Ahad, 30 Disember 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Jakim: Tindakan pada Hadi jika pertahan 'amanat'

Posted: 30 Dec 2012 02:57 AM PST

 Petikan : Malaysiakini
Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata tindakan boleh diambil ke atas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya presiden PAS itu tetap mahu mempertahankan satu amanat kontroversi pada 1981 yang didakwa mengkafirkan Umno.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Othman berkata jabatan itu bagaimanapun akan memanggil Abdul Hadi terlebih dahulu dan mahu presiden parti tersebut menarik balik amanat berkenaan.

"Kesan amanat itu besar, mereka lepaskan kepada masyarakat dan tidak cuba memperbetulkan semula, tuduh orang Islam lain tidak boleh kawan, kafir.

"Kalau kita lihat, di negara Arab mereka berpecah-pecah soal mazhab, kita di sini soal amanat... sebenarnya mengkafirkan orang (Islam) lain itu lebih parah," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa tindakan telah dijalankan ke atas isu berkenaan sebelum ini dan mendakwa jabatan itu mempunyai bukti berhubung elemen mengkafir itu.

"Benda ini (amanat) pun sudah lama, tindakan pun sudah diambil, tapi timbul balik... Mengikut rekod kami yang dikumpul sejak amanat itu diucapkan, elemen mengkafir itu jelas ada.

"Kami ada bukti dan simpan semua termasuk rakaman ceramah mereka. Kesan apa yang mereka ucapkan itu juga berlaku termasuk dalam majlis perkahwinan, kenduri kendara, makan sembelihan orang Umno tak boleh," katanya.

MP Shah Alam Khalid Samad pada hujung minggu lalu menjelaskan bahawa petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli Umno.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi amanat itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid.

Presiden PAS diberi peluang beri penjelasan di RTM

Posted: 30 Dec 2012 02:54 AM PST

Petikan : Bernama
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diberi peluang memberi penjelasan mengenai amanatnya yang didakwa mengkafirkan Umno pada 1981, di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Abdul Hadi perlu memohon kepada kementerian mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.

"Pihak RTM boleh siarkan kenyataannya sekiranya kandungannya sesuai dan ada nilai berita. Tetapi pada masa yang sama, Abdul Hadi perlu memberi peluang kepada pihak lain memberi pandangan mereka kerana amanatnya ini telah dibuat pada 1981," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan raptai sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka di ibunegara hari ini. Sambutan itu dijadual diadakan pada 31 Disember.

Rais berkata pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mufti perlu diambil kira untuk mengetahui status amanat itu yang mengkafirkan Umno dari sudut akidah.

Presiden PAS itu hari ini berkata beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Ditanya mengenai masalah masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus akibat masalah teknikal, Rais berkata ia bukan kesalahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya syarikat telekomunikasi harus memberi penjelasan lengkap kepada pengguna mengenai masalah itu dan menyatakan jumlah talian terputus dialami pengguna telefon bimbit pada setiap bulan.

"SKMM boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat telekomunikasi masih gagal mengatasi masalah tersebut," katanya.

Minggu lepas, media melaporkan mengenai masalah talian telefon mudah alih terputus yang semakin teruk di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Pembangunan Industri dan Sumber Perancangan SKMM Datuk Ali Hanafiah telah memberi amaran dan berkata SKMM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Berhubung cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya kerajaan tidak meletakkan had pada harga telefon pintar 3G bagi membolehkan orang ramai mendapatkan rebat sebanyak RM200, Rais berkata beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet pada 2 Jan depan.

Mengenai persiapan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka, Rais berkata beliau berpuas hati dengan raptai hari ini yang lancar.

Beliau berkata Dataran Merdeka dipilih untuk majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas, sambutan Tahun Baru 2013 serta acara Larian Tahun Baru 1Malaysia pada 31 Dis ini kerana ia adalah lokasi bersejarah untuk negara.

"Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru diadakan serentak kali ini untuk memberi kelainan dan menyemarakkan semangat perpaduan semua kaum di
Malaysia selari dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata Ketua Paderi Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam turut dijemput untuk mewakili masyarakat Kristian pada rumah terbuka itu.

Sokong Penuh Hasrat Presiden Beri Penjelasan ‘Amanat Hadi’ Di Media Perdana

Posted: 30 Dec 2012 02:51 AM PST

Kenyataan Media Ketua Penerangan PAS Pusat :

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita11/TG%201%20Jam%20live.jpgPAS menyokong penuh hasrat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk diberi peluang satu jam bagi menjelaskan isu amanat Haji Hadi di RTM1 dan TV3 secara langsung.

Setelah berminggu menyerang Presiden dalam isu ini menggunakan seluruh media perdana, kerajaan sewajarnya memberikan ruang sebagaimana yang diminta Presiden PAS untuk memberikan penjelasan kepada pengikut media perdana yang sama yang mengikuti serangan Umno dalam isu 'Amanat Hadi'.

PAS melihat isu ini sebagai isu yang sengaja dibangkitkan semula bagi mengelirukan orang ramai. Peluang 1 jam ini wajib diberi kepada Presiden Pas untuk menjawab segala tohmahan jijik ke atas beliau yang telah berminggu lamanya.

Adalah sesuatu yang sangat tidak adil apabila peluang tidak diberi kepada yang dituduh dan sepatutnya golongan yang membuat tuduhan mesti mendengar dahulu penjelasan dari beliau.

Lebih malang bagi kalau ada mufti atau golongan agama yang terikut sama dalam kemelut yang sengaja ditimbulkan oleh golongan yang jahil terhadap agama.

Kenapa Presiden PAS tidak dipanggil, diminta penjelasan dan diberi peluang beliau menjelaskan segala pertuduhan?

Sehubungan dengan desakan Presiden ini, kita harap pihak kerajaan membuka laluan bagi beliau untuk memberi penjelasan melalui media perdana secara langsung. Kerajaan tidak perlu berdolak-dalih dalam isu ini bagi meraih populariti murahan, mahupun membiarkan isu ini menjadi polemik berterusan.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Disember 2012

Tiada ulasan:

Nuffnang