Nuffnang

N45 Dr Halimah Ali

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:23 PTG

N45 Dr Halimah Ali


BELUM APA-APA RASUAH DICEGAH EXCOS PAKATAN RAKYAT SELANGOR

Posted: 04 Apr 2013 09:16 PM PDT

Datuk Menteri Besar Selangor serta saf Exco beliau telah memulakan langkah mencegah rasuah dari peringkat awal lagi iaitu sebelum bermulanya mesyuarat Exco dan sebelum membuat sebarang keputusan dengan memohon pertolongan dan hidayah Allah Subhanahu watalla. Doa dipanjatkan agar terhindar dari memberi dan menerima rasuah. Amalan ini telah bermula sejak Pakatan Rakyat Selangor mengambil alih pentadbiran kerajaan. Di bawah adalah bunyi doa yang dibaca oleh Datuk MB Selangor. s

Perjuangan PAS mata rantai PERJUANGAN ..........................

Posted: 04 Apr 2013 09:14 AM PDT

 Memahami perjuangan gerakan Islam   

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,     29 Mac 2013

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh sebab perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang. Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.


Perjuangan dan Jihad

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "Jahada" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu. "Jahada" pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."

Oleh sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silam lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelosok dunia. Lalu, dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihan raya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian daripada ujian Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

Akidah Asas Perjuangan

Islam meletakkan akidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan akidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada akidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid. Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar-besaran dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia. Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah. Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan, "Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya pada alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada."

Dalam perkara ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."

Peranan utama para Rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hamba-Nya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan antara satu sama lain iaitu :

1. Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa.
2. Menyeru supaya menjauhi taghut.

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaati-Nya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

Matlamat Perjuangan Islam

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari bahawa sesungguhnya seorang lelaki Badwi datang menemui Baginda Nabi SAW dan bertanya, "Wahai RasulAllah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?"


Rasulullah SAW menjawab, "Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah." - Riwayat Muslim

Allah Taala menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Firman Allah Taala:

"Dialah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkan-Nya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (surah al-Saff : ayat 9)

Imam Abu A'la Al-Maududi menyatakan, "Sebagaimana halnya dengan din (agama) lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis."

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalam konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai, melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata; Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."

Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela.

Firman Allah di dalam Surah at-Taubah, ayat 40:

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah:

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Anfal : ayat 39)

Perjuangan Tidak Bernoktah

Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya. Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah SAW ialah apabila Baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata, "Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang 'Ajam (bukan Arab)."

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas Para Nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri. Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri ditentang bukan kerana peribadi Baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda (bermaksud), "Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal."

Konsep Kemenangan Islam Yang Hakiki

Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar (haq) atau batil, pejuang itu Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah Taala menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al-fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah "al-falah" melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan "al-fawz" pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan "al-nasr" pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya. "Al fath" pula kejayaan yang diperolehi setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.

A. Kemenangan di Dunia

Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang. Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata."

Ulama sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)."

Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:

1. Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendokong-pendokong ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.
2. Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.
3. Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

B. Kemenangan Di Akhirat

Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam. Allah Taala menawarkan kemenangan di dalam firman-Nya dalam Surah al-Saff ayat 10-12:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar."

Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara :

1. Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat.
2. Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan.
3. Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang mengalir.
4. Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama 'Adn.


C. Kemenangan Adalah Janji Allah

Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap Muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Hal ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadis yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur di atas tadi dimulakan dengan lafaz - wa'ada - bermaksud "telah menjanjikan", di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya.

Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad SAW, bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah Taala sejak zaman Nabi Daud AS lagi. Firman Allah Taala dalam ayat ke-105 Surah al-Anbiya':

"Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh."

Janji Allah Taala ini disebut pula dalam hadis Rasulullah SAW (maksudnya); Dari Tamim al-Dari katanya; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkan-Nya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran."

Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemuliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.

Hadis ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan Rasul-Nya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya peristiwa pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah SA. hingga kurun ke-14 Hijrah.

D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara penting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideologi dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubung-kait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan. Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah Taala berfirman dalam ayat 160 Surah al-Imran:

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."

Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah Taala mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dia-lah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman sekalipun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan. Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dia-lah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia (Allah) boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.

http://www.tarbawi.my harakahdaily

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP