:: cina islam | 2011 :: |
- Angka Kematian Rusuhan Agama Meningkat
- Zaid Ibrahim tidak bertanding PRU13
- BN Kelantan pilih tokoh ulama sebagai calon
- Gambar berbicara: Melayu N Sembilan tolak Umno/BN
- Najib ciplak Pakatan Rakyat satu persatu
- Korea Utara isytihar 'di ambang perang' dengan Korea Selatan
- Kubu bertukar kubur untuk Umno di Johor?
- Pas Negeri Sembilan harap SPR tetapkan tarikh pilihan raya waktu terdekat
- Penternak maut kena tetak
- Saipul kekal calon Selising
- Berusaha elak laku dosa besar mengumpat
- Jeritan saksi jadi penyelamat
- Penduduk tangkap ular sawa sepanjang tiga meter
- BN, PR mahu bubar automatik jadi amalan pasca-PRU13
- Anak bekas pengikut Al-Arqam antara ditahan
- Pusat enggan, Kelantan bina sendiri stadium
- ‘Kelabu mata’ nampak duit
- Ibu bapa berdepan perubahan dunia lebih terbuka, global
- Kongsi hijrah artis
- Dapur gas meletup
- Kit Siang ke Johor tingkat sokongan untuk Pakatan
- Nyaris disembelih Jeneral Musa
- Wanita maut leher tertusuk besi
Angka Kematian Rusuhan Agama Meningkat Posted: 30 Mar 2013 09:29 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - YANGON: Angka kematian rusuhan agama di tengah Myanmar meningkat kepada 43 orang dengan lebih 1,300 rumah dan bangunan lain dimusnahkan, lapor media rasmi pada Ahad. Akhbar New Light of Myanmar melaporkan, 68 orang ditahan berhubung rusuhan agama yang menyebabkan 11,376 orang kehilangan tempat tinggal. "Sebanyak 163 kejadian keganasan dilaporkan berlaku di 15 buah bandar dan pekan,'" lapor akhbar itu. Jumlah angka kematian rasmi sebelum ini adalah sebanyak 42 orang. - AFP |
Zaid Ibrahim tidak bertanding PRU13 Posted: 30 Mar 2013 09:27 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SHAH ALAM - Bekas Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim membuat keputusan tidak bertanding pada mana-mana kerusi Parlimen atau Dun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti. Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada golongan muda untuk menjadi pelapis pemimpin negara pada masa akan datang. "Saya sudah tua dan sudah pencen daripada parti. Sebelum ini, memang saya pernah cakap hendak bertanding di kerusi Petaling Jaya Selatan (PJS), tapi sekarang saya sudah undur diri. "Lagipun sudah setahun saya berhenti (dalam dunia) politik," katanya ketika diminta mengulas kerusi yang bakal ditandinginya pada PRU13 kelak. Menurutnya, fokusnya kini lebih terarah kepada penulisan buku dan buku terbarunya bergenre politik akan dilancarkan pada minggu depan, tetapi tidak dinyatakan tajuknya. Sinar/- |
BN Kelantan pilih tokoh ulama sebagai calon Posted: 30 Mar 2013 09:22 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menampilkan tokoh ulama serta calon yang mantap untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemilihan calon sudah di peringkat akhir dan ia akan menampilkan muka lama dan baru. "Kami mahu setiap calon yang dipilih diterima dan disukai rakyat supaya membawa kemenangan kepada BN di negeri ini," katanya. Sebelum itu, beliau meluangkan masa lebih sejam melawat kawasan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Menurutnya, BN akan berusaha sungguh-sungguh dan meletakkan calon terbaik, walaupun sedar bahawa sesiapa pun diletakkan sebagai calon, mungkin ada yang akan mempertikaikannya. Mustapa berkata, bagi beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang terpilih adalah barisan terbaik yang dipilih di kalangan tokoh di Kelantan. Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, di Putrajaya kelmarin, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah diadakan sejak enam bulan lepas. Menurutnya, ia bagi membincangkan perkara berkaitan parti, terutama mengenai senarai calon BN Kelantan. Ditanya mengapa Najib belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13, Mustapa berkata, beliau percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan, termasuk dalam bidang ekonomi, dirasai rakyat. "Ia tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang. Ini strategi Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)," katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi program peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan Pas Kelantan, dan menyifatkan tindakan seperti itu 'tidak lebih daripada gimik politik' menjelang pilihan raya. Sinar/- |
Gambar berbicara: Melayu N Sembilan tolak Umno/BN Posted: 30 Mar 2013 09:20 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - Lihat dengan mata kepala sendiri rakaman gambar sebagai saksi bukan sekadar cakap pakai air liur basi. Bukan niat nak mendabik dada bercakap besar berdegar-degar tetapi sekadar mengajak para pemimpin UMNO dan jua ahli-ahli, penyokong dan pendokongnya sekali buka mata dan kepala seluas-luasnya untuk menerima kenyataan yang UMNO sudah tidak relevan lagi pada bangsa Melayu. Warga Melayu sudah muak ditipu selalu oleh UMNO. Ini adalah rakaman gambar Ceramah Jelajah Treler Negara Berkebajikan PAS di DUN Paroi, Seremban, Negeri Sembilan malam tadi 30hb Mac 2013. Negeri Sembilan sudah memang terkenal dari dulu antara negeri UMNO paling kuat kukuh dan kebal tetapi kini sudah tidak lagi beb!!!! Tidak terperanjat dan menghairankan jika Negeri Sembilan bakal tumbang ketangan Pakatan Rakyat jika dilihat pada sambutan yang cukup luar biasa malam tadi. Amat jarang ceramah di Negeri Sembilan diberikan sebegini punya hebat. Apakah UMNO masih mau berasa selesa sambil bercakap besar kononnya Negeri Sembilan tetap kekal ditangan UMNO sepertimana yang dikatakan oleh Mohamad Hassan? PRU 13 adalah PRU kebangkitan rakyat....Rakyat terutamanya anak-anak muda mau bangkit melakukan perubahan. Harakahdaily/- |
Najib ciplak Pakatan Rakyat satu persatu Posted: 30 Mar 2013 09:18 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - (Najib bersimpuh di Masjid Sri Petaling) KUALA LUMPUR: Satu persatu pendekatan dan cara Pakatan Rakyat dan pemimpinnya berkempen ditiru oleh Datuk Seri Najib Razak. Bukan sembunyi-sembunyi tetapi secara terang-terangan umpama mencuri di siang hari. Sebelum ini, Najib berjanji memberikan permit teksi kepada individu pemandu teksi selepas buku Jingga Pakatan Rakyat jelas menjanjikan permit teksi individu bukannya syarikat kroni. Semalam, Najib tanpa segan dan silu membuat perkara yang tidak pernah dibuatnya dalam hidup iaitu memakai kopiah dan pergi menziarahi markas Jamaah Tabligh di Masjid Sri Petaling. (Gambar fail: Ustaz Hadi menziarahi Jamaah Tabligh 21 Februari lalu) Padahal semua maklum sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meluangkan masa menziarahi pemimpin Jamaah Tabligh di Masjid Sri Petaling itu. Rakaman gambar Najib Razak selepas menziarahi Masjid Jamek, Sri Petaling semalam, dengan berkopiah dan berkain pelikat kini dijadikan sebagai alat propaganda murahan media milik dan kawalan Umnountuk membuat promosi kononya Najib Razak berjiwa Islamik. Dari semalam lagi stesen-stesen TV terutamanya TV3 dan RTM asyik saja berulang lagi menanyangkan wajah Najib sedemikian rupa. Tujuannya tidak lain tidak bukan sebagai alat mengemis undi dari warga Melayu/Islam dinegara ini pada PRU 13 nanti. Adalah dipercayai bukan itu sahaja yang akan ditiru oleh Najib. Harakahdaily dimaklumkan, Najib akan mempastikan segala janji utama Pakatan akan dilaksanakan sebelum pilihan raya ini. Ini bertujuan untuk membolehkan dia berkata, buat apa undi Pakatan, segala janji mereka sudah dibuat oleh BN. Antara perkara yang menjadi sasaran adalah menggantikan PTPTN dengan biasiswa dan penurunan harga kereta. Ini kerana Najib sedar dua perkara ini menjadi tarikan utama pengundi muda yang bakal menentukan hala tuju pilihan raya kali ini. 21 peratus pengundi dalam pilihan raya kali ini adalah pengundi pertama kali, yang tertinggi pernah dicatatkan oleh sejarah pilihan raya kali ini. Harakahdaily/- |
Korea Utara isytihar 'di ambang perang' dengan Korea Selatan Posted: 30 Mar 2013 08:41 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SEOUL: Korea Utara semalam isytihar negara itu kini diambang peperangan dengan Korea Selatan dan memberi amaran kepada Seoul dan Washington bahawa sebarang provokasi boleh mencetuskan konflik nuklear. Sementara itu Amerika Syarika (AS) menganggap ia sebagai "serius" tetapi sekutunya Korea Selatan pula menyifatkan ia hanya amaran lama seperti sebelum ini. "Mulai sekarang, hubungan antara dua negara Korea akan diambil kira mengikut protokol perang," kata Korea Utara dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Korean Central News Agency hari ini. Berita Harian/- |
Kubu bertukar kubur untuk Umno di Johor? Posted: 30 Mar 2013 08:39 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - (Awang menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mazlan Aliman) JOHOR BHARU: Jangan terkejut jika pilihan raya umum kali ini bakal menukarkan negeri Johor yang menjadi kubu Umno selama ini kepada 'kubur' untuk parti itu. Ini kerana gelombang perubahan secara besar-besaran sedang berlaku di Johor pada setiap hari. Kemasukan beramai-ramai pemimpin dan ahli Umno ke dalam PAS dan Pakatan Rakyat sedang rancak mutakhir ini. Malam tadi 30 orang ahli Umno dari Kampung Sri Aman dalam Parlimen Tebrau menyertai PAS. Ia diketuai oleh Awang Bakar, 55 tahun, bekas Ketua Cawangan Umno Sri Aman dan AJK UMNO Bahagian Tebrau. Beliau menyertai Umno sejak tahun 1981. Kampung yang menjadi kubu Umno puluhan tahun telah ditubuhkan Cawangan Penaja PAS. Baru dua minggu lalu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kemasukan hampir 50 orang ahli Umno dalam majlis ceramah di Sungai Tiram, juga dalam Parlimen Tebrau. Menurut Awang, Umno bukan lagi membela orang Melayu, sebaliknya hanya memperkayakan pemimpin sahaja. "Pemimpin korup, salah guna kuasa dan menyeleweng. Sampai bila orang Melayu nak pertahankan pemimpin seperti ini?" katanya. Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin Umno yang mempergunakan ahli bawahan untuk kepentingan peribadi mereka. "Ahli Umno di bawah kerja separuh mati, pemimpin senang lenang!" jelasnya. Baginya, PAS adalah pilihan terbaik. Kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi terbukti mendidik rakyat dan memandu kesejahteraan di dunia dan akhirat. Beliau menyeru rakan-rakannya agar berhijrah kearah hidup lebih bermakna dengan menyokong perjuangan Islam yg di bawa PAS. "Alhamdulillah, berbondong-bondong ahli Umno sertai PAS. Tsunami politik secara drastik di Johor. Umpan dan fitnah nampaknya tiada kesan," kata AJK PAS Pusat yang juga Ketua Penerangan PAS Johor ketika mengulas fenomena ini. Bagi beliau, peluang untuk Pakatan kini semakin cerah dari hari ke hari di Johor. Harakahdaily/- |
Pas Negeri Sembilan harap SPR tetapkan tarikh pilihan raya waktu terdekat Posted: 30 Mar 2013 08:38 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SEREMBAN - Pemuda Pas Negeri Sembilan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya bagi kerusi Dun dalam waktu terdekat meskipun badan itu mahu mengadakan pilihan raya umum serentak membabitkan semua negeri. Ketua Pemuda Pas negeri, Khairil Anuar Wafa berkata, pihaknya berharap agar SPR akan memenuhi peraturan ditetapkan, di mana mereka perlu mengeluarkan writ iaitu surat kuasa kepada pegawai pengurus pilihan raya sebaik sahaja Dun negeri ini dibubarkan. "Mengikut Seksyen 12(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, writ berkenaan perlu dikeluarkan SPR dalam tempoh 10 hari dari tarikh pembubaran atau apabila berlakunya kekosongan di luar jangka. "Writ tersebut mengandungi arahan mengehendaki pegawai pengurus sesuatu kawasan mengambil langkah untuk mengadakan pilihan raya mengikut cara ditetapkan oleh undang-undang," katanya kepada Sinar Harian selepas mengikuti program Jelajah Treler Negara Berkebajikan Pakatan Rakyat (PR) di Taman Gadong Jaya, di sini, semalam. Menurut Khairil, pada masa sama, satu notis pilihan raya juga akan diwartakan dan ditampal di lokasi yang mudah untuk disemak orang ramai, di mana tertera tarikh penamaan calon serta tarikh pengundian yang akan dijalankan. "Justeru, kita ingin melihat bilakah surat kuasa terbabit akan dikeluarkan bagi negeri ini, memandangkan masih ada lapan hari lagi, termasuk hari ini (semalam) sebelum tempoh ditetapkan tamat. "Namun, seandainya writ itu masih tidak dikeluarkan selepas 10 hari, maka jelaslah SPR telah melanggar peraturan mereka sendiri, sekali gus membuktikan betapa suruhanjaya berkenaan tidak bebas membuat keputusan berikutan dikongkong pihak tertentu yang berkepentingan," katanya. Dun Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri Khamis lalu. Sinar/- |
Posted: 30 Mar 2013 08:37 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - TAMPIN – Seorang penternak kambing dan lembu ditemui mati dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan tetakan di bahagian kaki, kira-kira 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di Padang Ragut Geduk, di sini, semalam. Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Wai Yee Meng, 54, ditemui oleh salah seorang anak buahnya yang melakukan gerakan mencari selepas seorang pekerja penghantar makanan ternakan gagal menemui Yee Meng untuk mengambil bayaran. Menurut sumber, anak buah mangsa dan pekerja berkenaan sudah mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku susulan seekor anjing yang diikat di kawasan kandang ternakan itu turut mati dikerat, manakala keadaan pintu ke kawasan ladang ternakan berkenaan seolah-olah dilanggar dengan kenderaan berat. "Kedua-duanya berusaha mencari mangsa dan akhirnya mereka terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan terdapat lampu suluh tidak jauh dari sisinya. Mereka bergegas menghubungi rakan penternak yang lain bagi membantu menghubungi balai polis berdekatan. "Mangsa sememangnya sudah lama tinggal di kawasan ladang berkenaan bagi menjaga ternakan kambing dan lembu yang diusahakan sejak 10 tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian, di, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. "Sepasukan polis IPD Tampin dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinen (IPK) Negeri bergegas ke lokasi bagi menyiasat kes berkenaan," katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. Sinar/- |
Posted: 30 Mar 2013 07:24 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - PASIR PUTEH - Adun Selising, Saipul Bahrin Mohamad, yang difitnahkan mempunyai skandal, kekal bertanding di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan keputusan mencalonkan semula Saipul Bahrin di kawasan itu sebagai tindakan Pas menempelak sesetengah pihak yang membuat fitnah terhadap Saipul Bahrin. "Kalau dia (Saipul) bersalah, kenapa tidak bawa dia ke mahkamah? Benda tiada apa-apa, tapi ada pihak memperbesarkannya. "Jangan harap dosa orang memfitnah diampunkan ALLAH selagi (mereka yang membuat fitnah itu) tidak minta maaf kepada Saipul," kata Mursyidul Am Pas itu selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stadium Negeri di Bukit Merbau, dekat sini, semalam. Pada PRU 2008, Saipul Bahrin mendapat 6,737, menewaskan calon Barisan Nasional Hashim Ismail, yang mendapat 5,954 undi. Stadium Negeri Kelantan, yang terletak di kawasan kompleks sukan di atas tanah seluas 34.5 hektar itu, boleh menampung 45,000 penonton dalam satu-satu masa. Stadium ini juga akan dilengkapi surau di beberapa sudut dan pelbagai kemudahan lain. Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood. Bekas pemain bola sepak Kelantan yang turut hadir ialah Dali Omar, Mahadi Yusof, Nik Fauzi Hassan, Yasin Mohd Nor, Salim Mahmud, Hashim Mustapa, Aziz Mustafa dan Zainuddin Ariffin. Nik Abdul Aziz berkata, beliau sendiri menerima banyak surat layang yang membuat berbagai tuduhan. "Dia (penulis surat layang itu) tak tulis nama pada surat itu supaya orang tidak tahu, tapi dia lupa malaikat tahu. Kita letak Saipul lagi di Selising; ajar pemfitnah. Kita pakat sokong Saipul," katanya. Mengulas mengenai berita kemungkinan DAP diharamkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berikutan masalah yang timbul dalam pertandingan parti baru-baru ini, beliau berkata, kesanggupan calon DAP bertanding di bawah lambang Pas itu sahaja sudah merupakan kemenangan besar kepada Pas dan Pakatan Rakyat (PR). "DAP sudah membuat kenyataan secara terbuka bahawa mereka menerima Pas sebagai lambang parti untuk PRU13. "Islam yang digambarkan dengan pelbagai fobia akhirnya diterima bangsa lain," katanya. Beliau berkata, langkah diambil kerajaan negeri seperti cuti bekerja dua hari seminggu, akhirnya ditiru Kerajaan Pusat, walaupun pada mulanya menganggap ia tidak produktif. "Kita arah supaya wanita bekerja dengan kerajaan negeri menutup kepala kerana itu bukan kehendak Pas, tapi kehendak Islam. "Alhamdulillah perkara itu juga menjadi ikutan. Cuma ada seorang dua yang tidak ikut, Itu kita kira sebagai kes terpinggir," katanya. Sinar/- |
