DUN BUKIT PAYONG |
Posted: 24 Apr 2013 10:59 AM PDT Bismillahirrahmaanirrahiim Pemilihan adalah suatu perkara yang tidak dapat tidak, kita sebagai manusia mesti lakukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Bangun dari tidur, kita ada pilihan antara mahu meneruskan tidur atau bangun untuk solat. Bila bekerja, kita hadapi persimpangan antara mahu melakukan kerja dengan kesungguhan atau tidak dan samada mahukan rezeki yang halal ataupun haram. Begitulah antara contoh pilihan-pilihan dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan kata lain, kita tidak dapat lari dari melakukan pemilihan dalam hidup. Dari pagi hingga malam, dari perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada perkara yang besar, kita akan membuat apa yang kita anggap sebagai pilihan terbaik dalam hidup kita. Ada orang menganggap hukum pilihan itu satu perkara biasa dalam kehidupan. Bukan semua perkara yang dipilih mereka ada kena mengena dengan dosa dan pahala. Anggapan mereka itu sebenarnya meleset sekali kerana tiada satupun perkara di atas dunia ini akan terlepas dari penghakiman Allah. Suruhlah mereka sebutkan satu perkara yang tiada kena mengena dengan dosa dan pahala, nescaya tiada mereka temui. Firman Allah : "Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)". (al-Zalzalah :7-8) Akan tetapi dalam semua keputusan pemilihan kita itu, adakah kita pasti pilihan kita itu adalah pilihan yang diredhai Allah? Apakah yang seharusnya menjadi garis panduan kita dalam memilih? Tentunya sebagai seorang muslim panduan dari al-Quran dan sunnah yang akan menjadi kayu pengukur kepada setiap keputusan yang kita buat kerana kita inginkan pahala dari Allah. "Dan kami bentangkan kepada mereka dua jalan (Jalan yang baik untuk dilalui dan jalan yang buruk untuk dijauhi)" (al - Balad : 10) Salah satu perkara besar yang telah digariskan oleh Islam dalam membuat pemilihan ialah memilih pemimpin. Keutamaan memilih pemimpin ini telah dibuktikan oleh sahabat-sahabat rasulullah s.a.w iaitu ketika wafatnya baginda. Mereka telah bermesyuarat di Saqifah Bani Sai'dah bagi mengangkat pemimpin umat Islam yang baru, menggantikan rasulullah s.a.w. Sehinggakan urusan pengkebumian rasulullah s.a.w dilewatkan kerana mengutamakan pemilihan khalifah Pentingnya memilih pemimpin dalam Islam adalah kerana pemimpinlah yang akan mencorak kehidupan masyarakatnya. Baik pemimpin, baiklah masyarakat. Sebaliknya kehancuranlah yang akan menimpa rakyat jika pimpinan itu tergolong dari mereka yang terkeluar akhlaknya dari akhlak Islam. Kenyataan ini munasabah kerana manusia sukar berbuat baik sekiranya dia jahat dan dia akan menghindari kejahatan jika dia seorang yang baik menurut agama. Berkata ulamak "agama rakyat itu menurut agama pemerintah". Jika didalami perkataan ini, maka kita dapat lihat betapa besarnya pengaruh pemimpin terhadap mereka yang dipimpin sehinggakan agama mereka juga boleh dipengaruhi oleh pemimpin. Contoh semenanjung arab, yang dahulunya adalah tanah penyembah berhala, tetapi kini berhala-berhala itu lupus sama sekali apabila datangnya Islam. Di Sepanyol yang satu ketika dahulu hampir semua penduduknya beragama Islam, tetapi sekarang majoritinya kristian. Ini semua kerana pengaruh dari kepimpinan. Oleh itu sangat penting kita memilih pemerintah dengan betul. Tampuk kepimpinan ini adalah satu amanah dalam Islam. Ianya tidak boleh diminta jika tidak diberi serta juga tidak boleh ditolak sekiranya diberikan. Ini adalah prinsip asas dalam Islam. Akan tetapi apabila bertembung dengan kezaliman, maka kita dibolehkan merebut kuasa itu sekiranya mampu, demi untuk menghapuskan kezaliman sebagaimana yang dinyatakan oleh rasulullah : "Apabila kamu melihat kemungkaran maka hendaklah kamu menghalangnya dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lisan. Jika tidak mampu, maka dengan hati. Dan demikian (benci dengan hati) adalah selemah-lemah iman"(HR Muslim) Hadis ini menyuruh kita mencegah kemungkaran dari merebak dengan tingkatan kekuatan iman yang kita ada, sehinggakan dibolehkan mengambil kuasa dari pemerintah yang zalim. Bagi kita yang tinggal di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ianya membolehkan kita memilih pemimpin negara setiap lima tahun melalui pilihanraya. Maka jika kita yang membuang pemimpin yang tidak amanah atau zalim itu bukanlah kerana gilakan kuasa, tetapi mengambil kuasa itu untuk diberikan kepada yang lebih beramanah dan mengikut undang-undang kerajaan sediada. Sesuai dengan hadis rasulullah s.a.w bersabda : " Jihad yang paling utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim" (HR Tirmizi dan Abu Daud) Tidak semuanya dari kita dapat berkata benar di hadapan pemimpin zalim, akan tetapi kaedah yang terpakai di Malaysia untuk menolak pemimpin zalim ialah setiap rakyat yang layak, berhak menentukan kepimpinan negara melalui peti undi. Maka kita mesti menolak mereka, iaitu pemimpin yang telah terbukti zalim dalam pemerintahannya. Dalam konteks pembangunan pula, negara akan hancur dengan penyelewangan-penyelewengan yang dilakukan oleh tangan-tangan yang tidak amanah dan zalim. Kerana hanya keuntungan yang difikirkan mereka. Mereka secara tidak lansung telah menghancurkan negara. Lihatlah kehancuran yang telah berlaku keatas negara-negara yang dipimpin oleh mereka yang korup. Keruntuhan berlaku sana-sini samada keruntuhan binaan mahupun keruntuhan akhlak. Benarlah firman Allah : "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia "(ar- Rum : 41) Maka wajiblah kita berlaku adil kepada diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan akhir sekali kepada negara kita dengan menghalang kezaliman. Adil yang didefinasikan oleh Islam ialah "meletakkan sesuatu itu pada tempatnya". Firman Allah : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan bersikap ihsan" (an- Nahl : 90 Maka jika kita tidak meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, bermakna kita telah berbuat zalim kerana adil itu lawannya zalim. Jika kita masih lagi memilih kepimpinan yang tidak amanah dan zalim, maka kita bukan sahaja menzalimi diri, keluarga, masyarakat malahan kepada negara kita. Apa jawapan yang akan berikan kepada Allah nanti dengan kezaliman kita itu? Fikirkanlah masa depan agama, bangsa dan negara kita. Jauhkanlah diri kita dari kemurkaan Allah dengan memilih pemimpin yang amanah, adil dan berakhlak menurut Islam. Supaya kita, keluarga, masyarkat dan juga negara selamat dari kemusnahan kerana sikap amanah kita dalam memilih pemimpin yang betul. Dan semoga kita tidak digolongkan dalam golongan orang yang membantu kezaliman. Firman Allah : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Hud : 113) Semoga Allah jauhkan. Wallahua'lam Ustaz Mohd Nor Hamzah Calon N18 DUN Bukit Payong |
You are subscribed to email updates from DUN BUKIT PAYONG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan