Ahad, 21 April 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Rusli Baba bukan lagi ahli Umno, kata Raja Nong Chik

Posted: 21 Apr 2013 06:14 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 21 April — Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini menafikan bahawa calon Bebas Rusli Baba yang bertanding bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai adalah anggota Umno.

"Dia tidak lagi ahli Umno kerana telah dipecat," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.
Raja Nong Chik, yang juga calon Barisan Nasional bagi parlimen itu, akan menghadapi pertandingan tiga penjuru menentang Rusli dan penyandang, Nurul Izzah Anwar dari PKR.
Ketika penamaan calon semalam, Rusli mendakwa yang beliau masih anggota Umno.
Sementara itu, Setiausaha Penyelaras BN Lembah Pantai Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata Rusli dipecat pada 6 April lepas kerana menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi itu.
"Dia (Rusli) telah menyatakan hasrat untuk bertanding melalui pelbagai saluran (termasuk melalui media sosial), jadi kami telah menghantar surat kepada Umno untuk dia dipecat bermula 6 April tahun ini. Dia bukanlah ahli parti yang aktif," kata Mohamad Sazali yang juga Ketua Pemuda Umno Lembah Pantai itu ketika dihubungi Bernama di sini.
Rusli, 54, telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas melalui akaun twitternya pada 2 Mac lalu. 
- Bernama

4 sekeluarga hilang tempat tinggal rumah terbakar

Posted: 21 Apr 2013 05:34 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di Taman Jaya, Jalan Pusara di sini kira-kira 3.45 petang tadi.
   
Mangsa Nik Zainab Nik Aziz, 32, berkata kebakaran dipercayai berpunca dari dapur rumahnya selepas dia terlupa menutup api dapur selepas memasak air.
   
Katanya sebelum kejadian itu dia dihubungi majikannya yang memintanya pergi ke pejabat menyebabkan dia bergegas keluar dari rumahnya menuju ke pejabat yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
   
"Ketika sedang berbincang dengan majikan, saya dimaklumkan berlaku kebakaran di rumah saya, panik dengan berita itu saya terus bergegas pulang ke rumah setelah teringat saya terlupa menutup api ketika menjerang air," katanya.
   
Menurutnya ketika kejadian suaminya keluar bekerja manakala dua anaknya berusia dua dan enam tahun ditinggalkan di rumah jiran.
   
Sementara itu Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat negeri, Abdullah Zawawi Mohamed menjelaskan pihaknya menerima panggilan pada 4.07 minit petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.  

- Bernama

Husni: 'Kamilia egoistik, dia akan menyesal'

Posted: 21 Apr 2013 05:13 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
IPOH - Timbalan Pengerusi Umno Perak Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bekas naib ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim mengetahui mengenai tawaran parti untuk beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Chandan di Kuala Kangsar.
   
"Saya kata dia tahu kerana pada satu ketika semasa saya bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib, ada menerima mesej daripada beliau (Kamilia). Saya tak nak beritahu apa mesej itu. Mengarut kalau dia tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan makan amal 1Malaysia anjuran Persatuan Kebajikan, Perpaduan dan Kemajuan Masyarakat India Negeri Perak (Permasip) di sini hari ini.
   
Ahmad Husni mengulas kemungkinan Kamilia tidak mengetahui tawaran parti untuk bertanding di DUN Bukit Chandan sehingga membawa kepada tindakan beliau bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
   
"Sebab dia besar kepala, dia rasa dia Naib Ketua Wanita, dia patut diberikan kerusi Parlimen, dia egoistik, dia akan menyesal, namun dah terlewat," katanya.
   
Ahmad Husni berkata pilihan raya bukan berkisar hanya kepada calon dan nama besar, malah yang penting bergantung kepada kekuatan dan keampuhan jentera masing-masing.
  
"Bagaimana jentera dia, jentera dia nak ke mana, di mana dia akan mendapat sokongan jentera untuk dirinya. Saya rasa beliau akan kecewa kerana akhirnya tidak ada sesiapa yang akan membantunya," katanya.
   
Di TAIPING, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menyifatkan tindakan Kamilia sebagai satu pengkhianatan kepada parti dan contoh yang tidak baik ditunjukkan oleh seorang pemimpin tertinggi wanita, dan wajar dipecat.
   
"Orang yang bertanding bebas ini semuanya berkepentingan diri dan merasakan mereka seolah-olah layak menjadi calon tetapi terlupa bahawa dia nampak layak sebab parti yang menyokong dia. Tapi kalau dia bertanding sendiri secara bebas, dia tidak akan menang kerana yang kuat bukan individu tetapi parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Perak di sini.
   
Semasa proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam, Kamilia, 61, membuat kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen Kuala Kangsar, menggunakan lambang buku.
   
Ia sekali gus menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara beliau, calon BN Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Khalil Idham Lim daripada Pas.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini disandang bekas ketua wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz selama enam penggal bermula pilihan raya umum 1986.

Di PAPAR, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin sokongan kukuh anggotanya tidak akan mengakibatkan berlakunya pecahan undi di Parlimen Kuala Kangsar.
   
Malah, Shahrizat berkata tindakan itu sebaliknya akan membawa kelebihan kepada parti kerana lebih ramai pengundi, termasuk pengundi atas pagar, pasti memilih calon BN.
    
"Tindakan itu tidak akan memecah undi kerana orang Umno mengundi atas kepercayaan dan keyakinan kepada perjuangan parti dan BN.
    
"Jika ada sekalipun perkara itu, mungkin berlaku di pihak pembangkang. Mungkin akan ada yang nak bagi (undi) kepada Kamilia. Berapa...kita tengoklah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Jalinan Rakyat di Kampung Kuala, di sini hari ini.
    
Dalam pada itu, Shahrizat yang juga pengerusi Wanita BN membidas kenyataan pembangkang yang menyifatkan pertembungan di Kuala Kangsar sebagai persaingan antara Pas dan Bebas, seolah-olah memperkecilkan kemampuan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Shahrizat yang menyesali tindakan Kamilia menegaskan bahawa tindakan itu tidak memberi kesan kepada persiapan atau menjejaskan moral jentera Jalinan Rakyat Kuala Kangsar.
    