Berusaha elak laku dosa besar mengumpat Posted: 30 Mar 2013 07:08 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - Rasulullah larang intip keaiban, kekurangan orang lain Banyak orang secara terang-terang melakukan perbuatan mengumpat. Perbuatan itu dianggap seperti perkara biasa yang tidak menimbulkan kesan buruk akibatnya. Sebab itu, sekarang sukar untuk mencari contoh orang yang tidak mengumpat. Seorang Islam yang beriman tidak akan berusaha atau sengaja mencari kelemahan saudara Muslim lain. Rasulullah SAW bersabda: "Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya." (Riwayat Bukhari) "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Riwayat Abu Daud) Usaha dan niat menjauhkan sikap mengumpat perlu ditanam dalam diri. Kesedaran itu diharapkan dapat menghalang perbuatan mengumpat berlaku dengan sewenang-wenang atau dianggap satu kebanggaan melakukannya. Sifat manusia jadi bahan lawak Satu kategori mengumpat yang banyak tidak disedari ialah berkaitan bahan lawak. Gurauan menggunakan perkataan atau perbuatan yang melambangkan keburukan seseorang juga dikira mengumpat. Rasulullah SAW pernah menegur Aisyah kerana berkata, "Alangkah pendeknya perempuan itu" kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa baginda. Kata-kata sedemikian turut dianggap mengumpat kerana menyebut satu kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilnya. Masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak seperti gelaran botak, buncit dan hitam. Ada juga menyebut perkataan itu dengan alasan panggilan 'mesra'. Gelaran singgung perasaan Memang kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah. Tetapi fikirkan, elokkah kita memanggil seseorang dengan gelaran melambangkan kekurangannya, walaupun dia tidak marah dengan panggilan itu? Cuba andaikan kita dipanggil dengan gelaran itu. Tentulah kita tidak suka. Jadi, kenapa mesti berlawak dengan menyebabkan orang lain menanggung malu. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudaranya) pada hari kiamat." (Riwayat Muslim) Perbuatan mengumpat memang sukar untuk dihindarkan sepenuhnya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila bercakap. Sebenarnya, banyak orang tidak sedar perbuatannya dikira mengumpat apabila terlepas cakap atau terlalu ghairah memperkatakan sesuatu mengenai orang lain. Malah ada mengatakan apa yang diceritakan bukan hendak mengumpat, sedangkan itu sebenarnya mengumpat. Disebabkan mengumpat sudah terlalu biasa dilakukan, maka tidak dirasakan lagi dirasakan sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan secara mendalam. Jangan pandang mudah perkara ini. Berusahalah mengelak dosa mengumpat seperti mana kita mengelak daripada melakukan dosa besar lain. Perbanyakkan berzikir Mengumpat boleh diumpamakan seperti penyakit dan setiap penyakit ada ubatnya. Ubat bagi mengumpat ialah zikir. Perbanyakkan zikir dapat menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat kerana hati yang bersih akan terhindar melakukan perkara buruk. Perbuatan mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya menjadi bahan umpatan. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan dirinya. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri." (Riwayat Abu Daud) Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mana mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Tentulah tiada siapa yang mahu muflis di akhirat nanti. Kebaikan yang dilakukan di dunia diharapkan dapat menjadi bekalan di akhirat. Malang sekali akibat perbuatan mengumpat, amalan kebajikan itu menjadi rosak kerana pahalanya diserahkan kepada orang yang diumpat. Berita Harian/- |
Posted: 30 Mar 2013 07:04 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - TIKAM BATU - Sebuah kedai menjual dan membaiki peralatan elektrik hangus dalam kebakaran semasa kejadian dekat deretan rumah kedai dua tingkat di belakang sebuah stesen minyak di sini, kira-kira jam 8 malam kelmarin. Bagaimanapun, api berjaya dikawal daripada merebak ke kedai bersebelahan berikutan bantuan pasukan penyelamat yang tiba dalam tempoh singkat memandangkan jarak lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu tidak sampai kira-kira satu kilometer. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 7.56 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian. Menurutnya, pihak bomba mengambil masa selama 11 minit untuk memadamkan api dan berjaya mengelakkan kebakaran terus merebak. "Lima jentera dikejarkan ke lokasi dalam operasi memadamkan kebakaran melibatkan 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Sungai Petani dan pasukan sukarelawan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau berkata, punca dan kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, suasana tenang selepas kerja-kerja operasi memadam kebakaran hampir selesai kembali hangat apabila orang ramai dikejutkan dengan insiden api kecil sebuah kedai lain di deretan sama dua jam kemudian. Saksi kejadian berkata, orang ramai yang menyedari terdapat asap dari kedai yang terletak di hujung deretan itu menjerit memanggil pasukan bomba supaya memadamkan kebakaran di lokasi kedua. "Tindakan pantas anggota bomba yang berlari ke lokasi kedua di hujung rumah kedai patut dipuji kerana mampu menyelamatkan keseluruhan kira-kira 20 buah deretan kedai daripada terus terbakar," katanya. Menurutnya, kejadian kedua ini dipercayai angkara pihak tertentu yang sengaja mencetuskan kekecohan. "Nasib baik ia disedari, jika tidak habis semua kedai di sini musnah terbakar," katanya. Sinar/- |
Penduduk tangkap ular sawa sepanjang tiga meter Posted: 30 Mar 2013 06:59 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUPANG - Seekor ular sawa batik sepanjang lebih tiga meter berjaya ditangkap penduduk Taman Anggerik, di sini yang kebetulan melihat haiwan pemangsa itu. Ular itu ditemui menyusur di sebatang jalan di kawasan perumahan itu sebelum ditangkap penduduk yang mendapatkan bantuan orang ramai. Penduduk, Nor Rahman Osman, 50, dari Kampung Charuk Bemban berkata, ular itu cuba melawan, tetapi berjaya ditangkap orang ramai. Menurutnya, kehadiran ular sawa di kawasan taman itu kemungkinan untuk mencari makanan ataupun mencari pasangan. "Bagaimanapun, kawasan taman itu hampir dengan kawasan kebun dan semak samun. Jadi, tidak mustahil haiwan ini berkeliaran di kawasan ini," katanya kepada Sinar Harian. Nor Rahman yang juga seorang penangkap ular turut mengingatkan agar tidak mencederakan haiwan yang berbahaya ini. Jelasnya, ular sawa tidak begitu agresif berbanding ular yang berbisa, tetapi harus berjaga-jaga. "Walaupun ular sawa tidak mempunyai bisa, belitannya mampu mengancam keselamatan kita. "Disebabkan itu, usaha menumpaskan haiwan ini perlu dilakukan oleh lebih dari seorang. Sekurang-kurangnya, rakan dapat membantu jika terjadi perkara tidak dingini," katanya. Katanya, ular itu akan dibuang ke dalam hutan ataupun diserahkan kepada pihak bertanggungjawab. Sinar/- |
BN, PR mahu bubar automatik jadi amalan pasca-PRU13 Posted: 30 Mar 2013 06:58 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berpendapat sudah tiba masa untuk meminda peruntukan undang-undang bagi membolehkan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara automatik dijadikan amalan mandatori selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Sehubungan itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda untuk menetapkan lima tahun sebagai tempoh pembubaran Parlimen secara automatik. Menurutnya, pembubaran secara automatik tidak menjadi kesalahan, tetapi kini menjadi perbualan masyarakat kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Beliau juga berkata, pindaan diperlukan untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen secara automatik selepas lima tahun dan ia perlu dibahaskan meliputi semua aspek. "Kalau ia memerlukan pindaan perlembagaan, maka kita pindalah," kata beliau kepada Sinar Harian Online. Khamis lalu, Dun Negeri Sembilan telah terbubar dengan sendirinya, sekali gus mencatat sejarah. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut berpandangan Parlimen yang terbubar sendiri boleh dijadikan amalan kerana mempunyai implikasi positif, terutama dari segi pembangunan negara. Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pembubaran Parlimen secara automatik memerlukan pindaan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan oleh kuasa dua per tiga majoriti. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebaik-bainya Parlimen wajar dibubarkan pada tempoh matang iaitu lima tahun. "Saya cenderung kepada Parlimen dibubar hanya setelah tempohnya matang iaitu lima tahun. Kalau pun tak sepenuhnya lima tahun, sekurang-kurangnya empat tahun setengah. "Tetapi, kini ia tidak dinyatakan dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlembagaan," katanya lagi. Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pembubaran Parlimen secara automatik akan diamalkan oleh PR jika berjaya membentuk kerajaan pusat. Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata, PR akan memimpin untuk menetapkan tempoh lima tahun sebagai 'sempadan' pembubaran Parlimen seterusnya. Tambahnya, walaupun memerlukan banyak perbincangan dan rundingan serta sokongan dua per tiga di Parlimen dan Dun, pembangkang akan terus melakukannya sejajar dengan kehendak rakyat. "... Pakatan Rakyat akan memimpin ke arah perubahan itu walaupun memerlukan masa dan ada halangan mengenai dua per tiga majoriti, PR akan teruskan perbincangan untuk mencapai ke arah itu," katanya. Salahuddin juga berkata, kelewatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif daripada rakyat. "... kelewatan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas Dun Negeri Sembilan itu akan menimbulkan persepsi rakyat bahawa kerajaan tidak yakin dengan tampuk pemerintahannya," katanya lagi. Sinar/- |
Anak bekas pengikut Al-Arqam antara ditahan Posted: 30 Mar 2013 06:12 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - Kuala Lumpur: Anak sulung Mohd Zawawi Aman, bekas pengikut Al-Arqam, adalah antara 86 rakyat Malaysia yang ditahan bersama Hatijah Aam, balu bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, kerana disyaki menyebar ajaran sesat dan melanggar Akta Imigresen Arab Saudi. Mohammad Qutaibah, 20, seorang daripada lima anak Mohd Zawawi yang dibawa lari bersama oleh isterinya, Shamsiah Yusof, 45, lebih dua tahun lalu, selepas dipercayai terpengaruh dengan pergerakan yang diharamkan kerajaan pada 1994. Mohd Zawawi, 46, berkata maklumat penahanan itu diterima daripada pihak kedutaan di Arab Saudi selepas anaknya dikatakan tidak memiliki permit sah kerana tinggal lebih masa bersama pengikut Hatijah yang lain. Ajaran itu memecah belah keluarga saya, selain mengorbankan masa depan anak saya yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan" Mohd Zawawi Aman, Bekas pengikut Arqam Beliau yang pernah bersama pergerakan itu lebih 10 tahun, berkata empat anaknya iaitu Siti Khaulah Al Azwar, 19; Nur Samahah, 17; Mariam Al Adzra, 15, dan Muhammad Abdul Bar, 4, pergi ke Makkah menggunakan visa umrah tanpa pengetahuannya. Kali terakhir Mohd Zawawi terima maklumat pada Oktober tahun lalu yang menyatakan Qutaibah bekerja di sebuah kafe milik Hatijah dikenali sebagai Bait Hassnah di Hayyu Sabi, Kaherah, Mesir. Isteri beliau bersama empat lagi anak mereka ditempatkan di Mat'am Nur Muhammad atau Qisra Lebnon berhadapan Universiti Philidephia, Jordan. "Saya berharap maklumat penahanan itu benar supaya saya boleh bertemu kembali selepas dua tahun 'dihalang dan disembunyikan' Hatijah. "Ajaran itu memecah belah keluarga saya, selain mengorbankan masa depan anak saya yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan," katanya ketika dihubungi BH, semalam. Mohd Zawawi berkata, isterinya enggan kembali taat walaupun pihak kedutaan sudah menyerahkan keputusan mahkamah berhubung perintah itu dengan alasan beliau mengutamakan kehendak jemaah ajaran Ummu Jah yang diterajui Hatijah berbanding mematuhi kehendak suami. Lebih menyedihkan, katanya, isteri dan lima anaknya dipengaruhi ajaran sesat itu tanpa sedar mereka digunakan sebagai tenaga kerja di beberapa rangkaian restoran yang dimiliki Hatijah di Arab Saudi. "Salah satu faktor kekayaan Hatijah ialah semua pekerjanya bekerja tanpa diberi gaji, kononnya semua yang dilakukan untuk Hatijah adalah bentuk perjuangan yang ikhlas tanpa mengharap ganjaran. Sebaliknya pekerjanya hanya diberi upah yang sedikit, selain tempat tinggal dan makan sebagai keperluan hidup," katanya. Mohd Zawawi yang kini Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran An Najihah di Nilai, berkata pergerakan itu pernah mengadakan beberapa perjumpaan dengannya selepas beliau keluar organisasi itu pada 2009 dan berusaha memujuknya kembali ke pangkuan mereka. "Mereka turut menjelaskan pemisahan isteri dan anak dengan saya yang dilakukan mereka disebabkan perbezaan aliran pemikiran. Jika saya kembali kepada mereka, ia pasti tidak berlaku," katanya yang membuat lima laporan polis berhubung kejadian itu di negara ini. Berita Harian/- |
Pusat enggan, Kelantan bina sendiri stadium Posted: 30 Mar 2013 06:05 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - PASIR PUTEH: Perletakan batu asas Kompleks Stadium Kelantan yang menelan belanja RM237 juta akhirnya berjaya dilaksanakan semalam. Stadium yang bakal dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih itu terletak di Bukit Merbau, kira-kira 33 kilometer dari Kota Bharu. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diberi penghormatan untuk melakukan majlis pecah tanah dan perletakan batu asas.(Gambar atas) Kompleks sukan itu didirikan di atas tanah seluar 50 ekar milik kerajaan negeri berbanding keluasan keseluruhannya 75 ekar. Pembinaan stadium ini menjadi hasrat dan cita-cita rakyat untuk terus maju dalam bidang sukan khususnya bola sepak. Tuan Guru ketika berucap memberitahu, kerajaan Pusat tidak pernah berhenti daripada mengkhianati Kelantan dalam segala hal termasuk soal pembangunan. Jelasnya, kerana keenganan Pusat untuk membantu Kelantan menyediakan stadium yang lebih canggih membuatkan kerajaan negeri terpaksa berusaha sendiri. "Hasil mahsul kerajaan negeri sendiri seperti royalti disekat oleh golongan ini semata-mata bertujuan untuk melihat Kelantan tidak mampu membantu rakyat," ujarnya. Turut berucap pada majlis yang penuh bersejarah itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Abdul Fatah Mahmod. Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Datuk Mohd Nasaruddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja B Md Anizam, Wan Ubaidah Omar. Hampir 4,000 rakyat Kelantan hadir untuk meraikan majlis yang penuh bersejarah itu. Terdahulu sebanyak 700 buah motosikal yang ditunggang anak muda mengiringi Tuan Guru masuk ke tempat perasmian. Hadir sama pada majlis tersebut 20 orang pemain bola sepak lagenda Kelantan dan pemain antara tahun 70-an dan 80-an. Husam ketika berucap pada majlis itu berkata, stadium tersebut bakal memuatkan 45,000 tempat duduk, ruang kemudahan untuk VIP dan VVIP, lapan ruang untuk solat. Selain itu katanya, terdapat juga dewan, masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah, kemudahan media, admin, keselamatan, dataran serbaguna dan berbagai lagi. "Tempat parkir kereta sebanyak 4,000 buah dan bas 50 buah, tempat parkir untuk media, pasukan keselamtan dan VIP juga turut disediakan," ujarnya. Harakahdaily/- |
Posted: 30 Mar 2013 06:03 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - TEMERLOH - Seorang kontraktor pekerja ladang yang sedang mengagihkan gaji kepada pekerjanya melalui detik cemas apabila dia dan ahli keluarganya disamun RM36,000 oleh empat pekerja Indonesia. Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku jam 2 petang, Jumaat lalu apabila mangsa, 62, dan isteri, 60, serta anak lelakinya, 31, memandu ke ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari pekan Lanchang untuk membayar gaji pekerja. Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa RM50,000 dan mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang, kemudian membawa RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain pula. "Ketika mangsa sedang agihkan gaji kepada empat pekerja terbabit di sebuah rumah kongsi, keempat-empat mereka yang baru dua bulan bekerja bertindak menyerang mangsa sekeluarga dengan batang besi dan kayu. "Mereka juga merampas beg sandang mengandungi RM36,000 daripada anak lelaki mangsa," katanya pada sidang media semalam. Abdul Aziz berkata, kesemua suspek berkenaan tidak merancang untuk melakukan samun tetapi mereka 'kelabu mata' apabila melihat kontraktor terbabit membawa sejumlah wang yang banyak di hadapan mereka. Beliau berkata, kontraktor terbabit yang mengalami kecederaan di dahi itu menerima lima jahitan, manakala isterinya patah tangan kanan akibat dipukul dengan batang besi dan kayu tetapi anak kontraktor itu hanya alami lebam-lebam di badan berikutan kejadian berkenaan. "Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri dengan berjalan kaki mengikut laluan tikus sejauh dua kilometer hingga ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT). "Polis percaya suspek yang terlibat menghubungi rakannya dan melarikan diri melalui lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan lain," katanya. Abdul Aziz berkata, polis percaya bahawa kesemua suspek berkenaan tidak merancang melakukan samun berikutan pasport dan pakaian mereka ditinggalkan dalam rumah kongsi tersebut. Sinar/- |
Ibu bapa berdepan perubahan dunia lebih terbuka, global Posted: 30 Mar 2013 05:58 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SHAH ALAM – Sebagai pemimpin dalam keluarga, ibu bapa hari ini berdepan situasi sukar dan mencabar kerana perubahan dunia yang lebih terbuka sehingga sukar untuk mengawal pergerakan anak-anak. Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali berkata, cabaran globalisasi yang melanda dunia ketika ini, tempiasnya telah sampai ke negara kita. Bekas Ketua Pengarang Sinar Harian itu berkata, pendedahan maklumat yang dapat dicapai dengan sekelip mata akan menggugat keimanan jika tiada asuhan dan didikan yang kuat dalam keagamaan. "Selain didikan, pemantauan, kasih sayang mestilah diberikan kepada anak-anak. Dahulu, ibu bapa mungkin risau keselamatan anak-anak yang pergi menangkap ikan kerana bimbang disengat haiwan berbisa namun sekarang pula lain cabaran lebih-lebih lagi dengan perubahan dunia yang lebih terbuka. "Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak untuk untuk memilih pendidikan yang tepat dan dapat menjamin masa depan, dalam masa sama perlu memantau pergaulan mereka," katanya ketika berucap di Seminar Cabaran Ibu Bapa Dalam Era Milenium, di Universiti Selangor (Unisel), di sini, semalam. Beliau berkata, masyarakat sekarang juga terdedah kepada perubahan sosial yang menyukarkan ibu bapa untuk mengawal pergerakan anak mereka. "Cabaran menjaga anak zaman sekarang ini saya akui lebih banyak berbanding dahulu, ibu bapa kini perlu berfikiran terbuka untuk memahami anak mereka dengan meningkatkan komunikasi dan cuba bertoleransi," katanya. Hadir sama memberi ceramah daripada Galeri Ilmu, Aliyah Sijari, Penceramah Motivasi, Dr Robiah K Hamzah dan Penceramah Smart Parents Netwook, Zaid Mohamad. Penolong pengarah program, S Harikeshwaran berkata, objektif seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kesediaan ibu bapa untuk mendidik anak dalam era globalisasi. Sinar/- Hampir 200 orang termasuk 80 peserta daripada Persatuan Ibu Tunggal Taiping mengikuti program tersebut yang merupakan projek pelajar semesta tujuh, Fakulti Media dan Komunikasi, Unisel. |
Posted: 30 Mar 2013 05:44 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - PETALING JAYA – Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Petaling Jaya bercadang untuk mengadakan lagi program-program pengisian melibatkan perkongsian kisah penghijrahan artis-artis bagi mendorong golongan belia selepas Program Santai Belia Bersama Artis berjalan lancar. Pengerusi program, Salimey Abu Bakar berkata, program julung kali diadakan melibatkan selebriti antaranya Aishah, Ali XPDC, Man Raja Lawak, Dayangku Intan dan Mel Wings itu baru-baru ini menerima sambutan menggalakkan daripada belia di daerah itu. Menurutnya, dalam program diadakan di Taman Dato Hormat, PJS 10 di sini itu, artis-artis jemputan itu berkongsi kisah lampau mereka sebelum 'berhijrah'. Katanya, ternyata kisah dikongsi oleh artis-artis itu mendapat respon positif daripada belia. "Program tersebut berjalan lancar di mana artis-artis tersebut membuat pendedahan kehidupan mereka yang lalu untuk dikongsi bersama belia yang hadir. "Mereka menjelaskan mengapa 'berhijrah' bagi menasihati belia-belia yang ada pada malam itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Program tersebut dirasmikan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, turut dihadiri Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad. Lebih 500 belia hadir pada malam itu untuk bersama-sama mendengar kisah yang dikongsi oleh artis-artis berkenaan. Salimey berkata, rata-rata belia pada malam itu mahu pihaknya mengadakan lagi program seumpama itu. Katanya, pihaknya merancang untuk mengadakan lagi program itu dan bakal memilih lokasi lebih strategik. "Kita ingin mengadakan lagi program ini pada masa akan datang dan mungkin akan mengadakannya dengan PeBT di kawasan lain. "Kita perlu berbincang dengan Adun kawasan masing-masing untuk mengusulkan perkara ini," katanya. Sinar/- |
Posted: 30 Mar 2013 05:43 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita warga emas untuk menyediakan sarapan untuk ahli keluarganya tidak kesampaian apabila ruang dapur kediamannya di Danau Kota, di sini meletup semalam dan mengakibatkan beberapa bahagian badannya melecur. Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa berusia 60-an itu mahu menghidupkan api dapur tanpa menyedari ruang dapur tersebut dipenuhi gas. Sebaik api dinyalakan, berlaku letupan yang turut menyebabkan pintu serta tingkap di ruang terbabit pecah. Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Robert James berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian letupan dan bertindak atas maklumat itu, satu jentera dihantar ke lokasi kejadian. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati injap silinder gas tersebut tertanggal dan gas kemudiannya terkumpul di ruang dapur itu disebabkan ketiadaan sistem pengudaraan yang baik. "Mangsa melecur di bahagian kaki dan tangan akibat letupan itu. Tiga lagi ahli keluarganya yang turut berada di rumah berkenaan selamat kerana berada di ruang tamu. "Kejadian tidak menyebabkan kebakaran tetapi bomba memantau dan memastikan tiada sisa gas," katanya. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan. Robert mengingatkan orang ramai supaya lebih peka sekiranya terhidu bau ganjil kerana gas memasak mempunyai bau agak kuat. Sinar/- |
Kit Siang ke Johor tingkat sokongan untuk Pakatan Posted: 30 Mar 2013 05:41 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SEREMBAN: Lonjakan sokongan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina terus meningkat kepada 85 peratus apabila Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang mengumumkan akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum nanti. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan, sebelum ini sokongan bukan Melayu berada pada paras 80 peratus. "Saya selalu mengatakan bukan senang untuk kita menang di Johor atau tawan kerusi di sana, tetapi perkembangan muktahir ini saya berkeyakinan bahawa Johor akan menjadi milik Pakatan Rakyat," jelasnya pada program ceramah Jelajah Negara Berkebajikan di Paroi, malam tadi. Malah menurut beliau lagi, perkembangan terkini selain Johor, Sabah dan Sarawak juga akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. "Tanda-tanda bahawa Barisan Nasional (BN) akan tumbang tidak lama lagi telah ada. "Kita lihat bagaimana Perdana Menteri masih belum lagi dianugerahkan dengan keberanian untuk bubar parlimen, malah Perdana Menteri juga sanggup memalukan dirinya apabila membiarkan Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri," ucap beliau lagi. Beliau yang berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin turut menjelaskan prestasi Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan jauh lebih hebat jika dibandingkan dengan BN. Harakahdaily/- |
Nyaris disembelih Jeneral Musa Posted: 30 Mar 2013 05:39 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - LAHAD DATU – Tiada apa yang diharapkan Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu. Menurut Ajmain, ketika itu dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya untuk melepaskan diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup. "Dia ketika itu sudah mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup," kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang. Ditanya mengapa ketua pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak keselamatan. "Kononnya kerana laporan sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya mati dan ditangkap," katanya. Menurut Ajmain, ketika itu Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan penduduk lain berkumpul di satu tempat. "Ketika itu kira-kira jam 9 pagi, saya berasa sangat takut," katanya. Ajmain berkata, selain diacu parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa. "Saya hanya mampu berdoa, tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, pengganas Kiram turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar dari kawasan terbabit. "Kami berjaya melepaskan diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan," katanya. Sinar/- |
Wanita maut leher tertusuk besi Posted: 30 Mar 2013 05:38 PM PDT 19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] - SEREMBAN – Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam. Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. Thilaga berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan. "Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan. "Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya. Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya. "Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya. Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa. "Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya. "Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya. Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan. Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian," katanya. Sinar/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan