Isnin, 14 Januari 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Perbahasan Rasulullah (SAW) dan Suhail Bin Amr, Wakil Quraisy Semasa Perjanjian Hudaibiyah

Posted: 13 Jan 2013 04:00 PM PST

Ikuti di sini petikan dari buku Fiqhus Sirah karangan Muhammad Al-Ghazali berhubung peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Suhail Bin Amr telah dilantik kaum Quraisy untuk mewakili mereka dalam perundingan dengan Rasulullah (SAW) dan apabila perjanjian itu hendak ditulis, satu perbahasan telah berlaku di antara Suhail dan Rasulullah seperti berikut:

Rasulullah (SAW) kemudian memanggil Ali Bin Abi Talib (KW). Kepada beliau Baginda memerintahkan: "Tulislah; Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim….!" Suhail membantah " Aku tidak mengerti apa ertinya itu! Tulis sahajalah: BismikaLlahumma (Dengan nama Mu Ya Allah)!" Rasulullah berkata kepada Ali: "Tulislah BismikaLlahumma!" Ali lalu menulis kalimat itu.

Rasulullah (SAW) berkata lagi pada Ali: "Tulislah; Inilah Perjanjian Perdamaian yang dibuat oleh Muhammad Rasulullah dengan Suhail Bin Amr". Suhail menolak dan berkata: " Kalau aku mengakui anda Rasulullah, tentu anda tidak kami perangi. Tulis sahaja nama anda dan nama ayah anda". Rasulullah memerintah Ali supaya menuliskan: "Inilah Perjanjian Perdamaian yang dibuat oleh Muhammad bin Abdullah dengan Suhail Bin Amr".

Petikan ini adalah dari muka surat 557 kitab berkenaan.

Saya memetik kisah perbahasan ini, yang boleh dibaca dalam beberapa kitab-kitab Seerah Rasulullah (SAW), untuk memperlihatkan bagaimana penggunaan kalimah Allah oleh kafir musyrik merupakan suatu kebiasaan pada zaman Rasulullah (SAW). Akan tetapi, pada masa yang sama, walaupun mereka menggunanya, mereka tidak memahami siapa sebenar Allah. Ini jelas terbukti dalam isu penolakan oleh Suhail ungkapan 'Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim'. Ini adalah kerana sifat 'Ar-Rahman dan Ar-Rahim' tidak diketahui masyarakat Jahiliyah keEsaan dan sifat-sifat Allah serta Asma ul HusnaNya. Dalam proses dakwah, sambil masyarakat jahilliyah berpegang kepada segala kesesatan mereka berhubung Allah, Rasulullah (SAW) memperjelaskannya persoalan-persoalan ini satu per satu. Sehingga aspek keEsaan Allah dan keTauhidanNya serta sifat-sifatNya menjadi jelas dan nyata, khususnya melalui kalimah "La ilaha ila Llah".

Dalam penolakan kedua pula, Suhail menjelaskan bahawa sebab mengapa kaum Quraisy memerangi Rasulullah ialah kerana mereka menolak keRasulannya. Mereka percaya kepada Allah, walaupun dengan segala kekeliruannya, dan mereka tidak akan memerangi Rasulullah sekiranya mereka yakin Baginda adalah seorang Rasul yang diutus Allah! Ini sebenarnya adalah sebab mengapa kunci keimanan kepada Allah dan penerimaan Islam mesti juga dengan ucapan "Muhammad Rasulullah".

Oleh itu, sebagai orang Islam kita mesti memahami bahawa yang membezakan kita dengan orang bukan Islam adalah dua perkara. Yang pertama adalah kefahaman kita terhadap siapa itu Allah, keEsaanNya dan sifat-sifatNya seperti Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan kefahaman ini adalah berbeza dengan kefahaman agama-agam lain. Ada agama lain yang menganggap Allah ada anak. Ada yang menganggap Allah zalim dan mengutamakan hanya bangsa mereka sahaja. Ada agama yang menganggap Allah lemah, tidak mengetahui segala-galanya dan sebagainya. Maka walaupun penganut agama lain mungkin sebut juga 'Allah', seperti si Suhail Bin Amr, tetapi mereka tidak mengenali Allah sebenarnya.

Kedua, kita mesti juga memahami bahawa yang membezakan kita dengan orang bukan Islam adalah penerimaan kita terhadap keRasulan Rasulullah (SAW). Maka, sekiranya ada yang menyebut nama Allah berkali-kali, seperti Suhail, dan menegaskan kepatuhannya kepada Allah, seperti juga Suhail apabila beliau mengatakan tidak akan memerangi Rasulullah sekira beliau yakin Baginda adalah Rasulullah, namun mereka tetap bukan Islam sehingga menerima keRasulan Muhammad (SAW). Inilah yang dikatakan sebagai 'Syahadatain' atau 'Dua kalimah syahadah' yang membezakan Islam dan bukan Islam.

Sekiranya kita memahami ini semua, maka penggunaan kalimah 'Allah' oleh mana-mana pihak tidak akan mengelirukan kita. Sekiranya kita tidak faham ini semua, maka bagaimana kita boleh dianggap Muslim? Tidakkah seorang Muslim semestinya memahami keEsaan Allah dan bahawa Muhammad adalah RasulNya? Sekiranya seseorang Muslim tidak memahami ini, ini bermakna samada dia tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah atau sekiranya dia mengucapnya sekalipun, dia tidak memahaminya. Maka keadaannya adalah lebih kurang seperti Suhail dan amat malanglah kita sekiranya selepas 55 tahun Merdeka ummat Islam tidak memahami ini semua.

Yang menjadi pelik ialah hakikat bahawa yang kelihatan 'bersungguh mempertahankan' kalimah Allah ini adalah mereka yang berkuasa selama 55 tahun dan bertanggung-jawab ke atas kejahilan yang menimpa ummat Islam selama ini! Ada pula yang berkata "mereka ini 'pertahan' kalimah Allah tapi langgar semua perintah Allah!"

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang