Selasa, 26 Mac 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Tun M: 'Rakyat pernah tawar hati'

Posted: 25 Mar 2013 07:30 PM PDT

14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikat bahawa ramai Melayu pernah tawar hati dengan pentadbiran parti itu.

Beliau berkata, itu adalah punca utama lima negeri dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas namun sokongan itu semakin kembali apabila rakyat sudah menilai semula prestasi semasa kerajaan.

"Perkara itu (tawar hati) bermula pada tahun 2004 dan berlarutan hingga 2008. Tetapi, saya nampak kerajaan sedang cuba memperbaiki segala kelemahan.

"Cuba buat perbandingan di antara dua parti ini. Saya rasa rakyat boleh kenalpasti parti mana yang betul-betul bertanggungjawab dan pertahankan agama Islam," katanya ketika menjawab soalan penonton mengenai kepimpinan hari ini yang seakan-akan tidak mengangkat bangsa Melayu.

Dr Mahathir berkata demikian pada forum negara Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di bangunan Parlimen, semalam.

Selain Dr Mahathir, turut menjadi anggota panel pada forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan tokoh korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Beliau secara sinis berkata, pada PRU yang akan diadakan bila-bila masa rakyat tidak akan memberi mandat kepada pemimpin parti politik yang telah mengkafirkan tiga juta rakyat beragama Islam.

"Adakah orang yg sewenang-wenangnya mengatakan kafir itu patut perintah negara ini? Orang ini juga suatu ketika dahulu pernah membuat kenyataan bekerja dengan kafir, kita akan kafir.

"Hari ini, bukan sahaja mereka bekerjasama, malah hari jadi pun dirai di rumah orang kafir itu. Sampai ada yang mengatakan perlu langkah mayat (dia) dulu kalau nak serang (orang) kafir 'itu'. Orang yang cakap tu tak pakai serban. Tak tahulah saya kalau ada orang Barisan Nasional (BN) macam tu," katanya.

Dr Mahathir turut mengakui bahawa Umno dan BN bukan parti paling sempurna dalam dunia tetapi pemimpin parti itu berusaha memperbaiki setiap kesilapan.

Dr Mahathir berkata, jika rakyat silap percaturan dalam memilih kerajaan pada PRU13, ia akan merosakkan agam dan negara.

"Saya pun tawar hati dengan yang ini (kerajaan), tapi saya lebih tawar hati dengan yang sebelah sana. Saya mengaku saya buat jahat. Banyak tuduhan ke atas saya. Tapi bila timbang ada juga baiknya. Kerana itu saya menang lima kali pilihan raya," katanya.

Sementara itu ketika menjadi panel forum berkenaan, Dr Mahathir berkata, Orang Melayu hendaklah berpandu kepada al-Quran sebagai amalan hidup supaya tidak berpecah belah walaupun mempunyai fahaman politik berbeza.

Beliau berkata, al-Quran jelas menekankan peranan persaudaraan sesama sendiri, justeru orang Melayu perlu membina peradaban bangsa berteraskan tamadun Islam.

"Kalau di negara Arab, bukan semua orang Arab itu adalah Islam, ada yang menganut agama lain, tetapi di Malaysia, orang Melayu mestilah beragama Islam, jadi kita perlu membina tamadun yang berteraskan al-Quran dan hadis yang sahih.

"Selain itu, orang Melayu juga perlu berusaha menjadi bangsa yang maju dan kita perlu belajar daripada orang lain seperti Jepun, China atau Korea yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya.

Dr Mahathir berkata, jika orang Melayu ingin membina tamadun bangsa yang berteraskan agama, fahaman tentang Islam perlu jelas supaya ia lebih menepati kehendak agama itu sendiri.

"Saya yakin kalau kita ikut kehendak agama Islam sebagai ad-din dalam kehidupan kita, orang Melayu akan menguasai sains, dapat mencipta alatan kita sendiri dan bukan sebagai pengguna semata-mata. Apabila kita menjadi negara maju, ia akan menjadi sebahagian daripada tamadun kita," katanya.

Sinar harian/-



Enam maut, 18 hilang tanah runtuh di Cililin

Posted: 25 Mar 2013 07:29 PM PDT

14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

BANDUNG - Seramai enam terbunuh manakala 18 penduduk dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di kampung Cililin, daerah Bandung Barat, Indonesia, semalam.

Dipetik Jakarta Globe, pegawai agensi bencana alam, Sutopo Purwo Nugroho berkata, pasukan mencari dan menyelamat menjumpai enam mayat termasuk empat kanakkanak sejam selepas banjir lumpur melanda kediaman mereka.

Ratusan polis dan tentera dikerah mencari mangsa hilang manakala penduduk dipaksa berpindah ke penempatan sementara.

Sinar harian/-

Tokoh pemikir Islam Dr Muhammad Uthman meninggal dunia

Posted: 25 Mar 2013 07:28 PM PDT

14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Tokoh Maal Hijrah 2005 Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) malam tadi akibat sakit jantung.
  
Dr Muhammad meninggal dunia pada kira-kira 7.30 malam.
  
Beliau meninggalkan seorang balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.
  
Anak lelaki Allahyarham, Ahmad, 35, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit namun kelihatan letih siang tadi.
  
"Allahyarham ketika itu sedang membaca buku dan mengadu kepada ibu saya yang beliau letih dan ingin tidur, sebelum ibu menyedari bapa saya telah meninggal dunia dalam tidur," katanya kepada pemberita.
  
Ahmad berkata bapanya juga sebelum ini tidak menunjukkan kelakuan pelik namun Allahyarham kelihatan begitu gembira pada Ahad lepas ketika berkumpul bersama anak serta cucunya.
   
Beliau berkata Allahyarham yang menghidap sakit jantung sejak setahun lepas juga sempat menterjemah dua buku agama.
  
Allahyarham akan dimandi dan disembahyang di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 9 pagi ini sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UIA selepas solat Zohor.
  
Dr Muhammad, yang merupakan tokoh pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.
  
Allahyarham juga adalah Felo Amat Utama Akademik Istac UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM). - Bernama

Tiada ulasan:

Nuffnang