Nurul Izzah Anwar |
Menang pilihan raya: Saya optimis Posted: 28 Dec 2012 07:20 AM PST NURUL IZZAH 6 November 2012 Insya-Allah, saya yakin dan komited bahawa Pakatan Rakyat akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. Tidak kira bila Parlimen akan dibubar; kami, rakyat dan negara sudah bersedia membawa perubahan besar demi Malaysia yang lebih baik. Harapan rakyat seperti pertandingan akhir Piala FAM – padang sama rata, pengadil sama adil, perlawanan penentu juara telus – juga akan dilihat dalam PRU13 walaupun penambahbaikan proses pilihan raya yang disarankan beberapa NGO, termasuk Bersih masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Dua minggu lepas ini, Perdana Menteri dalam ucapan pada perhimpunan agung parti MCA memberikan tumpuan menakutkan rakyat dengan hujah bahawa Pakatan Rakyat jika menang akan merosakkan negara. Pada pengamatan saya ucapan Perdana Menteri menunjukkan perbezaan naratif atau 'jalan cerita' politik di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, di mana BN menggunakan 'hujah politik menakutkan' manakala Pakatan Rakyat bersandarkan kepada 'hujah politik pengharapan' yang menggariskan masa depan lebih cemerlang 'Hujah politik menakutkan' yang pertama dan paling utama digunakan BN atau khususnya Umno adalah, Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang – adalah tidak benar. Bukankah Najib menyatakan pada Perhimpunan Agung Umno 2010, bahawa kedudukan istimewa orang Melayu seperti terkandung dalam Artikel 153 'kemas terkunci' dalam Perlembagaan Persekutuan dan walaupun mana-mana parti politik memiliki dua pertiga kerusi Parlimen tidak akan dapat mengubahnya tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu? Bukankah juga sudah dinyatakan adanya 'lima sama dan lima beza di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional yang menjadi garis politik untuk penilaian rakyat? Lima persamaan yang wujud adalah mengenai tiang-tiang pokok kenegaraan – di mana kedua-dua gagasan politik ini sama pendirian mengenai – Perlembagaan Persekutuan menjadi teras demokrasi; Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Negara; Islam sebagai agama rasmi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Kedudukan Istimewa orang Melayu dan penduduk Bumiputera. Rakyat harus sedar bahawa kelima-lima tiang ini terpelihara dan tidak berubah sedikit pun walau berlaku perubahan di Putrajaya. Justeru, perbezaan yang wujud di antara PR dan BN adalah mengenai prinsip dan pendekatan pemerintahan. Perbezaan utama adalah prinsip pemerintahan negara atau mengenai di mana – letaknya 'kuasa memerintah' – iaitu sama ada kuasa di tangan rakyat atau kuasa di tangan Elit – dalam bentuk demokrasi atau autokrasi. Lima perbezaan prinsip dan pendekatan pemerintahan itu adalah mengenai pentadbiran prorakyat; peranan Parlimen; proses pilihan raya; isu perkauman dan hala tuju pembangunan ekonomi. Dengan melihat setiap satu unsur dengan teliti akan memberikan rakyat peluang untuk menilai dan memilih apakah arah tuju dan rupa bentuk aspirasi masa depan negara yang diimpikan. 'Hujah politik menakutkan' yang kedua digunakan BN adalah Pakatan Rakyat tidak berpengalaman dan tidak mampu memerintah juga tidak benar. Bukankah laporan Ketua Audit Negara yang lewat dibentangkan di Parlimen minggu lepas secara jelas menyatakan negeri-negeri Pakatan Rakyat menduduki tiga tempat tertinggi dalam tangga prestasi pengurusan kewangan rakyat berbanding negeri-negeri BN? Bukankah kebanyakan dasar-dasar dalam Buku Jingga dan bajet alternatif Pakatan Rakyat ditiru dan diberikan penjenamaan baru oleh BN seperti BR1M, gaji minimum dan lain-lain lagi? Bukankah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sendiri enggan hadirkan diri di Parlimen untuk membahaskan ucapan belanjawan Ketua Pembangkang yang jelas melanggar prinsip demokrasi? Bukankah dengan adanya Pelan Transisi Pentadbiran yang dirangka untuk 100 hari pertama dan lima tahun mandat memerintah – yang bertujuan membersihkan kerajaan, memulihkan demokrasi, membina ekonomi mampan, membela kebajikan dan menyatukan rakyat – sudah cukup jelas membuktikan komitmen Pakatan Rakyat membina Malaysia yang lebih baik untuk semua? 'Hujah politik menakutkan' yang ketiga digunakan BN adalah jika Pakatan Rakyat memerintah, negara akan bangka lagi tidak benar. Bukankah BN sudah membayangkan jika BN menang rakyat akan dihadiahkan dengan cukai GST, hutang negara bertambah, subsidi rakyat dihapuskan, gaji masih mendatar, harga barang naik berganda dan projek maha gergasi lagi mahal akan dipertingkatkan? Sebaliknya bukankah Pakatan Rakyat menjanjikan jika menang akan menurunkan harga petrol, berikan pendidikan percuma, sediakan rumah mampu milik, tambahkan royalti minyak kepada negeri-negeri, jaminan gaji minimum RM1,100, elaun guru dan polis dinaikkan, pewujudan Caruman Wanita Nasional dan menutup segala ketirisan ekonomi serta memerangi rasuah habis-habisan? Akhir sekali, 'hujah politik ketakutan dan bukan menakutkan' yang sering digunakan adalah tidak perlunya Perdana Menteri Najib berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hanya Najib yang tahu mengapa rakyat tidak layak mendengar dan menilai apa yang ditawarkan BN dan Pakatan Rakyat secara berdepan dan secara terbuka. Bagaimanapun, jika tidak berani berdebat tidak apa kerana yang lebih penting sekarang adalah untuk Najib menentukan tuntutan rakyat bagi pilihan raya yang telus dan adil terjamin agar mandat diamanahkan rakyat adalah sah. Saya tetap optimis walaupun Najib terus pesimis. Dipetik dari Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan