan Yang di-Pertua, saya YB Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Kawasan Batu Burok mohon mencadangkan,

"Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu cadangan projek mega bernilai RM400 juta di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu di atas perobohan Pasar Payang yang merupakan warisan begi seluruh rakyat Terengganu Darul Iman.

Projek yang apabila siap dan dikatakan akan menjadi mercu tanda terbaru negeri 'penyu bertelur' itu dijangka akan menempatkan sebuah hotel bertaraf lima bintang 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan sebuah pangsapuri 30 tingkat.

Tuan Yang Di-Pertua,

Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana dengan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang yang telah meniti usia 80 tahun bagi memberi laluan kepada projek mega di bina di atas tapak pasar yang sedia ada. Kontrak yang diberikan juga di 'anugerahkan' kepada 'Taikon-taikon' Cina yang berpengkalan di Kuala Lumpur.

Yang lebih penting lagi adalah, kebanyakan warga Terengganu telah membantah keras rancangan 'projek mega' RM400 juta ini. Ia tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang kini berlaku di negari ini sendiri. Lebih-lebih lagi negeri Terengganu kini terlalu banyak berhadapan dengan projek 'nazak' dan terbengkalai seperti keruntuhan yang berlaku di Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta, Projek Taman Ilmu di Besut yang bernilai hampir RM400 juta dan projek Bebas Cukai di Tasik Kenyir yang bernilai lebih RM300 juta.

Ini ditambah lagi, sejak akhir-akhir ini, banyak warisan di negeri ini yang telah dirobohkan atas nama 'pembangunan'. Di sekitar Kuala Terengganu sahaja telah menyaksikan perobohan Istana Kolam, Pasar Kedai Binjai, Pasar Tanjung, Menara Jam Besar dan yang terbaru adalah Kampung Ladang yang terkenal dengan pusat industri tembaga dan batik yang terus hilang dari peta sejarah. Perkampungan tradisi masyarakat Melayu sejak ratusan tahun juga hilang ditelan arus pembangunan yang amat rakus seperti di Kampung Paya Bunga, Kampung Paya Keladi dan Kampung Lorong Hj. Jamil.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila dengan perobohan Pasar Payang ini akan menambahkan lagi duka masyarakat Melayu Terengganu apabila ia juga akan hilang dari peta sejarah. Pasar Payang ini juga dilihat sinonim dengan tarikan kedatangan para pelancong ke negeri ini. Ia sejak sekian lama telah menjadi satu-satunya "mercu tanda" bagi menarik pelancong ke negeri "penyu bertelur' ini. Ia juga merupakan pusat jualan pelbagai barangan tardisional yang terkenal di Terengganu. Ia juga merupakan warisan rakyat Terengganu yang sejak sekian lama menjadi kebanggaan rakyat Terengganu.

Tuan Yang Di-Pertua,

Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak warisan rakyat dan sejarah negeri Terengganu. Dengan terbinanya sebuah hotel lima bintang dan menara kondominium di situ, akan hilanglah penguasaan pemilikan masyarakat Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu. Begitu juga dengan suasana Pasar Payang yang ada sekarang, ianya adalah 'pasar tradisi' yang menjadi lambang ketinggian adat budaya Melayu. Dengan perubahan persekitaran yang amat mendadak ini, pasar ini amat sukar untuk dikekalkan identiti tradisinya dengan adanya pembangunan lain seperti hotel dan kondominium.

Pasar Payang ini adalah kebanggaan rakyat Terengganu yang perlu dikekalkan dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Pasar ini juga merupakan warisan kebanggaan bagi masyarakat Melayu di Terengganu. Sepertimana kampung Cina yang menjadi kebangaan masyarakat Tionghua, maka begitu jugalah dengan Pasar Payang bagi kaum Melayu di Terengganu.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.

Yang mengusulkan,

YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI,
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu
Kawasan Batu Burok
18 Jun 2013

Tiada ulasan:

Nuffnang