Rabu, 8 Mei 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Jenuh angkut air 100 meter

Posted: 08 May 2013 02:21 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Jenuh angkut air 100 meter

Jeyaindran (lima, kiri) menyerahkan paip untuk dipasang di kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Bersih.
ULU SLIM - Kesukaran penduduk Orang Asli di Pos Bersih yang terpaksa mengambil air di Sungai Ko'ol untuk kegunaan seharian bakal tamat apabila Yayasan MyNadi menghulurkan bantuan tersebut.
Sebelum ini, penduduk Orang Asli di kawasan itu terpaksa mengangkut air dari Sungai Ko'ol  dengan jarak 100 meter dari kawasan perkampungan mereka.
Tok Batin, Lupa a/l Kadir, 59, berkata, kira-kira 130 penduduk Orang Asli di kawasan itu terpaksa mengangkut air setiap hari untuk kegunaan harian termasuk memasak kerana tidak mempunyai kemudahan mendapatkan bekalan air bersih.

Menurutnya, beliau turut menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk memasang paip dari sungai ke satu tempat bagi memudahkan penduduk mendapatkan air tanpa perlu turun ke sungai.

"Ketika ini, saya nekad untuk berbuat demikian kerana tidak mahu lagi melihat penduduk terpaksa mengangkut air dari Sungai Ko'ol ke rumah.

"Namun, keadaan itu bakal berubah apabila Yayasan MyNadi memberikan salur air sepanjang 100 meter untuk dipasang," katanya.

Kata Lupa, berita yang diterima disampaikan oleh Pengerusi Yayasan MyNadi, Datuk Dr S Jeyaindran ketika lawatan beliau ke perkampungan Orang Asli itu disambut dengan hati gembira.
"Inilah berita yang kami nanti-nantikan sejak dahulu sekali gus penduduk turut menikmati  kemudahan diberikan oleh kerajaan.

"Pemasangan yang dibuat secara bergotong-royong penduduk dalam tempoh terdekat sekali gus menyelesaikan masalah kami di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Khas Yayasan My Nadi, C Ramesh Arumugam berkata, kesukaran penduduk untuk mendapatkan air dapat diatasi apabila Yayasan MyNadi memberikan salur air
kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Projek dijangka siap dalam tempoh sebulan dan akan dipantau oleh pihak yayasan," katanya.

harakahdaily/-

Hidup mati politik saya di Johor - Salahuddin

Posted: 08 May 2013 02:17 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Biarpun gagal menawan kerusi Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya, Salahuddin Ayub tidak sesekali meninggalkan negeri tersebut.

Malah, Johor merupakan destinasi beliau untuk meneruskan karier politiknya, meskipun tidak bergelar wakil rakyat.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Naib Presiden PAS itu berkata beliau tidak akan ke mana-mana, biarpun jika ditawarkan untuk bertanding di negeri lain pada pilihan raya umum ke 14.

"Saya tidak akan ke mana-mana. Johor adalah destinasi politik saya. Hidup mati saya di Johor seperti janji saya pada kempen sebelum ini," tegas beliau.

Selain menumpukan kerja-kerja khidmat di Johor, beliau juga akan menumpukan kerja-kerja parti sebagai naib presiden.

Ketika ditanya perasaannya apabila tewas di kedua-dua kerusi itu, Salahuddin berkata beliau tidak kecewa dengan keputusan itu, sebaliknya berasakan telah berjaya melakukan satu perubahan lanskap politik Johor.

"Saya tidak kecewa. Di kedua-dua kerusi itu saya kalah dengan undi awal. Bagaimanapun, saya telah berjaya melakukan perubahan lanskap politik Johor," tegas beliau lagi.

Pada pilihan raya umum lalu, Salahuddin gagal menawan kerusi parlimen Pulai daripada BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Prof Dr. Zaini Abu Bkar di Dun Nusajaya.

Salahuddin memperolehi 40,525 undi, manakala Jazlan mendapat 43,751 undi dengan majoriti sebanyak 3,226.

Manakala, di Nusajaya, beliau memperoleh 20,965 undi, manakala Dr Zaini memperoleh 23,166 dengan majoriti 2,201 undi.


Pada PRU 2004 dan 2008, beliau memenangi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

harakahdaily/-

MCA desak Chua Soi Lek letak jawatan

Posted: 08 May 2013 02:15 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Selepas kalah dengan teruk dalam pilihan raya umum ke 13, para pemimpin kanan MCA mendesak presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek meletakkan jawatan segera.

Bagi mereka, Chua gagal dalam memahami sentimen masyarakat Cina sehingga ditolak dengan teruk bahkan paling teruk dalam sejarah politik negara.

Tiga dari pemimpin MCA iaitu ahli Jawatankuasa Pusat, Lee Wei Kiat (Pengerusi bahagian Subang), Liew Yuen Keong (Pengerusi Bahagian Serdang) dan Tan Chong Seng (Pengerusi bahagian Kuala Selangor) mendesak Chua meletakkan jawatan segera.

Dalam PRU 13 ini, Chua mengambil sikap menentang secara bersungguh-sungguh PAS dan Pakatan Rakyat sehingga menghina syariat Islam.

Antara kempen MCA adalah undi DAP = undi PAS = sokong hukum hudud.

Iklan-iklan mengenainya dibeli MCA dan diletakkan dalam akhbar-akhbar harian negara.

Dalam pilihanraya kali ini, dari 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya, MCA hanya menang tujuh kerusi.

Dari 90 kerusi DUN yang ditandingi MCA pula, parti cauvenis Cina itu hanya menang 11 kerusi.

Hampir kesemua kerusi yang ditandinginya dimenangi oleh DAP yang dilihat lebih lembut bahkan menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.

"Perpecahan dalaman yang semakin meluas, cenderung kepada puak dalam pemilihan calon dan kritikan yang tidak wajar Chua kepada masyarakat Cina telah merosakkan lagi imej parti," kata kenyataan ketiga-tiga pemimpin MCA itu.

"Kami mendesak presiden MCA meletakkan jawatan daripada semua jawatan parti kerana dia sudah menjadi bebanan kepada parti," kata mereka dalam kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini.

harakahdaily/-

Elok ibu negeri Pahang dipindah ke Pekan

Posted: 08 May 2013 02:13 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: PAS Pahang mencadangkan agar kerajaan mengisytiharkan Pekan sebagai sebuah bandaraya, kerana bilangan pengundi bagi Pekan jauh lebih besar berbanding ibu negeri Pahang, Kuantan.


"Atau lebih elok kalau ibu negeri Pahang dipindahkan ke Pekan memandangkan kepadatan penduduk di kawasan Pekan meningkat secara mendadak," tulis Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam facebook.


Menurutnya, Parlimen Pekan mempunyai jumlah pemilih seramai lebih 67,000 sedangkan Kuantan yang menjadi ibu negeri hanya seramai 47,000 sahaja.

"Pertambahan lebih 20,000 pengundi mencerminkan kadar kelahiran mendadak berlaku di Pekan, mungkin kerana kesuburan makanan 1Malaysia yang diperkenalkan PM," tulis beliau lagi.


harakahdaily/-

PR Perlis ucap tahniah kepada MB baru

Posted: 08 May 2013 02:12 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KANGAR: Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perlis mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh, Azlan Man selaku Menteri Besar Perlis yang baru menggantikan Datuk Seri Md Isa Sabu.


Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin yang juga Pengerusi Majlis Pakatan Rakyat negeri berharap Azlan dapat memenuhi hasrat rakyat Perlis seluruhnya untuk mentadbir negeri ini dengan prinsip keadilan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

"Pakatan Rakyat sendiri bersedia untuk memberikan kerjasama bagi memenuhi hasrat tersebut.

"Semoga Menteri Besar Perlis yang baru ini akan dapat memainkan peranan beliau dengan sebaiknya dan memberikan berkhidmat untuk rakyat Perlis tanpa mengira apa juga fahaman politik," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

harakahdaily/-

Mahkamah batal beri tanah kepada 5 JKKK

Posted: 08 May 2013 02:04 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Mahkamah memberikan hak kepada para pelalajr sekolah rendah Islam Darul Bayan ini)


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman Sekolah Rendah Islam Darul Bayan ke atas Kerajaan Trengganu dan Pejabat Tanah Dungun bagi membatalkan keputusan Kerajaan Trengganu yang memberikan tanah yang diduduki oleh sekolah itu.

Ini ekoran tindakan kerajaan negeri memberikan tapak sekolah yang diberikan kepada mereka sebelum ini kepada lima individu yang berkait rapat dengan Umno iaitu ahli-ahli dan kroni JKKK Kg Cacar dan Kg Limbung.

Keputusan itu dibuat Hakim  Datuk Haji Mohd Yazid bin Haji Mustafa dalam keputusannya dalam perbicaraan hari ini.

5 individu tersebut adalah Ibrahim bin Abdullah (ahli JKKK Kg Limbung), Abd Ghani bin Muda (suami Setiausaha JKKK Kg Limbung),  Muhamad bin Idris (ahli JKKK Kg Limbung), Rosli bin Hashim (Ahli JKKK Cacar) dan Suhaini binti Abd Karim (isteri Naib Pengerusi JKKK Kg Limbung).

Pada tahun 2003 Kerajaan Terengganu melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian hartanah yang dikenali sebagai PT 15024, Kolam Mak Tegar, Mukim Paka, Dungun kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan.

Hasil kelulusan tersebut pihak sekolah telah mendirikan bangunan sekolah dan asrama bagi anak anak yatim. 

Bagaimanapun pada sekitar tahun 2012 melalui semakan di pejabat tanah di Dungun didapati pada tahun 2011, hartanah tersebut telah diberikan kepada 5 orang individu yang mempunyai hubungan dengan Umno.

Carian juga menunjukkan saiz hartanah yang diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan juga dikecilkan saiznya iaitu dari saiz asalnya seluas 14,827 kaki persegi kepada hanya 9,172 kaki persegi sahaja.

Akibat tidak berpuashati dengan keputusan Kerajaan BN Terengganu itu, pihak sekolah telah melantik peguam iaitu Tetuan Mazwan & Nasar untuk mencabar pemberian hakmilik hartanah kepada 5 individu Umno itu agar di batalkan oleh Mahkamah.

Setelah mendengar hujah-hujah lisan dan bertulis peguam pihak sekolah tersebut iaitu Encik Mohamed Hanipa Maidin dan Encik Nasar Khan dan hujah Peguam Kanan Persekutuan dariPejabat Penasihat Undang Undang Negeri Trengganu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustapa hari ini memutuskan memihak kepada Sekolah Islam Darul Bayan.

(Hanipa...peguam yang kini anggota Parlimen Sepang)

Hakim Mohd Yazid mengisytiharkan keputusan Kerajaan Terengganu memberi hakmilik hartanah tersebut kepada 5 individu yang dikaitkan dengan Umno itu adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim juga memerintahkan perintah certiorari dikeluarkan bagi memadamkan kesemua nama 5 individu tersebut dari rekod pendaftaran di Pejabat Tanah.

Dalam keputusan bertulisnya yang dibaca hari ini, hakim juga menyatakan beliau bersetuju dengan hujah peguam pihak sekolah tersebut iaitu pemberian hakmilik hartanah tersebut kepada 5 individu tersebut tanpa kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan PAS dibatalkan terlebih dahulu adalah keputusan yang tidak adil, tidak munasabah dan tidak rasional.

Keputusan itu juga, menurut Mahkamah, meranapkan jangkaan sah (legitimate expectation) Sekolah Islam Darul Bayan untuk diberikan hak untuk didengar atas alasan apakah hartanah itu diberikan kepada 5 individu tersebut.

Dalam piliharaya umum ke 13 baru-baru ini kerusi Dun Paka dan Parlimen Dungun telah dirampas oleh Pakatan Rakyat dari BN.


sinar/-

Perompak disimbah air cili

Posted: 08 May 2013 01:50 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



SYDNEY - Seorang pekerja bertindak menyimbah air cili ke arah seorang lelaki selepas cuba merompak wang di dalam mesin juruwang di sebuah restoran di Fleet, Sydney, Australia.

Polis New South Wales, Ralp Deans berkata, sebelum kejadian itu, lelaki berkenaan telah membuat beberapa pesanan makanan dan minuman.

Menurutnya, selepas selesai menikmati hidangan, lelaki itu dipercayai bertengkar dengan seorang pelayan ketika ingin membuat pembayaran.

"Lelaki itu kemudiannya meluru ke arah ruang kaunter dan cuba untuk membuka mesin juruwang sambil berlaku aksi tolak menolak," katanya dipetik dari laporan AFP.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan dihalang oleh seorang lagi pekerja di restoran hingga menyebabkan beliau bertindak menyimbah air cili ke muka lelaki berkenaan.

sinar/-

3 mangsa culik ditemui selepas 10 tahun

Posted: 08 May 2013 01:28 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



mangsa culik

Pihak berkuasa sedang berkawal di luar rumah di Cleveland, di mana tiga mangsa hilang ditemui, kelmarin. Gambar kecil: Amanda (kiri) dan Gina.
CLEVELAND - Tiga wanita Ohio dipercayai telah diculik secara berasingan kira-kira 10 tahun lalu ditemui masih hidup dalam sebuah rumah di Cleveland, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Polis memberitahu, satu panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa, Amanda Berry yang dibebaskan dengan bantuan jiran selepas mendengar jeritannya.

Dr Gerald Maloney di Pusat Perubatan MetroHealth memaklumkan Amanda bersama dua lagi mangsa, Gina DeJesus dan Michelle Knight kini berada dalam keadaan baik.

Difahamkan, dua daripada mangsa diculik semasa mereka masih berumur belasan tahun manakala seorang lagi ketika berumur awal 20-an.

Dalam perkembangan lain, tiga suspek berumur lingkungan 50-an itu juga telah ditahan polis dan salah seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai pemandu bas sekolah di kawasan tersebut, laporan dipetik daripada Reuters.

Hampir hujung nyawa

Posted: 08 May 2013 01:21 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Bagan Serai: Tindakan seorang remaja memberhentikan basikalnya di persimpangan jalan untuk membetulkan rantai basikal mengundang padah apabila dia nyaris dirempuh sebuah lori yang berlanggar dengan sebuah kereta di Taman Sri Kurau,di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Marzuki, 15, berkata dia terpaksa memberhentikan basikalnya apabila rantai basikalnya terlucut ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
"Ketika itu saya membetulkan rantai basikal, tetapi terkejut apabila mendengar bunyi rempuhan kuat. Saya jadi kaku melihat sebuah lori dan kereta berlanggar sebelum terbabas ke arah saya.

"Saya hanya mampu memejamkan mata dan berserah kepada Allah SWT kerana tidak sempat lagi mengelak," katanya.

Foto
ORANG ramai melihat keadaan kereta dan lori yang remuk akibat kemalangan di Taman Sri Kurau, semalam.
Marzuki berkata, dia ketika itu sudah terbayang kejadian buruk bakal menimpanya.

sinar/-

Caj tambahan elektrik bagi bil RM77 ke atas

Posted: 08 May 2013 01:17 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


FOTO: GETTY IMAGES

FOTO: GETTY IMAGES
CAJ tambahan satu peratus pada bil elektrik Tenaga Nasional Bhd hanya dikenakan kepada 25 peratus pengguna domestik sebagai sumbangan kepada Tabung Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) untuk melaksanakan Tarif Galakan (FiT) yang berkuat kuasa sejak 1 Disember 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda), Badriyah Abdul Malek berkata, caj tambahan satu peratus itu hanya akan dikenakan kepada pengguna dengan jumlah bil elektrik RM77 ke atas atau penggunaan lebih 300kWh sebulan.

"Sehingga awal tahun ini, Seda telah mengutip RM321.46 juta untuk tujuan membiayai projek-projek tenaga boleh diperbaharui.

"Seda juga telah membayar RM18.7 juta bagi menampung projek yang sedang berjalan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, kelmarin.

Menurutnya, secara keseluruhan, Seda akan membelanjakan RM4 bilion untuk membiayai kos projek-projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara termasuk Sabah yang akan dilaksanakan suku pertama tahun depan.

"Tenaga boleh diperbaharui penting bagi menukar sumber tenaga negara daripada bahan api fosil yang telah dikenal pasti penyumbang besar kepada pemanasan global dunia kepada solar fotovoltik, biomass, biogas dan hidro kecil," katanya.

Badriyah berkata, penjelasan berhubung caj tambahan itu perlu dilakukan selepas isu itu hangat diperkatakan di laman sosial.

Menurutnya, pengguna yang terlibat dengan caj tambahan itu turut berpeluang menyertai Program Rumah Solar Atas Bumbung yang dilancarkan Seda sejak September tahun lalu.

"Sehingga kini kami telah meluluskan 1,000 permohonan daripada pengguna sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Perak untuk program itu," katanya.


sinar/-

Raikan 13 Mei hari persaudaraan rakyat Malaysia

Posted: 08 May 2013 01:14 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan menyeru semua pihak terutama generasi muda agar menjadikan tarikh 13 Mei sebagai hari persaudaraan buat seluruh rakyat Malaysia.


Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, sejarah hitam negara yang tercetus pada 13 Mei 1969 telah meninggalkan kesan mendalam untuk pembentukan masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera. 

"Detik 13 Mei selayaknya dihadapi dan diingati sebagai "Hari Persaudaraan" kerana mengambil iktibar dari kesan api fitnah perkauman yang keterlaluan. 

"Hari ini generasi kita mesti menolak sepenuhnya seruan, tulisan, provokasi, himpunan dan tindakan yang berbau perkauman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang cuba mengaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dengan perkauman sempit.

Semalam, akhbar Umno, Utusan Malaysia menyiarkan tajuk "Apa lagi Cina mahu" di muka hadapan akhbar mereka ekoran keputusan PRU13 yang menyaksikan majoriti kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat.

Ia ditambah lagi dengan majoriti kerusi yang ditandingi DAP menang, manakala MCA tewas teruk.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata pencinta keamanan pastinya resah dengan percubaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menghidupkan kembali sentimen 13 Mei dengan tragedi perkauman berdarah.

"Justeru itu saya menyeru semua pihak terutama generasi muda agar tidak diulang pengalaman ngeri ini saat kita menikmati keamanan dan kesejahteraan hidup biarpun tidak sempurna sebagaimana yang diidamkan.

"Pihak berwajib jangan memandang sepi dan mengambil mudah realiti ini. Bersamalah kita bangunkan negara dan memaju-makmurkan rakyat dalam negara ini," katanya.

harakahdaily/-

9 kereta tertimbus tanah runtuh

Posted: 08 May 2013 01:11 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kuala Lumpur: Sembilan kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi, kira-kira jam 7.05 malam semalam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang pemandu kenderaan nyaris tertimbus ketika cuba mengeluarkan keretanya.
Mangsa M Logeswaran, 28, berkata, ketika dia tiba di tempat kejadian jam 7.45 malam, keretanya hanya tertimbus 40 peratus sebelum cuba mengeluarkan kenderaan itu bagi mengelak kerosakan lebih teruk.

Dia yang juga seorang jurutera berkata, ketika dia hendak mengeluarkan keretanya yang baru dibeli dua bulan lalu itu, dia terdengar bunyi kuat dan nampak tanah runtuh di hadapannya dan sempat melarikan diri ke kawasan selamat.

Foto
TANAH setinggi 25 meter runtuh dalam kejadian hujan lebat berhadapan Stesen LRT Dang Wangi.

"Saya nampak motosikal beberapa anggota polis yang sedang bertugas turut ditimbus tanah yang baru runtuh itu," katanya.

metro/-

Terpelanting disambar api

Posted: 08 May 2013 12:55 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pelabuhan Klang: Tiga lelaki warga Bangladesh kritikal selepas seluruh tubuh mereka melecur dalam kejadian letupan di sebuah kilang tayar di Jalan Pusara, Telok Gong, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang melakukan proses pembakaran tayar untuk mengasingkan getah tayar dengan besi, terpelanting selepas api tiba-tiba keluar dari ketuhar pembakar tayar ketika membukanya.

Semua mangsa yang berusia 30-an itu menjerit meminta tolong daripada rakan sekerja lain kerana tidak tahan kesakitan kerana kulit badan mereka melecur akibat terkena api selain getah tayar yang cair melekat pada badan.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 5.43 pagi sebelum sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke tempat kejadian.

Foto
DUA daripada tiga mangsa yang kritikal diberi rawatan awal kecemasan sebelum dihantar ke HTAR, semalam.

"Sebaik tiba, pegawai operasi mendapati tiada kebakaran berlaku, namun selepas melakukan pemeriksaan di sekitar kilang, beliau mendapati terdapat tiga mangsa sedang terbaring sambil menahan kesakitan berhampiran ketuhar pembakar.


METRO/-

Agong dijangka ziarah Azizan petang ini

Posted: 08 May 2013 12:48 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




ALOR SETAR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual berangkat untuk menziarah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini berada di Hospital Besar Pulau Pinang.

Bekas Setiausaha Politik Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, baginda dijadual tiba pada jam 3 petang ini.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan Azizan yang kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) stabil setakat 12.15 tengah hari tadi.

"Beliau sedang berehat dan masih menerima rawatan. Doakan beliau cepat sembuh," katanya.

Menurutnya, Azizan koma setelah diberi antibiotik akibat jangkitan kuman melalui kakinya yang luka dan tidak dirawat tempoh yang lama.


sinar/-

Khalid patut kekal Menteri Besar Selangor - DAP

Posted: 08 May 2013 12:35 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD]

KUALA LUMPUR: DAP menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Khalid patut kekal sebagai Menteri Besar setelah berjaya mengetuai Pakatan Rakyat mendapat kemenangan dalam piliharaya umum baru-baru ini dengan memenangi majoriti dua pertiga dengan 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor berbanding hanya 36 kerusi pada tahun 2008.

Tambahnya, walaupun DAP memenangi 15 kerusi di samping 15 kerusi daripada PAS dan 14 kerusi PKR, Khalid patut diiktiraf untuk integriti dan perkhidmatannya di Selangor.

"Ini telah membolehkan Pakatan Rakyat bangkit melawan usaha kuat BN yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memenangi kembali Selangor," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, DAP Selangor juga menyokong penuh Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

harakahdaily/-

Dr Khalid mahu tubuh task force pesakit kronik

Posted: 08 May 2013 12:25 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




MELAKA: Anak sulung PAS di Melaka Dr Md Khalid Kassim yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dun Bukit Baru berkata, sebagai langkah awal, beliau akan menubuhkan satu 'task force' untuk membantu pesakit kronik.


Ianya sebagai menunaikan janjinya ketika kempen dahulu unutuk membantu masyarakat sesuai dengan pengalamannya sebagai doktor perubatan.

"Saya juga akan cuba mengimarahkan masjid bukan sahaja dengan ceramah agama saja tetapi dengan program penerangan mengenai kesihatan dan menjana ekonomi penduduk setempat.

"Saya akan buat perkhidmatan turun padang seperti masa kita berkempen kerana merasakan ianya satu tanggungjawab dan keperluan yang begitu mendesak kepada mereka yang terbabit," ujarnya.

Pada PRU13 lalu, Md Khalid menang menewaskan calon BN dengan majoriti tipis 48 undi.

Beliau memperoleh 9,292 undi manakala calon BN Karim Yaacob mendapat 9,244 undi.

Mengulas faktor kemenangannya pula, Md Khalid berkata ianya hasil usaha dan kerja keras jentera parti yang bertungkus lumus meraih undi.

"Alhamdulillah semua Unit Peti Undi kita bergerak, guna semua media termasuk pemuda yang begitu aktif, mula-mula slow lama-lama ia 'ok' dan kemantapan parti daripada orang lama dan baru.

"Saya tak melakukan serangan peribadi kepada calon BN, sebaliknya melakukan sentuhan dengan melawat pesakit kronik, membawa isu Orang Kelainan Upaya yang memerlukan wifi dan menerima aduan penjaja kecil di Bukit Baru mengenai masalah mereka yang tak dipedulikan JKKK," katanya.

HARAKAHDAILY/-

Lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat

Posted: 08 May 2013 12:18 AM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai makan di Sungai Daun, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata mangsa dihampiri seorang lelaki yang memakai topi keledar kira-kira jam 11 malam dan melepaskan dua das tembakan ke arahnya. 
Beliau berkata tembakan itu mengenai kepala lelaki berusia 43 tahun itu dan dia dihantar ke Hospital Sungai Bakap, di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang. 


"Lelaki itu kini berada dalam keadaan koma," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang melepaskan tembakan ke arah mangsa melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama rakannya yang menunggu kira-kira 30 meter dari tempat kejadian.


"Ketika melarikan diri, lelaki terbabit tercicir sebuah beg berisi peluru dan topi keledar yang dipakainya berhampiran tempat kejadian," katanya. 



Mazlan berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian tembakan itu. 



"Kami akan mengambil keterangan daripada saksi kejadian dan anggota keluarga mangsa serta rakan-rakannya," katanya. 



Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Hujan 8 jam tanpa henti

Posted: 08 May 2013 12:09 AM PDT

Foto
27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Bestari Jaya: Hujan lebat lebih lapan jam menyebabkan kawasan penempatan penduduk berhampiran Sungai Selangor, Rantau Panjang, di sini dinaiki air secara mendadak sehingga 0.6 meter menyebabkan 102 penduduk daripada 31 keluarga terpaksa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Rantau Panjang bermula jam 10 pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Rantau Panjang, Rahim Mohd Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan hujan lebat tanpa henti menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rumah penduduk sehingga menyebabkan 97 penduduk resah rumah dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah awal menempatkan penduduk ke kawasan penempatan banjir dengan bantuan penduduk, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis sementara menunggu bantuan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor (PTDKS).

"Tindakan pantas penduduk untuk berpindah ke kawasan lebih selamat mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan limpahan air sungai naik dengan mendadak dan melimpah ke kawasan rumah penduduk di kawasan lebih rendah.

"Mangsa banjir turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor yang baru, Datuk Irmohizam Ibrahim yang melawat keadaan mereka sebaik sahaja menerima laporan banjir di kawasan ini," katanya.


Rahim berkata, setakat ini makanan dan minuman disediakan jawatankuasa kampung memandangkan belum menerima sebarang bentuk bantuan daripada agensi berkaitan dan berharap musibah banjir yang berlaku segera pulih seperti sedia kala.

BANJIR di Kampung Rantau Panjang mencecah paras pinggang.
"Sememangnya diakui beberapa penempatan penduduk di kawasan ini sering dinaiki air sekiranya hujan lebat tanpa henti dalam tempoh yang lama dan keadaan itu tidak dapat dielakkan berikutan rumah berhampiran dengan sungai.

"Bagaimanapun, bantuan yang diterima sebelum ini amat memuaskan dan penduduk selesa tinggal di balai raya sebelum dibenarkan pulang ke rumah oleh pihak berkuasa," katanya.

Difahamkan, kali terakhir kawasan itu dinaiki air adalah pada 5 Mac tahun lalu apabila sebanyak 71 keluarga dipindahkan. Pada tarikh sama, banjir turut dilaporkan berlaku di lima kampung di Jeram iaitu Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cheraka, Parit Mahang, Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Kuching Hilir.
metro/-

Mahathir sudah bercakap, jarumnya mula mencucuk

Posted: 08 May 2013 12:04 AM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Semalam Dr Mahathir bercakap kepada media dan menzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap prestasi Najib yang beliau anggap lebih buruk dari yang dicapai oleh Abdullah Badawi. BN mendapat tujuh kerusi kurang dari apa yang dicapai oleh Abdullah Badawi yang merangkul hanya 140 kerusi dalam PRU yang lalu. Katanya Najib hanya mendapat 133 kerusi sahaja.

Komen seperti ini sudah dijangka akan datang dari Dr Mahathir, tetapi tidak pula disangka komen seperti ini datang terlalu awal, hanya dua hari selepas keputusan PRU kali ini diadakan. Beberapa bulan dahulu Dr Mahathir telah menyatakan yang jika Najib memperolehi kurang dari apa yang BN perolehi dalam PRU yang lepas Najib sepatutnya meletakkan jawatan. Mungkin kenyataan beliau semalam sekadar untuk mengingatkan Najib apa yang sepatutnya dia lakukan setelah mendapat keputusan yang lemah ini.

Saya menjangka apa yang akan berlaku di dalam UMNO sedikit masa lagi ialah berulangnya apa yang telah berlaku ke atas Abdullah Badawi. Tentulah Mahathir mahukan Najib meletakkan jawatan dan bersara untuk memberikan laluan kepada Muhyiddin. Ini sememangnya agenda Dr Mahathir dari awal. Mahathir mahu memainkan peranan menaik dan menurunkan pimpinan dan itu merupakan 'forte' beliau dalam politik ini.

Tetapi saya selalu memberikan pandangan, jika Najib itu lemah Muhyiddin akan lebih lemah lagi dari Najib. Mereka datang dari acuan yang sama. Saya 'conclusive' dengan pandangan saya, tidak akan ada seorang pun pemimpin dari barisan MKT UMNO hari ini layak untuk menggantikan kepimpinan jika Najib meletakkan jawatan. Mereka semua mempunyai mentaliti dan budaya yang sama. Segala-galanya sama dan ini terhasil dari pimpinan Dr Mahathir yang tidak pernah membaja benih kepimpinan dalam UMNO itu.

Pandangan Dr Mahathir yang mengatakan Najib itu telah gagal, lebih gagal dari Abdullah Badawi itu betul dan Mahathir mesti tahu yang sesiapa yang mengambil alih dari Najib itu akan lebih gagal lagi. Dengan acuan yang terbina oleh Dr Mahathir ini pimpinan UMNO akan bertambah lemah setelah pimpinan lemah diambil alih oleh kepimpinan yang lebih lemah lagi. Tidak mustahil jika Muhyiddin mengambil alih UMNO akan mendapat kekalahan yang lebih besar lagi.

Untuk memberikan sedikit kredit kepada Najib, seramai 88 orang calon UMNO telah menang dalam PRU kali ini berbanding dengan hanya 79 kerusi yang dimenangi oleh parti yang reput ini dalam PRU12 yang lalu, lebih sebelas kerusi.

Adalah satu kesilapan yang akan dilakukan oleh Najib ialah memindahkan kuasa kepada Muhyiddin. Betul, Najib mungkin terpaksa berkorban untuk UMNO dengan bersara. Tetapi jika Najib mahu di kenang oleh rakyat sebagai pemimpin dan negarawan setelah bersara, beliau patut wariskan kepimpinan UMNO itu kepada pemimpin yang bukan dari acuan yang sama.

Beliau sendiri akan menjadi bahan cemuhan ramai jika beliau mewariskan kepimpinan UMNO kepada pimpinan yang sudah pasti membawa UMNO itu rebah buat selama-lamanya.

Mewariskan kepimpinan UMNO dan negara kepada pimpinan yang lebih bertanggungjawab dan berkemahiran akan membuatkan beliau dikenang sebagai seorang pemimpin yang dihormati buat selama-lamanya.

Akhirnya, meninggalkan kepimpinan negara kepada orang yang bertanggungjawab itu adalah satu tindakan transformasi sebenar bagi Najib.

Kepada Dr Mahathir ramai sudah mula bertanya, "apa lagi yang dia mau?" -

harakahdaily/-

Gunung berapi meletus: 3 maut

Posted: 07 May 2013 11:54 PM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Manila: Tiga pelancong Jerman dan pemandu pelancong warga tempatan maut apabila satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina memuntahkan kepulan abu dan ketulan batu semalam, kata pihak berkuasa.

Seramai 20 rakyat asing dan pemandu pelancong mereka berada di lereng Gunung Mayon ketika ia meletus dan petugas penyelamat dikejarkan dengan helikopter bagi mencari mangsa.

"Ia bagaikan hujan batu yang teruk," kata pengendali pelancongan tempatan, Marti Calleja memetik kenyataan wanita Austria yang terselamat dalam bencana itu. "Batu-batan yang jatuh ke bawah mengenai mereka hingga sebesar meja makan," katanya kepada media melalui telefon. Calleja berkata, tiga pemandu pelancong tempatan daripada syarikatnya dan lima pelancong asing baru memulakan pendakian sebelum letusan berlaku yang menyebabkan asap tebal sehingga 500 meter di udara.

Tiga warga Jerman dan seorang pemandu pelancong daripada kumpulannya terbunuh, manakala wanita Austria berkenaan mengalami cedera ringan.
Jurucakap polis daerah Superintendan Renato Bataller mengesahkan empat kematian dengan tujuh lagi cedera termasuk empat rakyat Thai.
Calleja berkata, pelancong asing membayar kira-kira AS$100 (RM298) setiap seorang untuk pengembaraan semalaman di Gunung Mayon setinggi 2,460 meter itu.
Gunung itu terkenal dengan bentuknya yang hampir menyerupai kon, tetapi mempunyai sejarah letusan yang panjang.
Radius "zon berbahaya kekal" sejauh enam kilometer sepatutnya dikuatkuasa di sekitar gunung itu. Tetapi Cajella berkata, kerajaan tempatan membenarkan orang ramai mendaki apabila tiada tanda akan berlaku letusan.
"Antara 300 hingga 1,000 pendaki datang ke sini ketika musim puncak dari Mei hingga Ogos," katanya.- AFP

Nasib baik jiran ketuk pintu

Posted: 07 May 2013 11:50 PM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kota Bharu: "Nasib baik jiran datang mengetuk pintu rumah beritahu ada kebakaran, jika tidak mungkin saya dan suami serta dua anak yang sedang tidur terperangkap," kata Che Zurianahartini Awang, 32, yang kerugian RM200,000 selepas rumahnya di Jalan Pengkalan Chepa, dekat sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Kebakaran kira-kira jam 1.50 pagi itu bermula di rumah jiran Che Zurianahartini, Zamuniwati Ab Hadi, 39, sebelum merebak ke rumahnya.
Foto
Che Zurianahartini yang mengandung enam bulan berkata, kelengkapan dan pakaian bayi yang baru dibelinya turut musnah dalam kebakaran itu.

"Sebaik keluar dari rumah, api marak dengan pantas. Kami hanya mampu menyelamatkan kereta Perodua Alza.

KEADAAN sebuah daripada dua rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Pengkalan Chepa.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana keluarga saya selamat," katanya yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran di Kota Bharu Medical Centre (KBMC).

metro/-


9 kereta tertimbus tanah runtuh

Posted: 07 May 2013 11:47 PM PDT


27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kuala Lumpur: Sembilan kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi, kira-kira jam 7.05 malam semalam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang pemandu kenderaan nyaris tertimbus ketika cuba mengeluarkan keretanya.
Mangsa M Logeswaran, 28, berkata, ketika dia tiba di tempat kejadian jam 7.45 malam, keretanya hanya tertimbus 40 peratus sebelum cuba mengeluarkan kenderaan itu bagi mengelak kerosakan lebih teruk.

Dia yang juga seorang jurutera berkata, ketika dia hendak mengeluarkan keretanya yang baru dibeli dua bulan lalu itu, dia terdengar bunyi kuat dan nampak tanah runtuh di hadapannya dan sempat melarikan diri ke kawasan selamat.
Foto
TANAH setinggi 25 meter runtuh dalam kejadian hujan lebat berhadapan Stesen LRT Dang Wangi.

"Saya nampak motosikal beberapa anggota polis yang sedang bertugas turut ditimbus tanah yang baru runtuh itu," katanya.

metro/-

PAS pastikan Selangor jadi kubu kuat Pakatan

Posted: 07 May 2013 11:45 PM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS Selangor mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di negeri itu kerana berjaya mengekalkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri.


Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman ketika dihubungi memberitahu peningkatan kerusi PAS di Selangor turut membuktikan parti itu telah mendapat kepercayaan rakyat Selangor.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), PAS memperolehi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding hanya 8 kerusi sahaja pada 2008.

Dalam pada itu Dr Abd Rani juga menyatakan peningkatan undi masyarakat Cina turut membantu kemenangan Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Ini merupakan kejayaan paling besar kepada Pakatan Rakyat kerana kita mendapat jumlah kerusi yang lebih banyak, begitu juga PAS yang menunjukkan peningkatan dari jumlah kerusi yang dimenangi jika dibandingkan tahun 2008," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut memberitahu, PAS akan memastikan Selangor menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat pada masa yang akan datang seperti mana Kelantan yang sehingga kini mampu bertahan selama 23 tahun.

Katanya lagi, kerjasaman erat antara ketiga-tiga parti merupakan rencah utama kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor selain dari gerak kerja jentera yang kuat dan bersistematik.

"Kunci utama kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor adalah jalinan kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti, perselisihan faham dapat diselesaikan dengan baik tanpa ada ketegangan.

"Selain itu gerak kerja jentera ketiga-tiga parti berada dalam keadaan yang lebih bersedia dan bersistematik sehinggakan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas negeri ini," sambung beliau lagi.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat memenangi 17 kerusi parlimen, manakala BN 5 sahaja.

Dr Abd Rani yang berjaya mempertahankan kerusi Dun Meru dengan majoriti sebanyak 9,079 undi berbanding 5,513 undi pada 2008.

harakahdailty/-

Majoriti rakyat Perak masih bersama Pakatan

Posted: 07 May 2013 11:45 PM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Perak mendakwa majoriti rakyat negeri itu masih bersama Pakatan Rakyat biarpun gagal menawan semula negeri itu Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ketua penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata pada PRU13 lalu, dari jumlah 1,160,292 pengundi Perak, Pakatan Rakyat meraih 54 peratus undi popular berbanding 44 peratus diperolehi BN.

"Malah PAS Perak masih dapat mengekalkan sokongan undi popular sebanyak 46% yang diperolehinya dalam PRU 12 walaupun dengan peningkatan jumlah undi baru sebanyak 33% di  kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PAS. 

"Angka ini jelas menunjukkan bahawa kemenangan BN pada hakikatnya bukanlah merupakan kemenangan mutlak dan rakyat pada keseluruhannya masih menyandarkan harapan kepada PR untuk melakukan perubahan," katanya.  

Pada PRU13 lalu, Pakatan Rakyat memperoleh 28 kerusi DUN berbanding BN 31 kerusi sekaligus gagal menawan semula pentadbiran Perak yang pernah dikuasai 11 bulan pada 2008 lalu sebelum berlaku rampasan kuasa pada 2009.

Bagaimanapun, keputusan yang memihak BN kali ini dilihat masih meletakkan mereka dalam keadaan tidak stabil untuk memerintah negeri.

Mengulas keputusan PRU kali ini PAS Perak bagaimanapun katanya mampu menerima kekalahan tersebut mengikut sistem yang terpakai.

"Atas arahan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Titi Serong yang baharu, Haji Abu Bakar Hussien meminta agar seluruh pendokong PAS dan PR Perak khasnya agar bertenang dengan keputusan PRU 13 kali ini. 

"Diminta semua pendokong PAS dan PR agar menerima arahan daripada pimpinan dari masa kesemasa dengan suasana yang ada sekarang dan jangan bertindak di luar arahan pimpinan. Kita sebenarnya sudah menunjukkan kematangan kita berhadapan dengan keputusan yang telah dibuat pada PRU 13 kali ini," katanya.

Jesteru, katanya PAS Perak berharap agar semua meneruskan kerja-kerja bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS dan PR di Perak khasnya.

Harakahdaily/-

Melayu DAP menang, pecah tembok perkauman

Posted: 07 May 2013 11:40 PM PDT

27 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Momokan perkauman sempit dan jahat Umno Barisan Nasional (BN) terhadap DAP ternyata bohong apabila tiga calon Melayu DAP memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab dan Parlimen Raub, Pahang dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji memenangi Dun Mentakab apabila mendapat 7,882 undi menewaskan Chuah Boon Seng (MCA-BN) dengan majoriti 1,554 undi.

Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz pula memenangi kerusi Parlimen Raub dengan memperoleh 23,415 undi apabila menewaskan Datuk Hoh Khai Mun (MCA-BN) dengan meajoriti 2,814 undi.

Zairil Khir Johari pula memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera dengan majoriti 12,813 undi apabila mendapat 45,591 undi menewaskan Teh Leong Meng (Gerakan-BN) yang hanya mendapat 12,813 undi.

Biarpun kempen PRU 2013 di Johor dicemari dengan momokan politik perkauman pihak lawan, calon DAP Parlimen Tanjung Piai, Mahdzir Ibrahim mendapat 19,581 undi, peningkatan 8,650 undi berbanding hanya 10,931 pada PRU 2008 lalu.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai berjaya dimenangi calon MCA-BN, Datuk Wee Jeck Seng yang mendapat 25,038 undi.

Keputusan memberangsangkan calon Melayu DAP itu membuktikan DAP semakin diterima baik rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu yang semakin terbuka dan bijak selain momokan perkauman Umno BN tidak berjaya menghalang kemaraan Pakatan Rakyat, khususnya DAP di seluruh negara.

PRU kali ini menyaksikan BN kehilangan tujuh lagi kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU 2008 lalu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Nuffnang