Isnin, 14 Januari 2013

ZULKIFLI BIN NOORDIN

ZULKIFLI BIN NOORDIN


BRAVO AS-SYURA?

Posted: 14 Jan 2013 05:47 AM PST

(Walan tardho 'ankal yahuudu walan nasoro, hatta tat tabi'a millatahum-Al Baqarah:120)

Salam 2 all.

Teman mengalu-alukan keputusan Majlis Syura PAS yang bermesyuarat semalam Ahad 01 Rabi'ul Awal 1434 bersamaan 13 Januari 2013 dan membuat keputusan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh dipakai oleh umat Islam, dan tidak boleh dipakai dalam bentuk bertulis atau bercetak oleh non-Muslim.

Cuma beberapa persoalan yang timbul daripada keputusan ini iaitu:

1. Mengapa larangan hanya kepada penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim dalam bentuk tulisan atau bercetak? Bagaimana dengan lisan, adakah ianya dibenarkan. Kalau alasan keputusan Syura adalah kerana kalimah ALLAH hanya khusus untuk Muslim, sudah pasti ianya tidak boleh digunapakai oleh non-Muslim dalam semua bentuk samada bertulis, bercetak mahupun lisan!

2. Mengapa Majlis Syura mengambil masa begitu lama untuk berbincang dan membuat keputusan? Setelah Guaneng mencetuskan isu ini mendesak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible semasa perayaan krismas 25 Dis 2012, sudah lebih tiga minggu isu ini berlalu.

Sudah banyak bantahan dan protes dibuat oleh umat Melayu-Islam. Sudah berbuih mulut para ulama', termasuk Majlis Fatwa membuat bantahan terhadap kenyataan Guaneng itu, malah setelah Presiden PAS sendiri membuat kenyataan bersama DAP-PKR bersetuju kalimah ALLAH digunapakai oleh kristian, barulah Majlis Syura' nak berbincang dan membuat keputusan?

Adakah keputusan ini sekadar cuba mengalih kemarahan umat Melayu-Islam kepada kepimpinan PAS, atau untuk meraih sokongan dan undi umat Melayu-Islam yang semakin merosot kepada pembangkang termasuk PAS?

3. Mengapa Majlis Syura' tidak menasihatkan dan mengarahkan Presiden PAS supaya menarik balik dan membatalkan persetujuan yang dibuat bersama DAP-PKR untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH?

4. Mengapa Majlis Syura' tidak menegur dan menasihatkan rakan sekutu PAS iaitu Anwar Ibrahim dan Guaneng supaya menghentikan polemik penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian ini? Dan menasihatkan mereka supaya menarik balik dan membatalkan cadangan itu?

5. Adalah jelas keputusan Presiden PAS bersetuju dan membuat kenyataan bersama Anwar dan Kitsiang membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH dibuat tanpa merujuk kepada para ulama' dalam PAS dan Majlis Syura PAS. Sedangkan Majlis Syura' adalah badan tertinggi didalam hiraki kepimpinan PAS yang mempunyai kuasa muktamad dalam hal ehwal dasar dan hala tuju PAS.

Bermakna Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS telah membelakangkan Majlis Syura' dalam isu yang sangat asas, fundamental dan penting ini. Bukankah ini satu penghinaan kepada Majlis Syura' dan bercanggah dengan slogan "Kepimpinan Ulama" yang dilaungkan oleh PAS?

Apapun, adalah jelas keputusan Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS bersetuju bersama DAP-PKR untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH jelas kini bercanggah dengan keputusan dan pendirian Majlis Syura'.

Sebab itu teman mencabar Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS supaya menarik balik dan membatalkan persetujuan bersama DAP-PKR membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH tersebut.

Teman juga mencabar Presiden dan kepimpinan eksekutif PAS supaya menegur dan menasihatkan GuanEng supaya menarik balik desakan untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH. Kalau Guaneng enggan, Presiden dan kepimpinan eksekutif serta Majlis Syura' PAS tidak ada pilihan selain daripada bermufaraqah dengan DAP-PKR.

Ini bukan soal siasah, ini soal aqidah! Ini bukan soal politik, ini soal iman! Ini bukan soal menang undi, ini soal tauhid! Ini bukan soal menang pilihanraya, ini soal syurga-neraka!

Moga ALLAH memberikan keampunan dan hidayah kepada kita semua. Yang baik datang daripada ALLAH, yang tidak adalah daripada kelemahan teman sendiri!

Aamantu billah summastaqeem!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Rabi'ul Awal 1434
14 Januari 2013

ENAM SOALAN!

Posted: 14 Jan 2013 05:11 AM PST


(Bang Non, ini Enam Soalan buat Jah fenin lah..fenin!!! Amacam mau jawab Bang Non?)

Salam 2 all.

Alhamdulillah teman selamat kembali ke Malaysia selepas menyempurnakan misi Gaza. Sebagaimana Malaysia berjaya dalam misi damai Bangsamoro, teman berharap dan berdoa moga misi damai Hamas-Fatah juga akan berjaya insyallah.

Kebetulan dalam misi ini, teman sempat tinggal di bumi Musa a.s, dan berkesempatan melihat kehidupan disana. Teman dapati bukan sahaja Mesir masih mengamalkan dan melaksanakan sistem dan perundangan yang ditinggalkan penjajah British, malah hudud langsung tidak dilaksanakan.

Dalam keadaan itu, teman terkenang Amanat Hadi 1981. Bagaimana agaknya kalau kita terjemahkan Amanat Hadi 1981 itu kepada Mesir dan Ikhwanul Muslimin yang memerintah sekarang dibawah Presiden Mursi?

Jom kita semua meneliti dan memerhatikan ucapan DS Hadi yang menjadi asas kepada Amanat Hadi 1981:

"Kita (PAS) menentang dia (UMNO) ialah kerana dia (UMNO) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (UMNO)".

Bermakna kerana dakwaan UMNO mengekalkan "Perlembagaan penjajah" dan 'mengekalkan undang-undang kafir", maka UMNO akhirnya dikafirkan oleh penaksub, penyokong dan pendokong Amanat Hadi 1981.

Benarkah UMNO mengekalkan "Perlembagaan penjajah", dan mengekalkan undang-undang kafir"? Bagaimana pula dengan DS Hadi sendiri, atau PAS sendiri? Apa pendirian mereka sebenarnya?

Kalau kita menggunakan aqal yang sihat tanpa ketaksuban kepada mana-mana individu, parti dan lain-lain, sudah pasti kita akan bertanya soalan berikut kepada DS Hadi iaitu:

1. DS Hadi sendiri membuat kenyataan pada 18 Jan 2003 yang dilabel sebagai "Amanat Hadi 2003" menyatakan "peruntukkan berkenaan Islam saperti terkandung didalam Perlembagaan adalah cukup"! Bukankah ini sahaja sudah cukup membuktikan percanggahan Amanat Hadi 1981 & 2003!

2. DS Hadi sendiri menandatangani Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang pada 20 Dis 2009 bersama Anwar & Guan Eng di Shah Alam Convention Centre yang bersetuju "mempertahankan Perlembagaan sedia ada", dan "menghormati peruntukkan mengenai Islam yang sedia ada didalam Perlembagaan"! Bukankah ini bercanggah dengan Amanat Hadi 1981!

3. Mesir dimana DS Hadi memperolehi kelulusan agamanya masih mengekalkan perundangan penjajah sehingga kini! Malah hudud pun tidak dilaksanakan! Arak boleh diminum secara terbuka! Adakah Mesir yang hari ini diperintah oleh Presiden Mursi daripada Ikhwanul Muslimin juge perlu "ditentang dan dilawan"! Adakah Mesir kafir?

4. Turki yang hari ini diperintah oleh Recep Tayyib Erdogan dari Parti AK yang dikatakan Islamik masih mengekalkan perundangan penjajah dan melaksanakan amalan sekular Attarturk. Bukan sahaja hudud tidak dilaksanakan, homoseks tidak menjadi kesalahan jenayah! Adakah Turki wajib "ditentang & dilawan"! Adakah Turki juga kafir?

5. Indonesia, negara umat Islam terbesar didunia dengan 250 juta penduduk bukan sahaja masih mengekalkan perundangan penjajah, malah menjadikan Pancasila sebagai rukunegara, agama semuanya disamakan! Bukan sahaja hudud tidak dilaksanakan, malahan amalan seks bebas termasuk lesbian, gay, homoseks tidak menjadi kesalahan jenayah! Adakah Indonesia wajib "ditentang & dilawan"? Adakah Indonesia kafir?

6. Menifesto pembangkang yang diumumkan secara jelas oleh Anwar, Kitsiang dan lain-lain pemimpin pembangkang untuk PRU13 dengan secara jelas mengekalkan Perlembagaan Persekutuan sedia ada, dan menolak penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hudud. DS Hadi bukan sahaja menerima manifesto ini, malah "dah rasa syiok" nak jadi PM mewakili pembangkang!

Untuk tujuan membuka minda mereka yang masih kelabu lagi, bagaimana kalau kita adjust sikit Amanat Hadi 1981 dan memakainya untuk negara Mesir, Turki dan Indonesia yang masih "mengekalkan Perlembagaan penjajah dan undang-undang kafir" kerana mereka (iaitu Mesir, Turki & Indonesia) langsung tidak melaksanakan hudud, dan masih mengekalkan perundangan penjajah!


"Kita (PAS) menentang dia (Mesir-Ikhwanul Muslimin-Presiden Mursi) ialah kerana dia (Mesir-Ikhwanul-Muslimin-Presiden Mursi) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (Mesir-Ikhwanul Muslimin-Presiden Mursi)?".

"Kita (PAS) menentang dia (Turki-Parti AK-PM Erdogan) ialah kerana dia (Turki-Parti AK-PM Erdogan) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah, dan melaksanakan perundangan sekular dan sistem Attarturk. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (Turki-Parti AK-PM Erdogan)?".

"Kita (PAS) menentang dia (Indonesia-Presiden Susilo) ialah kerana dia (Indonesia-Presiden Susilo) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah, melaksanakan prinsip Pancasila semua agama sama. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (Indonesia-Presiden Susilo)?".

Persoalannya, bolehkah kita berkata saperti tiga kenyataan diatas?

Teman cukup yakin jawapan diatas semua adalah TIDAK! Kalau Mesir, Turki & Indonesia tidak kafir, mengapa Malaysia dan Kerajaan UMNO kafir?

Ternyata Amanat Hadi 1981 adalah satu kesilapan besar; dan DS Hadi tidak ada pilihan selain menarik balik, bertaubat dan memohon maaf kepada umat Melayu-Islam akibat bencana yang berlaku disebabkan Amanat Hadi 1981 itu!

Ingat pesan Rasulullah saw, "jika tuduhan kafir kepada seseorang itu tidak benar, maka kekafiran itu kembali kepada penuduhnya"!

Sabda Rasulullah saw saperti yang diriwayatkan oleh Saidina Ali karamallahu wajhah (daripada Baihaqi) jelas menyatakan "seburuk-buruk manusia diatas mukabumi diakhir zaman nanti ialah ulama'. Daripada mereka datangnya fitnah, kepada mereka kembali fitnah itu"!

Adakah fitnah Amanat Hadi 1981 telah boomerang kembali kepada DS Hadi?

Moga ALLAH membuka hijab ketaksuban politik kepartian daripada jiwa kita, menjauhkan kita daripada "mempertuhankan parti", dan memberi hidayah & petunjuk serta mengekalkan iman dan aqidah kita.

Aamantu billah summastaqeem.

Yang baik datang daripada ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri. Moga ALLAH memelihara aqidah dan keimanan kita, dan memberi keampunan, hidayah dan petunjuk kepada kita semua. Ameen!

Wallahua'lam & wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Rabi'ul Awal 1434
14 Januari 2013

Tiada ulasan:

Nuffnang