Khamis, 18 Oktober 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kerajaan Pusat Gagal Semak Harga Rumah di Selangor

Posted: 18 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 18 OKT : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa gagal menyemak harga jualan maksima yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor sewaktu meluluskan lesen pemaju perumahan.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Kerajaan Negeri mensyaratkan bahawa Rumah Kos Rendah hanya boleh dijual dengan harga maksima RM42,000, Rumah Kos Sederhana Rendah bernilai RM72,000 dan Rumah Kos Sederhana dengan nilai RM100,000.

Namun, menurut Iskandar, terdapat kes-kes di mana kementerian berkenaan meluluskan harga jualan melebihi dari harga maksima untuk Rumah Kos Sederhana.

"Sebagai contoh, terdapat Rumah Kos Sederhana di Bukit Subang, Shah Alam yang diberi kelulusan untuk dijual dengan harga sehingga RM220,000 sebuah, di mana nilainya RM120,000 lebih tinggi daripada harga yang diluluskan Kerajaan Negeri.

"Oleh yang demikian, Kementerian Perumahan perlu menyemak semula harga jualan maksima yang diluluskan Kerajaan Negeri sebelum meluluskan lesen pemaju," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, sekiranya pemaju gagal membina menurut kelulusan Kerajaan Negeri, para pembeli akan menghadapi masalah untuk mendapatkan surat hakmilik.

"Kerajaan Pusat mengumumkan bahawa mereka akan memberi penekanan kepada pembinaan Rumah Mampu Milik tetapi Kementerian Perumahan pula mengeluarkan lesen yang membenarkan pemaju menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada yang diluluskan. Oleh itu, kementerian berkenaan perlu bertanggungjawab," katanya.

Sumber: Selangorku

Unisel – Kerajaan Negeri Peruntuk RM248 Juta Untuk Pembangunan

Posted: 18 Oct 2012 01:45 AM PDT

SHAH ALAM, 18 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukan RM 248 juta kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi tujuan pembangunan universiti itu.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata dana tersebut adalah bagi kegunaan membaiki infrastruktur yang dulu dibina dengan tidak begitu sempurna dan membina bangunan baru.

"Peruntukan sebanyak RM 5 juta telah diluluskan baru-baru ini bagi pembinaan kompleks riadah dan dewan makan di kampus Unisel Bestari Jaya serta RM 2.65 juta untuk menambahbaikan infrastruktur Teknologi Maklumat (IT).

"Begitu juga RM 20 juta lagi untuk pembangunan lain di Bestari Jaya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, pertambahan dana itu akan memberi semangat kepada warga Unisel bagi memajukannya.

"Pelajar kita bersemangat sekarang ini untuk memperjuangkan visi Unisel iaitu untuk menjadi sebuah universiti unggul.

"Serta untuk mendidik dan melahirkan kalangan profesional dan juga ilmuan selain moral tinggi," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anuar berkata Unisel merangka penubuhan dana wakaf bagi membolehkan universiti itu bergerak lebih aktif dan pelajarnya menikmati suasana yang lebih baik dengan pengecualian bayaran yuran.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pihaknya menperolehi idea penubuhan dana wakaf itu daripada kaedah sama yang digunapakai oleh banyak universiti terkemuka dunia.

Sumber: Selangorku

Pendaftaran Online Tambah Pelajar UNISEL

Posted: 18 Oct 2012 01:30 AM PDT

SHAH ALAM, 18 OKT : Universiti Selangor (Unisel) telah meningkatkan pertambahan pelajar yang memberangsangkan selepas mempraktikan pendaftaran dalam talian atau "online".

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, kaedah itu menyaksikan kemasukan pelajar ke universiti itu meningkat dengan pantas sehingga institusi itu risau tidak dapat menampung pertambahan pelajar.

Beliau berkata, kaedah itu telah menampung kemerosotan kemasukkan yang dicatat pada 2009 dan 2010.

Menurutnya, kemasukan pelajar ke universiti tersebut pada tahun ini adalah seramai 11,880 pelajar manakala tahun 2011 mencatat kemasukkan 9,902 pelajar.

"Kejayaan diraih seperti dilapor oleh akhbar-akhbar mengatakan bahawa laporan audit negara pada 2009 dan 2010 menunjukkan penurunan pelajar dan pendapatan itu memang betul dan kita telah banyak membuat pembaharuan bagi mengatasinya."

"Selain kejayaan-kejayaan dibuat pelajar kita di peringkat nasional dan antarabangsa dan data Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mendedahkan kebolehpasaran pelajar kita yang antara tertinggi di dalam negara kita," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, Unisel juga akan membuat pengambilan pelajar baru pada 5 Januari tahun depan.

Tambahnya, dianggarkan 70 ke 80 peratus pelajar menggunakan kaedah permohonan online.

Daripada 11,880 pelajar itu, katanya, lebih 5,000 ditempatkan di kampus Shah Alam manakala lebih 6,000 lagi di kampus Bestari Jaya.

"Saya risau pada tahun depan kita tidak mempunyai ruang bagi menampung kemasukan pelajar. Bukan risau tidak cukup pelajar masuk," katanya yang menjangkakan pertambahan pelajar akan terus meningkat ke Unisel dalam masa terdekat.

Sumber: Selangorku

YAWAS Tidak Akan Jadi Seperti Amanah Saham Selangor Yang Lingkup Di Bawah Khir

Posted: 17 Oct 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri hari ini menyangkal dakwaan bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo bahawa Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan lingkup dan gagal menarik minat rakyat Selangor.

Sebaliknya YAWAS yang menguruskan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) tidak akan lingkup kerana YAWAS menerima geran sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri untuk perbelanjaan operasinya.

YAWAS juga mengambil inisiatif untuk menjana pendapatan dari dana yang belum dibelanjakan untuk dilaburkan ke dalam pasaran wang.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Menteri Besar hari ini.

"Dari 2008 hingga 2011, YAWAS menjana pendapatan dari pelaburan ini sebanyak RM622,782 dan ini meringankan kos operasi," kata Abdul Khalid.

Sambil menerima baik teguran yang dibuat Dr Khir, Abdul Khalid juga menganggap kebimbangan BN itu timbul disebabkan Kerajaan Negeri ketika dipimpin oleh Dr Khir pernah mengalami kerugian hingga Amanah Saham Selangor (Asas) terpaksa ditutup.

Ketika itu menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri juga terpaksa memperuntukan RM200 juta untuk membayar balik kepada pemegang saham terbabit.

Selain itu, dakwaan Dr Khir kononnya skim ini tidak menarik minat rakyat Selangor juga disangkal kerana Jabatan Pendaftaran Negeri Selangor (JPN) tidak memberikan kerjasama kepada YAWAS untuk mendapatkan stastik kelahiran yang layak dikategorikan sebagai rakyat Selangor.

"Jumlah 313,706 tidak boleh dijadikan asas untuk mengukur peratusan pendaftaran kerana jumlah ini termasuk bukan warganegara atau bukan warga Selangor.

"YAWAS mengandaikan hanya 60 peratus daripada jumlah kelahiran ini yang layak mendaftar dalam skim ini dan menjangkakan pencapaian pendaftaran sehingga 33.5 peratus, bukan 19.4 peratus," ujar Abdul Khalid.

Menteri Besar turut menjelaskan, Sijil Simpanan Tetap untuk perserta Skim TAWAS lewat dikeluarkan berikutan pihak bank menghadapi kekangan dari segi pengurusan dan prosedur bank yang ketat dan sering berubah.

"Sehingga Mei 2012, jumlah pembayaran kepada bank meningkat kepada RM4,159,700 yang melibat 41,597 ahli di mana 24,473 menerima Sijil Simpanan Tetap, 16,748 masih dalam proses dan 30 ribu masih menunggu giliran untuk dihantar kepada bank," kata Abdul Khalid lagi.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang