Rabu, 20 Mac 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Lembah Pantai Nadi Kuala Lumpur

Posted: 19 Mar 2013 01:13 PM PDT

NURUL IZZAH ANWAR
19 Mac 2013

Tatkala saya melihat wajah-wajah warga Lembah Pantai dari muda hingga ke tua, menunggu giliran untuk pemeriksaan doktor-doktor pakar sukarelawan pada acara Karnival Kesihatan Ahad lepas – terlintas sejenak di hati saya – 'masih ada banyak mampu dilakukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga kota, khususnya Melayu.'

Penghijrahan orang Melayu ke bandar seperti Kuala Lumpur  antara fenomena 60 peratus rakyat yang berhijrah dari desa ke kota. Penghijrahan sebegini bukan sahaja membawa pelbagai cabaran, tetapi juga menjadi peluang untuk menambahkan usaha pembangunan masyarakat secara holistik.

Berdasarkan statistik, sebahagian besar orang Melayu masih belum berupaya menjadi  golongan kelas menengah yang akan memperlihatkan kuasa ekonomi lebih merata dan tidak dipusatkan kepada segelintir kecil dan elit sahaja.

Apabila majoriti Melayu bandar berada di kelas ekonomi rendah dengan pendapatan purata isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, manakala minoriti Melayu terpilih sahaja berada di kelas ekonomi tinggi dengan anggaran kekayaan melebihi RM10 juta satu isi rumah – ini sudah tentu melebarkan lagi jurang kemiskinan dari satu generasi kepada generasi lain.

Pemusatan dan ketiadaan pengagihan harta, rasuah dan ketiadaan meritokrasi atau kebolehan seseorang itu dalam perniagaan merupakan antara sebab majoriti Melayu bandar berada di kelas ekonomi rendah.

Anak-anak daripada keluarga kaya terus mendapat peluang pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang pekerjaan serta perniagaan jauh lebih baik daripada anak-anak berpendapatan rendah – realiti sosioekonomi sejagat yang merisaukan.

Justeru, sekiranya tidak mahu anak-anak kita mewarisi tahap 'kelas ekonomi rendah', satu usaha radikal harus diambil segera. Bank Dunia dan semua pakar ekonomi bersepakat bahawa terdapat tiga pendekatan mampu melahirkan golongan kelas menengah berpendapatan tinggi.

Pertama, peluang perniagaan; kedua, pendidikan dan ketiga, perkhidmatan masyarakat sebagai pemangkin peningkatan kualiti hidup. Ketiga-tiga ini menjadi asas kepada pembangunan masyarakat setempat yang mampu jadikan Lembah Pantai sebagai nadi kota Kuala Lumpur dan penanda aras bagaimana masyarakat bandar, khususnya masyarakat Melayu terbela nasib dan dinaikkan taraf ekonomi secara mampan.

Untuk Lembah Pantai saya menyarankan bahawa aspirasi ekonomi Melayu bandar dapat digerakkan segera dengan skim bantuan mikro kredit kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan kecil. Penjaja kecil hendaklah mendapat bantuan dari segi kewangan mahupun khidmat nasihat untuk memastikan perniagaan mereka tidak gagal.

Sektor pelancongan bandar di Lembah Pantai boleh dibangunkan yang ada begitu banyak pusat beli-belah, restoran dan gerai makanan yang mampu menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri.

Pendidikan di Lembah Pantai mesti diberikan tumpuan serius oleh kerajaan. Saya menyarankan agar digandakan kemudahan pra-sekolah di mana 100 peratus kanak-kanak dari umur tiga tahun wajib hadir – sekolah rendah ditambahkan sesi pembelajaran selama 45 minit sehari melalui Skim Tambahan Sesi Khas yang mengikut pakar-pakar akan meningkatkan pencapaian pendidikan – penubuhan sekolah menengah berasrama penuh untuk 30 peratus pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah – membina sekolah menengah dan kolej vokasional; semuanya di Lembah Pantai untuk warga Lembah Pantai.

Perkhidmatan masyarakat termasuk skim bantuan efisien yang telah pun saya amalkan melalui kerjasama bersama Badan Kebajikan MY Kasih. Pemberian kerusi roda, perkhidmatan klinik percuma, karnival pakar kesihatan, hanyalah sebahagian kecil yang mampu dilaksanakan secara berterusan kerana kesihatan dan kesejahteraan semua lapisan warga termasuk warga emas menjadi pengukur kualiti hidup keluarga yang ada impak besar kepada suasana dan prestasi pendidikan dan perniagaan.

Lebih menarik lagi, adalah kesemua bentuk perkhidmatan kemasyarakatan ini dikelolakan oleh badan-badan swasta, NGO dan dari sumbangan persendirian. Model usaha sama ini yang sudah terbukti bila ditambah dengan usaha rasmi akan memberikan kesan mendalam dan luar biasa kepada warga Lembah Pantai.

Hendak seribu daya, ini adalah wawasan untuk Lembah Pantai yang tetap saya perjuangkan kerana yakin Lembah Pantai mampu bangkit dan majoriti warganya berganjak menjadi golongan kelas menengah.

Dipetik dari Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/lembah-pantai-nadi-kuala-lumpur-1.140803

Tiada ulasan:

Nuffnang