:: cina islam | 2011 :: |
- Manifesto: PR 10 minit, BN siaran langsung
- 6 cedera rumah ranap ditimpa bongkah batu
- 3 termasuk pasangan pengantin baru maut
- Dua pemandu bot ditikam dan diacu pistol di Pulau Perhentian
- Tiada Kes Selesema Burung H7N9 Dikesan Di Negara Ini - Kementerian Kesihatan
- Najib 'langgar' peraturan kerajaan sementara?
- Orang Cina dengar kuliah TG Nik Aziz
- Polis Perak guna basikal ronda cegah jenayah
- Untung sabut timbul, untung batu?
- Taib perlu letak jawatan atau Najib perlu mansuh SPRM, kata pemimpin Pakatan
- PRU13 catat sejarah, peluang PR terbuka luas
- Kecoh bom di mahkamah
- Wanita maut tercampak dari lori
- Kempen PRU13: BN mula perang siber
- Banjir kilat landa Georgetown
- PRU13: PAS Perak isytihar calon 9 April
- Tempoh 'berpantang' dari media arus perdana
- Kemunculan selesema burung di China dijangka naikkan pasaran getah
- Gempa 5.8 magnitud gegar sempadan China-Russia
- MB Kedah sifatkan insiden jatuh ‘petanda baik’
- Hangus sekelip mata
- Zaid jelaskan kenapa Melayu mesti undi Pakatan
- 50 jam siapkan kasut berlian
- Abdul Ghani lawan Kit Siang?
- Rejim Israel semakin biadab
Manifesto: PR 10 minit, BN siaran langsung Posted: 06 Apr 2013 07:17 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ketika Pakatan Rakyat (PR) bertungkus lumus menjelajah ke seluruh negara bagi membentangkan manifesto pilihan raya kepada rakyat, Umno BN mendapat laluan mudah apabila manifestonya disiarkan secara langsung oleh media milik kerajaan dan media arus perdana. "Agak lucu apabila dia (Umno BN) tawarkan 10 minit kepada Pakatan Rakyat untuk bentangkan manifesto (secara rakaman)," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul kepada TV Selangor hari ini berhubung perkara itu. Majlis pelancaran manifesto BN untuk PRU13 oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib di Stadium Bukit Jalil malam ini dalam satu majlis khas akan disiarkan secara langsung oleh media perdana di negara ini. Johari turut mempersoalkan siaran langsung tersebut kerana kerajaan yang wujud ketika ini adalah kerajaan sementara di mana Umno BN sebagai pentadbir tidak boleh menggunakan agensi atau jentera kerajaan bagi kerja parti. "Saya ingin bertanya sama ada Umno BN membayar atau tidak kepada RTM kerana menggunakan fasiliti kerajaan. Secara undang-undang, dia (Umno BN) tidak boleh menggunakannya untuk tujuan kerja-kerja parti," ujarnya dipetik Selangorku. Johari mendakwa, Umno BN melakukan perubahan terhadap manifestonya yang diyakini telah disiapkan awal tetapi ditarik semula apabila PR melancarkan manifesto lebih awal. Sebagai contoh, katanya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak pernah didebatkan di dalam Parlimen sama ada bagi bajet 2010, 2011 atau 2012. "Bila PR menyediakan Buku Jingga pada 2010 yang didalamnya jelas menyatakan bantuan RM1,000 setahun kepada rakyat khususnya berpendapatan rendah maka Umno-BN lantas melancarkan BR1M walaupun tiada bajet diluluskan oleh Parlimen. "Ini menunjukkan Umno-BN ketandusan idea. Dia cuma akan buat 'adjustment' terhadap apa yang dia ada dan mengikut apa dicadangkan PR. Bagi saya, Umno-BN tidak mempunyai 'originality' tetapi 'copycat'," katanya. Harakahdaily/- |
6 cedera rumah ranap ditimpa bongkah batu Posted: 06 Apr 2013 07:15 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - TAWAU - Tiga wanita dan tiga kanak-kanak cedera selepas tujuh buah rumah di Kampung Bukit Kukusan dekat sini, ranap dihempap tiga bongkah batu besar, dari kawasan sebuah kuari di atas Bukit Kukusan. Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau Albert Jiran Tanjung berkata kesemua mangsa yang cedera, ada di antaranya cedera di bahagian kaki dan tangan, dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan. Bagaimanapun, katanya identiti kesemua mangsa yang cedera berkenaanbelum dikenal pasti. Katanya mangsa merupakan sebahagian daripada 65 orang daripada 12 keluarga di kampung itu yang menjadi mangsa dalam kejadian itu. Terdapat kira-kira 300 buah rumah di kampung berkenaan. Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 11.43 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, anggotanya yang dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam, polis dan tentera membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit dan terperangkap di bawah runtuhan rumah. Katanya siasatan awal mendapati bongkah-bongkah batu berkenaan bergolek kebawah bukit dan menimpa rumah penduduk berkenaan selepas berlaku gegaran akibat letupan bahan peledak yang digunakan memecahkan batu di kuari itu. Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah yang ditemui di lokasi kejadian berkata syarikat kuari itu sudah diarah menghentikan operasi berkuat kuasa serta merta. Katanya penduduk kampung berkenaan juga dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Seorang penduduk, Wakalobe Lakambera, 55, berkata sejurus terdengar letupan bahan peledak dari kuari itu, bongkah batu besar dilihat bergolek dari atas bukit dan menimpa beberapa buah rumah yang dibina di lereng bukit sebelum meranapkan rumah jirannya. Katanya nasib baik tiada keluarganya yang cedera namun dua buah tangki air di belakang rumahnya rosak. Edi Lasuasa, 54, pula berkata dia berada di bawah rumah tempat dia menyewa bersama tujuh individu lain apabila melihat beberapa buah rumah di lereng bukit dirempuh batu. Katanya belum sempat dia melarikan diri, batu berkenaan sudah merempuh rumah sewanya dan dalam sekelip mata keadaan menjadi gelap dengan dia tertiarap di bawah runtuhan rumah sewanya itu. Katanya mujur runtuhan rumah berkenaan tidak menghempapnya dan dia berjaya menyelamatkan empat orang termasuk dua kanak-kanak keluar dari runtuhan rumah sebelum dia merangkak keluar. Selain calar di beberapa bahagian kaki, Edi turut mengalami kecederaan ringan di kepala. - Bernama |
3 termasuk pasangan pengantin baru maut Posted: 06 Apr 2013 07:14 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - MUAR - Tiga termasuk pasangan pengantin baru maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan kereta, lori dan bas persiaran di Km162.5, Lebuh Raya Utara Selatan di sini malam tadi. Pasangan pengantin itu, Kumar Arunasalam, 34, dari Kampung Serani, Melaka dan isterinya Rita Maria Gilrelt, 42, warganegara Singapura dan Carrieanne Fransisca Dicosta, 22, dari Kampung Portugis, Melaka, meninggal dunia di tempat kejadian. Pang Yun, 59, dari Tangkak Jaya yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tangkak manakala Brian Jeremieh Sta Maria, 21, dari Kampung Portugis, Melaka hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di hospital sama, kata Ketua Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris. Katanya kemalangan tersebut berlaku pada kira-kira pukul 10.45 malam tadi semasa kelima-lima mereka yang menaiki kereta Proton Waja yang dipandu Pang dalam perjalanan dari Singapura ke kampung pasangan pengantin itu di Melaka. Katanya pasangan suami isteri itu baru dua minggu mendirikan rumah tangga. Beliau berkata 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak dan Muar mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk itu. Pemandu bas persiaran dan lori satu tan yang terbabit dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - Bernama |
Dua pemandu bot ditikam dan diacu pistol di Pulau Perhentian Posted: 06 Apr 2013 03:06 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Dua pemandu bot, seorang daripadanya cedera di bahu kiri akibat ditikam menggunakan badik, setelah diserang dalam dua kejadian berasingan di Pulau Perhentian semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP, K Manoharan berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira 8.15 pagi ketika mangsa berusia 29 tahun berada di Pasir Panjang untuk menunggu pelancong sebelum didatangi lima lelaki tidak dikenali dan seorang daripada mereka tiba-tiba terus menikam bahu mangsa. Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, pemandu bot yang takut dengan serangan itu, berjaya melepaskan diri untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung, mengakibatkan kelima-lima suspek terus melarikan diri. Katanya mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan dan dilaporkan stabil. Beliau berkata, polis percaya motif serangan berpunca daripada hutang lama dan serangan dipercayai dilakukan orang luar. Manoharan berkata dalam kejadian kedua 45 minit selepas itu, enam lelaki dan seorang wanita bertindak menyerang seorang pemandu bot di pulau itu dan memaksa pemandu bot berusia 28 tahun itu membawa mereka ke jeti Kuala Besut. Katanya semasa di dalam bot suspek bertindak mengajukan senjata dipercayai pistol ke kepala mangsa dan mangsa yang takut dengan tindakan itu membawa kesemua suspek ke jeti Pasir Panjang. "Siasatan awal mendapati kesemua suspek bukan merupakan orang pulau itu kerana mereka menginap di sebuah chalet di pulau berkenaan. Namun ketika serbuan dilakukan kesemua suspek telah melarikan diri," katanya. Manoharan berkata, polis tidak menolak kemungkinan serangan dalam kedua-dua kes itu dilakukan suspek yang sama dan turut bermotifkan balas dendam serta hutang. Katanya hasil siasatan polis berjaya mengenal pasti seorang suspek berusia 26 tahun yang berasal dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut dipercayai terlibat dalam kes serangan membabitkan dua pemandu bot berkenaan. "Kita telah menyerbu ke rumah suspek namun suspek melarikan diri dan kini kami masih memburu enam lelaki dan seorang wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun," katanya. - Bernama |
Tiada Kes Selesema Burung H7N9 Dikesan Di Negara Ini - Kementerian Kesihatan Posted: 06 Apr 2013 03:05 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada sebarang kes selesema burung (H7N9) dalam kalangan unggas dikesan berlaku di negara ini, berdasarkan hasil pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada bukti menunjukkan H7N9 boleh menular daripadamanusia kepada manusia. Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai mengelak daripada mengunjungi pasar menjual unggas hidup di negara yang terlibat dengan jangkitan avian influenza. "Mereka yang pulang dari Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China dengan gejala pernafasan dinasihat memakai topeng muka dan segera mendapatkan rawatan perubatan, seterusnya memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Orang ramai juga dinasihat tidak memegang unggas yang ditemui mati, mengamalkan kebersihan diri serta segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran jika mendapat gejala serupa influenza (ILI) terutama mereka yang terlibat dengan pengendalian unggas, katanya. Noor Hisham juga mengingatkan penternak dan pengusaha ladang unggas agar mematuhi nasihat serta panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan melaporkan sebarang kejadian kluster ILI kepada pejabat kesihatan daerah terdekat. Beliau berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa melibatkan jangkitan virus itu, yang disahkan menular di China mulai 29 Mac lepas. Sehingga 5 April, WHO mengesahkan 16 kes dengan enam kematian disebabkan H7N9 dilaporkan di Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China. Bagaimanapun, katanya, WHO setakat ini tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau kenyataan berhubung larangan melawat ke China. - BERNAMA |
Najib 'langgar' peraturan kerajaan sementara? Posted: 06 Apr 2013 02:58 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan raya bersama Trasparency International Malaysia pada 20 April lalu disifatkan sebagai kosmetik semata-mata. Ini kerana, baru sahaja empat hari parlimen dibubarkan, semalam Najib Tun Razak pula mengumumkan tiga projek pembangunan di Cyberjaya membabitkan kos keseluruhan mencecah RM8 bilion bermula tahun ini. Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Najib telah menipu rakyat negara ini dengan apa yang pernah dijanjikan sebelum ini. Katanya, Najib dilihat telah menyalahgunakan kuasa apabila mengumumkan projek berskala mega sedangkan ianya menyalahi garis panduan kerajaan sementara. "Sepatutnya dia tidak ada hak untuk mengumumkan apa-apa projek dan dia hanya boleh buat urusan pentadbiran sahaja misalnya soal gaji kakitangan awam," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily. Beliau turut meminta rakyat negara ini melihat sendiri pemimpin parti dan kerajaan BN yang secara terang-terangan telah membohongi mereka. "Adakah rakyat Malaysia masih ingin memilih pemimpin dan kerajaan yang pembohong?" soal Mahfuz. Semalam, Najib mengumumkan tiga projek iaitu merangkumi pembinaan sebuah masjid, 2,500 unit rumah kediaman termasuk 794 unit di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta pembangunan pusat bandar Cyberjaya. Perdana Menteri berkata, pembinaan masjid bernilai RM62 juta yang mampu memuatkan 8,500 jemaah akan dibina di atas tapak seluas 6.8 hektar dan dijangka siap pada 2015. Selain pembinaan masjid, Perdana Menteri turut mengumumkan pembangunan projek perumahan di tapak seluas 43.6 hektar dengan kos RM1.2 bilion. Katanya, sebanyak 2,500 unit rumah dan komersial akan dibina dalam satu persekitaran unik dan kondusif pada harga mampu milik untuk rakyat kategori profesional dan pendapatan sederhana berharga antara RM220,000 dan RM250,000. Harakahdaily/- |
Orang Cina dengar kuliah TG Nik Aziz Posted: 06 Apr 2013 02:56 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - (Kaum Cina mendengar kuliah Jumaat TG Nik Aziz di Dataran Ilmu, Kota Bharu) KOTA BHARU: Percayakah anda jika diberitahu kaum Cina juga mendengar kuliah Jumaat yang diberikan oleh Tuan Guru Nik Aziz di Dataran Ilmu, bersebelahan bangunan PAS Kelantan. Namun inilah yang berlaku yang disifatkan sebagai hasil kerjasama antara PAS, PKR dengan DAP di bawah Pakatan Rakyat yang telah membuahkan hasil yang cukup 'manis' untuk Islam. Ini kerana golongan bukan Islam bukan sahaja boleh menerima perjuangan PAS, sebaliknya turut mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Semalam, sekumpulan masyarakat Cina dari Hulu Langat, Selangor telah berkesempatan mendengar kuliah Jumaat yang disampaikan Tuan Guru di Dataran Ilmu, Kota Bharu. Lawatan mereka selama dua hari untuk meninjau perkembangan politik di Kelantan selepas Parlimen dan Dun Kelantan dibubarkan dua hari lalu, mereka mengambil kesempatan untuk mendengar kuliah Jumaat. Rombongan berkenaan mengambil tempat di ruang Pusat Penerangan PAS Negeri yang terletak di tingkat bawah bangunan PAS, Medan Ilmu. Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, ketika diminta mengulas perkara itu turut mengakui berhubung fenomena itu. Malah menurutnya, ia bukannya perkara baru sekarang ini. "Bukan hanya umat Islam yang melawat negeri ini mengambil kesempatan mendengar kuliah agama dari Tuan Guru, sebaliknya golongan bukan Islam juga,"ujarnya. Sebelum ini ada seorang anggota Parlimen dari DAP mendengar kuliah agama Tuan Guru termasuk pemimpin masyarakat bukan Islam Kelantan sendiri, antaranya Kenny Chua. Harakahdaily/- |
Polis Perak guna basikal ronda cegah jenayah Posted: 06 Apr 2013 02:53 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - IPOH - Polis Perak akan melancarkan rondaan pencegahan jenayah menggunakan basikal pada pertengahan bulan ini di kawasan pedalaman di negeri ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan. Beliau berkata, penggunaan basikal adalah lebih mesra dalam usaha mendekati masyarakat berbanding kereta peronda selain boleh membantu kerajaan mengurangkan penggunaan petrol bagi memelihara alam sekitar. "Dengan menggunakan basikal kita akan ada banyak ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat," katanya kepada pemberita pada Program Kayuhan Santai Sempena Peringatan Hari Polis Ke-206 Polis Diraja Malaysia, Perak, di sini hari ini. Beliau berkata, pihaknya juga akan menerima 85 buah motosikal untuk memantapkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di negeri ini. Sementara itu, Mohd Shukri berkata, bilik gerakan di ibu pejabat polis di negeri ini dan pejabat polis daerah yang diwujudkan sempena pilihan raya umum ke-13 mula beroperasi sejak Dewan Rakyat dibubarkan dan 8,000 anggota telah bersiap sedia untuk memastikan pemantauan berjalan lancar. Katanya menjelang pilihan raya itu, rondaan di kawasan yang banyak menganjurkan aktiviti politik juga dipertingkatkan. "Saya menyeru orang ramai yang terlibat dalam pilihan raya kali ini khususnya parti-parti politik ataupun individu yang berkepentingan dengan pilihan raya supaya patuh dengan undang-undang bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya. - Bernama |
Untung sabut timbul, untung batu? Posted: 06 Apr 2013 02:29 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - PRU ke 13 akan menyaksikan pertarungan paling sengit dan semua akan tertumpu kepada kerusi parlimen Gelang Patah di mana Penasihat DAP Lim Kit Siang dijangka bertemu Menteri Besar Johor Ghani Othman. Setelah berteka teki dan membuat berbagai ramalan, akhirnya Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pembubaran Parlimen untuk membolehkan rakyat Malaysia mempunyai kesempatan untuk memberi mandat serta memilih sebuah kerajaan yang baru. Perdana Menteri yang tidak pernah mendapat mandat daripada rakyat itu memilih tarikh 3 April 2013 untuk membubarkan Dewan Rakyat kerana tarikh itu amat signifikan bagi dirinya kerana telah genap empat tahun beliau mengambil alih tampok pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009. Sehari selepas itu, beliau terus menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ingin bertanding di Perak dan menuduh Anwar melarikan diri dan mengabaikan para penyokong setianya di Permatang Pauh. "Anwar tiada keberanian untuk mempertahankan kerusi parlimennya di Permatang Pauh. Tapi saya akan terus hidup dan mati bersama pengundi dan penduduk Pekan," kata Najib "Saya akan mempertahankan kerusi parlimen Pekan dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang ini, tidak seperti Datuk Seri Anwar yang akan mengabai dan meninggalkan para pengundi di Permatang Pauh. "Saya tidak akan mimpi untuk meninggalkan Pekan. Saya akan hidup dan mati di Pekan," kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat dengan ahli-ahli majlis tertinggi Umno dan presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 April lalu. Berita terbaru, Anwar memilih untuk kekal bertanding dan mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh pada PRU13 ini setelah membatalkan hasratnya untuk bertanding di Lumut atau Tambun. Hasrat beliau untuk bertanding di Perak adalah atas strategi politik untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat di Perak. Beliau mahu bersama pengundi setia dan penyokongnya yang telah banyak berkorban dengan memilihnya untuk menjadi wakil rakyat mereka untuk sekian lama walaupun berbagai halangan dan rintangan dihadapi Anwar daripada musuh-musuhnya. Entah apa pula alasan atau komen Najib kali ini berhubung dengan keputusan Anwar untuk tetap bertanding di Permatang Pauh atau Anwar kini takut untuk keluar bertanding luar dari kawasannya. Lim vs Ghani Tetapi dalam PRU13, yang dianggap paling sengit kali ini, pertarungan hebat yang dinanti-nanti ialah di antara Penasihat DAP Lim Kit Siang dengan prospek bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di parlimen Gelang Patah. Lim, yang akan meninggalkan kawasan parlimen Ipoh Timur berkata, "saya telah membuat keputusan untuk bertanding di Gelang Patah, bukan untuk diri saya atau DAP tetapi untuk rakyat dan negara ini. Sementara Ghani, menteri besar selama empat penggal itu berkata, tidak….tidak…. tunggu dulu apabila diasak oleh para pemberitahu. Reaksi beliau ini menunjukkan beliau tidak pasti lagi kedudukannya walaupun beliau dipujuk oleh beberapa pemimpin Umno untuk menentang Lim di Gelang Patah. Pada kira-kira jam 8.30 malam ini, Najib akan membentangkan manifesto BN pada suatu majlis di Stadium Putra, Bukit Jalil, dekat Kuala Lumpur yang akan memberi tumpuan kepada konsep 'rakyat didahulukan' dalam doktrin 1Malaysia. Manifesto yang inklusif ini memberi fokus kepada usaha menggalakkan keadilan sosial, tanggungjawab fiskal dan memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi dan Najib menekankan bahawa manifesto ini tidak akan menyimpang jauh dari pelan transformasi yang diperkenalkannya. Umno-BN, dulunya parti Perikatan tidak pernah tewas dalam PRU sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tetapi para pemimpinnya hari ini berdepan dengan Pakatan Rakyat yang berjaya menafikan majoriti dua pertiga dalam PRU12 lalu. Umno-BN parti tua, uzur Parti pemerintah yang tua, uzur dan nyanyok ini sedang menghadapi cabaran paling getir dalam sepanjang perjalanan sejarah hidupnya dan kini berdepan kemungkinan disingkirkan oleh rakyat yang kini semakin matang dan sedar akan perlunya kepada perubahan yang bersifat total. Apabila disebut Umno-BN ini merupakan sebuah parti yang tua, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin cepat-cepat menafikannya. Beliau berkata, BN bukan sebuah parti yang tua seperti yang didakwa oleh pembangkang tetapi sebuah parti yang senantiasa menukar para pemimpinnya agar lebih bertenaga dan berwawasan. Sebenarnya Umno-BN merupakan sebuah gabungan parti politik yang tua, uzur dan nyanyok berdasarkan kenyataan para pemimpinnya yang sering membuat pelbagai tuduhan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang, khususnya dari Pakatan Rakyat. Apabila mereka terlibat dengan salah guna kuasa, mereka menuduh pemimpin Pakatan yang terlibat dengan salah guna kuasa. Apabila mereka kuat mengamalkan rasuah, mereka akan mencari bukti-bukti untuk mencuba memalitkan pemimpin pembangkang dengan perbuatan rasuah. Apabila negeri-negeri di bawah pentadbiran Umno-BN setiap tahun mencatat defisit kewangan yang teruk, mereka menuduh para pemimpin Pakatan tidak pandai memerintah negeri-negeri Pakatan yang terdiri dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Mereka mendakwa negeri-negeri Pakatan gagal menarik para pelabur luar untuk membuat pelaburan walaupun pada hakikatnya negeri Selangor dan Pulau Pinang telah mendahului negeri-negeri lain dalam menarik pelaburan asing dan pengurusan kewangan negeri mendapat pujian dalam Laporan Ketua Audit Negara. Apa sahaja keburukan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mereka lakukan, mereka cepat-cepat menuding jari dan melontar kembali segala penyelewengan itu dan melemparkan tuduhan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang sebagai langkah menyembunyikan keburukan mereka itu. Itulah tingkah laku dan tabiat buruk mereka. Kadang-kadang nak ketawa pun ada. Kedudukan Umno-BN kali ini ibarat 'telur di hujung tanduk' dan untung sabut timbul, untung batu? FMT/- |
Taib perlu letak jawatan atau Najib perlu mansuh SPRM, kata pemimpin Pakatan Posted: 06 Apr 2013 02:19 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 6 April — Pemimpin Pakatan Rakyat beranggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dimansuhkan kerana Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak boleh berbuat apa-apa apabila ketua menteri Sarawak enggan bekerjasama dengan badan pencegahan rasuah tersebut. Pemimpin PR yang dihubungi The Malaysian Insider menegaskan, sebagai sebuah badan yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, SPRM seharusnya dihormati, namun tindakan Tan Sri Abdul Taib Mahmud seakan-akan memperlekeh badan tersebut diburukkan lagi apabila Najib sendiri dilihat tidak mempu melakukan apa-apa tindakan. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan Najib juga harus meletak jawatan ekoran keengganan Abdul Taib untuk bekerjasama SPRM berhubung pendedahan oleh Global Witness mengenai skandal balak di Sarawak. "Apa yang lebih teruk ialah sifat bongkak Taib Mahmud sebagai seorang Ketua Menteri yang merasakan dirinya mengatasi undang-undang," tegas Lim dalam satu kenyataan hari ini. "Najib mesti menuntut supaya Taib meletakkan jawatan jika benar Najib komited dengan kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti dan membanteras rasuah memandangkan ia bukan sahaja memalukan BN tetapi juga negeri Sarawak dan negara Malaysia. "Jika Taib tidak meletakkan jawatan, ini jelas memperlihatkan bahawa wujudnya 'double-standard' apabila Ketua Menteri Sarawak menikmati kekebalan undang-undang dari apa sahaja kesalahan yang boleh dikenakan ke atas rakyat biasa." Awal bulan lalu, penyiasat bebas Global Witness telah mendedahkan sebuah video yang memaparkan aktiviti rasuah dalam industri pembalakan di Sarawak dengan menyamar sebagai seorang pelabur balak dari luar negara dan menemuramah sepupu Abdul Taib. Abdul Taib sebelum ini dilaporkan berkata SPRM tidak layak mendapat kerjasamanya berhubung penyiasatan berkenaan, malah menyifatkan badan anti rasuah itu sebagai "nakal" dan telah "tidak jujur". Ketua menteri Sarawak itu turut menyifatkan siasatan rasuah SPRM terhadapnya menjadikan beliau sabagai mangsa. "Rakyat Malaysia sedang menanti untuk melihat sama ada Najib berani untuk bertindak ke atas Taib disebabkan kenyataannya yang memalukan itu," kata Lim lagi. Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan lebih baik SPRM dibubarkan jika Najib tidak berani mengambil tindakan terhadap Abdul Taib. "Kenapa perdana menteri takut nak ambil tindakan? Sedangkan beliau telah menandatangani perjanjian integriti ... kalau macam tu bubar sahaja SPRM," tegasnya. "Adakah Najib lebih mementingkan 27 kerusi Parlimen daripada Sarawak sehingga Taib Mahmud tidak boleh disentuh? Bukankah seorang PM itu bersumpah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang," tegasnya lagi kepada The Malaysian Insider. Di bawah Seksyen 47 dan 48 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, keengganan untuk bekerjasama dengan pihak SPRM apabila seseorang disiasat boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda maksima RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, pula menegaskan tindakan yang dibuat Taib itu jelas menunjukkan Najib tidak mampu berbuat apa-apa terhadapnya sehingga beliau berani mengatasi undang-undang. "Tiada proses transformasi dalam BN," katanya yang dikenali sebagai Tian Chua. "Tindakan transformasi Najib untuk membanteras rasuah juga adalah satu lakonan semata-mata," katanya. The Malaysian Insider/- |
PRU13 catat sejarah, peluang PR terbuka luas Posted: 06 Apr 2013 02:11 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SHAH ALAM - Pembubaran Dewan Rakyat yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disifatkan sebagai pilihan raya paling bersejarah di negara ini oleh pemerhati politik. Menurut Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, ini adalah satu-satunya pilihan raya yang meletakkan pembangkang dalam keadaan lebih bersedia untuk bertempur bagi menawan tampuk kuasa. "Biasanya pilihan raya diadakan mengejut. Pembangkang mahu pun Pakatan Rakyat selalunya tidak bersedia. Tetapi kali ini saya difahamkan, ada calon pembangkang ini yang sudah tahu awal jadi calon, sudah menyiapkan poster mereka. "Dalam satu keadaan mereka mungkin lebih bersedia daripada BN," ujar beliau kepada Sinar Harian Online. Pada pilihan raya lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima satu kejutan apabila gagal mempertahankan majoriti kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat. Kenangan paling pahit buat BN apabila Selangor yang merupakan negeri terkaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR). Selain gagal menguasai Kelantan, BN juga gagal mempertahankan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Perak bagaimanapun kembali kepada BN kira-kira setahun kemudian setelah tiga wakil rakyat yang dipilih mengisytiharkan sokongan mereka kepada BN. Ketika Parlimen dibubarkan Rabu lalu, komposisi di Dewan Rakyat ialah BN menguasai 137 kerusi, DAP (29), Pas (23), PKR 23 kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas. Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum 2008, 16 pilihan raya kecil yang diadakan dimenangi secara sama rata oleh BN dan PR. Ini menambah cakap-cakap bahawa ini adalah pilihan raya paling sengit. Mengulas lanjut, Redzuan berkata, pihaknya sudah melakukan kajian meliputi 23 kerusi panas pada pilihan raya kali ini bagi melihat peluang kedua-duanya parti ini kelak. "Antaranya seperti Pandan dan Lembah Pantai," ujar beliau. Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Sufian, mana-mana parti yang mendahului dalam isu nasional berpeluang menang dalam medan tempur ini. "Ini adalah pertembungan dua idea yang begitu berbeza. "Dari segi perspektif pilihan raya, benar calon main peranan tetapi calon baru yang tidak dikenali, orang-orang yang tidak ada pengalaman agak sukar untuk mereka ini bersaing pada kali ini," ujarnya. Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, tempoh masa yang agak lama diambil bagi membubarkan Parlimen memberi peluang kepada pakatan pembangkang mempersiapkan jenteranya bagi melawan kekuatan Umno-BN. "Pihak Pakatan Rakyat, mereka sudah mencari dan merekrut, meletakkan orang-orang yang agak berpengalaman dan berpengaruh sebagai calon," katanya. BN dan PR juga katanya dilihat mengamalkan pendekatan yang agak berbeza dalam usaha mendekati seterusnya menawan hati pengundi mengikut kelompok sasaran masing-masing. "BN kalau kita lihat menguasai media arus perdana dan di peringkat akar umbi tetapi pembangkang pula mereka agak aktif dan bertenaga di sosial-sosial media. Tetapi kalau kita lihat kepada perkara lain, BN memang ada kelebihan," katanya. Mengulas mengenai kesediaan pihak pemerhati menjalankan kajian dan analisis pilihan raya, Ibrahim berkata, tumpuan lebih diberikan kepada kerusi-kerusi yang mempunyai rekod sebelum ini. "Kerusi-kerusi yang kita perhatikan adalah kerusi-kerusi yang sebelum ini ada pergaduhan atau cetus kontroversi. "Kita juga memerhatikan kawasan-kawasan yang banyak pertambahan bilangan pengundi," katanya. Antara kawasan yang menjadi perhatian di sekitar Lembah Klang ialah Shah Alam, Hulu Langat, Subang dan beberapa kawasan lagi. Merdeka Center merupakan salah satu pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR. Enam NGO dilantik oleh SPR bagi tujuan itu. Sebuah lagi badan NGO yang dilantik oleh SPR sebagai pemerhati pilihan raya ialah Ideas. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, Malaysia akan menyaksikan pertempuran pilihan raya paling hebat - yang tidak pernah disaksikan sebelum ini - pada PRU13 ini. "Selama ini kita menyaksikan parti-parti lain atau pembangkang tidak pernah ada peluang selain Barisan Nasional. Tetapi tidak kali ini," ujar beliau. Menurut Wan Saiful, sebagai pemerhati yang dilantik oleh SPR, pihaknya akan menumpukan kepada 102 kerusi sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun). "Yang menjadi tumpuan antara 50-60 kerusi yang merupakan kerusi agak panas. "Fokus negeri ialah di Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Johor," ujar Wan Saiful lagi. Jelasnya, tumpuan tentunya akan diberikan kepada kerusi-kerusi yang akan ditandingi pimpinan-pimpinan penting juga seperti Parlimen Pekan dan Pagoh misalnya. Walaupun hanya menang 140 kerusi pada pilihan raya umum lalu, BN yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berkeyakinan mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kali ini seterusnya mempertahankan kuasa di Putrajaya. Sementara pembangkang pula yang diwakili oleh Pas, PKR dan DAP yakin dapat menakluk Putrajaya kerana dasar-dasar yang dibawa dilihat memberikan kehidupan dan alternatif kepada rakyat Malaysia. Sinar/- |
Posted: 06 Apr 2013 02:09 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - AYER KEROH - Kompleks Mahkamah Melaka di sini, terpaksa ditutup setelah timbul kekecohan apabila sebutir bom dikatakan terdapat di pekarangan kompleks itu pagi semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Taja Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan hal berkenaan. "Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan jam 8.30 pagi oleh seorang lelaki menggunakan nombor tidak dapat dipastikan lagi kerana tidak tertera. "Lelaki berkenaan memberitahu telah meletakkan bom di Kompleks Mahkamah Melaka sebelum mematikan talian," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam. Raja Shahrom berkata, skuad pemusnah bom bersama-sama unit anjing pengesan (K9) kemudian bergegas ke lokasi."Bagaimanapun kami tidak menemui sebarang bom atau bahan letupan lain ketika pemeriksaan dilakukan sehingga jam 1 petang. "Semua urusan di kompleks berkenaan berjalan seperti biasa bermula jam 2.45 petang selepas semua kakitangan, orang kena tuduh (OKT) dan pelawat diarahkan mengosongkan bangunan berkenaan," katanya. Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama. Sementara itu, seorang kakitangan kompleks berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, dia dan rakan-rakannya diarahkan keluar dari perkarangan kompleks kira-kira jam 9.30 pagi. "Saya yang datang semula pada jam 12 tengah hari tidak dibenarkan masuk ke kompleks oleh pengawal keselamatan dan jika saya tidak silap Ini merupakan kejadian kali kedua berlaku sejak tahun lalu," katanya. Sinar/- |
Wanita maut tercampak dari lori Posted: 06 Apr 2013 02:07 AM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - NILAI – Seorang wanita maut di tempat akibat tercampak keluar daripada lori yang dipandu sendiri oleh suaminya, di Kilometer 45.5 Lebuhraya Elit arah utara, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Noor Asiah Abd Manap, 36, yang duduk di bahagian penumpang terpelanting, disebabkan berlaku pergeseran di antara lori yang dinaikinya dengan sebuah lori treler yang berhenti di bahagian kecemasan lebuh raya berkenaan. Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang, lori mangsa yang dipercayai datang dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lagi lori yang sedang berhenti. Menurutnya pemandu lori itu, Misri Mismi, 36, dan seorang lagi penumpang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). "Mayat mangsa yang dihantar ke HTJ juga telah dituntut oleh keluarga awal pagi semalam," katanya kepada Sinar Harian. Sinar/- |
Kempen PRU13: BN mula perang siber Posted: 05 Apr 2013 09:04 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - PERANG siber Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bermula! Tidak perlu terkejut apabila anda menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi "Salam 1Malaysia, Parlimen sudah dibubarkan. Pilihlah Malaysia. Undilah BARISAN NASIONAL". Nampaknya perang siber ini sudah bermula awal walaupun tarikh penamaan calon dan hari pengundian belum pun diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hari penamaan calon dan pengundian hanyat akan diketahui Rabu ini. Mengikut peraturan khas yang digariskan SPR, kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12 tengah malam sebelum hari mengundi. Ia bagi memastikan, pilihan raya berjalan lancar dan mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan Seksyen 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik pegawai penguat kuasa dan membentuk satu atau lebih pasukan-pasukan penguat kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Laman web 1Malaysia yang memaparkan paparan Jom Bertindak juga sudah boleh diakses. Di sebelah kanan, laman Sinar Harian Online sendiri, pengunjung boleh menyaksikan iklan Bersama Maju Ke Hadapan 1Malaysia. Ia bermula sejak kelmarin. Selain memaparkan tranformasi dan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional, pelayar laman web berkenaan boleh mendaftarkan diri bagi mendapatkan Kit Tindakan. Kit Tindakan ini mengandungi kelengkapan asas bagi membantu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang. Antaranya ialah pen, pin kolar, pelekat kereta, buku panduan. Tertera pada Kit Tindakan itu tulisan "Kita Sokong Najib Razak" Dengan mengisi secara online maklumat diri, termasuk nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal, mereka yang berdaftar akan dikirimkan Kit Tindakan ini. Semakan Sinar Harian Online di laman-laman web rasmi pembangkang buat masa ini belum menemukan sebarang kempen seumpama itu. Sinar/- |
Posted: 05 Apr 2013 08:53 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - GEORGETOWN: Kebanyakan kawasan rendah di sekitar bandar raya ini dinaiki air berikutan hujan lebat sejak malam tadi. Jalan yang terjejas kebanyakannya jalan utama menyebabkan beribu kenderaan terbabit dalam kesesakan lalu lintas. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan P Ramlee yang dinaiki air sehinga ke paras dada. Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan mengelak menggunakan Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland, Jalan Air Itam, Jalan Terengganu dan sebahagian Jalan Perak. Berita Harian/- |
PRU13: PAS Perak isytihar calon 9 April Posted: 05 Apr 2013 08:30 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - IPOH: PAS Perak akan mengsiytiharkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti pada 9 April ini. Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, pengisytiharan tersebut akan dibuat dalam satu majlis di Pasir Panjang, Manjung. Katanya, setakat ini proses pemilihan calon sudah selesai 100 peratus dan tidak ada sebarang masalah yang timbul. "Pemilihan calon selesai tanpa sebarang masalah dan jika tidak ada aral yang melintang PAS Perak akan mengisytiharkan pada 9 April ini di Pasir Panjang, Lumut," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat PAS Perak. Mengulas lanjut, Ustaz Abu Bakar menggesa semua ahli serta penyokong PAS dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihanraya. Katanya, dalam masa yang ada ini, semua pihak berperanan besar untuk membantu menarik sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri. Semua ahli juga, katanya hendaklah sentiasa bersama-sama rakyat dan berusaha memberi kefahaman yang jelas tentang perjuangan PAS untuk menegakkan kalimah Allah di Negara ini. Ujarnya, manifesto yang ditawarkan hendaklah disebar luaskan kepada semua masyarakat pelbagai khususnya golongan atas pagar dan orang Umno. "Yang diberi amanah hendaklah bekerja lebih kuat manakala yang tidak berjawatan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada masyarakat," jelasnya lagi. Dalam suasana pilihanraya ini, beliau meminta supaya semua ahli dan pendokong mendekatkan diri kepada Allah dengan mengadakan munajat dan solat hajat kepada Allah agar memberi perlindungan kepada semua jentera. "Semua ahli PAS juga diseru mengadakan qunut nazilah dan solat hajat supaya Allah jauhkan diri kita daripada sebarang ancaman, kezaliman dan pihak yang berusaha untuk melakukan huru-hara dan penganiayaan," jelasnya. Harakahdaily/- |
Tempoh 'berpantang' dari media arus perdana Posted: 05 Apr 2013 08:26 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - TEMERLOH: Rakyat Malaysia digesa agar 'berpantang' dari mengikuti berita arus perdana khsusnya saluran televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima sepanjang tempoh pilihan raya ini. Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar berkata, ini kerana media berkenaan kini sepenuhnya menjadi media propaganda yang berkempen untuk BN. Ianyanya termasuk juga media cetak lain seperti Utusan Malaysia dan lain-lain yang sejak sekian lama berkempen untuk BN. Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan berita yang disajikan oleh media berkenaan, kini sepenuhnya dikendalikan oleh pasukan gerak saraf BN. Menurutnya, rakyat biasa wajar menolak media berkenaan yang bertopengkan media bebas tetapi sebenarnya dikuasai sepenuhnya oleh BN. "Rakyat wajar tidak memperdulikan media propaganda ini untuk tempoh kempen pilihan raya ini sahaja kerana selepas itu ia akan kembali seperti biasa," katanya. Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi ruang kepada perti-parti politik yang bertanding pada PRU13 untuk membentangkan manifesto mereka di saluran RTM. Bagaimanapun, kerajaan mengenakan syarat bahawa ianya akan dibuat secara rakaman dan akan diedit mengikut kesesuaian kerajaan untuk siaran hanya 10 minit. Ekoran syarat itu, Pakatan Rakyat berpendapat pelawaan kerajaan itu tidak ikhlas dan hanya sebagai cuba menunjukkan kerajaan BN mengamalkan prinsip kebebasan media kepada mata dunia. Sehubungan itu, semua parti dalam Pakatan Rakyat menolak pelawaan tersebut. Harakahdaily/- |
Kemunculan selesema burung di China dijangka naikkan pasaran getah Posted: 05 Apr 2013 08:21 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR — Kemunculan selesema burung di China dijangka menaikkan pasaran getah pada minggu depan, kata seorang peniaga. Katanya permintaan mendapatkan sarung tangan getah penjagaan kesihatan akan meningkat berikutan kemunculan penyakit itu. "Kemunculan mana-mana penyakit yang menular akan memberi tekanan besar pada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sekali gus meningkatkan permintaan mendapatkan sarung tangan getah," katanya. Katanya pasaran getah Malaysia akan turut menjejaki pergerakan harga getah di Bursa Komoditi Tokyo pada minggu depan. Berasaskan minggu ke minggu, harga rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 turun 57.5 sen kepada 787 sen sekg pada Jumaat berbanding 844.5 sen sekg pada Khamis minggu lepas. Pasaran getah ditutup pada Jumaat lepas berikutan cuti Good Friday. Harga lateks pukal turun 21.5 sen kepada 595 sen sekg berbanding 616.5 sen sekg. Harga penutup penjual tidak rasmi bagi gred tayar SMR20 turun 68 sen kepada 764 sen sekg berbanding 832 sen sekg minggu lepas manakala harga lateks pukal turun 24 sen kepada 591.5 sen sekg berbanding 615.5 sen sekg sebelum ini. — Bernama |
Gempa 5.8 magnitud gegar sempadan China-Russia Posted: 05 Apr 2013 08:20 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - BEIJING: Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud melanda sempadan China-Russia kira-kira jam 8.29 pagi (waktu tempatan Beijing), demikian menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC). Menurut agensi berita tempatan Xinhua, gempa berlaku pada kedudukan 42.8 darjah latitud utara dan 131.1 darjah longitud timur manakala pusat gempa dicatatkan berlaku pada kedalaman 570 kilometer. Ia berlaku kira-kira sembilan kilometer di sempadan China dan kira-kira 60 kilometer di bandar Huichun, timur laut wilayah Jilin. Gempa berukuran 6.5 magnitud turut melanda kawasan sama jam 9 malam semalam waktu tempatan. Tiada kematian atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini. - BERNAMA |
MB Kedah sifatkan insiden jatuh ‘petanda baik’ Posted: 05 Apr 2013 08:15 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - ALOR SETAR - Spekulasi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali sakit selepas jatuh kelmarin di Kuala Lumpur, terjawab apabila beliau kelihatan sihat ketika hadir di Istana Anak Bukit bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dun Kedah. Beberapa akhbar dan blog kelmarin melaporkan, mengenai Azizan dikatakan jatuh ketika menuruni anak tangga selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di Petaling Jaya. Malah ada yang mendakwa Azizan kini nazak dan kembali sakit sejurus kejadian itu. Azizan ketika ditanya perkara itu sebaliknya hanya ketawa kecil, sambil menyifatkan 'itu petanda baik'. "Orang nak menang pilihan raya memang macam tu, pijak anak tangga kedua terus, langkau satu anak tangga," katanya. Menurutnya, beliau tergelincir kerana anak tangga itu diperbuat daripada batu marble, menyebabkan pandangannya terganggu. "Saya tergelincir sahaja. Kereta empat tayar pun boleh terbalik, takkan manusia dua kaki jatuh pun jadi isu. Saya tidak biasa dengan tempat tu, nampak sahaja kereta, terus pijak langkau anak tangga. Ada pula tulis saya pengsan, tak betul tu," katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Azizan menuruni tangga ibu pejabat PKR menuju ke kenderaannya tetapi tiba-tiba tersadung sesuatu lalu hampir terjatuh. Sinar/- |
Posted: 05 Apr 2013 08:13 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUANTAN – Sebanyak lapan buah rumah termasuk kedai dan sebiji kereta kancil musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Haji Ali Batu 6,Jalan Gambang di sini kira-kira jam 10.30 pagi semalam. Ketika kejadian, seorang ibu hamil empat bulan, Zaituni Radimus Ali Ahmad, 40, cemas mencari anak bongsunya yang ditinggalkan di rumah jiran sebelah yang turut terbakar dalam kejadian tersebut. "Sejurus dimaklumkan rumah kami terbakar, tiada apa yang terbayang di minda saya melainkan keselamatan dan nyawa anak bongsu, Mohd Haikal Mohd Saipul, 6 yang ditinggalkan bersama jiran kerana saya pagi itu daya pergi ke Klinik Kesihatan Jaya Gading untuk melakukan pemeriksaan di sana. "Sebaik sahaja sampai, saya bertambah panik apabila melihat asap dan api yang marak serta pada masa yang sama saya masih belum menemui Mohd Haikal. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu," kata Zaituni yang berasal dari Indonesia. Ibu enam anak ini berkata, ketika kejadian suaminya, Mohd Sipul Mohd Nor, 31 tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu lori di Kemaman, Terengganu, manakala tiga anaknya bersekolah selebihnya sedang bekerja. Lebih menyedihkan, salah seorang anak Zaituni, Nor Aliza Ramidus,17 yang baru sahaja memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam SPM tidak sempat menyelamatkan sijilnya itu yang turut menjadi abu. Dalam kejadian membabitkan lapan buah rumah itu, tiga daripadanya dan sebuah kedai makan serta sebuah kereta Perodua Kancil dijilat api menyebabkan semua penghuninya tinggal sehelai sepinggang. Hanya tinggal arang Sementara itu, seorang lagi mangsa, Omar Yaakob, 56 berkata ketika kejadian dia berada di luar bersarapan bersama keluarga dan bergegas pulang sejurus dimaklumkan rumah mereka terbakar. "Sebaik sahaja sampai, saya lihat rumah saya hanya tinggal arang sahaja, tiada satu barang pun yang sempat diselamatkan. "Sudah hampir 40 tahun saya tinggal di sini, bukan sahaja rumah yang terbakar, segala kenangan lama saya juga musnah dijilat api menyebabkan saya kini tinggal sehelai sepinggang. "Selain itu, saya baru sahaja mengemas bilik untuk menyambut kepulangan cucu baru ke rumah ini, namun semua persiapan juga turut musnah," katanya. Justeru, Omar berharap agar nasib kesemua mangsa kebakaran di sini mendapat perhatian segera daripada pihak atasan bagi memulakan hidup baru semula. "Bermula hari ini, kami sudah tidak mempunyai apa-apa. Sudahlah tempat tinggal terbakar dan kini hanya boleh menumpang rumah saudara sahaja. "Oleh itu, saya berharap agar kami masih boleh teruskan hidup untuk hari-hari yang mendatang dan kejadian hari ini hanya mimpi semata-mata untuk kami terus tabah," katanya. Bomba ambil masa 45 minit Sementara itu, Penguasa Bomba (Bahagian Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Alimaddia Bukir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 10.15 pagi sebelum membuat hebahan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas untuk meminta ke tempat kejadian. "Bagaimanapun, kita dapati kebakaran terbabit merebak ke rumah berhampiran lalu mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Bandar Indera Mahkota dan Gebeng bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 32 anggota dan lima jentera. "Kita terpaksa mengambil masa selama 45 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selain sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan berada seorang diri di dalam rumah selepas ditinggalkan ibunya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, pihaknya akan meminta bantuan daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran negeri (BPK) untuk membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang didakwa api mula merebak melalui salah sebuah rumah penduduk. Katanya, siasatan awal mendapati, faktor cuaca yang panas serta angin turut dipercayai menjadi salah satu penyumbang berlakunya kebakaran berkenaan sehingga memusnahkan lapan buah rumah termasuk kedai dan sebuah kereta Perodua Kancil tidak sempat diselamatkan. Alimaddia berkata, bagaimanapun, jumlah kerugian setakat ini berkemungkinan dianggarkan lebih daripada RM100,000 namun siasatan akan terus dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian. Sinar/- |
Zaid jelaskan kenapa Melayu mesti undi Pakatan Posted: 05 Apr 2013 08:11 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Setelah lama berdiam diri, bekas defakto Menteri Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) menulis dan meminta orang Melayu mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. "Kepada mereka (orang Melayu), saya cadangkan, inilah peluang anda untuk mendapat kerajaan baru. "Kerajaan baru akan membolehkan anda membuat perbandingan antara yang ada sekarang dengan yang baru," tulis Zaid dalam blognya. Menurut Zaid, rakyat telah diberitahu dari masa ke semasa bahawa hanya Umno dan BN boleh memerintah dan melindungi mereka. "Adalah lebih baik anda sendiri mengesahkan perkara ini. Macamana kita tahu Pakatan akan terlebih buruk dari Umno kalau kita tidak bagi mereka peluang?" kata Zaid. Bagi Zaid, rakyat negara ini khasnya orang Melayu tidak patut membiarkan mereka dibuli sentiasa. "Parti pembangkang yang ada sebenarnya mempunyai Melayu lebih ramai berbanding BN, jadi mereka tidak akan menyusahkan anda," katanya. Katanya, mereka (Pakatan Rakyat) telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan layak diberikan peluang. "Apa yang pasti, anda akan mendapat sekolah yang lebih baik, guru yang lebih baik untuk anak anda (kerana mereka lebih memberikan masa untuk mengajar dari berpolitik) dan juga suasana yang lebih selamat dari polis dan tentera. "Hatta, pendapatan anda akan meningkat dari kerajaan yang dipimpin oleh mereka yang kurang rasuahnya," jelas Zaid lagi. Zaid juga berkata, rakyat tidak akan rugi apa-apa dengan mengundi pembangkang. "Jika pembangkang lebih kuat dengan undi anda tetapi BN tetap menang, anda akan mendapat lebih banyak wang tunai yang akan diberi sebagaimana yang mereka janji. "Wang dan projek hanya diberikan kepada anda kerana pembangkang kuat, jika pembangkang lemah, tentu anda tidak akan mendapat BR1M 1 dan 2. "Adalah jelas, jika anda mahukan lebih dari BN, anda undi pembangkang. Belajarlah menghargai undi anda untuk memperbaiki hidup anda," tegas Zaid. Harakahdaily/- |
Posted: 05 Apr 2013 06:39 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - Sepasang kasut bertumit tinggi bertatahkan berlian asli bernilai £276,000 (RM1.3 juta) muncul sebahagian aksesori wanita paling mahal di dunia. Perekanya, Kathryn Wilson berasal dari New Zealand berkata, penghasilan kasut berlian itu diilhamkan oleh Pengarah Auckland's Orsini Fine Jewellery, Sarah Hutchings dengan menyediakan berlian bermutu kepadanya. "Proses menyiapkan sepasang kasut ini memerlukan ketelitian bagi mengelakkan berlian bercalar atau tertanggal," katanya yang dipetik dari laporan MailOnline Wilson berkata, impiannya untuk menghasilkan kasut idaman jutaan wanita menerusi kisah dongeng Cinderella akhirnya tercapai. "Saya terpaksa menghabiskan lebih 50 jam semata-mata mahu menghasilkan sepasang kasut eksklusif ini yang menggunakan lebih 21.18 karat berlian, labuci dan perhiasan lain yang bermutu," katanya. Bagaimanapun, kasut paling cantik dan mahal itu sebenarnya dihasilkan khusus untuk majlis lelongan amal di Ronald McDonald, New Zealand dan jumlah bidaan mencecah NZD$22,000 (RM57,000) bagi membantu keluarga miskin dan pesakit kronik. Sinar/- |
Posted: 05 Apr 2013 06:28 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - LEDANG - "Tak mau, tak mau...nantilah," kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang enggan mengulas lanjut ketika ditanya spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU13. Beliau kemudian meninggalkan pihak media sebelum masuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir dekat sini, semalam. Terdahulu kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, Abdul Ghani melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sengkang dan PDM Parit Babok, diiringi bekas Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri dan Ketua Pemuda Umno Ledang, Zaidi Abd. Majid. Kelmarin, akhbar tempatan melaporkan beberapa pemimpin Umno di peringkat negeri mencadangkan Abdul Ghani bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Abdul Ghani dikatakan sebagai calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan itu yang merupakan sebahagian daripada Iskandar Malaysia yang dibangunkan dan dilancarkan semasa di bawah pentadbirannya. Di Skudai, MCA seakan memberi laluan malah tidak menolak kemungkinan Abdul Ghani bakal bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah. Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi lek berkata, belum ada sebarang keputusan mengenai isu pertukaran kerusi di Parlimen milik MCA itu diperbincangkan. "Perbincangan di kalangan pemimpin komponen BN akan diadakan, keutamaan kita adalah untuk menang dan mampu pertahankan kerusi yang disandang. "Kita yakin pengundi mahukan calon yang mempunyai rekod yang baik. Abdul Ghani mempunyai 'track record' yang terbukti sebagai menteri besar yang diterima oleh semua kaum," katanya. Soi Lek menggesa masyarakat negeri ini khususnya di Gelang Patah agar tidak terpedaya dengan hasutan pembangkang seterusnya memberi sokongan terhadap calon BN dengan berpegang kepada semangat gagasan 1 Malaysia. "Berdasarkan ramalan DAP, mereka yakin mampu memperolehi 85 peratus sokongan kaum Cina kerana jumlahnya di Parlimen Gelang Patah telah mencecah lebih 53 peratus. DAP sudah memperolehi 45 peratus undi daripada masyarakat Tiong Hua. "Untuk menang di Gelang Patah, DAP berpendapat hanya memerlukan lima peratus daripada sokongan kaum Melayu dan India. Bagi memperolehi undi pengundi Melayu mereka mengharap Pas," katanya. Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan berhubung isu calon hanya akan diputuskan di peringkat Pusat. "Saya enggan ulas, sama ada ia benar Abdul Ghani bertanding di peringkat Parlimen sekali gus ke federal. Biar pucuk pimpinan Pusat tentukan," katanya. Sinar/- |
Posted: 05 Apr 2013 06:03 PM PDT 25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - RAMALLAH - Presiden Palestin, kelmarin menegaskan Israel semakin biadab dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketegangan di Tebing Barat. Mahmoud Abbas berkata, rejim Zionis seperti sengaja mencetuskan huru-hara di wilayah Palestin dengan tindakan membunuh dua penunjuk perasaan di Tulkram, Rabu lalu. "Israel mahu menggugat keselamatan di Palestin dengan cara menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan walaupun protes itu dilakukan secara aman. Ia sememangnya tidak boleh diterima," jelasnya yang dipetik dari laporan AP. Abbas memaklumkan beliau menangguhkan secara sementara tindakan sebelah pihak yang akan diambil ke atas Israel bagi memberi peluang kepada rundingan damai antara kedua-dua negara tersebut. Palestin memberikan tempoh selama dua bulan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry untuk memastikan usaha itu berjaya kerana beliau dijangka mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai perkara tersebut. Difahamkan, sepanjang masa itu, kepimpinan Palestin tidak akan membuat tuntutan baru kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mendakwa Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Mereka turut memberi amaran, jika Israel gagal untuk menghentikan projek penempatan haram Yahudi, Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak teragak-agak untuk mengambil langkah seterusnya. "Projek pembangunan E1 jelas melangkaui garis sempadan yang dilihat sebagai punca utama kegagalan penyelesaian politik dua negara ini," jelasnya. Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes besar-besaran selepas menghadiri pengebumian dua remaja yang ditembak mati selepas mereka melempar bom petrol ke arah tentera rejim Zionis. Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan keadaan kembali reda menjelang malam. Sehari sebelum itu, kira-kira 4,500 tahan Palestin juga nekad mogok lapar selama tiga hari dalam protes terbaru susulan daripada insiden kematian Maysara Abu Hamdiyeh, 64, yang meninggal dunia akibat barah tekak. Sejak Selasa lalu, penduduk Palestin mengadakan demonstrasi mengutuk tindakan sambil lewa Israel kerana tidak memberikan rawatan sepatutnya kepada Abu Hamdiyeh walaupun mereka sedar keadaan kesihatannya semakin buruk. Sinar/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan