Jumaat, 15 Februari 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Terserah SPR jika mahu p'raya serentak dengan S'gor

Posted: 15 Feb 2013 12:19 AM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Tepulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada mahu menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serentak dengan Selangor atau tidak, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menegaskan, SPR mempunyai tempoh 60 hari selepas beliau mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan adalah tanggungjawab SPR untuk menyesuaikan tarikh pilihan raya serentak dengan parlimen jika badan itu tidak mahu pilihan raya Dun Selangor dilakukan berasingan.

"Apabila saya umumkan pembubaran, SPR mesti mengadakan PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dun Selangor.

"Terpulang pada SPR untuk sesuaikan tarikh dengan Kerajaan Pusat, namun jika tidak sesuai, saya buat pilihan raya dulu, dan jika sesuai kita buat pilihan raya sama," katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Ketiga di Klang pagi tadi.

Sebelum ini, beliau mengumumkan akan mempertimbangkan untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal iaitu selepas sambutan Chap Goh Mei hujung bulan ini jika Perdana Menteri masih berteka-teki untuk membubarkan parlimen.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesesuaian tarikh yang bakal diumumkan oleh SPR itulah yang akan menjadi penentu sama ada PRU-13 akan diadakan serentak atau berasingan.

Menurut Abdul Khalid, rakyat kini sudah tidak sabar dan tertunggu-tunggu tarikh PRU-13 dan ia turut membantutkan perkembangan sektor ekonomi di negeri ini.

"Rakyat sudah tertanya-tanya bila PRU-13, jadi rakyat tak buat kerja, asyik tunggu pilihan raya, keputusan pelaburan pun tak buat, sektor peniagaan pun tunggu pilihan raya.

"Lagi lama pilihan raya hendak diadakan, lagi lambat ekonomi membangun," ujarnya.

harakah/-

Bermadu kasih bersama teman lelaki, ibu sanggup tinggal anak

Posted: 15 Feb 2013 12:09 AM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Bermadu kasih bersama teman lelaki, ibu sanggup tinggal anak
Antara pasangan yang diserbu dalam Ops Mawar Merah.
JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal sanggup meninggalkan dua anaknya berusia enam dan 14 tahun semata-mata untuk meraikan Hari Kekasih bersama teman lelakinya di sebuah hotel murah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Lebih memeranjatkan, wanita berusia 40an dan lelaki berusia 33 tahun itu yang tinggal dalam kampung sama di Pontian mengaku datang ke hotel terbabit untuk memadu kasih bersama kekasihnya  yang mempunyai tiga anak dan sudah beristeri.

Pasangan itu antara 36 individu yang ditahan dalam Ops Mawar Merah yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

Timbalan Pengarah Operasi Jaij, Ramly Jusoh berkata, operasi bermula jam 9 malam hingga 3 pagi itu membabitkan hotel sekitar Danga Bay, Taman Perling, Bukit Indah, Nusa Bestari, Taman Tan Sri Yaakob dan Taman Ungku Tun Aminah.

Menurutnya, operasi yang membabitkan sepasukan 13 pegawai dan anggota Jaij itu memeriksa kira-kira 19 hotel murah bagi mengekang umat Islam di negeri ini menyambut sambutan Hari Kekasih.

"Daripada 36 yang ditahan, tiga daripadanya bukan beragama Islam dan berasal daripada Singapura dan Filipina. Mereka yang ditahan berumur 18 hingga 45 tahun.

"Pemeriksaan hari ini pada sebelah pagi menahan 14 orang. Kita akan meneruskan operasi ini hingga malam ini bagi mengesan pasangan bukan muhrim yang meraikan sambutan ini," katanya di sini, semalam.

 Ramly berkata, pasangan yang ditahan dibawa ke Jaij untuk diambil keterangan dan kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

sinar/-

Komponen senjata api dijadikan peralatan muzik

Posted: 15 Feb 2013 12:08 AM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
 
BANDAR RAYA MEXICO - Seorang pengukir terkenal, Pedro Reyes menghabiskan masa selama dua tahun untuk menghasilkan pelbagai jenis peralatan muzik dengan menggunakan komponen daripada 6,700 senjata api.

Menurut laporan agensi berita AP semalam, bekalan senjata api itu diperoleh daripada polis yang merampasnya.

Reyes juga memperoleh bekalan tersebut daripada pemiliknya yang menyerahkannya secara sukarela kepada polis.

Antara peralatan muzik yang dihasilkannya ialah xilofon, piano dan dram.

Dia juga mencipta peralatan muzik yang boleh mengeluarkan bunyi seperti gitar bes. - Agensi

Tiga tikaman cemburu

Posted: 15 Feb 2013 12:06 AM PST

Foto4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Bukit Mertajam: Tindakannya mahu memutuskan hubungan cinta dipercayai menjadi punca seorang wanita mati selepas ditikam kekasihnya yang kecewa dengan permintaan teman wanitanya itu.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi semalam, Tan Ching Chin, 24, mati selepas ditikam tiga kali di badan dan perut oleh teman lelakinya yang berusia 31 tahun di rumah mangsa di Taman Hwa Seng, Alma, di sini.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bekerja di syarikat kejuruteraan itu mandi di tingkat atas rumahnya.

Teman lelakinya yang juga pembekal barangan binaan kepada syarikat milik abang mangsa berada di rumah mangsa sejak Ahad lalu untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama-sama, masuk ke bilik air ketika mangsa sedang mandi dan terus menikam mangsa.

Difahamkan juga, sebelum itu berlaku pertengkaran antara mereka dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu sebelum mangsa masuk ke bilik air untuk mandi.

metro-

Manusia boleh sebar virus pembawa maut?

Posted: 14 Feb 2013 11:58 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Virus korona
Virus korona ini juga menunjukkan simptom seperti jangkitan Sars. Foto: AP
LONDON - Britain melaporkan kes ketiga melibatkan pesakit dijangkiti virus berbahaya yang semakin mencetuskan kebimbangan terhadap penularannya dalam kalangan manusia, menurut pegawai kesihatan, kelmarin.

Sehingga kini, seramai lima orang yang pernah berkunjung atau tinggal di negara rantau Arab dilaporkan maut akibat serangan virus korona dikenali sebagai NCoV - to 11 sejak September lalu.

Difahamkan, apabila pesakit diserang NCoV, mereka akan menunjukkan simptom jangkitan Sars (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) seperti demam panas, sukar bernafas dan batuk tanpa kahak.

Hasil kajian beberapa badan kesihatan di London menunjukkan ia kini boleh disebarkan oleh manusia walaupun risikonya dikatakan masih rendah.

November lalu, saintis di Netherlands melaporkan sampel diambil daripada pesakit di Arab Saudi menunjukkan virus pembawa maut dalam bentuk baru tersebut dibawa oleh spesies kelawar Tylonycteris pachypus dan Pipistrellus abramus dari Asia.

Dalam satu kenyataan, Dr Ron Fouchier di Pusat Perubatan Erasmus di Rotterdam memberitahu kajian mereka jelas menunjukkan haiwan mamalia itu menjadi penyebar utama virus korona tersebut.  - Reuters

42 NGO terus desak kerajaan cepat tubuh IPCMC

Posted: 14 Feb 2013 11:44 PM PST

IPCMC4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 15 FEB: Sekumpulan 42 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Hentikan Keganasan Negeri terus mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Gabungan NGO itu mahu penubuhan IPCMC ekoran beberapa insiden keganasan dan pencabulan kuasa polis secara meluas hingga menyebabkan kematian orang awam.

Menurut mereka, IPCMC penting untuk memastikan tiada lagi keganasan dan tuduhan palsu untuk mewujudkan persekitaran selamat.

Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez berkata, penubuhan IPCMC wajib disegerakan supaya keganasan dan penyalahgunaan kuasa polis dapat dihentikan.

"Hampir setiap hari ada saja berita penyalahgunaan kuasa seperti kematian dalam tahanan, tembakan polis terhadap orang awam, salah guna kuasa terhadap suspek, penahanan tanpa mengikut undang-undang dan banyak lagi. Ia hendaklah dihentikan.

"Kami desak Datuk Seri Najib (Razak) dan pentadbirannya prihatin ke atas mangsa yang teraniaya agar segera melaksanakan IPCMC," katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), pagi tadi.

Gerakan Hentikan Keganasan Negeri ditubuhkan pada Oktober lalu, bertujuan menamatkan tragedi tembakan polis terhadap orang awam dan kematian dalam tahanan.

Penyelaras Suaram, Wong Kar Fai berkata, siri kematian dalam tahanan seperti terbaru menimpa C Sugumar menuntut supaya penubuhan IPCMC dipercepat.

"Kerajaan perlu bertindak tegas kerana saban hari rakyat makin hilang kepercayaan terhadap polis. IPCMC tidak boleh dilengah-lengahkan. Dikhuatiri ramai lagi rakyat akan menimpa nasib sama," katanya.

"Apa yang terjadi kepada Sugumar, Cheah Chin Lee, Aminulrasyid (Hamzah) dan lain-lain mangsa mungkin bakal terjadi kepada sesiapa sahaja.

"Pembunuhan dan salah guna kuasa polis adalah serius tanpa kesudahan. Jika berterusan ia mengancam kesejahteraan negara dan kedaulatan undang-undang," kata Wong.

Turut sama mewakili NGO itu, Lawyers For Liberty (LFL).

Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.

Polis menuduh IPCMC menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, bertentangan dengan undang-undang, bercanggah dengan perlembagaan, mencabul keadilan semulajadi, boleh mengakibatkan anarki, bersifat diskriminasi, menafikan keadilan dan mengkompromikan perintah Ketua Polis Negara.

keadilandaily/-

Spesies baharu burung hantu ditemui di Indonesia

Posted: 14 Feb 2013 11:32 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

JAKARTA - Sekumpulan penyelidik menemui spesies baharu burung hantu di Indonesia, kata seorang saintis, George Sangster semalam.

Burung hantu Rinjani Scops berwarna putih dan perang itu pada mulanya ditemui di Pulau Lombok pada tahun 2003 ketika para penyelidik mencari burung hantu lain.

"Kini terdapat seekor burung hantu yang cantik berasal dari pulau itu.

"Kami berharap lebih ramai pemerhati burung akan melawat Lombok," kata Sangster. - Agensi


Ikatan pohon perintah mahkamah lulus pendaftaran

Posted: 14 Feb 2013 11:31 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD]

KUALA LUMPUR: Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Abdul Kadir Sheikh Fadzil hari ini memohon perintah mahkamah bagi mengarahkan kerajaan mendaftarkan parti itu.

Permohonan itu dibuat melalui peguamnya, Murni Hidayah Anuar di Mahkamah Kuala lumpur, Jalan Duta dekat sini.

Menurut Kadir, beliau membuat keputusan untuk ke mahkamah selepas tiada apa-apa jawapan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan untuk mendaftarkan Ikatan sebagai parti.

"Permohonan dibuat bulan Jun tahun lepas. Saya berjumpa dengan pegawai pendaftar, pendaftaran dibuat mengikut prsedur dan pihak ROS pun tak ada panggil saya nyatakan apa-apa kesalahan.

"Tapi kenapa sampai hari ini tiada sebarang maklum balas berhubung permohonan saya? kata beliau kepada pemberita di lobi mahkamah.

Beliau kesal kerana kerajaan dilihat seolah-olah sengaja melengah-lengahkan pendaftaran Ikatan.

"Saya nampak kerajaan sengaja lengah-lengahkan untuk beri kelulusan.

"Saya kesal kerana Perdana Menteri keluarkan pelbagai kenyataan berkaitan transformasi. Tapi kalau perkara sekecil ini tak mampu nak uruskan, saya tak nampak keikhlasan kerajaan.

"Sedangkan penubuhan parti terkandung dalam perkara 10 Perlembagaan,' kata bekas Menteri Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Ikatan dilancarkan pada Jun tahun lalu dengan membawa matlamat merapatkan hubungan rakyat Malaysia.

Selain Kadir sebagai Presiden, timbalan-timbalan beliau adalah bekas Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, orang kuat Kelab Rotary Ong Hock Swiew dan bekas Presiden Majlis Peguam Regunath Kesavan.

Pengerusi Koperasi Ukhwah Malaysia Datuk Seri Mustafa Kamal Maulud dinamakan sebagai setiausaha agung.

harakah/-

Pemandu teksi jadi mangsa, janji BN tinggal janji

Posted: 14 Feb 2013 09:29 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


(Mana janji Datuk Johari antara sepanduk yang dinaikkan)

BUKIT KAYU HITAM: Seramai lebih 120 orang pemandu teksi yang tidak berpuashati dengan kehadiran van pengangkut penumpang dari negara jiran, Thailand mengadakan demonstrasi di Bukit Kayu Hitam semalam.

Demonstrasi diadakan di stesen teksi Bukit Kayu Hitam bermula jam 10.00 pagi dengan para pemandu teksi terbabit berbaris di tepi jalan sambil mengangkat kain sepanduk dan poster yang tertera slogan-slogan bantahan serta keluhan mereka.

Mereka turut melaungkan suara bantahan seperti "Kami tuntut hak kami" dan "Mana Janji Ahli Parlimen Kubang Pasu?"

Masalah kemasukan van dari Thailand ini sudah berlarutan semenjak lebih 10 tahun lalu yang mana pada masa kini telah menjejaskan pendapatan pemandu teksi tempatan dengan teruknya.

Para pemandu yang mengadakan demonstrasi tersebut terdiri daripada pemandu teksi dari Persatuan Pemandu Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, Changlun dan Bandar Baru Sintok. Mereka turut disertai wakil dari pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Shahab Perdana, Alor Setar.

harakahdaily/-

Awas jika nampak kertas di belakang kereta anda

Posted: 14 Feb 2013 08:28 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



(Awas jika anda nampak kertas sebegini di belakang kereta anda)

KUALA LUMPUR: Awas! Jika anda ternampak sekeping kertas melekat di cermin belakang kereta anda, berjaga-jagalah kerana mungkin anda mangsa samun seterusnya.

Ini kerana, inilah teknik terbaru yang digunakan oleh manusia durjana ini untuk melarikan kereta anda.

Modus operandi kes sebegini mudah sahaja dan biasanya ia berlaku di tempat parking awam.

Kita berjalan menghampiri tempat parking, membuka kereta dan masuk ke dalamnya.

Kita mula hidupkan engin kereta dan bersedia untuk berundur.

Bila kita melihat cermin belakang untuk melihat kawasan belakang, kita dapati ada kertas yang melekat di tengah-tengah cermin belakang menghalang pandangan kita.

Jadi kita parking balik kereta, buka pintu dan keluar untuk menanggalkan kertas (atau apa jua benda) yang menghalang penglihatan kita tadi.

Bila anda sampai di bahagian belakang kereta, pada masa itulah pencuri itu akan keluar dari tempat sembunyinya, masuk kedalam kereta dan memecut pergi.

Dia mungkin akan merempuh anda dengan laju semasa mereka melarikan kereta anda.

Perasan tak kaum hawa? Pasti beg duit kita masih didalam kereta. Jadi sekarang pencuri memperolehi kereta kita, alamat rumah kita, duit kita, dan kunci-kunci kita. Rumah kita dan kesemua identiti kita telah diperolehi!

Berhati-hatilah...Inilah cara baru yang digunakan untuk mencuri kereta.

Oleh itu, jika kita melihat ada kertas melekat pada cermin belakang kita, teruskan memandu.

Tanggalkan kertas itu kemudian. Dan bersyukur kerana anda membaca tulisan  ini.

Itulah pesan kepada pemilik kereta khasnya kaum wanita berikutan ramainya yang menjadi mangsa kerana hal sebegini.

harakahdaily/-

'Tandas terapung terbesar' berlabuh

Posted: 14 Feb 2013 08:13 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
 

MOBILE, Alabama - Penderitaan para penumpang kapal persiaran Carnival Triumph bakal berakhir apabila ia mendarat di sini semalam.

Kapal itu sebelum ini mengalami masalah bekalan air dan elektrik apabila enjinnya terbakar sehingga menyebabkan ia terpaksa ditunda ke sebuah pelabuhan di sini.

Kira-kira 4,000 orang menaiki kapal tersebut semasa ia hanyut sejak berlepas dari Galveston, Texas pada minggu lalu.

Kebakaran itu berlaku pada Ahad lalu menyebabkan kapal tersebut hanyut dan ditunda dengan menggunakan bot.

Beberapa penumpang mengadu kepada saudara-mara mereka tentang keadaan kotor di atas kapal tersebut selepas berlaku kebakaran itu selain kesukaran untuk mendapatkan makanan.
Para penumpang turut mengadu bau busuk dan najis di atas lantai.

Ramai penumpang yang tidur di dek untuk mendapatkan udara segar.
Seorang penumpang, Jamie Baker bercakap kepada stesen televisyen NBC bahawa tiada bekalan elektrik di atas kapal berkenaan manakala hanya beberapa buah tandas berfungsi.

Wanita tersebut menyatakan dia terpaksa menggunakan beg plastik untuk pergi ke bilik air dan menunggu dalam barisan selama beberapa jam untuk mendapatkan makanan.
Baker berkata, dia melihat seorang wanita memotong barisannya.

Menurutnya, dia dan beberapa rakannya terpaksa memakai jaket keselamatan semasa tidur pada satu malam kerana kapal berkenaan berada dalam keadaan senget. 

Syarikat Carnival Cruise Lines meminta maaf berhubung penderitaan para penumpang.
Menurut pihak syarikat itu, ia akan membiayai kos penghantaran penumpang ke beberapa buah bandar di Texas.

Seorang lagi penumpang, Renne Shanar memberitahu saudara kandungnya, Vivian Tilley bahawa kabin tidurnya amat panas dan berbau seperti asap keluar dari enjin. - Agensi


Radio Suara Rakyat dapat sokongan kerajaan S'gor

Posted: 14 Feb 2013 07:30 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas berkerjasama dengan Harakahdaily, radio internet Suara Rakyat.fm kini melebarkan sayapnya ke Selangor pula dengan menjalinkan kerajasama dengan kerajaan negeri.

Sebagai tanda sokongan, satu majlis pelancaran radio itu untuk peringkat Selangor akan diadakan pada jam 8.00 pagi Ahad ini bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Exco kerajaan negeri Dr Ahmad Yunus Hairi selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan dijangka menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu, radio Suara Rakyat juga kini mula beroperasi dari Selangor iaitu dari konti TV Impian di Shah Alam setiap hari dari jam 11 pagi hingga 1 petang.

Di samping memuatkan berita-berita berhubung program kerajaan negeri, ianya juga turut mewarwarkan aktiviti yang akan berlangsung di negeri itu.

Sesuai dengan namanya Suara Rakyat, kandungan radio ini lebih cenderung membawa laporan pro rakyat.

Radio ini boleh di akses melalui suararakyatfm.blogspot.com.

harakah/-

112 lokasi di Selangor nikmati WiFi percuma

Posted: 14 Feb 2013 07:00 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Masyarakat sekitar Bandar Baru Salak Tinggi kini boleh mengakses internet secara percuma selepas Kerajaan Negeri memasang internet jalur lebar (WiFi) percuma di sini.

WiFi ini dipasang di Pusat Penjaja Taman Seroja di sini dan telah dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.

Program yang dinamakan WiFi Selangorku ini adalah di bawah peruntukan Geran Selangorku manakala Bandar Baru Salak Tinggi adalah antara 112 lokasi WiFi percuma yang dirancang dipasang seluruh Selangor.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, sebanyak RM2.74 juta diperuntukkan untuk projek ini dengan kerjasama syarikat-syarikat swasta yang diadakan melalui tender terbuka.

"Pelbagai projek diperuntukan melalui Geran Selangorku seperti projek infrastruktur jalan, gelanggang futsal serta penyediaan WiFi percuma ini supaya kita mahu seluruh rakyat Selangor dapat menikmati kemudahan teknologi maklumat," katanya dipetik Selangorku.

Tambah beliau, semua kawasan yang dikenalpasti sebagai 'HotSpot' WiFi Selangorku akan siap dipasang akhir Mac ini.

"Kawasan luar bandar akan menjadi tumpuan pemasangan WiFi ini yang juga digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat bagi mendapatkan maklumat mengenai Kerajaan Negeri yang boleh didapati melalui portal TVSelangor," katanya.

Sementara itu, WiFi Selangorku ini berkelajuan 2 Megahertz(MHz) dan liputan minima boleh dicapai berkeluasan 200 meter serta had capaian selama 30 minit bagi setiap 100 orang pengguna pada satu-satu masa.

Apa Kejadah Kos Satu Bilik Darjah Dibina Umno-BN Bernilai RM1 Juta?

Posted: 14 Feb 2013 06:30 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terbukti jauh lebih efisien dan cekap dalam pengurusan kewangan apabila mampu membina sekolah yang mempunyai 24 bilik darjah serta kelengkapan dewan dan makmal pada kos RM4.9 juta.

Ia berbeza apabila Kerajaan Umno-BN membina sekolah yang mempunyai hanya 12 bilik darjah dengan kos didakwa berjumlah kira-kira RM12 juta.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pembinaan SJK(T) Ladang Midlands di sini yang dibina dengan kos RM4.9 juta itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 15 April lalu.

Selama 50 tahun para pelajar di situ terpaksa belajar di dalam bilik darjah berdinding papan dan lantai simen retak dan menanti bantuan untuk mendapatkan bangunan baru bagi keselesaan pembelajaran.

Pembinaan sekolah tersebut yang boleh menempatkan kira-kira 2,000 pelajar tidak menggunakan satu sen pun peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

"SJK(T) Ladang Midlands itu boleh dianggap yang terbaik dan termoden di negara ini malahan mungkin di dunia dengan dewan yang besar dan makmal yang canggih dengan RM4.9juta.

"Berbanding dengan Sekolah Rendah yang hendak dibina di U10 Shah Alam ini yang ada 12 bilik darjah tetapi kosnya adalah RM12 juta yang bermakna setiap darjah itu kosnya adalah RM1juta," kata Khalid ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau lagi, kos pembinaan yang menelan kos RM12 juta itu dianggap tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lanjut pihak berkenaan ekoran kos pembinaannya yang jauh lebih tinggi.

"Ianya membuktikan ketidakcekapan dan ketidaktelusan serta kemungkinan projek pembinaan sekolah di U-10 itu diberi secara rundingan terus dan sebagainya.

"Yang jelas kosnya lebih lima kali ganda itu dan terlalu tinggi akan merugikan rakyat," kata Khalid.

Nani satu anugerah

Posted: 14 Feb 2013 06:20 PM PST

Foto4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Petaling Jaya: "Nani satu anugerah Allah kepada saya dan keluarga. Kehadirannya sejak tujuh tahun lalu bukan saja membawa bahagia, malah menerbitkan sinar Islam dalam diri saya.

"Semua ini berlaku tanpa dijangka dan hidup saya benar-benar berubah selepas ibu kandung Nani datang dan menyerahkan Nani yang ketika itu berusia 15 hari kepada saya," kata Rimi Abdullah, 35.

Mengimbas peristiwa pada 2006 itu, Rimi yang memeluk Islam pada Mac 2011 berkata, Nani atau nama sebenarnya, Umi Zauyah diserahkan kepadanya oleh ibu kandung kanak-kanak itu yang berdepan kesulitan dan tekanan hidup.

Menurutnya, atas dasar tanggungjawab serta prihatin, dia setuju menerima Nani dan soal perbezaan agama langsung tidak difikirkannya ketika itu.
NANI bersama bapa angkatnya.

"Yang pasti, sebaik saja melihat wajah Nani timbul rasa sayang mendalam terhadapnya. Saya masih ingat apabila membawa Nani pulang ke rumah, ibu saya terkejut dan sedih melihat keadaan Nani.

metro/-

Deepak: Surat terbuka buat Tun Mahathir

Posted: 14 Feb 2013 06:00 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -





Tun,

Saya merujuk kepada kenyataan Tun yang juga merupakan nasihat kepada DS Najib & DS Rosmah iaitu "Abaikan Deepak", dan juga saya tertarik dengan nasihat Tun agar saya tidak menggunakan saluran politik sebaliknya terus ke mahkamah untuk menuntut hak saya.

Tun,

Untuk makluman Tun, semenjak 2 tahun lepas iaitu dari tahun 2010, itulah yang telah saya lakukan di mana keputusan mahkamah telahpun memihak kepada saya.
Walaubagaimanapun, pentadbiran Najib telah menidakkan keputusan mahkamah ini dan segala bukti yang dikemukakan di mahkamah yang mempunyai perkaitan dengan DS Rosmah telah dinafikan kewujudannya atau sememangnya jabatan kerajaan tidak bercadang untuk menjawab pertuduhan mahkamah, yang dengan ini, saya memerlukan nasihat daripada Tun.

Apakah tindakan Tun sendiri akan lakukan jika Tun berada di tempat saya? Berlatarbelakangkan kami berdua juga pernah dituduh sebagai "orang pakistan" namun kami sama sama "anak Malaysia" yang berhati nasionalis, saya pasti apa yang saya tulis di dalam surat ini tidak banyak berbeza dengan apa yang Tun akan lakukan jika Tun berada di tempat yang sama atau berdasarkan pada apa yang pernah berlaku, Tun sendiri pernah menulis "Surat Sejarah 17 Jun 1969" yang juga merupakan surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman.

Tun,

Saya telah diserbu oleh pihak Bank Negara Malaysia pada tahun 2010 kerana pertukaran matawang asing melalui pengurup wang dengan jumlah yang tinggi di dalam Dollar Singapura dan US. Siasatan telah berlangsung selama enam minggu dan saya telah dedahkan bahawa kesemua wang tersebut telah diserahkan kepada DS Najib dan DS Rosmah sebagai bayaran untuk berbagai tawaran di mana saya bertindak sebagai saluran mereka untuk bayaran Bangunan Angkasa Raya, Tanah Bukit Raja  dan Glomac Tower (kini dikenali sebagai Wisma Prestige). Perkara ini walaubagaimanapun terhenti begitu sahaja.

Saya juga diminta oleh pihak SPRM untuk membantu siasatan bagi jualan sebuah bangunan di KLCC kepada syarikat perbankan Islam antarabangsa, di mana kami telah mengemukakan bukti bayaran melalui slip, kenyataan video dan testimonial bertulis di mana saya telah bertindak sebagai saluran bagi DS Najib dan DS Rosmah, dan wang telah diserahkan ke tangan mereka dalam berbagai bentuk dan suasana dalam tempoh dua (2) tahun, Pengarah Kanan SPRM yang mengetuai penyiasatan itu ialah Datuk Jamidan, yang juga terlibat dalam kes Sime Darby.

Mengapa setelah begitu banyak bukti yang dikemukakan secara terang-terangan dan mengikut saluran, sehingga kini masih tiada siasatan yang dibuat terhadap DS Rosmah, DS Najib or Datuk Nazim? Adakah keadaan ini melibatkan "dakwaan untuk individu terpilih" atau siasatan di peringkat yang berbeza untuk orang yang berlainan taraf? Macam mana lagi Tun hendak saya buat untuk mendapatkan keadilan? Kini mari kita berbicara tentang pengalaman saya di mahkamah pula.

Tun,

Saya telah membeli 200 ekar bidang tanah daripada Raja Ropiah pada tahun 2007, kini beliau adalah Ketua Wanita Umno Selangor dan Ketua Wanita BN. Kami telah membayarnya secara tunai sebanyak RM13,000,000.00 dan bond tanah (Waranti Bank) sebanyak RM72,500,000.00 telah dikeluarkan bagi tujuan bayaran. Selepas menerima wang tersebut, Raja Ropiah secara sengaja telah melewatkan pengeluaran geran tanah buat kami dengan cara mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyerahkan geran itu dan sebaliknya telah membuat janji dengan CBT untuk menjual tanah tersebut kepada syarikat lain dengan harga yang lebih tinggi dan juga telah mengumpul sejumlah wang tunai hampir kepada RM90,000,000.00 dan Waranti Bank daripada mereka.

Ini juga terjadi ketika bon tanah kami masih sah digunakan dan meminta sejumlah RM13,000,000.00 daripada kami dalam bentuk tunai. Kami juga telah membayar secara tertutup di mahkamah terbuka sebanyak RM8,000,000.00 kepada keluarga DS Najib. Saya telah membuat laporan polis dan sehingga kini masih tiada tindakan terhadap Raja Ropiah dan keluarga D. Najib.

Sebaliknya saya perlu melalui pengalaman memeritkan dan menerima notis disita daripada Bank yang bergelar "16 D", yang tidak lain tidak bukan daripada firma guaman milik adik DS Najib, Datuk Johari Razak, Shearn Delamore, tepat 24 jam selepas sidang media memaklumkan rasuah dan tindakan tidak bermoral pasangan ini. Tun, jika tidak keberatan, harap dapat maklum pada saya, bank manakah yang membuat sitaan tanpa melalui peringkat undang-undang yang betul?

Sitaan mereka berjumlah RM30,000,000.00 dan secara kebetulan Boustead Holding tiba-tiba muncul hendak membeli syarikat kami yang memiliki tanah sejumlah 200 ekar di atas kertas ini, di atas nama Asta Canggih Sdn Bhd dengan jumlah jualan RM30,000,000.00!! Sangat ajaib bukan?? Yang lebih menariknya, syarikat Boustead juga telah membayar pendahuluan sebelum menandatangani perjanjian pembelian, dengan syarat kami menarik-balik kes dari mahkamah serta-merta, memandangkan tarikh untuk kes dibaca dalam mahkamah terbuka adalah dalam minggu yang sama. Sekarang Tun, tolong nasihatkan saya, apakah yang akan Tun sendiri lakukan dalam situasi begini? Apa yang menarik sekali, Raja Ropiah turut dibayar sebanyak RM29,000,000.00 sebagai 'hukuman' dia untuk CBT.

Tun,

Kami telah menjual sebuah bangunan kepada sebuah badan bank Islam antarabangsa pada tahun 2008 dan mereka gagal untuk membayar kepada kami pada tahun 2010 apabila pemegang saham yang baru menyertai mereka. Kini kami telah memenangi kes ini di mahkamah melalui pengadilan pada 7 November 2012 dan Mahkamah mendapati Bank Islam Antarabangsa:-

a) menggunakan tindakan yang melanggar undang-undang untuk membuat konspirasi terhadap kami secara sengaja

b) melanggar perjanjian Surat Pengambilalihan yang dikeluarkan terhadap kami
c) terlibat dalam pengeluaran dan pelepasan surat salah laku untuk memusnahkan kami dan perniagaan kami

Bank tersebut juga telah didedahkan di mahkamah terbuka bahawa:


i)    telah menipu apabila bertindak sebagai pendeposit dengan membeli asset menggunakan syarikat bersama di mana mereka mengakui mempunyai hak milik sebanyak 19% padahal sebenarnya ia adalah milik mereka 100%, melalui Deklarasi Pengakuan Amanah, di mana mereka kemudiannya dipaksa mengaku di mahkamah terbuka dengan kemunculan Deklarasi Pengakuan Amanah tersebut
ii)    telah menipu berbagai organisasi seperti Bank Negara Malaysia, SC, FIC dan juga ROC dengan menggunakan nama-nama pemegang saham Malaysia untuk mengelak deklarasi pemilikan asing dalam mendapatkan kelulusan
iii)    menipu Bank Negara Malaysia, dengan menunjukkan pinjaman melebihi modal berbayar pada ketika yang sama sebagai pinjaman pihak ketiga Syarikat di mana pada sebenarnya ia adalah pinjaman untuk anak syarikatnya sendiri.

Tun,

Kami telah menulis kepada Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan yang dirasakan patut buat Bank Islam Antarabangsa ini mengikut undang-undang perbankan:-

a)    Tukar CEO serta-merta
b)    Hadkan atau menahan lessen bank untuk mengelak bank daripada menerima pendeposit
c)    Pihak Bank perlu membuat pengumuman mengenai konspirasi ini dan memberitahu kepada pendeposit dan pemegang sahamnya di Malaysia dan Timur Tengah di mana ia adalah sebuah syarikat yang disenarai di Bursa Saham dan ditadbir oleh Badan Amanah.

Tun,

Saya telah banyak kali menulis surat buat Tan Sri Zeti dan Ahli Lembaga Bank Negara Malaysia sehingga kini tetapi masih belum dibalas, mengapa? Kerana bank Negara maklum bahawa DS Rosmah dan D Nazim terlibat dalam penjualan bangunan itu? Mengapa? Kerana surat dan kenyataan video kami kepada SPRM pada tahun 2011 telah membuktikan bahawa kedua mereka terlibat di dalam transkrip termasuk bukti-bukti bayaran yang telah dibuat?

Oleh itu Tun, mempunyai institusi keadilan yang suci seperti Mahkamah di Malaysia ini tidak mencukupi jika institusi Bank Negara Malaysia turut mendendangkan irama DS Rosmah dan tidak lagi lagu 'I did it my way'.

Izinkan saya bertanya kepada Tun, adakah Tun mahu melihat Barisan Nasional dan Malaysia ini dirosakkan oleh pasangan rasuah yang tidak bermaruah ini? Saya inginkan pandangan Tun, apakah yang saya dapat jika saya ke mahkamah dan memenangi kes ini? Kesemua institusi di Negara ini adalah di bawah kawalan pasangan Bonnie & Clyde ini. Ke mana kami pergi selepas ini? Ke Mahkamah Antarabangsa? Media? Atau pembangkang? Harap Tun dapat nasihatkan saya dengan kebijaksaan yang Tun miliki itu kerana saya sendiri sudah jijik dengan apa yang berlaku di Malaysia sejak 11 tahun yang lagi di dalam kerajaan ini.

Saya sangat sedih dan kecewa dengan kenyataan media Tun yang meminta agar saya tidak dipedulikan. Bagaimana untuk tidak mempedulikan saya jika sebenarnya saya kini sedang mempertahankan maruah dan integriti Negara? Mungkin Tun telah mendengar di pihak yang salah jika mereka mengatakan saya bekerja dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Tun, saya adalah seorang negarawan, saya tidak akan menjatuhkan maruah Negara saya, TIDAK.

Tun,

Tun sendiri pernah berkata, Najib sangat lemah, di mana ia merupakan satu reality. Kaum Cina tahu rasuah ini tidak akan berakhir dan kaum Melayu juga tahu, hanya mereka yang kaya sahaja akan lebih kaya, manakala yang lain akan sentiasa bergantung kepada biasiswa, KR1M, BR1M dab DR1M, di mana kami semua menjadi seperti pengemis atau hamba, dan menyebabkan jumlah hutang kita mencecah kepada RM1 trillion pada 2014. Semua orang juga tahu bahawa PM yang sebenar ialah Rosmah dan Najib hanyalah seorang PM Santa Claus yang gembira dengan tugasnya.

Apa yang saya risaukan bukan sahaja Negara ini akan mogok ketika atau selepas pilihanraya tetapi juga pihak tentera yang akan bertindak mengawal semua keributan akibat daripada pilihanraya yang kotor. Dengan mengambil risiko sendiri, saya meminta Tun M mencadangkan kepada Najib agar beliau meletakkan jawatan dan membiarkan timbalannya mengambil alih BN mengetuai pilihan raya akan datang di mana perlu berlaku dalam tempoh 60 hari akan datang.

Tun,

Saya harap surat ini diterima Tun dengan penuh ikhlas tidak kira bagaimana pahitnya kebenaran itu, ia tetap yang benar dan sentiasa mendahului setiap penipuan dan penafian daripada perampas dan pembunuh.

Ikhlas,

DEEPAK J TEKWANI

‘Raja Syabu’ RM15 juta

Posted: 14 Feb 2013 05:45 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

FotoKota Kinabalu: Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa diketuai seorang lelaki bergelar 'Raja Syabu' tumpas apabila dicekup bersama 12 lagi ahli kumpulannya dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini membabitkan rampasan syabu seberat hampir 75 kilogram (kg) yang mencecah nilai pasaran lebih RM15 juta.

Serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, turut menahan tiga ahli sindiket warga Hong Kong, berusia antara 25 dan 53 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit turut merancang mendirikan makmal dadah.

"Dalam serbuan ini, polis merampas 74.98 kg syabu, wang tunai RM31,946 dan mata wang Hong Kong HK28,880 selain beberapa kereta mewah seperti Porsche, Mercedes Benz dan BMW turut disita.
NOOR Rashid (kanan) menunjukkan bungkusan dadah jenis syabu yang dirampas.

"Sindiket ini diketuai rakyat tempatan digelar 'Raja Syabu' dan mereka merancang mendirikan makmal dadah bagi memproses syabu di negeri ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

metro/-

Pesawat terbalik semasa mendarat

Posted: 14 Feb 2013 05:30 PM PST

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KIEV, Ukraine - Lima orang mati dan 12 lagi cedera kelmarin selepas sebuah pesawat penumpang terhempas dan terbalik semasa membuat pendaratan cemas dalam cuaca berkabus tebal dekat bandar Donetsk, menurut beberapa pegawai pentadbiran.

Sebahagian daripada badan pesawat itu turut terputus.

Seorang pramugari disenaraikan sebagai orang yang hilang dalam nahas itu.
Pesawat Antonov An-24 buatan Rusia itu sebelum ini berlepas dari bandar Odessa dengan membawa 45 orang.

Punca nahas masih belum diketahui.

Ia mendarat 700 meter dari landasan sebuah lapangan terbang.
Pesawat berkenaan dikendalikan oleh sya-rikat Southern Airlines. - Agensi


Tiada ulasan:

Nuffnang