Khamis, 7 Februari 2013

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud


Kerajaan adil datangnya daripada pemimpin yang adil

Posted: 07 Feb 2013 06:05 AM PST


Keadilan merupakan suatu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Keadilan merupakan tiang utama yang mengukuhkan sesebuah pemerintahan. Keadilan juga merupakan ikatan  yang dapat menautkan rukun dan kasih antara pemerintah dan yang diperintah. Keadilan juga menjadi jaminan utama sesebuah negara itu kekal aman, damai dan harmoni di bawah lembayung rahmat Allah SWT.

Terdapat banyak ayat al-Qur'an yang menegaskan tentang konsep keadilan agar manusia dapat merasakan kepentingannya. Allah  menggunakan pelbagai istilah untuk mengungkapkan makna keadilan seperti kalimah 'al-Adl', 'al-Qisth', 'al-Wajnu', 'al-Wasth' dan 'al-Mizan'. Hal ini kerana keadilan  yang dituntut oleh al-Quran mempunyai konteks yang lebih luas, bukan hanya dalam proses menetapkan hukuman  atau menyelesaikan perselisihan sahaja. Bahkan al-Quran menuntut keadilan terhadap diri sendiri, baik dalam penulisan, pertuturan atau amal perbuatan.

Keadilan tidaklah patut ditafsirkan dengan kesamarataan atau kesaksamaan semata-mata. Keadilan juga tidak bermakna semua individu diberikan kebebasan sepenuhnya. Memahami definisi keadilan secara dangkal dan semberono mengakibatkan kita tenggelam di dalam pola pemikiran yang bersandarkan logik akal dan tenggelam dalam kemahuan hawa nafsu semata-mata. 

Dalam merungkaikan definisi keadilan, kita perlulah menjadikan wahyu Allah SWT sebagai rujukan utama untuk memandu kita memahami konsepnya yang sebenar. Firman Allah SWT, maksudnya: 

"Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat." (Surah an-Nisa; Ayat 58)

Berdasarkan ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa definisi yang paling tepat untuk merungkaikan maksud 'Keadilan' adalah, proses meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya, serta menyerahkan amanah kepada orang yang berhak menerimanya serta menjatuhkan hukuman dengan adil berpandukan syariat.

Melalui definisi ini, kita perlu memahami bahawa konsep keadilan memerintahkan agar amanah diserahkan kepada yang pihak berhak. Keadilan tidaklah bererti semua rakyat jelata mendapat hak yang setara. Ada perkara-perkara yang perlu sentiasa dipertimbangkan dan diperhalusi. Sebagai contoh; Seorang bapa mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Satu hari, dia mahu menghadiahkan mereka pakaian. Untuk bersifat saksama, dibelikan kedua-dua mereka baju Melayu dan songkok. Adakah tindakan ini adil? Sudah pastilah tidak. Hal ini kerana si bapa menzalimi hak anak perempuan yang sewajarnya memakai baju kurung sebagai lambang kewanitaannya.

Islam amat menitik beratkan soal memilih pemimpin yang adil. Hal ini kerana soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan akan dipersoalkan oleh Allah SWT terhadap kita pada hari kiamat. Di dalam kitab 'al-Jami' Li Ahkam al-Quran', Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa,  "Bagi umat Islam, dalam memilih pemimpin mestilah daripada golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin".

Di dalam al-Qur'an juga Allah menyuruh kita agar menjauhi pemimpin yang zalim. Sebagaimana dikisahkan tentang Nabi Musa yang lari dari kezaliman Firaun dan pembesarnya: 

"Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: Hai Musa, Sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu. Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut dan waspada, dia berdoa: "Ya Tuhanku, selamatkanlah Aku dari orang-orang yang zalim itu". (Surah al-Qasas: Ayat 20-21)

Umat Islam juga perlu menjaga keimanan mereka dan melindungi diri mereka daripada kesesatan. Allah menukilkan kisah Ashab al-Kahfi yang gigih mempertahankan akidah dan keimanan mereka dengan melarikan diri daripada kezaliman Maharaja Decius:

"Dan oleh sebab kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada sembahan-sembahan yang disembah mereka selain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di dalam gua nescaya Allah, Tuhan kamu melimpah kurniaan rahmat-Nya ke atas kamu dan menyediakan pertolongan terhadap  urusan kamu".  (Surah al-Kahfi ; Ayat 16)

Allah SWT juga menegaskan bahawa urusan kepimpinan itu tidak akan diserahkan kepada orang yang zalim sekalipun mereka daripada keturunan yang mulia. Suatu ketika, Nabi Ibrahim berdoa memohon kepada Allah agar urusan kepimpinan diserahkan kepada zuriat baginda:  

"Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam bagi umat manusia. Ibrahim berdoa: (Dan saya mohon juga) daripada keturunanku. Allah  berfirman:  (Permohonanmu diterima tetapi) janji-Ku ini tidak mengenai orang yang zalim." (Surah al-Baqarah : Ayat 124)

Sejarah Nabi Muhammad SAW yang berhijrah ke Madinah dari Makkah juga mempunyai kaitan yang amat signifikan. Perjalanan baginda sejauh 320 km yang  penuh dengan ujian dan cubaan itu merupakan manifestasi kepada kepentingan membentuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama yang dikehendaki Allah SWT :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surahal-Baqarah : Ayat 218)

Cuai memilih pemimpin boleh menyebabkan seseorang itu dimurkai Allah SWT, maka urusan memilih pemimpin bukanlah perkara main-main. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati. Tersalah pilih boleh menyebabkan kita terperangkap di dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW: 

"Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak pada hari kiamat ia akan menjadi penyesalan." (HR. Al-Bukhari) 

Untuk membuatkan kita tidak memilih pemimpin yang salah, terlebih dahulu kita perlu memahami apakah ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin yang adil di sisi Islam: 

1. Pemimpin yang adil wajib mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah. Dia seharusnya insaf bahawa mereka diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi hamba-Nya serta menggalas amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Prinsip ubudiyyah perlu diterapkan di semua peringkat pemerintahan. Firman Allah SWT:

"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Ku." (Surah  az-Zariyat : Ayat 56)

Kepimpinan yang adil wajib bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai teras utama pentadbiran dan panduan untuk menggubal undang-undang negara. Dia juga hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip masuliyyah di dalam melaksanakan amanah. Hal ini termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya." (Riwayat al-Bukhari)

Seseorang pemimpin itu perlulah menjadikan tuntutan Allah lebih diutamakan daripada tuntutan majoriti rakyat. Sebagai contoh, tuntutan golongan  Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT)  supaya hak mengamalkan gaya hidup songsang diperakui atas dasar hak asasi manusia tidak perlu dilayan . Hal ini kerana jika dituruti, akan mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan, mendatangkan kecelaruan pemikiran dan gangguan psikologi, tersebarnya penyakit berjangkit dan yang paling ditakuti, mendatangkan kemurkaan Allah SWT. 

2. Kekuatan fizikal, spiritual dan mental yang kuat juga amat penting. Hal ini kerana kekuatan fizikal dapat memastikan kepimpinannya sentiasa teguh dan tidak diganggu gugat oleh sesiapapun. Kekuatan spiritual juga penting untuk menjadikan pemimpin itu kental menghadapi segala fitnah dan cubaan yang melanda terutamanya dalam era teknologi dan maklumat hari ini.

Rakyat juga perlukan pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi agar  rakyat yakin bahawa mereka sentiasa dipandu dengan wawasan, misi dan visi yang jelas. Pemimpin juga perlu pandai menggunakan segala peluang yang ada, bijak berdiplomasi dalam urusan antarabangsa, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian serta mentadbir hasil mahsul negara dengan efisien.  

Ciri-ciri ini ada pada Nabi Yusuf AS seperti diceritakan oleh Allah SWT:

"Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil negara (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya sebaik-baiknya lagi mengetahui cara mentadbirnya.  Dan demikianlah caranya Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kepada yang Kami kehendaki, dan kami tidak menghilangkan balasan baik bagi orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah Yusuf : Ayat 55-56)

3. Seseorang pemimpin itu mestilah menjadikan kemaslahatan ummah sebagai  perkara utama yang perlu difikirkan di dalam setiap tindakan yang diambil.  Kemaslahatan ummah pula dapat dipelihara dengan menjadikan Maqasid al-Syariah sebagai landasan utama pentadbiran. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya 'al-Mustashfa',  terdapat lima perkara penting yang perlu dipelihara dalam Maqasid al-Syariah  iaitu  agama (akidah), nyawa, akal, nasab keturunan dan harta. 

Maqasid al-Syariah ini jika dipelihara akan menyebabkan kebajikan disebarkan kepada rakyat dan mengelakkan kesusahan daripada menimpa mereka. Firman Allah SWT, maksudnya:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang yang beriman." (Surah at-Taubah : Ayat 128)

4. Perbuatan pilih kasih perlu dijauhi oleh pemimpin yang adil. Para pemerintah dilarang untuk membeza-bezakan rakyatnya berdasarkan pangkat, darjat, keturunan, warna kulit, atau agama, bersesuaian dengan perintah Allah SWT, maksudnya:

"Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa." (Surah al-Ma'idah : Ayat 8)

Dunia hari ini menyaksikan kepincangan ekonomi yang maha dahsyat akibat pendekatan pilih kasih yang diamalkan kerajaan Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat memastikan kepentingan golongan ultra-kaya dipelihara dengan menubuhkan Federal Reserve pada tahun 1913. 

Federal Reserve memastikan agar bank gergasi yang mengamalkan riba sentiasa dilindungi dengan menyediakan kecairan aset sekiranya krisis kewangan berlaku. Kuasa yang ada pada  Federal Reserve untuk mencetak wang juga menyebabkan golongan ini begitu berkuasa, terutamanya apabila standard ekonomi berasaskan emas dihapuskan oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971. 

Akibatnya, krisis kewangan yang teruk berlaku apabila hanya golongan kaya dibantu dan golongan marhaen dipinggirkan. Inflasi dan deflasi terus menerus menjadi wabak. Abad ke-21 menjadi saksi keruntuhan sistem yang berat sebelah ini. Tahun 2007-2008 menyaksikan Great Recession berlaku di Amerika Syarikat hingga 2 juta orang kehilangan pekerjaan. Krisis itu juga menjadi kesan domino apabila merebak ke Eropah malahan di China juga dilaporkan sebanyak 6.7 juta orang telah kehilangan pekerjaan. Hingga kini, kesannya masih gagal dipulihkan.

5. Segala janji yang diucapkan perlulah ditunaikan. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh kawan dan lawan. Sifat berdusta menyebabkan masyarakat akan hilang kepercayaan kepadanya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Sikap jujur dan amanah amat penting dalam pentadbiran. Pemimpin yang menipu rakyatnya tidak layak untuk dihormati. Apatah lagi jika pemimpin itu mempergunakan segala kelebihan yang ada padanya untuk kekal berkuasa. Mengawal media massa agar sentiasa memaparkan kebaikannya dan menutup kelemahannya juga adalah satu bentuk penipuan. Hal itu juga boleh  dianggap sebagai suatu proses membodohkan rakyat secara terancang. 

Kejatuhan rejim yang rakus mengekalkan kuasa haruslah dijadikan iktibar. Nama-nama seperti Raja Louis XVI, Tsar Nikolay Alexandrovich Romanov, Raja Farouk I, Mohammad Reza Shah Pahlavi, Ferdinand Marcos, Jeneral Soeharto, Saddam Hussein, Zine El Abidine Ben Ali, Hosni Mubarak dan ramai lagi adalah contoh bahawa bangkai gajah tidak dapat disembunyikan dengan nyiru dan kemenangan mutlak akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.

6. Akhlak dan budi pekerti yang baik adalah permata insan. Pemimpin perlu menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. Seperti yang disebut dalam al-Quran, maksudnya: 

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa kan diri kamu sendiri. Padahal kamu semua membaca kitab Allah. Tidakkah kamu berakal?" (Surah al-Baqarah : ayat 44)

Secara logiknya, nasihat seorang pemimpin kepada rakyatnya untuk tidak boros dan  berjimat cermat adalah lebih mudah diterima jika pemimpin itu terlebih dahulu mengamalkannya. Slogan "Kepimpinan melalui teladan" ini perlu dijiwai oleh golongan pemerintah, bukan hanya sekadar meniti di tepian bibir. Uswah hasanah ini akan memberi kesan yang positif kepada masyarakat yang dipimpinnya. Selain daripada itu, tindakannya akan turut membuatkan rakyat kasih kepadanya.

Kesimpulannya, tuntutan membentuk kerajaan yang adil adalah tanggungjawab semua. Kerajaan yang adil akan membuka pintu kepada segala kebaikan dan ketaatan, menegakkan hak dan kebenaran, menghapuskan kebatilan dan kezaliman, memakmurkan semua lapisan masyarakat, menjanjikan sokongan rakyat yang berterusan, menyebabkan pemerintahan Islam dihormati disegenap pelosok alam dan yang paling penting, menyebabkan pemimpin dan yang dipimpin mendapat redha Allah SWT. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA :

"Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh." (Riwayat Imam Ahmad)

Muhammad Fakhrurrazi Bin Ahmad berasal dari Kampung Sungai Petai, Kuala  Berang, Terengganu Darul Iman. 

Tiada ulasan:

Nuffnang