"Saya berhubung dengan Naib Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar Nor Rizan Subehi dan beliau mengesahkan selepas tindakan mengejutkan itu, ada beberapa sahaja Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sana yang ditutup. Tetapi tak sampai sehari, iaitu malam semalam, semua PDM ini telah kembali dibuka dan kembali ke perjuangan Uumno serta BN," katanya.
     
Shahrizat berkata beliau juga akan berkunjung ke Kuala Kangsar pada Selasa ini bagi menemui kepimpinan parti di kawasan itu.
    
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang juga calon BN Parlimen Papar memberi peringatan bahawa beliau juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana anggota pergerakan itu yang melanggar Perlembagaan atau Lembaga Disiplin Parti pada pilihan raya ini.  

- Bernama

Dua pelajar UMP mati lemas

Posted: 21 Apr 2013 05:10 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUANTAN - Dua pelajar Universiti Malaysia Pahang ditemui mati lemas di Pusat Rekreasi Air Terjun Berkelah, dekat Maran lewat hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata, mayat mangsa ditemui 6.05 petang selepas dilaporkan hilang ketika mandi manda jam 1.09 tengah hari.
Katanya, mangsa yang masing-masing berusia 20 tahun itu ialah Amer Fahmi Othman berasal dari Pulau Pinang dan Mohd Kamal Ismail dari Pasir Gudang, Johor Bahru.
"Mayat mangsa ditemui di dasar air terjun berkenaan oleh Unit Penyelam Bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, seramai lima anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Taman Tas dan enam anggota dari Unit Penyelam terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan. 
- Bernama

Angin kuat, khemah roboh di acara Khaled Nordin

Posted: 21 Apr 2013 04:08 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Petugas, tetamu utama dan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi, nyaris cedera apabila khemah tempat mereka sedang menikmati jamuan, roboh dipukul angin.

Kejadian berlaku selepas Majlis Perasmian Pelan Strategik Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi dan Women In Social Enterprise (WISE) 2013, di Dewan Serbaguna Taman Mawar oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Semua tetamu dan peserta majlis itu baru menikmati hidangan pencuci mulut, pengat pisang, apabila berlaku hujan lebat serta angin kuat pada kira-kira 12.10 tengah hari.

Khaled, yang juga calon BN bagi kerusi DUN Permas, meninggalkan majlis lima minit sebelum kejadian

Wartawan New Straits Times S K Thanusha Devi, 25, terpaksa ditarik keluar dari khemah yang roboh ditimpa tiang khemah.

"Ia berlaku sekelip mata ...saya mendengar rakan-rakan menjerit meminta kami segera keluar dari khemah.

"Saya meluru keluar secepat mungkin... malangnya sesuatu menimpa bahu saya dan saya terjatuh...saya ditarik keluar oleh rakan setugas jurukamera TV3, Yahya Kiprawi.

Yahya yang sebelum itu terlihat sebatang tiang khemah berdekatan mejanya dalam keadaan tidak stabil, cuba menahannya daripada jatuh.

"Keluar, keluar, keluar," jeritnya apabila tidak mampu menahan tiang itu menyebabkan semua tetamu di enam meja di bawah khemah berkenaan, termasuk Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang, lari menyelamatkan diri.

Yahya berkata beliau cepat bertindak kerana mempunyai pengalaman serupa beberapa tahun lepas ketika menghadiri satu karnival masyarakat Kemboja, dan berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki masyarakat itu yang terperangkap di bawah khemah.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Bernama

Kempen di Kelantan semakin menghijau

Posted: 21 Apr 2013 04:02 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan setiap hari berlaku perubahan dengan bendera PAS pelbagai bentuk dan saiz diletakkan.

Dua hari lalu, belon gergasi yang tertera tulisan PAS For All, pula menjadi hiasan pejabat yang menjadi kemegahan ahli parti dan penyokong perjuangan Islam itu.

Sementara itu, Markas UPU Bunut Payong Hilir pula menterjemahkan konsep 'kubu' untuk pos mereka sebagai simbolik untuk mempertahankan Dun Bunut Payong dari di tawan.

Pada sebelah malam lampu warna hijau menghiasi indah markkas itu sebagai simbolik warna dan lambang parti PAS.

Dengan peruntukan yang agak besar, ianya mula digerakkan sebaik sahaja selepas penamaan calon semalam, kata Ketuanya Mohd Noor Che Man.

"Anak-anak muda begitu bersemangat bekerjasama untuk menyiapkannya,"ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu di UPU Pohon Kandis dalam Dun Chempaka pula memilih imej masjid sebagai reka bentuk posnya.

Wau bulan gergasi juga identiti pada masyarakat Kelantan yang menjadikannya sebagai sebahagian permainan tradisi rakyat di negeri itu.

Pada masa yang sama wajah calon N.06 Chempaka, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut menghiasi pos tersebut.

Markas yang pernah mendapat sumbangan dari Tuan Guru sendiri berjaya menjadi tarikan orang ramai, apa lagi ianya terletak di laluan utama Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa sebelum Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Harakahdaily/-

Kamilia ditawar berganding dengan PR

Posted: 21 Apr 2013 02:26 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kamilia Ibrahim

Kamilia Ibrahim
SHAH ALAM – PKR mengalu-alukan bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas berganding dengan Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) demi menaikkan martabat kaum wanita.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan jika Kamilia mahu menyertai Wanita PR.

"Jadi, saya nak menawarkan supaya Datuk Kamilia bukan saja bertanding sebagai calon Bebas tetapi selepas ini mengambil satu inisiatif untuk bersama-sama Pakatan Rakyat.

"Insya-ALLAH, saya yakin kalau beliau menang... tak menang pun kita rasa sudah sampai masanya dia bersama-sama dengan wanita PR merangka masa depan wanita. Itu cadangan saya," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Umno mengumumkan Kamilia dipecat automatik kerana bertanding sebagai calon Bebas. Bagaimanapun menerusi Facebook semalam, Kamilia berkata beliau telah melepas semua jawatan dalam Umno.

Dalam pada itu, Rodziah mengakui Kamilia layak untuk berjuang bersama-sama dalam PR.

"Saya rasa, beliau layak berada bersama-sama dengan kita. Bagi kita, bukan kita pilih orang, kita pilih individu yang mempunyai prinsip perjuangan yang sama.

"Beliau dah rasa dah sekarang ini... penghinaan. Beliau nampak bahawa Umno tidak lagi memenuhi prinsip perjuangannya," katanya yang bertanding mempertahankan kerusi Dun Batu Tiga.

Tambahnya, "jika, beliau (Kamilia) nampak PR adalah salah satu parti yang memenuhi prinsip beliau, Insya-ALLAH, beliau dialu-alukan untuk bersama-sama dengan kita."

Rodziah turut menyifatkan tindakan Kamilia yang meninggalkan Umno sebagai satu kerugian besar buat parti itu.

"Saya puji tindakan beliau yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas di Kuala Kangsar. Dan saya telah ucapkan tahniah secara terbuka melalui laman sosial.

"Kalau wanita sebaik Datuk Kamilia diketepikan, pastinya ia satu kerugian yang besar untuk Wanita Umno," katanya.

Semalam, Rodziah cuba menghubungi Kamilia namun panggilan tidak berjawab.

"Kalau diberikan peluang bertemu dengan dia, insya-ALLAH. Sebab sekarang ini masing-masing sedang sibuk berkempen.

"Semalam saya cuba menghubungi beliau namun panggilan tidak berjawab. Mungkin dia sibuk," katanya.

Rodziah bertembung dengan Datuk Nawawi M. Zin, yang mewakili BN, dan calon Bebas, Uzi Che Hussin di Batu Tiga.

Sementara Kamilia menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Drs Khalil Idham Lim dari Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Sinar/-

Pencalonan previu kehangatan PRU13

Posted: 21 Apr 2013 02:09 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pencalonan previu kehangatan PRU13

Ribuan penyokong Pas mengiringi calon mereka ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Marang semalam. Pengundian PRU15 akan berlangsung 5 Mei. - Foto Bernama
BERDASARKAN penamaan calon hari ini, Pilihan Raya Umum ke-13 bukan sahaja sengit tetapi sangat menarik kerana banyak kerusi menyaksikan pertandingan banyak penjuru dan tidak sebuah pun dimenangi tanpa pertandingan.
Ada kerusi yang menyaksikan pertandingan tujuh hala.
Perangkaan mutakhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sejumlah 579 calon akan bertanding merebut 222 kerusi Parlimen, termasuk 79 calon bebas dan 1,320 berebut 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 buah negeri, kecuali Sarawak.

Inilah kali pertama sejak PRU 1959 tidak ada kerusi dimenangi tanpa pertandingan. Dalam PRU 2008, BN menang lapan kerusi Parlimen dan tiga DUN tanpa pertandingan manakala PAS menang sebuah kerusi DUN pada hari penamaan calon.

Dalam pilihan raya Parlimen, BN meletakkan 221 orang calon, PKR (99), Pas (73), DAP (51), Bebas (79), State Reform Party (STAR) (28), Berjasa (9), Sabah Progressive Party (Sapp) (8), Sarawak Workers Party (SWP) (6), Kita (2), Parti Cinta Malaysia (PCM) (2), dan Bersama (1). Penama BN bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa, "gagal" mengemukakan kertas pencalonan.

Bagi pilihan raya Dun, BN meletakkan 505 calon, Pas (236), PKR (172), DAP (102), Bebas (190), STAR (49), SAPP (41), Berjasa (5), Kita (11), Bersama (4), PCM (3), dan Socialist Party of Malaysia (PSM) (2).

Ketidakpuasan Punca Banyak Calon Bebas

Sedikit sebanyak, bilangan calon yang lebih ramai itu membayangkan wujudnya ketidaksepaduan di kalangan parti-parti yang bertanding dan di dalam parti akibat pilihan calon.

Tetapi hal ini tidaklah memeranjatkan sangat kerana boleh dikatakan semua parti cuba membuat pembaharuan dengan meletakkan banyak orang baru.

alam proses itu, tentulah ada penyandang dan orang yang bercita-cita menjadi calon tetapi tidak terpilih akan berasa hampa dan bertindak melawan parti.

Hal ini juga berlaku akibat limpahan politik parti ke dalam pilihan raya seperti pengguguran Ahli Parlimen popular Pandan, Ong Tee Keat yang berupa musuh ketat Presiden MCA Dr Chua Sooi Lek.

Bergantung kepada siapa calon bebas itu, kesan kepada calon-calon parti mungkin negatif. Kalau calon bebas itu bekas ahli parti-parti yang bertanding, kesannya kepada calon rasmi mereka mungkin lebih buruk.

Dalam konteks Pakatan Rakyat, kegagalan mencapai kata sepakat di kalangan parti anggota menyaksikan calon mereka berlawan antara satu sama lain di kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Selangor; Sungai Acheh, Pulau Pinang; Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir, Terengganu; Panti, Johor dan Labuan yang tentunya memberi "advantage" kepada calon Barisan Nasional.

Di mana calon Bebas adalah dari BN, khasnya calon yang kuat dan ternama, "advantage" akan berada di pihak PR. Calon-calon bebas sukar untuk menang. Dalam PRU 2008, hanya dua orang menang kerusi Dun daripada 66 yang bertanding dan tidak seorang pun daripada 36 yang bertanding Parlimen, menang. Majoriti hilang deposit.

Pemberontakan Dalam Parti

BN pula mengalami pemberontakan di beberapa buah kerusi di mana ahlinya bertanding sebagai calon bebas seperti Parlimen Kuala Kangsar, Perak; Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Pandan, Selangor.

Cabaran dalaman yang paling mengaibkan bagi BN adalah keputusan Timbalan Ketua Wanita Umno, Kamilia Ibrahim, keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas.

Tidak sukar memahami tindakan Kamilia menolak tawaran bertanding kerusi Dun Bukit Chandan dan bertanding sebagai calon Bebas Parlimen. Beliau adalah antara pemimpin atasan Wanita Umno yang berotak, berprinsip dan tidak pandai mengampu.

Ketidakpandaian atau ketidakrelaan beliau mengampu dianggap kesombongan oleh pengkritik beliau. Tetapi yang sebenarnya menjadi masalah adalah pemikiran beliau yang lebih superior daripada banyak pemimpin tertinggi BN. Ada pemimpin atasan BN berasa terancam dengan kemunculan wanita cerdik dan berani dalam parti.

Turut memberontak adalah bekas Timbalan Menteri Pertanian, Mohd Shariff Omar di Tasik Gelugor. Beliau kini bertanding bebas melawan calon BN dan Pas. Calon Pas, Abdul Rahman Maidin adalah juga bekas ahli Umno.

Kalau calon berontak BN di Tasik Gelugor, Kuala Kangsar dan Pandan berjaya memperoleh undi yang cukup besar, harapan BN mengekalkan tiga kerusi itu akan terjejas kerana kemenangan BN pada PRU 2008 tidaklah terlalu besar.

Bagi DAP, antara pemberontaknya adalah Jenice Lee, penyandang Dun Teratai, Selangor dan Sim Tong Him penyandang Kota Melaka. Lee bertanding bebas di Teratai manakala Sim mempertahankan Kota Melaka dan bertanding juga di kerusi Dun Kota Laksamana.

DAP dilihat sebagai bertindak tegas terhadap penyandang yang dianggap tidak berprestasi, bermasalah dan tidak sekata dengan kepemimpinan atasan parti.

Tindakan Taktikal Pasir Mas?

Perkembangan di Pasir Mas sangat luar biasa apabila penama BN, Che Johan Che Pa, "gagal" mengemukakan kertas pencalonan dengan itu memberi laluan kepada penyandang, Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon bebas, berlawan satu dengan satu menentang Pas.

Ini boleh dilihat sebagai tindakan taktikal yang sangat luar biasa dan mengukuhkan dakwaan bahawa Perkasa yang didukung oleh Ibrahim adalah gerakan bayangan Umno.
Dalam PRU 2008, Ibrahim bertanding dan menang atas tiket Pas dengan majoriti yang besar. Beliau menjadi renggang dengan PAasakibat sokongan Pas kepada penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian di Semenanjung Malaysia dan isu-isu lain berkaitan Melayu.

Ibrahim mendapat kuasa baru apabila beliau menubuhkan Perkasa bagi memperjuangkan hak Melayu dan Islam ketika Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak mempopularkan 1Malaysia, meritokrasi, transformasi dan keterangkuman.

Dengan menjadikan bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad sebagai "mentor" Perkasa, Ibrahim mendekatkan gerakan itu dengan Umno. Tidak memeranjatkan sekiranya "Faktor Mahathir" menjadi talian hayat kepada Ibrahim ketika pencalonan siang tadi.

Dalam banyak hal, keupayaan Ibrahim memanjangkan hayat politiknya dan kekal relevan boleh dikatakan setaraf dengan Anwar Ibrahim yang kebetulan kontemporari beliau dalam revolusi kampus pada akhir 1960-an dan awal 1970-an. Anwar berpangkalan di Universiti Malaya manakala Ibrahim di UiTM. Ibrahim akan dicabar oleh calon Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Dengan Ibrahim muncul sebagai calon "proksi" BN, Perkasa mempunyai dua orang wakil dalam senarai BN. Seorang lagi ialah bekas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin yang bertanding melawan calon Pas di kerusi Parlimen Shah Alam.

Apa pun, kita bersyukur dan gembira kerana proses penamaan calon berjalan lancar dan tanpa kejadian yang merugikan. Kita harap keadaan seperti itu kekal sehingga dan selepas pengundian pada 5 Mei. Pengekalan keamanan dan keselamatan adalah penanda aras kematangan kita berpolitik. Insya-ALLAH.

* Dipetik dari blog Datuk A Kadir Jasin

Peniaga pengsan lihat rumah terbakar

Posted: 21 Apr 2013 02:00 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga makanan pengsan apabila melihat rumah sewa dan barangan niaganya musnah di jilat api dalam kebakaran di Jalan Sultan Sulaimann di sini malam tadi.

Ibrahim Fikri Abdul Rahman, 29, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Adiknya Siti Nurul Adibah, 22, memberitahu ketika kejadian kira-kira 10.25 malam itu, abangnya sedang berada di Kampung Laut.

Abangnya yang menerima panggilan telefon dari rakannya tentang kebakaran itu bergegas pulang ke rumah sewanya, dan tidak sedar diri akibat terlalu panik dengan kebakaran itu, katanya.

Pemilik rumah berkenaan Che Musa Yusof, 48, yang rumahnya juga terbakar berkata ketika kejadian dia bersama bersama empat ahli keluarganya tiada di rumah kerana mengunjungi rumah anaknya di Tepoh.

Punca kebakaran belum diketahui. 


- Bernama

Mahfuz anggap pertembungan keluarga

Posted: 21 Apr 2013 01:22 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yakin dapat mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya sebelum ini berdasarkan kepada rekod-rekod pencapaian serta sokongan rakyat setempat.

Menurutnya lagi, kebanyakkan rakyat sudah mengenali beliau dan sepanjang 10 tahun beliau menjadi Ahli Parlimen banyak perkara yang telah dilaksanakan, di antaranya adalah menjadikan Pokok Sena sebagai sebuah daerah di dalam Negeri Kedah.

Jelasnya ketrika dihubungi Harakahdaily, perkara ini dilaksanakan sewaktu pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat (PAS) supaya lebih banyak tumpuan pembangunan diberikan kepada Pokok Sena.

"Saya berkeyakinan kita (PAS) dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini, melalui rekod kejayaan yang telah PAS lakukan saya pasti rakyat akan terus memberi sokongan.

"Dulu Pokok Sena bukannya sebuah daerah tetapi di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat PAS, kita telah menjadikan Pokok Sena kepada sebuah daerah dan ini bertujuan agar lebih banyak pembangunan diberikan selari dengan status Pokok Sena sebagai sebuah daerah," jelas beliau.

Beliau yang sebelum itu memberitahu sepanjang tempoh penamaan calon semalam tidak ada sebarang provokasi dan perkara yang tidak diingini berlaku, malah berliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota polis dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memastikan segala proses berjalan lancar.

Mahfuz yang ketika ditanya mengenai pencabar beliau, Datuk Shahlan Ismail dari Barisan Nasional (BN) memberitahu beliau mengganggap Shahlan seperti keluarga beliau sendiri, yang mana tidak akan ada sebarang serangan peribadi atau perbalahan antara mereka berdua.

Katanya lagi, walaupun Shahlan merupakan ahli Umno dan bertanding atas tiket BN namun kebanyakkan keluarga beliau merupakan ahli PAS, hubungan ini perlu beliau pelihara bagi memastikan tidak akan wujud perselisihan faham antara beliau dengan ahli keluarga Shahlan.

"Saya mengenali Shahlan dan menganggap pertembungan kali ini adalah pertembungan keluarga, kita saling hormat menghormati. Saya tegaskan kepada penyokong jangan ada serang peribadi dilakukan kerana kita perlu menghormati pihak lawan prinsip kita bertanding biar dalam keadaan berhemah.

"Rata-rata ahli keluarga beliau merupakan ahli PAS dan perkara ini perlu kita beri perhatian, saya tidak mahu timbul salah faham yang akhirnya merugikan kita (PAS)," jelas beliau lagi.

Mahfuz yang turut menyatakan, beliau tidak fikir akan timbul sebarang masalah sepanjang tempoh berkempen kerana hubungan baik beliau antara Umno-BN telah wujud sejak sekian lama.

Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12), Mahfuz telah memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena dengan majoriti sebanyak 5,731 undi.

Harakahdaily/-

Kamilia Enggan Ulas, Minta Media Rujuk Laman FB

Posted: 21 Apr 2013 01:11 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


IPOH: Bekas Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang menjadi 'buruan' wartawan sejak Sabtu meminta pihak media merujuk laman sosial Facebooknya untuk mendapat kenyataan terkini berhubung tindakannya bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebagai calon Bebas.
Percubaan Bernama untuk menghubunginya selepas penamaan calon selesai Sabtu, akhirnya dijawab dengan kenyataan ringkas pada pagi Ahad.
"I will not speak to the media. I am busy now. (Saya tak nak bercakap dengan media. Sibuk sekarang). Apa-apa boleh rujuk kepada FB saya," katanya dalam perbualan telefon selama 30 saat.
Permintaan untuk beliau mengulas tindakannya itu hanya dijawab dengan "No, no...sorry".
Tiada perkembangan terbaru dicatat setakat petang ini dalam laman sosial Kamilia yang dipecat oleh Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum kali ini. 
- mStar

Tidak bagi pasang bendera, peniaga ditetak

Posted: 21 Apr 2013 01:08 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU - Akibat enggan membenarnya kedai makannya di pasang bendera parti politik, seorang peniaga menerima 18 jahitan akibat pahanya dilibas dengan parang oleh seorang lelaki di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Jumaat lepas.
   
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi Pilihan Raya Umum ke-13, Supt Che Mahazan Che Aik berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi ketika mangsa berada di kedai makannya di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor.
   
"Salah seorang daripada tiga suspek telah bertindak melibas parang yang terkena paha kiri mangsa. Motif dipercayai kerana mangsa enggan membenarkan premisnya dipasang bendera parti kerana dikatakan akan menjejaskan perniagaannya,"  katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
   
Che Mahazan berkata suspek tersebut yang berusia 28 tahun telah ditahabn sementara dua lagi yang telah dikenal pasti sedang diburu.
   
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan Seksyen 596 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
 
Sementara itu tiga laporan diterima di Pasir Puteh pada hari penamaan calon semalam.
   
Che Mahazan berkata salah satu kes melibatkan dua pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang berusia 23 dan 25 tahun yang menyamar sebagai pemantau pilihan raya dan memasuki kawasan penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
   
"Kedua-dua suspek memakai baju dan tag bertulisan pemantau pilihan raya yang tidak disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Bagaimanapun kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis.
   
Dalam satu lagi kes, seorang lelaki berusia 37 tahun dilaporkan menggunakan kapal terbang kawalan jauh untuk mengibarkan sehelai bendera parti yang kapal terbang itu masuki kawasan pusat penamaan calon.
   
Beliau berkata pihaknya merampas alat kawalan serta kapal terbang itu dan juga bendera berkenaan.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
   
Che Mahazan berkata turut dilapor berlaku perbalahan di Selising apabila seorang suspek menyerang mangsanya dengan besi paip dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
   
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan melakukan khianat.  

- Bernama

Tangguh bukti manifesto BN Perak ada kepincangan

Posted: 21 Apr 2013 01:04 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mengakui manifesto yang didedahkan oleh PAS minggu lalu adalah benar, jelas Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Katanya, perkara tersebut disahkan melalui kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, tindakan untuk menangguhkan pelancaran manifesto tersebut dengan alasan ianya telah didedahkan oleh PAS menggambarkan tawaran BN mempunyai kepincangan.

"Kalaulah ianya tiada masalah dan tawaran tersebut relevan serta terbaik untuk rakyat, BN tidak perlu tangguhkan pelancarannya," katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini. (Gambar)

Hadir sama Ahli Jawatankausa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Salman Saleh, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, keputusan BN untuk menangguhkan pelancaran manifestonya terbukti apa yang didedahkan PAS sebelum ini adalah benar.

Jelasnya, sepatutnya BN berterima kasih kepada PAS kerana telah mendedahkan manifesto tersebut kepada umum.

Dengan pendedahan tersebut, Ustaz Nuri berkata, kepimpinan BN yang diketuai oleh Zambry itu sendiri dapat menilai respons masyarakat terhadap tawaran BN dan diubah suai sebelum ia dilancarkan.

"Isu PAS Perak tidak 'gentleman' seperti yang didakwa Zambry bukanlah perkara utama yang harus dibincangkan kerana PAS hanya mendedahkan perkara yang betul.

"Kami hanya dedahkan perkara-perkara yang benar iaitu janji yang belum ditepati yang dijanjikan semula kerana ini satu tindakan yang tidak wajar," jelas Ustaz Nuri lagi.

Mengulas lanjut, BN perlu melihat dari aspek positif tentang pendedahan tersebut dan muhasabah kembali dengan meneliti semula.

"Gunakan respons yang membina daripada PAS itu untuk BN kemukakan tawaran kongkrit yang terbaik untuk rakyat.

"Selepas berpuas hati, barulah kita bersemuka atas satu pentas debat bagi membincangkan perbandingan manifesto Pakatan Rakyat dan BN," tegasnya.

Beliau turut mengulas kenyataan Zambry yang mengatakan tidak mustahil Manifesto Pakatan Rakyat Perak diciplak daripada manifesto BN.

Sambil ketawa sinis, Ustaz Nuri berkata, kenyataan tersebut ternyata melucukan kerana pendedahan manifesto BN itu dibuat selepas pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Perak.

Pada 16 April lalu, PAS Perak melalui Jawatankuasa Strategik dan Isunya telah mendedahkan draf manifesto BN Perak yang diberi oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam 11 janji utama BN, terdapat banyak tawaran yang dianggap basi kerana ianya adalah janji lama yang masih belum dilaksanakan sehingga hari ini.

Dalam kenyataan di akhbar Berita Harian hari ini, Zambry mengumumkan BN Perak terpaksa menangguhkan pengumuman manifestonya kerana ia telah dibocorkan pihak tertentu.

Harakahdaily/-

Bekas YDP Melaka meninggal dunia

Posted: 21 Apr 2013 01:03 AM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan meninggal dunia di kediaman keluarganya di Petaling Jaya, di sini malam semalam.

Allahyarham, 95, yang juga Orang Besar Empat Perak itu, meninggal dunia kerana masalah buah pinggang dan sakit tua, menurut anaknya, Syed Hassan.

Jenayah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini kira-kira 12 tengah hari tadi.

Allahyarham meninggalkan balu, Toh Puan Halimah Md Noh, 88, dan 10 orang anak serta lebih 30 cucu dan cicit.

Syed Hassan ketika dihubungi Bernama berkata Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Damansara Specialist Hospital, Petaling Jaya sejak 10 hari lalu.

Ketika hayatnya, Allahyarham menjadi Yang DiPertua Negeri Melaka (1975 hingga 1984), Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom ((1974), Duta Besar Malaysia ke Republik Ireland (1975), dan Pro-Canselor Universiti Malaya ke-3 (1987).

- Bernama

Mood rakyat mahukan pembaharuan - Aishah

Posted: 20 Apr 2013 11:31 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


JEMPOL: Calon PAS P127 Jempol Wan Aishah Wan Ariffin optimis akan diterima rakyat di kawasan itu meskipun beliau merupakan muka baru di lapangan politik berbanding lawannya Tan Sri Isa Samad.

Aishah yang sinonim dengan gelaran 'Aishah janji manismu' berkata, beliau akan membawa idea yang segar selari dengan kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

"Memanglah dia (Tan Sri Isa Samad) orang lama dan saya orang baru (dalam politik) tapi saya rasa dalam mood yang kita ada sekarang rakyat berkehendakkan pembaharuan. Jadi tiada masalah saya orang baru," kata beliau ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Pejabat Kerajaan, Bandar Sri Jempol semalam.

Aishah juga berkata, tindakan PAS memberikan laluan kepadanya untuk bertanding dalam pilihan raya merupakan satu pembuka jalan kepada keterbukaan dalam politik.

"Ini kali pertama selepas 55 tahun memerintah baru pertama kali seorang artis diamanahkan untuk bersama-sama dalam pentadbiran. Jadi ini satu pembuka jalan.

"Sebelum ini yang ada dalam parlimen pun yang dilantik tapi belum ada yang dipilih oleh rakyat.  Jadi ini satu pembaharuan bagi saya dan juga kepada rakan artis dan kepada Malaysia keseluruhannya, menunjukkan kita lebih terbuka dalam politik.

"Kalau boleh terima seorang yang lain dari lapangan politik,  kenapa tidak artis," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua parti agar mengamalkan politik matang, bukan menggunakan politik fitnah dan lucah sewaktu berkempen.

"Kita berpolitik secara matang. Kita kena didik rakyat berpolitik secara matang. Saya lihat di luar negara begitu, jadi tak payah lagi kita guna taktik kotor, untuk provok dan menakutkan calon.

"Kalau tengok track record PAS seblum ini kita tak menggunakan taktik mengaibkan orang.

"Kita bawa manifesto kita untuk jaga kebajikan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai cakap-cakap bahawa pengundi wanita gembira beliau dicalonkan, Aishah berkata beliau akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

"Mungkin saya calon wanita jadi mereka rasa saya boleh faham masalah mereka dan saya rasa ini satu peluang yang baik," katanya.

Aishah berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Jurusan Sains Politik dari Universiti of Auckland, New Zealand.

Harakahdaily/-

Ku Nan: Umno mungkin pecat Che Johan

Posted: 20 Apr 2013 11:30 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Tengku Adnan Tengku Mansor

Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa, yang tidak menyerahkan borang penamaan calonnya bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), akan berdepan tindakan tegas termasuk dipecat keanggotaannya sekiranya tindakan itu dilakukan dengan sengaja.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti gabungan itu akan menjalankan siasatan terhadap tindakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu.

"Umno tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan melanggar peraturan parti termasuk tindakan sebotaj atau bertentangan dengan Perlembagaan Umno khususnya bagi memastikan kemenangan BN dalam PRU13," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Che Johan membuat kejutan apabila tidak menyerahkan borang penamaan calonnya di pusat penamaan calon Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas semalam, walaupun beliau dilihat berada di pusat berkenaan.

Tindakannya itu menyebabkan penyandang, Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas bertarung satu lawan satu dengan anak Mursyidul Am Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Sinar/-

Jumlah kematian gempa di China meningkat 180 orang

Posted: 20 Apr 2013 11:30 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BEIJING - Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda barat daya Wilayah Sichuan China, meningkat kepada 180, dengan kira-kira 11,227 orang lagi cedera, kata Kementerian Hal Ehwal Awam China hari ini.
   
Kira-kira 24 orang lagi dilaporkan hilang, katanya.
   
Gempa bumi berukuran 7.0 itu menjejaskan lebih 1.5 juta penduduk di kawasan berkenaan, lapor agensi berita Xinhua memetik Kementerian Hal Ehwal Awam sebagai berkata.
   
Lapan bangunan runtuh dan kira-kira 400 bangunan rosak di kawasan perbandaran Chongqing, manakala 900 bangunan rosak di Wilayah Yunnan, katanya.
   
Sejumlah 1,097 gegaran susulan dilaporkan selepas gempa bumi itu, dengan tiga daripadanya dalam julat kekuatan 5.0 hingga 5.9.
 
Perdana Menteri China Li Keqiang tiba di zon terjejas di Sichuan tengah hari Sabtu dengan helikopter bagi meninjau sendiri kerja-kerja menyelamat.
   
Gempa bumi melanda Lushan di Ya'an City di wilayah itu pada 8.02 pagi (waktu yang sama di Malaysia, lapor Xinhua, memetik Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.
 
Ya'an terkenal kerana ia merupakan kediaman panda.  - Bernama

Pelbagai kaum sertai perarakan calon PAS Sibuti

Posted: 20 Apr 2013 11:28 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



SIBUTI: Penamaan calon bagi Parlimen P218 Sibuti untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam berlangsung dengan baik tanpa sebarang kekacauan.

PAS meletakkan calonnya Robby @ Muhammad Zaid Bin Tandang, 31 tahun yang merupakan bekas selebriti TV al-Hijrah.

Robby akan berdepan calon BN Ahmad Lai Bin Bujang.

Sementara itu, lebih kurang 1000 orang penyokong PAS dari berbagai kaum dan agama yang hadir memberi sokongan kepada Robby.

Perarakan bermula dari Masjid Bekenu. Terdahulu ahli-ahli PAS mengadakan solat hajat di masjid tersebut sebelum bergerak ke pusat penamaan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee menyifatkan kehadiran semalam itu menunjukkan kebagkitan rakyat Sarawak khususnya warga Sibuti yang mahukan perubahan politik.

"Sambutan yang luar biasa terhadap PAS di Sibuti adalah diluar jangkaan kerana inilah pertama kali penduduk Sibuti melihat begitu ramai yang hadir semasa penamaan calon untuk PRU13 kali ini," katanya.

Harakahdaily/-

TV3 dan Muhyidin sebar berita palsu

Posted: 20 Apr 2013 11:21 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Muhyidin mengumumkan kemenangan palsu BN di DUN Senggarang semalam)

KUALA LUMPUR: Tindakan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan kemenangan tanpa bertanding calon BN di DUN Senggarang semalam dikesali.

Ini kerana dakwaan orang nombor dua Barisan Nasional (BN) itu terbukti bohong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon PAS, Dr Ramli Kari akan bertanding di situ melawan calon BN. 

Kira-kira jam 1.20 semalam, TV3 mengumumkan kemenangan tanpa bertanding calon BN di Senggarang, Johor.

Sehingga berita ini ditulis, laporan berita itu masih disiarkan dalam laman web TV3.

"Barisan Nasional mencatat permulaan yang baik bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 apabila menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Senggarang, Johor.

"Calon BN bagi kerusi berkenaan Abd Aziz Ismail disahkan menang tanpa bertanding selepas borang pencalonan seorang lagi calon ditolak pegawai pengurus pilihan raya kawasan berkenaan," lapor TV3.

Berita itu memetik kata-kata Muhyidin yang memperlekeh calon PAS kononnya tidak pandai mengisi borang pencalonan.

Terbukti berita itu palsu apabila SPR mengesahkan penyertaan calon PAS Dr Ramli Kari di situ.

"PAS bertanding di DUN Senggarang. Segala berita mengatakan BN menang tanpa bertanding di Senggarang adalah palsu," tulis laman Facebook PAS Kawasan Batu Pahat.



Harakahdaily/-

Gempa bumi kuat landa Honshu, Jepun

Posted: 20 Apr 2013 11:15 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Honshu, Jepun pada 11.22 pagi ini.
   
Dalam satu kenyataan di sini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa itu berpusat 537km tenggara dari Hamamatsu, Jepun dan 3,457km timur laut dari Pitas,
Sabah.
   
Bagaimanapun, gempa itu tidak membawa ancaman tsunami.  - Bernama

Ketua Penerangan PDM tanding Bebas

Posted: 20 Apr 2013 09:02 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Ketua Penerangan PDM tanding Bebas

Md Ali (kiri) bersalaman dengan Abd Samad sebelum menghantar borang penamaan calon di Pejabat Daerah Kuala Pilah.
KUALA PILAH – Dun Seri Menanti menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila calon Bebas, Md Ali Mustafa memberi saingan kepada dua calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Samad Ibrahim dan calon PKR, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Md Ali, 45, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana semua perancangan berjalan lancar sehingga berjaya menjadi calon Bebas bagi Dun tersebut.

Katanya, apa yang mendorongnya untuk bertanding di Dun Seri Menanti sebagai calon Bebas kerana mendapat petunjuk dari ALLAH SWT.

"Apa jua yang saya lakukan ini, adalah kerana ALLAH. Saya mengambil borang pada Khamis lalu dan nekad untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

"Bukan kerana tidak puas hati atas pimpinan wakil rakyat terdahulu, tetapi saya hendak berjuang demi masyarakat Seri Menanti," katanya.

Md Ali yang juga usahawan pertanian berkata, wakil rakyat sebenarnya bukan pemimpin, sebaliknya adalah penghubung antara rakyat dengan agensi kerajaan mahupun pimpinan teratas.

"Saya mahu dekati rakyat dan mendengar denyut nadi rakyat agar apa jua masalah mereka dapat saya panjangkan kepada pihak berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, Md Ali merupakan bekas Ketua Penerangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Ibol.

Sementara itu, Pengerusi PDM Kampung Ibol, Kamarulzaman Osman memberitahu, sedikit terkilan dengan tindakan Md Ali kerana tidak maklum lebih awal bahawa dia akan bertanding Bebas pada pilihan raya kali ini.

"Saya tidak kisah jika dia hendak bertanding tetapi perlulah maklum kepada saya supaya tugas yang dipikul sebagai Ketua Penerangan PDM digantikan dengan orang lain.

"Atas tindakan itu, malam semalam (kelmarin) jentera gerak kerja PDM telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk melantik ketua penerangan yang baru dan kini jawatan itu sudah diisi semula," katanya ditemui di Pejabat Daerah Kuala Pilah.

Difahamkan, Md Ali belum menerima sebarang hitam putih pemecatan ahli dari Umno Bahagian Kuala Pilah selepas menjadi calon Bebas bagi Dun Seri Menanti.

Sinar/-

Parlimen Pokok Sena ‘panas’

Posted: 20 Apr 2013 08:44 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Parlimen Pokok Sena 'panas'

Calon BN dan PR Parlimen Pokok Sena diperkenalkan ketika penamaan calon di Pejabat Daerah Pokok Sena, semalam.
POKOK SENA - Parlimen Pokok Sena (P008) menyaksikan pertembungan tradisi sekali lagi antara Pas dan Umno iaitu penyandangnya, Datuk Mahfuz Omar yang berhadapan calon Umno, Datuk Sahlan Ismail.

Pencalonan Parlimen dan Dun itu diadakan serentak di Pejabat Daerah Pokok Sena.

Parlimen Pokok Sena ini agak 'panas' kerana ia sering bertukar tangan antara Pas dan Umno setiap kali pilihan raya umum (PRU) dan sudah pasti calonnya terpaksa bekerja keras bagi meraih undi pengundi di kawasan itu.

Mahfuz, yang juga calon 'heavyweight' Pas kini terpaksa berhadapan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama empat tahun yang merupakan anak jati Pokok Sena.

Suasana di Pejabat Daerah Pokok Sena agak tenang sejak awal pagi lagi hingga pencalonan diumumkan dengan dikawal pasukan polis.

Penyokong parti bertanding mula berarak jam 8.30 pagi ke pejabat daerah dengan membawa wakil masing-masing untuk penamaan calon.

Teka-teki calon Pakatan Rakyat (PR) di Dun Derga (N11) akhirnya terjawab apabila PR meletakkan calon DAP, Tan Kok Yew sebagai calonnya di Dun Derga itu.

Di Dun Derga itu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu penyandang dari BN, Dr Cheah Soon Hai dan pendakwah bebas, Abdul Fisol Mohd Isa dari Berjasa.

Bagi Dun Bukit Lada (N09) pula sekali lagi berlaku pertembungan antara Pas dan Umno dengan Ahmad Izzat Mohamad Shauki dari Pas menjadi penyandang kerusi Dun itu  akan berhadapan dengan calon Umno, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Kerusi Dun ini juga dikatakan sering bertukar tangan antara kedua parti itu dan sudah pasti kedua-dua parti akan bekerja keras bagi menawan Dun Bukit Lada.

Di Dun Bukit Pinang (N10) pula menyaksikan penampilan sulung Wan Romaini Wan Salim dari Pas dan Mokhtar Md Noor dari Umno. Dun ini yang menjadi kubu kuat Pas memberi kelebihan kepada Wan Romaini bagi mengekalkan kerusi itu kepada Pas.

Semua penamaan calon itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pokok Sena, Bukhari Abdullah.

Sinar/-

Nyaris menang tanpa bertanding

Posted: 20 Apr 2013 08:31 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Nyaris menang tanpa bertanding

Taha (duduk) ketika mengemukakan rayuan sewaktu proses pencalonannya semalam sambil dikelilingi calon-calon BN.
TANGGA BATU - Barisan Nasional (BN) di Dun Paya Rumput yang diwakili Sazali Md Din, nyaris menang tanpa bertanding apabila calon dari PKR Taha Ahmad, gagal melengkapkan dokumen ketika menyerahkan borang penamaan.

Calon terbabit yang menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.30 pagi di Pusat Penamaan Calon, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam, tanpa disertakan surat watikah pelantikan.

Sehingga jam 10 pagi, akhirnya Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu, Datuk Roslan Ibrahim terpaksa mengumumkan tempoh tamat proses pencalonan.

Taha yang menyerahkan dokumen tambahan itu beberapa minit lewat mengemukakan rayuan pertimbangan sehingga memaksa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertugas merujuk perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang SPR.

Bagaimanapun, setelah menunggu kira-kira sejam akhirnya SPR bersetuju menerima borang pencalonan Taha atas alasan beliau telah membuat pendaftaran dan menyerahkan borang pada jam 9.30 pagi terlebih dahulu.

Keadaan itu juga membangkitkan suasana cemas di kem Pakatan Rakyat (PR) Melaka kerana hampir gagal bertanding di Dun Paya Rumput yang menjadi salah satu kawasan sasaran pembangkang.

Sementara itu, beberapa calon BN yang diketuai calon Dun Sungai Udang, Datuk Idris Haron melahirkan rasa tidak puas hati dengan masa yang dicatatkan SPR terhadap calon PKR, Taha Ahmad.

"Kami melakukan bantahan secara berhemah, kerana berpendapat perlu direkodkan masa sebenar, sempurnanya borang itu dari tempoh yang diumumkan, sebenarnya telah menjangkau masa," katanya.

Roslan mempertahankan keputusan kerana mendapat persetujuan penasihat undang-undang, di ibu pejabat SPR pusat.

Sinar/-

Polis temui ajal sebelum mula tugas

Posted: 20 Apr 2013 08:29 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


MERLIMAU - Seorang ketua Pondok Polis Kemendor disahkan meninggal dunia sebelum memulakan tugasnya di hari penamaan calon bagi Parlimen Jasin  di Pusat Penamaan Calon Politeknik Merlimau di sini, semalam.

Allahyarham Koperal Nordin Ahmad, 54, dipercayai rebah di hadapan pintu masuk kawasan berhampiran pusat penamaan calon lebih kurang jam 8 pagi akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, Allahyarham dikejarkan ke Poliklinik Merlimau sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.15 pagi.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang Taman Intan, Batu Pahat Johor selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Jasin.

"Ketika berada di pintu masuk politeknik, arwah terjatuh secara tiba- tiba dan dikejarkan ke poliklinik berdekatan, tetapi  doktor mengesahkan arwah meninggal dunia," katanya.

Allahyarham merupakan salah seorang daripada 150 anggota polis di Jasin yang diarahkan bertugas pada penamaan calon di Politeknik Merlimau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Norhayati Nordin dan dua anak berusia 13 dan 16 tahun.

Sinar/-

Lima maut nahas di Lebuhraya Persekutuan awal pagi tadi

Posted: 20 Apr 2013 08:22 PM PDT

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Lima maut nahas di Lebuhraya Persekutuan awal pagi tadi
SHAH ALAM: Lima orang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 10.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur menghala Shah Alam awal pagi tadi. 

Pegawai Penyiasat Trafik Shah Alam, Inspektor Azizul Zahari berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 3.20 pagi tadi. 


Berita Harian/-

Tiada ulasan:

Nuffnang