Rabu, 26 Disember 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Memikirkan tentang pendidikan

Posted: 26 Dec 2012 05:34 AM PST

NURUL IZZAH ANWAR
25 Disember 2012

Hujung minggu lepas menyaksikan saya bersama beberapa ibu, ayah berserta anak-anak yang bakal melangkah masuk ke alam persekolahan di sekitar Lembah Pantai dengan penuh semangat.

Memandangkan ramai akan memulakan kehidupan baru bersekolah, kami anjurkan program santai "Kembali ke sekolah" atau dalam bahasa Inggerisnya, "Back to School" di mana peralatan sekolah serta folder kecil dihadiahkan sekadar pemberi insentif buat anak-anak yang diimpikan akan cemerlang di sekolah oleh setiap ibu dan ayah.

Semuanya mengingatkan saya kepada zaman persekolahan saya sendiri – dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, SMK Sri Hartamas sehinggalah ke SMK Assunta.

Ayah saya mahukan kami adik-beradik menyertai alam persekolahan biasa. Ternyata, pengalaman bersekolah di sekolah kerajaan membantu saya memahami dua perkara:

Pertama, selok-belok kurikulum dan bebanan guru, memberikan gambaran jelas kelebihan serta kekurangan di sekolah-sekolah kita.

Kedua, pendidikan berkualiti itu wajib wujud di sekolah-sekolah kerajaan kerana latar belakang sosial kita – miskin, kaya, pertengahan – tidak harus menghambat peluang kejayaan anak-anak kita.

Tambahan lagi, ibu-ibu serta ayah-ayah yang tidak punyai gaji besar tidak mungkin menghantar anak ke sekolah antarabangsa ataupun swasta.

Justeru, nasib dan masa depan hanya mampu disamaratakan dengan golongan berada sekiranya standard dan kualiti persekolahan itu setara.

Oleh kerana itu, saya amat gusar apabila membaca laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang menunjukkan kemerosotan amat membimbangkan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang menjadi pengukur kualiti pendidikan negara.

Secara terperinci, pada 2007, Malaysia alami kemerosotan purata pencapaian dalam dua subjek teras – Sains dan Matematik (pelajar Gred 8 atau tingkatan 2) dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study 2007 membabitkan 59 negara.

Hasil kajian 2007, skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik merosot kepada 474 mata banding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, penurunan 34 mata.

Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 dari 510 pada 2003 dan 492 bagi 1999. Ini mencatatkan penurunan 39 mata antara 2007 dan 2003.

Di kalangan 59 negara yang ambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah terbesar di kalangan 59 negara.

Terbaru, laporan TIMSS 2011 yang diterbitkan 11 Disember lalu, Malaysia terus merosot bagi Matematik dan Sains, malah wujud jurang besar dalam pencapaian di antara pelajar lelaki dan perempuan.

Markah purata Matematik bagi Malaysia, iaitu 440, boleh dibahagikan lebih tepat kepada pelajar perempuan (449) dan  lelaki (430), menunjukkan jurang gender 19 markah, meletakkan Malaysia di tangga ke-37 dari 42 negara. Sebagai perbandingan, Finland mempunyai jurang gender sebanyak 4 markah – 516 bagi pelajar perempuan dan 512 bagi pelajar lelaki. Jurang gender ini  lima kali ganda berbanding negara teratas.

Jurang ini menampakkan masalah lebih dasar: pencapaian rendah pelajar lelaki yang jelas dilihat dari kadar keciciran mereka di sekolah-sekolah menengah dan jurang melebar antara pelajar perempuan dan lelaki di IPTA.

Laporan TIMSS 2011 ini menunjukkan hingga kini, kita hanya mendengar pernyataan perancangan pendidikan yang indah khabar dari rupa di mana implikasi untuk masa depan negara amat besar dengan merosotnya kebolehan dan kemampuan modal insan yang menjadi mangsa pendidikan yang dipolitikkan.

Kerajaan mesti ikhlas dan telus untuk menggubal dasar-dasar pendidikan lebih berkesan walhal ada di antara menteri-menteri Kabinet masih menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa, mana mungkin memahami keruncingan yang dihadapi majoriti rakyat yang bergantung kepada sekolah-sekolah kerajaan.

Saya khuatir jika tiada perubahan radikal dan reformasi dalam sistem pendidikan negara melangkaui anjakan-anjakan yang bersifat sederhana, Malaysia seperti yang dinyatakan oleh laporan Merrill Lynch kepada Bank Dunia bukan sahaja menjadi sebuah negara muda dan miskin (young but poor) – tetapi juga rendah pendidikan.

Ini bukan satu janji BN yang rakyat harapkan.

Dipetik Dari Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/memikirkan-tentang-pendidikan-1.115240

Menang pilihan raya: Saya optimis

Posted: 26 Dec 2012 05:31 AM PST

NURUL IZZAH
6 November 2012

Insya-Allah, saya yakin dan komited bahawa Pakatan Rakyat akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. Tidak kira bila Parlimen akan dibubar; kami, rakyat dan negara sudah bersedia membawa perubahan besar demi Malaysia yang lebih baik.

Harapan rakyat seperti pertandingan akhir Piala FAM – padang sama rata, pengadil sama adil, perlawanan penentu juara telus – juga akan dilihat  dalam PRU13 walaupun penambahbaikan proses pilihan raya yang disarankan beberapa NGO, termasuk Bersih masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Dua minggu lepas ini, Perdana Menteri dalam ucapan pada perhimpunan agung parti MCA memberikan tumpuan menakutkan rakyat dengan hujah bahawa Pakatan Rakyat jika menang akan merosakkan negara.

Pada pengamatan saya ucapan Perdana Menteri menunjukkan perbezaan naratif atau 'jalan cerita' politik di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, di mana BN menggunakan 'hujah politik menakutkan' manakala Pakatan Rakyat bersandarkan kepada 'hujah politik pengharapan' yang menggariskan masa depan lebih cemerlang

'Hujah politik menakutkan' yang pertama dan paling utama digunakan BN atau khususnya Umno adalah, Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang – adalah tidak benar.

Bukankah Najib menyatakan pada Perhimpunan Agung Umno 2010, bahawa kedudukan istimewa orang Melayu seperti terkandung dalam Artikel 153 'kemas terkunci' dalam Perlembagaan Persekutuan dan walaupun mana-mana parti politik memiliki dua pertiga kerusi Parlimen tidak akan dapat mengubahnya tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu?

Bukankah juga sudah dinyatakan adanya 'lima sama dan lima beza di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional yang menjadi garis politik untuk penilaian rakyat?

Lima persamaan yang wujud adalah mengenai tiang-tiang pokok kenegaraan – di mana kedua-dua gagasan politik ini sama pendirian mengenai – Perlembagaan Persekutuan menjadi teras demokrasi; Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Negara; Islam sebagai agama rasmi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Kedudukan Istimewa orang Melayu dan penduduk Bumiputera.

Rakyat harus sedar bahawa kelima-lima tiang ini terpelihara dan tidak berubah sedikit pun walau berlaku perubahan di Putrajaya. Justeru, perbezaan yang wujud di antara PR dan BN adalah mengenai prinsip dan pendekatan pemerintahan.

Perbezaan utama adalah prinsip pemerintahan negara atau mengenai di mana – letaknya 'kuasa memerintah' – iaitu sama ada kuasa di tangan rakyat atau kuasa di tangan Elit – dalam bentuk demokrasi atau autokrasi.

Lima perbezaan prinsip dan pendekatan pemerintahan itu adalah mengenai pentadbiran prorakyat; peranan Parlimen; proses pilihan raya; isu perkauman dan hala tuju pembangunan ekonomi.

Dengan melihat setiap satu unsur dengan teliti akan memberikan rakyat peluang untuk menilai dan memilih apakah arah tuju dan rupa bentuk aspirasi masa depan negara yang diimpikan.

'Hujah politik menakutkan' yang kedua digunakan BN adalah Pakatan Rakyat tidak berpengalaman dan tidak mampu memerintah juga tidak benar.

Bukankah laporan Ketua Audit Negara yang lewat dibentangkan di Parlimen minggu lepas secara jelas menyatakan negeri-negeri Pakatan Rakyat menduduki tiga tempat tertinggi dalam tangga prestasi pengurusan kewangan rakyat berbanding negeri-negeri BN?

Bukankah kebanyakan dasar-dasar dalam Buku Jingga dan bajet alternatif Pakatan Rakyat  ditiru dan diberikan penjenamaan baru oleh BN seperti BR1M, gaji minimum dan lain-lain lagi?

Bukankah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sendiri enggan hadirkan diri di Parlimen untuk membahaskan ucapan belanjawan Ketua Pembangkang yang jelas melanggar prinsip demokrasi?

Bukankah dengan adanya Pelan Transisi Pentadbiran yang dirangka untuk 100 hari pertama dan lima tahun mandat memerintah – yang bertujuan membersihkan kerajaan, memulihkan demokrasi, membina ekonomi mampan, membela kebajikan dan menyatukan rakyat – sudah cukup jelas membuktikan komitmen Pakatan Rakyat membina Malaysia yang lebih baik untuk semua?

'Hujah politik menakutkan' yang ketiga digunakan BN adalah jika Pakatan Rakyat memerintah, negara akan bangka lagi tidak benar.

Bukankah BN sudah membayangkan jika BN menang rakyat akan dihadiahkan dengan cukai GST, hutang negara bertambah, subsidi rakyat dihapuskan, gaji masih mendatar, harga barang naik berganda dan projek maha gergasi lagi mahal akan dipertingkatkan?

Sebaliknya bukankah Pakatan Rakyat menjanjikan jika menang akan menurunkan harga petrol, berikan pendidikan percuma, sediakan rumah mampu milik, tambahkan royalti minyak kepada negeri-negeri, jaminan gaji minimum RM1,100, elaun guru dan polis dinaikkan, pewujudan Caruman Wanita Nasional dan menutup segala ketirisan ekonomi serta memerangi rasuah habis-habisan?

Akhir sekali, 'hujah politik ketakutan dan bukan menakutkan' yang sering digunakan adalah tidak perlunya Perdana Menteri Najib berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanya Najib yang tahu mengapa rakyat tidak layak mendengar dan menilai apa yang ditawarkan BN dan Pakatan Rakyat secara berdepan dan secara terbuka.

Bagaimanapun, jika tidak berani berdebat tidak apa kerana yang lebih penting sekarang adalah untuk Najib menentukan tuntutan rakyat bagi pilihan raya yang telus dan adil terjamin agar mandat diamanahkan rakyat adalah sah.

Saya tetap optimis walaupun Najib terus pesimis.

Dipetik dari Sinar Harian

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nurul-izzah/menang-pilihan-raya-saya-optimis-1.101168

Tiada ulasan:

Nuffnang