Namun sayang sekali di Terengganu, hanya 17 kerusi yang ingin 'disuap'.

Semasa sambutan hari Natal pula, Abdullah Quilliam akan menggandakan sesi pemberian makanan. Akhbar tempatan melaporkan antara 200 ke 400 orang kanak-kanak Inggeris dijamu makanan pada waktu pagi dan antara 400 ke 600 orang kanak-kanak Inggeris disuapkan sandwic daging dan menghirup teh panas, untuk mengatasi kedinginan musim sejuk yang mencengkam anak-anak kecil.

Berlaku adil dan berkasih sayang kepada rakyat yang susah, lebih-lebih lagi semasa sambutan hari Krismas, menjadikan Abdullah Quilliam lebih dekat dengan ajaran Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW.

Abdullah Quilliam berlaku adil tatkala Muslim merupakan etnik minoriti. Apa susah sangatkah untuk Ahmad Said berlaku adil semasa memimpin kumpulan majoriti? Guru hebat, murid sama hebat.
Lord Stanley of Alderley Edge merupakan salah seorang tokoh bangsawan yang telah memeluk Islam di hadapan Abdullah Quilliam.

Semasa beliau meninggal dunia pada Disember 1903, penyempurnaan jenazah beliau menjadi konflik antara Abdullah dan paderi-paderi gereja.

Paderi-paderi gereja menyangka Lord Stanley masih seorang Kristian. Hujah mereka ialah beliau berterusan menyumbang perbelanjaan menyenggara gereja-gereja sedia ada dan membina gereja gereja baru di tanah-tanah milik beliau.

Justeru mereka berpendapat bahawa jenazah Lord Stanley mesti diuruskan mengikut tatacara agama Kristian.

Namun Abdullah Quilliam menunjukkan surat wasiat Lord Stanley yang meminta agar jenazah beliau disemadikan berdasarkan tatacara Islam. Ini membuktikan beliau memang meninggal dunia sebagai seorang Muslim.

Sungguh menarik apabila Abdullah berhujah bahawa beliau terus membiayai penyenggaraan dan pemulihan gereja-gereja di atas tanah beliau yang luas itu kerana itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Lord Stanley sebagai seorang Muslim.

Indah sekali apabila "orang kita" dibiaya, "mereka" turut sama merasa.

Islam mendidik keadilan

Biarpun fizikal Abdullah Quilliam dan Lord Stanley lahir sebagai seorang Kristian, Islam telah
membangunkan roh mereka menjadi pemimpin yang adil. Mereka bertindak sebagai khadimul ummah, iaitu pelayan umah, melangkaui sempadan bangsa dan agama agar rakyat harmoni dan bahagia.

Adilkah jika pada tahun 2008 wakil rakyat BN daripada 'team B' berterusan memulaukan Ahmad Said walaupun setelah diperkenaan Tuanku Sultan?

Adilkah jika seorang menteri besar digaji oleh seluruh rakyat namun hanya berkhidmat dengan syarat? Adilkah jika rakyat di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut menolak untuk membayar cukai pintu dan cukai tanah?

Adilkah apabila royalti hasil minyak negeri Terengganu pernah dinafikan kepada rakyat Terengganu oleh orang Terengganu sendiri? Bibir kita boleh mengetap, namun hati kita pasti boleh menjawab.

Rakyat, sama ada yang memangkah atau tidak memangkah BN pada 5 Mei lalu, mesti bersikap adil dengan menghormati Ahmad Said sebagai menteri besar. Demikian juga Ahmad Said mesti berlaku adil kepada sekalian rakyat Terengganu.

Simbiosis keadilan ini yang akan mewujudkan kebahagiaan dan kemajuan. Legasi keadilan
Setelah seribu tahun, Khalifah Umar Abdul Aziz terus diingati walaupun hanya memerintah selama dua tahun.

Selepas seratus tahun, Abdullah Quilliam meninggalkan kesan di hati orang Melayu walaupun beliau seorang Inggeris. Selepas lima tahun, kami yakin Ahmad Said boleh bersifat lebih adil daripada kata-katanya.

Legasi ketokohan seorang pemimpin bukan pada tempoh pemerintahan mahupun pada bangsanya. Wibawa seorang pemimpin itu terletak kepada keupayaan melimpahkan keadilan untuk dinikmati seluruh rakyat jelata.

Orang Melayu, Cina dan India akan terus makmur dan sejahtera andai legasi Abdullah Quilliam dirasai bersama!