Sabtu, 11 Mei 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Cucu kurang siuman pukul nenek hingga mati

Posted: 11 May 2013 02:09 AM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

TUMPAT - Seorang nenek mati dipercayai akibat dipukul cucunya yang dikatakan kurang siuman ketika mengamuk di rumah mereka di Kampung Pasir, Pekan Hilir, Wakaf Baharu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Zaharudin Rasip berkata Che Minah Hassan, 84, meninggal dunia di rumah itu akibat cedera parah di muka setelah ditumbuk cucunya berumur 35 tahun itu dalam kejadian 7 pagi.
Zaharudin berkata dalam kejadian itu, suspek turut dipercayai menumbuk ibunya, Rahimah Che Will, 60, di muka dan keadaannya (Rahimah) dilaporkan stabil di Hospital Tumpat.
Suspek ditahan di rumah tersebut dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh, katanya.
Menurutnya suspek sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dan Hospital Psikiatri, Kota Baharu dua tahun lalu dan kini tinggal di rumah itu. 
- Bernama

Najib lawat Azizan di HPP

Posted: 11 May 2013 12:12 AM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

najib

Najib dan Rosmah Mansor melawat Azizan Abdul Razak di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang di Georgetown hari ini.- Foto Bernama
GEORGE TOWN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak di wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP).
    
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 1.30 tengah hari dan meluangkan masa bersama Azizan dan anggota keluarganya kira-kira 15 minit.
    
"Saya baru melawat Azizan dan Alhamdulillah pembedahan sudah berlangsung.Beliau dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan terbaik," katanya kepada pemberita di sini.
    
Najib berdoa agar Azizan yang melalui pembedahan yang agak serius supaya cepat sembuh dan pulih.
    
"Sebagai pemimpin, walaupun Azizan dalam parti yang lain, saya hormati beliau sebagai sahabat. Terima kasih kepada ahli keluarganya kerana terima kedatangan saya dengan baik," katanya.
   
Najib berkata bantuan yang sepatutnya akan dihulurkan kepada Azizan untuk memastikan tidak ada masalah daripada segi perbelanjaan.
    
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut melawat Azizan pada kira-kira 11.20 pagi tadi bersama-sama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah yang baru.
    
Sementara itu, setiausaha akhbar kepada Azizan, Mohd Helmi Khalid meminta jasa baik kepada orang ramai yang ingin melawat Pesuruhjaya Pas Kedah itu tidak berbuat demikian bermula esok bagi memberi ruang kepada beliau untuk berehat.
    
"Saya mewakili ahli keluarga beliau (Azizan) meminta orang ramai memberi kerjasama kerana kita ingin memberi keselesaan kepada pesakit atas nasihat pihak hospital," katanya.
 
Beliau berkata keadaan kesihatan Azizan menunjukkan pekembangan positif dan beliau telah membuka mata sebanyak empat kali dari pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi ini.
    
Mohd Helmi turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir pengunjung yang  memuat naik gambar Azizan dalam keadaan sakit di laman sosial dan berharap kejadian itu tidak berulang lagi bagi menghormati anggota keluarga beliau.
    
Azizan, 69, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis pada Khamis lepas.
    
Beliau dipindahkan ke HPP pada Rabu lepas dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya sejak Isnin lalu. 

- Bernama

Petisyen online terhadap PRU13 Malaysia

Posted: 11 May 2013 12:10 AM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sekumpulan rakyat Malaysia menganjurkan petisyen online bagi mengumpul sejumlah tandatangan sebagai bantahan terhadap perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu yang didiakwa berlaku banyak penipuan.

Penganjur petisyen ini, Terry Kok berkata, inisiatif ini dibuat bagi menarik campurtangan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyiasat perjalanan PRU13 lalu.

Menurutnya, rakyat Malaysia boleh menyokong petisyen ini dengan menurunkan tandatangan online di laman www.change.org/GE13.

Sehingga berita ini ditulis sejumlah lebih 237,000 tandatangan telah dikumpul.

"Jika PBB campurtangan membuat penyiasatan, maka banyak lagi mata akan menontonnya.

"Jika suara kami telah dirompak di dalam tanah kita sendiri, tolonglah suara kita mencapai dunia," kata Terry.

Harakahdaily/-

Mubarak: Jangan lantik calon tewas anggota Kabinet

Posted: 11 May 2013 12:05 AM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

Abdul Aziz Rahman

Abdul Aziz ketika sidang media sempena Persidangan Meja Bulat Politik dan Kerajaan Malaysia (PRU13) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini mencadangkan calon Barisan Nasional (BN) yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak dilantik sebagai senator untuk menganggotai Kabinet.
Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, budaya 'pilihan kedua' itu bukan satu idea yang baik untuk diamalkan, malah ia juga tidak baik bagi masa depan negara.
"Bagilah mereka yang kalah ini peluang untuk berehat dan carilah yang berpengalaman untuk menganggotai Kabinet," katanya dalam sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Mengenai Politik dan kerajaan Pasca PRU13 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Persidangan tertutup selama empat jam itu menyaksikan pembentangan analisis PRU13 oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ruslan Kasim dan Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad Datuk Kamarul Rashdan Mohd Salleh.
Turut hadir Setiausaha Mubarak Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
Menjelas lanjut mengenai perkara itu Abdul Aziz berkata,Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mempertimbangkan individu yang tidak bertanding pada PRU13 untuk menganggotai Kabinet jika mereka mempunyai kebolehan.
Beliau berkata walaupun tidak bertanding atau bergelar wakil rakyat, namun kemahiran, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh golongan profesional boleh membantu dalam membangunkan negara.
"Boleh lantik profesional sama ada dalam parti atau luar parti. Sekarang dah ramai layak jadi pemimpin, malah mempunyai banyak pendedahan selain taraf pendidikan yang tinggi," katanya.
Menyentuh tentang perwakilan kaum Cina dalam Kabinet Abdul Aziz berkata: "Carilah wakil Cina yang berpengalaman, ada idea bagus dan tidak ekstrim".
Mengulas mengenai dakwaan wujudnya polarisasi kaum di negara ini susulan keputusan PRU13 yang menyaksikan BN kurang mendapat sokongan daripada pengundi Cina dan di bandar, Abdul Aziz mencadangkan supaya satu kajian dibuat ke atas ucapan pemimpin pembangkang.
Beliau berkata ia penting untuk mengetahui sama ada benar pembangkang telah menanam kebencian pengundi kepada BN serta membangkitkan isu perkauman.
"Walaupun Lim Kit Siang (Penasihat DAP) kata bukan rasis...tapi ini perlu dikaji supaya kita tahu kenapa sokongan kepada BN di bandar dan masyarakat Cina merosot," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Abdul Aziz berkata, BN perlu memantapkan peranan dan penggunaan media sosialnya bagi memikat hati pengundi muda sebagaimana yang diguna oleh  pembangkang.
"Bila media arus perdana tak laporkan sesuatu bahan berita, orang muda ini ada alternatif lain... mereka pergi ke media sosial yang merupakan medan perang persepsi sekarang," katanya. 
- Bernama

Pemuda PAS tubuh JK Khas anti kenaikan harga barang

Posted: 11 May 2013 12:04 AM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini melancarkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu kenaikan harga barang yang sudah mula dirasai rakyat selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Khas Anti Kenaikan Harga Barang itu akan dipengerusikan Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan, berkata penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat pertama dewan itu selepas pru13 lepas.

"Kita dapat jangkakan dengan keputusan pru lalu, akan berlaku kenaikan harga barang, yang mungkin juga harga minyak seperti pengalaman selepas pru-pru yang lalu," tegas beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan dewan itu, hari ini.

Jelas beliau, jawatankuasa ini bertujuan bagi memberikan tekanan kepada kerajaan untuk tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya, selain meneruskan kempen kesedaran di kalangan rakyat untuk membantah kenaikan harga barangan.

"Kerajaan BN seharusnya sedar agar tidak membalas jasa rakyat yang telah memilih mereka pada pru lepas dengan menaikkan harga barangan, selain rakyat juga perlu sedar tentang hak mereka dan bukannya menjadi mangsa," tegas beliau.

Sehubungan itu, untuk tempoh terdekat ini, jawatankuasa tersebut akan mendesak kerajaan BN untuk menurunkan harga barang, sekaligus turun padang bagi memobilisasikan rakyat untuk bangun membantah kenaikan harga barang.

"Sama ada kita menang atau kalah, agenda kita untuk memperjuangkan hak semangat rakyat terus dijalinkan," tegas beliau.

Harakahdaily/-

Koh Tsu Koon letak jawatan, Gerakan tak sertai kabinet

Posted: 11 May 2013 12:02 AM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -
Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon mengumumkan beliau dan Setiausaha Agung, Teng Chang Yeow meletak jawatan minggu depan.

gerakan cec meeting 110513 koh tsu koonSelepas mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan pemimpin 
Gerakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, Koh berkata, mereka membuat keputusan untuk bertanggungjawab terhadap prestasi hambar Gerakan dalam pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Presiden Chang Ko Youn akan mengambil alih sebagai pemangku presiden sehingga akhir bulan Jun, apabila proses pemilihan parti bermula.

Koh berkata Gerakan, seperti MCA, tidak akan mernima sebarang jawatan kabinet peringkat pusat, tetapi akan menerima jawatan di peringkat negeri.

Malaysiakini/-

Suami maut kena tiga das tembakan

Posted: 10 May 2013 09:09 PM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

Suami maut kena tiga das tembakan

Polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
ALOR SETAR - "Sebaik keluar dari rumah, saya dapati suami sedang terbaring berlumuran darah di koridor flat kami," kata G Parameswary, 29, selepas melihat suaminya yang mati dipercayai akibat terkena tiga das tembakan dalam satu insiden pergaduhan berhampiran rumahnya di Flat Taman Setia Jaya, dekat sini.

Mangsa, M Nagenthiran, 30, merupakan seorang penarik kereta ditemui seorang penghuni flat berkenaan kira-kira 15 meter dari kediamannya pada jam 12.30 tengah malam kelmarin, sebelum bertindak memaklumkannya kepada polis.

Parameswary berkata, dia bersama dua anaknya yang berusia tiga dan lima tahun sedang tidur ketika kejadian dan tidak menyedarinya berikutan tidak mendengar sebarang bunyi dari luar kediaman mereka.

"Hanya selepas seorang anggota polis datang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu, barulah saya menyedari suami sudah mati apabila melihat badannya yang berlumuran darah terbaring kaku di situ.

"Jam 6 petang tadi (kelmarin), adalah kali terakhir saya berjumpa dengan suami," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terdengar berlakunya pertengkaran antara beberapa lelaki dan hanya melihatnya melalui tingkap rumah.

Katanya, sebaik sahaja menutup tingkap, dia terdengar satu bunyi kuat seakan-akan tembakan pistol hingga menimbulkan ketakutan dan seterusnya menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian yang berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Savaranan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Mangsa maut di tempat kejadian berikutan terdapat satu kesan tembakan di kepala dan dua di belakang badannya.

Polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai kenalan mangsa untuk membantu siasatan berhubung kejadian.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini pihak kami masih menyiasat motif kejadian itu," katanya.

Sinar/-

Ahmad Baei Jaafar: Rapatkan kembali pemerintah dengan pembangkang

Posted: 10 May 2013 08:45 PM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

Tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kuasa pemerintahan di Malaysia, dan tahniah juga kepada PR kerana boleh mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan di tangan mereka. Semoga mandat yang diberikan rakyat kepada parti berkenaan dapat digalas dengan baik sekali gus dapat melaksanakan amanah negara dan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaiknya.

Cuma kepada Ustaz Azizan yang sebelum ini memimpin Kedah saya tidak berhasrat hendak ucap takziah tetapi ingin menegaskan bahawa kegagalan Azizan mengekalkan Kedah suatu tazkirah daripada Allah. Jadi, buatlah perubahan sikap yang positif kepada rakyat apatah lagi kepada wartawan untuk masa depan. Mereka semua akan aset negeri Kedah yang amat bernilai. Sekali mereka berkecil hati, walaupun kerajaan boleh memberi kemajuan kepada mereka, luka mereka sukar dirawat.

PAS dalam hal ini ada pengalaman ngeri, bukankah kita pernah tawan Terengganu, tetapi setelah menang rakyat terutama musuh politik tersinggung. Bayangkan kalau kita boleh menjaga hati mereka, musuh akan menjadi kawan. Itulah yang gagal dilakukan oleh kerajaan PAS di Terengganu pada masa itu. Malangnya Azizan tidak belajar daripada kegagalan itu.

Begitu juga dengan semua calon PR yang bertanding di kerusi Parlimen yang sememangnya sudah dikuasai selama 5 tahun tetapi dapat dirampas BN semula, ingin saya mengajak kalian agar muhasabah diri, mengapa mereka boleh kalah setelah menguasai 5 tahun. Saya tidak pasti apakah 15 kerusi parlimen itu sudah dianggap selamat oleh mereka lalu tidak diberi perhatian serius oleh calon atau pun mereka sudah usahakan cuma tersalah strategi.

Perlu dijelaskan di sini, masyarakat Melayu amat berbeza dengan masyarakat Cina di sudut cara berfikir. Masyarakat Melayu bermentaliti duit maka apa yang difikirkan ialah duit. Berbeza dengan orang Cina, mereka tidak fikirkan duit kerana mereka memang pandai cari duit malah sudah kaya. Yang mereka fikirkan ialah keamanan supaya dengan itu mereka boleh berniaga dengan senang dan maju. Mereka juga tidak mahu serabutkan fikiran mereka dengan cerita mengumpat, fitnah dan rasuah dalam kalangan orang Melayu.

Berdasarkan itu cara kempen kepada kumpulan sasar adalah tidak sama. Oleh sebab itu untuk orang Melayu, selain menyuntik keyakinan tentang kemampuan parti, mereka mahu tahu apakah keuntungan di sudut kewangan yang boleh mereka perolehi. Mereka juga mahu tahu apakah jaminan yang membolehkan mereka tinggal di negara ini dengan senang lenang tanpa perlu berhijrah jauh. Persoalannya adakah sepanjang 5 tahun menjadi wakil, sudahkah semua itu diberikan penjelasan kepada rakyat.

Bagi orang Cina pula mereka tidak susah untuk berkempen seperti orang Melayu. Oleh sebab itulah DAP mudah memukau mereka, lalu dengan itu mereka secara ramai-ramai memberi undi kepada DAP, PAS dan PKR. Cara kempen inilah yang menyebabkan kerusi yang dipertandingkan oleh DAP mendapat kemenangan besar. Turut mendapat kemenangan mana-mana kerusi PAS dan PKR yang dihadiri oleh pemidato DAP. Namun tidak dinafikan juga orang Melayu di kawasan tersebut tidak lagi berfikir tentang duit.

Berbeza dengan 15 kerusi yang kalah, mentaliti orang Melayu di situ masih pada tahap rendah iaitu berfikir duit. Biasanya untuk kerusi ini tidak melibatkan pemidato DAP, dan kalau ada pun mereka tidak bercakap soal duit. Benar, mereka janjikan turun harga minyak, hapus tol dan pendidikan percuma, tetapi hujah yang diberi tidak meyakinkan. Dengan sebab itu hujah mereka dapat dikalahkan oleh pemidato BN yang sentiasa menabur janji duit. Tegasnya, calon dan pemidato tidak begitu memahami kehendak rakyat setempat.

Sebagai bukti perhatikan senarai 15 kerusi yang dirampas BN:
1) Titiwangsa (PAS)
2) Kuala Selangor (PAS)
3) Pendang (PAS)
4) Balik Pulau (PKR)
5) Bagan Serai (PKR)
6) Kulim-Bandar Baru (PKR)
7) Hulu Selangor (PKR, menang pada 2008 tetapi tewas dalam pilihan raya kecil 2010)
8) Padang Terap (PAS)
9) Jerai (PAS)
10) Sik (PAS)
11) Merbok (PKR)
12) Baling (PAS)
13) Machang (PKR)
14) Ketereh (PKR)
15) Tanah Merah (PKR)


Walau bagaimanapun semua yang berlalu itu, biar menjadi sejarah. Untuk masa depan, PR kena ubah strategi seperti yang digambarkan di atas. Boleh mula bertindak pada hari ini demi masa depan negara dan rakyat.


Guna Pendekatan Surah al-Fath

Cuma untuk hari ini saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua wakil rakyat yang telah menang dalam PRU 13 ini terutama yang berjaya membentuk kerajaan agar mereka segera berisytighfar daripada dosa terutama semasa kempen. Seterusnya sujud kepada Allah tanda terima kasih kerana demikian itu dianjurkan oleh Allah seperti yang terdapat dalam surah al-Fath.

Setelah itu sebagai pemerintah sebaiknya rapatkan hubungan di antara pemerintah dengan pembangkang dan campak jauhkan rasa permusuhan kerana parti. Malah kalau boleh jadikan mereka sebagai rakan dalam pemerintahan. Ingatlah pembangkang dalam sesebuah kerajaan amat penting kerana mereka boleh mengawal kesetabilan sesebuah kerajaan.

Sebenarnya pembangkang dalam sesebuah kerajaan berperanan untuk membetulkan kesilapan kerajaan terutama dalam pengurusan dan pentadbiran. Malah pembangkang boleh mengutarakan idea yang baik dalam membangunkan negara. Sesungguhnya pemerintah yang baik akan mengambil pandangan mereka dan melaksanakannya jika cadangan itu menguntungkan rakyat.

Pendekatan di atas harus sama-sama dipraktikkan oleh kerajaan pusat mahupun negeri. Malah bagi kerajaan negeri yang berlainan parti dengan pemerintah pusat harus merapatkan hubungan dengan kerajaan pusat. Hal ini kerana negeri-negeri tersebut iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sebahagian daripada Malaysia. Tetapi jangan salah anggap, tindakan tersebut bukan bermaksud kita perlu melutut sembah seperti pengemis sebaliknya bertemu anak dengan bapa yang sering berselisih pendapat.

Sebenarnya, kerajaan negeri dalam keadaan apapun tidak wajar bermusuhan dengan kerajaan pusat, apatah lagi kerajaan pusat tidak sepatutnya memusuhi kerajaan negeri kerana negeri itu sebahagian daripadanya juga. Sikap menganaktirikan kerajaan yang berlainan parti adalah tidak sihat. Hal ini kerana pemerintah kerajaan negeri itu hakikatnya menolong kerajaan pusat dalam mentadbir negerinya mengikut kaedah atau pendekatan mereka.

Berdasarkan itu kerajaan negeri tersebut berhak mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat secara saksama mengikut keperluan negeri tersebut. Kerajaan pusat pula bertanggungjawab memberikan peruntukan itu sama seperti negeri-negeri lain menerimanya. Jadi, supaya hak dan tanggungjawab itu terlaksana dengan sempurna, kedua-dua pihak perlu hilangkan permusuhan.

Di sini suka saya mengambil iktibar bagaimana kerajaan Kelantan yang sekian lama memerintah negeri itu tanpa peruntukan yang secukupnya daripada kerajaan pusat. Semua ini kerana sikap bermusuhan yang terus disemai dalam jiwa pemimpin negeri dan pusat. Percayalah jika wujud hubungan baik antara kedua-duanya peruntukan yang sewajarnya akan sampai ke negeri tersebut tanpa sebarang ragu.

Jadi, sesuai dengan perlantikan Menteri Besar baru Kelantan, YAB Ahmad Yaakob, saya berharap beliau boleh mulakan tugas berdasarkan surah al-Fath, kemudian berbaik-baik dengan kerajaan pusat. Semoga dengan itu peruntukan pusat akan turun ke Kelantan sama seperti negeri lain juga.  Bukan lagi melalui wang ehsan yang hanya disampaikan melalui UMNO.


Doa seluruh NGO Islam untuk Ustaz Azizan

Posted: 10 May 2013 05:15 PM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malayasia (Mapim) mewakli semua NGO Islam yang bergabung di bawahnya mendoakan agar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) sembuh dari pembedahan yang telah dilaluinya kelmarin.

"Kami merakamkan doa untuk beliau dan keluarga beliau agar tabah melalui ujian ini.

"Kami juga turut merasa simpati di atas ujian yang berat ini setelah beliau telah berjaya memimpin Kedah selama 5 tahun sebagai Menteri Besar dengan cemerlang," ujar Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Katanya, sumbangan Ustaz Azizan ketika menerajui negeri Kedah tidak akan dapat dilupakan terutama dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri itu.

"Beliau telah berkorban sebagai pemimpin negeri yang boleh dicontohi kerana gaya hidupnya yang sederhana, tidak mementingkan diri dan sentiasa memastikan rakyat terbanyak merasai nikmat dari pemerintahan yang diterajuinya.

"Dalam keadaan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan beliau sering mengutamakan tanggungjawabnya untuk memastikan kerajaan negeri berfungsi dengan licin.


"Kami bersama seluruh rakyat Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya mendoakan agar Allah SWT menyembuhkan penyakitnya dan memberi kekuatan kepada beliau dan keluarganya bersama rakyat melihat Islam berdaulat seperti yang diperjuangkan oleh beliau selama ini," ujar Mohd Azmi lagi.

Harakahdaily/-

Terkejut lihat kereta anak hancur

Posted: 10 May 2013 05:03 PM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -

Terkejut lihat kereta anak hancur

Kereta mangsa ditarik untuk dibawa ke bengkel Perodua di pekan Bahau, semalam.
JEMPOL - Seorang ibu tunggal tidak menyangka sebuah kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan membabitkan lori satu tan muatan kicap di Kilometer 12 Jalan Bahau-Keratong di sini, pagi semalam merupakan kereta dipandu anaknya.

Anak sulungnya, Mohamed Nor Hadi Adi Nor Syam, 18, bersama ibu saudaranya, Siti Fatimah Mohd Yusof, 32, dan seorang lagi rakannya Noor Fazlina Mohammad, 27, dari arah Serting Hilir Kompleks dalam perjalanan ke Kolej Komuniti Jempol (KKJ) untuk menghantar makanan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu, Siti Zaitun Mohd Yusof, 45, berkata, dia dalam perjalanan ke Pejabat Felda dekat Bandar Seri Jempol (BSJ) terkejut melihat Perodua Viva warna biru miliknya hancur teruk di bahagian depan.

"Luluh hati apabila lihat anak sendiri terlibat dalam kemalangan, malah saya difahamkan dia (Mohamed Hadi) tersepit di tempat duduk pemandu. Namun, ketika saya tiba dia sudah terlantar dekat bahu jalan tapi masih sedar. Manakala ibu saudara dan rakannya itu juga selamat.

"Keadaan kereta berkenaan begitu teruk, macam-macam saya fikir, hati pun tidak sedap. Tetapi Alhamdulillah dia selamat," katanya ketika ditemui di pekarangan wad kecemasan Hospital Jempol.

Manakala kelindan lori satu tan, Tan Yoke Hoong, 44, berkata, dia bersama rakannya yang merupakan pemandu lori, 40-an datang dari arah Bahau menghala ke Kuantan.

" Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dari arah bertentangan hilang kawalan lalu masuk ke laluan kami.

" Kawan saya sudah membunyikan hon banyak kali, dan cuba mengelak dengan masuk ke bahu jalan tetapi gagal lalu berlaku pertembungan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd Fahmi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.57 pagi.

" Namun setibanya di tempat kejadian kira-kira jam 11.06 pagi tiga mangsa iaitu seorang lelaki, 18, yang tersepit di tempat duduk pemandu dan dua perempuan berumur 27 dan 32 diselamatkan oleh orang awam.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan susulan," katanya yang turut memberitahu seramai lima anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Sinar/-

Ustaz Azizan yang kukenali

Posted: 10 May 2013 05:01 PM PDT

1 Rejab 1434 H. [MOD] -
Ahmad Husni Ahmad Basri,

USTAZ AZIZAN yang kukenali.. Beliau mempunyai jiwa kebapaan yang tinggi.. Sekarang beliau masih kritikal di Hospital PPinang dgn kaki dah kudung ke paras lutut.. 2 hari lalu, begitu ramai orang beria ia menyebar khabar angin bahawa xMB Kedah, Ust Azizan dah mati.. Kasihan insan tokoh pendidikan ini yg dah berjasa membangunkan Insaniah sehingga menjadi Universiti dan Kolej Sains Pulau Tuba walau baru sepenggal menjadi Master Chef Kedah.. 


Ini kisah yang aku janji nak cerita.. Ayah aku, Dato' Paduka Hj Ahmad Basri, Pengurus bola Kedah yg dikenali ramai, meninggal dunia pada 15 Julai 2008... Ustaz Azizan adalah antara orang pertama yang sampai ke rumah Ibu ku dan mengarahkan agar ruang disusun bersesuaian utk dikunjungi ramai orang, dan gambar yg tak bersesuaian agar diturunkan dari dinding. Terpegun adik adik aku dgn kunjungan itu.. Kemudian baru lah MB Kedah ini ke hospital melihat jenazah bapa aku yang masih di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.. Aku pula masih di Mesir dan sedang berusaha mencari flight pulang ke Kedah.. Sungguh prihatin MB Kedah ini, walaupun Ayah aku adalah orang UMNO..

Satu kisah lagi berlaku di tahun 2010... MB Kedah dan beberapa EXCO termasuk pegawai kanan Kedah Civil Services, serta pengurusan Insaniah berkunjung ke Jeddah dari Mesir. Ada di kalangan rombongan nya adalah org UMNO kawan Ayah aku yg telah bisikkan kpd Ustaz Azizan bahawa anak Dato Basri ada bekerja di Jeddah.. Maka aku ditelefon oleh seorang staf konsulay bahawa MB Kedah nak jumpa aku..

Bila mengadap Ustaz Azizan ketika beliau sedang mempengerusikan mesyuarat, maka beliau bertanya aku, "Mak dan adik adik ok ka di Aloq Setaq? Rumah mak tu mungkin diambil utk besarkan jalan Sultanah, kalau terpaksa diambil, jangan lah marah.. Pampasan akan dikira sebaik mungkin. Dok balik Aloq Setaq dak? Balik noo, jengok jengok.. Ayah dah tak dak.. Tak pa, mai dok, saya nak tanya bab pelancongan.. Awat Arab banyak di Langkawi saja.. Apa usaha yang Kerajaan Negeri boleh bantu untuk Arab mai Tanah Besar Kedah.. Aloq Setaq Gunung Jerai dll..." 

Terpegun kakitangan konsulat melihat seorang bergelar YAB MB Kedah menghentikan mesyuarat utk bertanya hal kpd seorang anak Kedah yang dianggap semua nya macam anak anak dia juga..

Ustaz Azizan mmg mulia akhlak nya.. Dan mmg dia keras sikit.. Org Kedah kata perongoih sikit.. Elok la tu.. Kalau lembik sgt org boleh pijak kepala.. Takut bini atau biar anak menantu balun projek...

Kini Ust Azizan bukan lagi MB... Malah bergelut antara hidup mati.. Kaki dah kudung sampai paras lutut.. Tak boleh dah nak berjalan sendiri mcm dulu.. Itu pun jika sembuh..
Doakanlah agar Allah swt melanjutkan usia beliau.. Kini rakyat Kedah dah sedar betapa murni nya hati para ulamak yg ikhlas bekerja untuk rakyat. Sanggup Ust Azizan memberi nasihat kepada Mukhriz yg masih muda.. Demi agama bangsa dan negara..

Doa aku adalah untuk semua kita rakyat Malaysia.. Berlaku adil lah sesama kita.. Ingat lah hidup ini hanya sementara.. 

Sekian.. Terimakasih kerana membaca..
(Dipetik dari Facebook penulis)

Tiada ulasan:

Nuffnang