Selasa, 23 April 2013

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Hospital, Pencemaran Toksik, Perumahan Terbengkalai antara isu di Parlimen Rembau

Posted: 22 Apr 2013 06:55 PM PDT




Antara isu-isu setempat yang dihadapi oleh penduduk di Parlimen Rembau yang masih membelenggu mereka ialah isu Janji PRU-12 2008 Hospital Rembau/UiTM Rembau/Landasan Terbang Rembau. Pusat pembuangan sisa toksik di DUN Rantau yang mengancam penduduk sekitar. Perumahan terbengkalai di DUN Kota dan beberapa isu lain.

1. DUN Rantau dalam Parlimen Rembau ialah pusat pembuangan sisa toksik Malaysia

Antara isu besar penduduk di DUN Rantau dalam Parlimen Rembau yang masih tidak dapat diselesaikan hingga ke saat ini ialah kewujudan operasi tapak pelupusan sisa toksik, Pusat Kualiti Alam di Bukit Nenas berdekatan Sendayan yang mengancam kesihatan penduduk sekitar.

Dato Seri Mohamad Hassan, calon Umno DUN Rantau pernah berkata sekiranya didapati kajian yang dibuat menunjukkan operasi di Pusat Kualiti Alam tidak lagi sesuai, kerajaan negeri akan membuat keputusan untuk tidak menyokong kewujudan kilang tersebut untuk operasi selepas tahun 2012.

Kini sudah tahun 2013, apakah penduduk di DUN Rantau akan terus diancam kesihatan mereka oleh operasi tapak pelupusan sisa toksik tersebut?


2. Tanah adat kerajaan bayar RM1.20 sekaki, tanah untuk hospital Rembau RM22.00 sekaki

Tanah Hospital Rembau ditawarkan pada harga RM22 sekaki (RM958,320 seekar)


3. Hospital Rembau dijangka siap selepas 3 tahun tender ditutup

Bilakah Hospital Rembau akan siap yang sepatutnya pembinaan dimulakan pada tahun 2008, tapi hanya akan bermula dalam masa 3 tahun dari sekarang?

Utusan Malaysia, 7 Mac 2008  - Hospital Daerah Rembau yang boleh menampung 76 katil akan dibina di sini dengan kos RM100 juta untuk memberi kemudahan kesihatan yang lebih baik kepada 60,000 penduduk, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini hari ini. Beliau menjelaskan dengan pembinaan hospital ini pada tahun ini, maka ia menjadi negeri yang pertama mempunyai kemudahan hospital di setiap daerah.

****

Terdapat beberapa utama mengenai tapak hospital Rembau. Yang pertama ialah tapak hospital ini adalah merupakan tanah industri. Apabila tanah industri ini dijadikan tapak hospital, maka ini akan menyekat pelabur baru atau pelabur sedia ada untuk mengembangkan perusahaan mereka di sini, seterusnya menyekat peluang pekerjaan untuk anak Rembau.

Yang kedua, tapak hospital ini yang didirikan atas tapak tanah industri menyebabkan ianya berjiran dengan beberapa industri yang amat berhampiran. Adakah Kementerian Kesihatan telah melakukan kajian akan tahap kesihatan dan tahap pencemaran di kawasan ini samada sesuai untuk didirikan hospital.


4. UiTM Rembau, berapa pampasan tanah untuk penduduk yang terlibat dengan projek ini?

21 Feb 2013 - Menurutnya kampus itu yang berkeluasan kira-kira 32.37 hektar terletak kira-kira 14 kilometer dari Rembau dan akan menempatkan pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pengajian Maklumat.

Pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau
31 Jan 2008

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek itu juga akan membantu membangunkan Rembau sebagai destinasi pelancongan terkenal. Beliau juga mengumumkan pembinaan sebuah lagi kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau selepas kampus di Kuala Pilah di mana ia dibuat secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI).


5.  Landasan pesawat kecil dibina di Rembau, berapa pampasan tanah untuk penduduk yang terlibat dengan projek ini?

Utusan Malaysia 21 Feb 2008 - Rembau akan terus membangun apabila kerajaan negeri bercadang untuk membina landasan pesawat kecil untuk kegunaan Kelab Penerbangan Awam Negeri Sembilan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tapak untuk landasan itu telah pun dikenal pasti iaitu di Batu Hampar, Rembau.

Menurutnya, ketika ini kajian menyeluruh mengenainya sedang dijalankan oleh kerajaan termasuklah mengambil kira kesesuaian kedudukannya.


6. Projek perumahan di DUN Kota, Rembau terbengkalai sudah 8 tahun

Apa sudah jadi dengan projek perumahan Desa Indah di Lubok China, Rembau yang terbengkalai sejak tahun 2005 lagi? Projek ini terletak di UPU Kg Titian Bintangor, dengan pengundi yang paling ramai di DUN Kota dalam Parlimen Rembau iaitu hampir 2,000 orang pengundi, majoriti besarnya adalah merupakan penyokong Umno.


7. Sekolah Menengah Agama Rembau tiada padang, Dasar 1 Murid 1 Sukan Gagal

Walaupun terletak di pusat pentadbiran Rembau, namun Sekolah Menengah Agama Rembau ini terpinggir dari segi infrastrukturnya. Sekolah ini tidak mempunyai padang sekolah.


8.  Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di DUN Chembong

Rumah YTM Dato' Sedia Raja, Dato' Abdullah Dahan, Undang Luak Rembau ke 18 terletak di DUN Chembong, di tepi jalan utama Seremban-Rembau berhampiran sebuah taman perumahan, pusat perniagaan dan sekolah menengah. YTM Dato' Abdullah merupakan salah seorang pembesar Melayu yang menggerakkan penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja. Di hadapan rumah terdapat padang kawad. Kini rumah ini terbiar tanpa ada sebarang usaha memulihara rumah ini.


9. Bau busuk ganggu penduduk

Sinar Harian 12 Julai 2012, Pedas - Penduduk di Kg Merbau Sembilan, dekat sini mendakwa sebuah kilang memproses ayam yang beroperasi sejak enam tahun lalu membawa pelbagai masalah khususnya dari segi pencemaran bau yang turut menjejaskan kesihatan mereka.

10. Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas

Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas berhadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas telah lama siap namun masih tidak dapat digunakan. Di DUN Chembong sejak dahulu lagi hanya ada dua buah sekolah menengah kebangsaan harian, iaitu SMK Dato Sedia Raja dan SMK Undang Rembau.

Kini sekolah ini telah sesak, terutamanya SMK Dato Sedia Raja, ini terbukti apabila setiap pagi hari persekolahan lalulintas di kawasan sekolah ini mengalami kesesakan yang luar biasa di jalan utama Seremban-Rembau. Taman perumahan di DUN Chembong semakin banyak termasuk di Pedas. Oleh itu Kementerian Pelajaran perlu memberi penjelasan kenapa SMK Pedas ini masih tidak boleh digunakan walaupun telah siap.


11. Tapak Masjid Baru Kariah Kundor Ulu di Pedas

Papan tanda yang usang dengan kawasan yang sudah menjadi hutan ini menjadi tanda tanya apakah tapak ini akan dibangunkan sebagai Masjid Baru Kariah Kundor Ulu. Ianya terletak di Km 9, Jalan Pedas – Linggi.

Ulasan bergambar sepenuhnya isu-isu yang menghantui pengundi di Parlimen Rembau ini di http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2013/04/hospital-pencemaran-toksik-perumahan.html

Ceramah Dato Hasan Din 28 Apr 2013 di Rembau

Posted: 22 Apr 2013 02:14 AM PDT




CERAMAH PERDANA
Tarikh : 28 April 2013, Ahad
Masa : 7 mlm (solat Maghrib berjemaah)
Tempat : Masjid Kariah Kg Batu, Rembau
Penceramah : Ustaz Dato Abu Hasan Din Al-Hafiz 

Anjuran : Masjid Kariah Kg Batu

Muslimin dan muslimat semua dijemput hadir

Tiada ulasan:

Nuffnang