Khamis, 18 Oktober 2012

.

.


Mazlan: 'ANAK tidak mahu asas Tun Razak dikhianati'

Posted: 17 Oct 2012 10:22 AM PDT



Mazlan: 'Anak tidak mahu asas Tun Razak dikhianati'
Mazlan menunjukkan peta lokasi untuk projek Rapid di Pengerang, Johor. - Foto oleh jurugambar Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
NAMA Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang sinonim dengan perjuangan mempertahankan hak-hak anak peneroka Felda yang ada kalanya kelihatan 'agak' agresif. Di sebalik cabaran dan kontroversi yang membabitkan beliau, beliau kelihatan seolah-olah tidak tegar dengan beberapa halangan dalam usaha untuk menyampaikan maklumat kepada warga Felda khususnya.

Dalam temu bual bersama Sinar Harian Online semalam, Mazlan menekankan bahawa beliau konsisten dalam perjuangannya. Katanya, walaupun sudah lama kali ditahan, beliau tidak akan patah semangat untuk meneruskan perjuangannya.

Mazlan, yang juga pemimpin Pas Pusat menekankan: "Bagi kami ada hasil perjuangan kami itu."


SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkah saudara menjelaskan perkembangan perjuangan membela nasib anak peneroka Felda?

MAZLAN: Saya memulakan karier untuk memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Felda ini sudah lebih 20 tahun lalu, semenjak 1990 selepas saya habis belajar. Ketika itu, saya telah diminta oleh ibu untuk menguruskan Felda apabila arwah bapa saya meninggal dunia oleh kerana adik-adik masih bersekolah.

Pada waktu itu, harga komoditi kelapa sawit begitu rendah pada waktu itu begitu rendah dan saya perlu memikirkan masa depan adik-adik yang masih belajar dan sebagai anak sulung, saya perlu berkorban untuk keluarga. Ekoran itu, saya terfikir, apabila berada di tanah rancangan Felda itu, saya perlu melakukan sesuatu yang berguna kepada masyarakat di sekeliling saya.

Sebagai anak felda yang dibesarkan dalam lingkungan kehidupan yang sukar pada ketika itu, di mana tanggungan ibu bapa kepada anak-anak yang masih bersekolah ketika itu sangat tinggi dan pada waktu itu juga, persekitaran membabitkan gejala sosial serta kemudahan asas yang kurang ketika itu begitu mencabar.

Jadi beberapa faktor ini termasuk faktor mana-mana lingkungan dan hak warga Felda selalu dinafikan. Jadi kita tahu kebanyakan peneroka Felda ini tidak berpendidikan tinggi, mereka terpaksa pula berdepan dengan masalah hutang piutang, perahan gred sawit pada kadar yang mereka nikmati adalah lebih rendah dari yang sepatutnya dan mereka tidak mempunyai saluran bagaimana mereka boleh memperjuangkan nasib mereka.

Pada ketika itu, mestilah ada pihak lain untuk membantu mereka. Bagi saya, orang yang paling hampir untuk membantu mereka ialah anak-anak peneroka sendiri.

Jadi daripada situlah bermulanya perjuangan saya bermula untuk ketengahkan isu-isu ini.

Walaupun proses itu panjang tetapi pada peringkat ini, saya amat berpuas hati dengan perkembangan pada masa sekarang.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejak bila anak ditubuhkan dan sudah berapa keahlian dicatatkan.

MAZLAN:
 Sebelum itu, sebagai permulaan, saya buka sebuah pusat aduan yang dipanggil Pusat Khidmat Peneroka tetapi, saiz pusat itu terlalu kecil dan sukar menampung aduan-aduan yang begitu banyak. Kalau setakat saya dan dibantu dengan beberapa orang sahabat, terlalu banyak aduan dan rintihan peneroka yang terpaksa kami tangani.

Bayangkan terdapat 112,635 peneroka daripada 317 tanah rancangan Felda dan jumlah ini tidak termasuk 143 ladang-ladang Felda Plantations. Bermakna saiznya besar dan berada dalam lingkungan 1.6 juta kakitangan Felda di seluruh negara.

Tekad saya untuk menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk untuk tangani isu-isu Felda. Maka pada 4 November  2007, maka tertubuhlah Anak dan sejak ditubuhkan sehingga hari ini, Anak mencatatkan keahlian seramai 8,000 orang di seluruh Malaysia di mana ahlinya terdiri daripada anak, cucu, cicit dan menantu peneroka Felda.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejak mula ditubuhkan hingga hari ini, bagaimana respons anak-anak Felda terhadap Anak?

MAZLAN: Kalau nak diikutkan dari segi kemampuan memang kita tidak terdaya bila kita terlalu banyak maklum balas sehingga saya terpaksa menggunakan beberapa medan termasuk keluarkan borang aduan, menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), talian bebas tol, e-mel dan Facebook sebagai medan komunikasi masyarakat Felda.

Apa yang menariknya, selain peneroka dan anak peneroka yang datang mengadu kepada kita, kebelakangan ini terdapat juga beberapa kakitangan dan bekas kakitangan Felda juga tampil mengemukakan aduan dan meminta kami membantu mereka.

Jumlah golongan ini yang datang berjumpa dengan saya semakin meningkat dari semasa ke semasa.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah bentuk aduan yang dikemukakan oleh kakitangan dan bekas kakitangan Felda ini?

MAZLAN: Aduan terbaru yang diterima ialah daripada 42 bekas pengurus kanan ladang Felda yang ditamatkan perkhidmatan mereka lebih awal. Maknanya sepatutnya mereka masih boleh berkhidmat sehingga umur 56 atau 58 tahun, tetapi pada usia 55 tahun, mereka sudah diberhentikan.

Sedangkan mereka masih mampu memberi sumbangan dan masih mempunyai tanggungan anak-anak yang masih bersekolah sehingga menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

Mereka tampil meminta kami merujuk kepada kesatuan sekerja mereka untuk membantu mereka membawa masalah itu untuk perhatian pihak kerajaan dan memikirkan solusi terbaik buat mereka.

Saya dimaklumkan, pemberhentian awal itu disebabkan oleh polisi Felda Global Venture Holdings (FGVH) di mana saiz ladang Felda Plantations dikecilkan daripada 143 kepada 100 ladang.


SINAR HARIAN ONLINE: Selepas menerima aduan, apa langkah seterusnya?

MAZLAN: Sebenarnya saya dalam usaha untuk membuat temu janji dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok ekoran kejatuhan harga komoditi yang begitu teruk sehingga membebankan peneroka.

Yang keduanya, saya sedang berusaha juga untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan penamatan perkhidmatan seperti ini dapat ditangani oleh kerajaan.

Langkah ini diambil supaya setiap permasalahan yang timbul perlu ada jalan penyelesaiannya.


SINAR HARIAN ONLINE: Perjuangan saudara sering dipersoalkan dan dikaitkan dengan politik kerana saudara juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. Boleh jelaskan?

MAZLAN: Bagi saya jika kita berhujah dengan bayangan politik, buktikan kepada saya tokoh-tokoh NGO yang tidak terlibat dengan politik? Contohnya Datuk Ibrahim Ali, beliau juga ahli politik yang menaungi Perkasa.

Seorang lagi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, beliau juga Ketua Penerangan Umno dan juga seorang menteri. Jadi, adakah dengan pembabitan kita sebagai ahli politik memisahkan kerja-kerja kebajikan kita untuk membela nasib rakyat?

Bagi saya, adalah sangat baik jika seorang ahli politik itu dapat menunjukkan kepada masyarakat usaha-usaha yang dijalankan untuk membantu mereka. Saya memilih politik kerana saya yakin saya berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja ini.

Lebih sentimental lagi, saya sendiri adalah anak peneroka dan maka dengan itulah perhatian dan penumpuan saya adalah perkara-perkara yang berkaitan dengan peneroka dan generasinya.

Apa salahnya di sebalik kemunculan saya sebagai ahli politik dan sebuah badan NGO ini dapat memberikan kebaikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Saya fikir, ini bukan satu isu untuk diperbesar-besarkan.


SINAR HARIAN ONLINE: Hubungan saudara dan Datuk Ahmad Maslan dilihat tegang kerana sering berbalas-balas kenyataan dan saudara pernah ajak beliau debat, walaupun akhirnya pelawaan itu ditolak. Adakah serangan-serangan itu sebenarnya bersifat mencari populariti politik dan tidakkah itu mengelirukan warga Felda?

MAZLAN: Sebenarnya, saya dan beliau datang dari negeri yang sama. Beliau orang Pontian, saya orang Kulai. Umur kami juga sebaya iaitu dilahirkan pada tahun 1966.

Walaupun beliau tidak rapat dengan saya, tetapi kami bina hubungan dan beliau sendiri ada menghubungi saya melalui SMS terutamanya jika ada isu-isu yang penting. Walaupun berbeza parti, tetapi dari sudut kepentingan rakyat, saya menghormati beliau kerana beliau merupakan menteri yang dipertanggungjawabkan ke atas Felda.

Jadi, walau apa pun, saya tetap merujuk kepada beliau terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar kerajaan.

Sama ada saya berbeza pandangan dengan beliau itu soal lain, tetapi dari sudut hubungan, memang terjalin. Sejak Anak ditubuhkan, kami juga pernah membuat sidang media bersama membabitkan isu-isu yang penting.

Contohnya, apabila Anak mengusulkan mengenai tanah Felda Plantation yang luasnya 360,000 hektar diagih-agihkan kepada generasi kedua Felda kerana ada sebahagian yang masih kekal duduk di Felda, mereka tidak ada rumah ataupun tapak rumah. Sedangkan mereka sudah mempunyai keluarga sendiri.

Jadi apa salahnya, kalaupun tidak dapat diagihkan kepada semua anak-anak Felda, tetapi diberikan kepada anak peneroka. Soal keluasan tanah itu soal teknikal.

Saya juga ada mengemukakan aduan-aduan yang diterima yang tidak dapat ditangani dengan pantas oleh pihak kerajaan. Maka, sebagai wakil Anak, saya menyerahkan kepada beliau 20 aduan yang diterima lebih setahun lalu. Penyerahan aduan itu dibuat semasa beliau melancarkan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rozali Ismail yang dipanggil Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).

Malahan surat-surat atau aduan-aduan yang saya hantar, saya tetap memberikan salinan kepada beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kalau nak cakap dari segi hubungan, saya boleh cakap saya tidak ada masalah dengan beliau.

Ketegangan yang terpamer ini bagi saya hanyalah ekspresi dalam mengemukakan pandangan-pandangan yang berbeza dan itu adalah perkara biasa.


SINAR HARIAN ONLINE: Jika sudah lebih setahun aduan dikemukakan, apa tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan?

MAZLAN: Itu terpulang kepada mereka. Saya ada mendapatkan maklum balas dari pihak peneroka-peneroka selepas tiga bulan kerana mereka yang membuat aduan.

Apa yang mendukacitakan, menteri hanya menjawab perkara itu akan ditangani tetapi proses penyelesaian tidak berlaku. Sebab itu, bagi saya, adalah lebih baik kita menggunakan platform yang mempunyai penyelesaian dan bukannya pertembungan yang mempunyai isu-isu yang sangat remeh.

Seperti isu status Anak, isu ini sudah basi kerana sudah dibangkitkan sejak dulu lagi. Apa yang paling sesuai ialah proses untuk menangani isu rakyat. Itu perhatian kita kerana rakyat sedang menunggu apa formulanya.

Bagaimanapun saya bersyukur, selepas 20 tahun berjuang, akhirnya isu perumahan untuk generasi kedua telah disebutkan oleh Perdana Menteri bahawa 20,000 unit rumah yang membabitkan peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion. Bagi kami ada hasil perjuangan kami itu.

Dulu mereka anggap remeh isu ini, tetapi hari ini sudah mendapat liputan dalam Bajet (2013) lalu. Kejayaan ini juga disebabkan oleh tekanan bertubi-tubi yang dikenakan ke atas kerajaan. Saya yakin, mereka sudah berfikir, undi orang muda itu penting bagi meraih kemenangan dalam pilihan raya kelak.


SINAR HARIAN ONLINE: Kebelakangan ini, Pas mula 'melancarkan perang' di Johor sebagai usaha menawan negeri kubu kuat BN dengan mengaitkan isu Projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid) di Pengerang dan saham FGVH. Adakah Pas menolak kemajuan dan pembangunan?

MAZLAN: Saya telah maklumkan beberapa kali kita tidak pernah menolak pembangunan bahkan kita selalu memberikan respon dan cadangan jika ia memberikan kebaikan kepada rakyat.

Sebagai contoh, projek Iskandar Malaysia kita tidak pernah menolak bahkan kita menyokong. Pihak kerajaan wajar mengambil kira beberapa aspek-aspek termasuk faktor survival rakyat yang menjadi penduduk di situ.

Misalnya isu projek rapid yang kini dikenali sebagai Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia bukan perindustrian. Perindustrian Petroleum Petronas (PPIC), yang menjadi persoalan ialah sekian banyak ada tanah kerajaan, mengapa tanah yang menjadi penempatan rakyat pula yang hendak diambil?

Sedangkan, jika projek itu tetap dilaksanakan, banyak pertimbangan yang harus diproses seperti penempatan penduduk, pampasan, premis-premis yang sudah ada di situ, tanah perkuburan dan banyak lagi.

Mengapa tidak ia dipindahkan supaya tidak mengorbankan kediaman penduduk yang sudah tinggal di situ lebih 120 tahun lalu.


SINAR HARIAN ONLINE: Dalam isu Rapid Pengerang, saudara juga nampak begitu vokal dalam mengetengahkan isu itu. Mengapa?

MAZLAN: Mungkin sebelum ini orang hanya kenali saya sebagai Presiden Anak. Untuk makluman, di peringkat Pas Pusat, saya juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah. Bermakna isu-isu yang berkaitan hal-hal tanah duduk di bawah bidang kuasa saya. Maknanya Felda, Risda, Felcra.

Kerana isu tanah inilah jugalah saya tidak dibenarkan oleh pihak imigresen untuk masuk ke Sabah dan Sarawak berikutan tindakan saya memperjuangkan tanah adat di sana.


SINAR HARIAN ONLINE: Dalam misi membela nasib anak-anak Felda ini, saudara juga berhadapan dengan beberapa ancaman dan rintangan seperti rumah disimbah cat, dilarang masuk Sabah dan Sarawak. Apakah langkah yang diambil bagi mengelak perkara sama berulang?

MAZLAN: Ini bukan perkara baru yang berlaku kepada saya. Sebenarnya sejak saya mula memulakan menangani isu Felda, 20 tahun lalu saya sudah menghadapi beberapa saat getir dan lebih kritikal dalam meperjuangkan hak anak-anak peneroka ini.

Antara perkara yang paling terkesan dalam hati saya apabila keluarga saya sendiri mahu disingkirkan dari tanah rancangan Felda oleh pentadbiran Felda di peringkat ibu pejabat pada tahun 1990-an kerana kurang senang dengan perjuangan saya.

Saya juga pernah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap sebanyak lapan kali.


SINAR HARIAN ONLINE: Saudara dimasukkan ke dalam lokap itu atas kesalahan apa?

MAZLAN: Pelbagai... ada yang kerana dilarang masuk ke negeri-negeri tertentu saya ditahan, ada yang ketika saya sedang berceramah di kawasan Felda saya juga ditangkap.

Malahan, saya juga pernah dikepung oleh berpuluh-puluh anggota polis tahun lalu di Trolak, Perak kerana didakwa, saya tidak dibenarkan masuk ke negeri itu. Polis mendapat arahan untuk menahan saya.

Saya pernah ditahan selama tiga atau empat hari di dalam lokap. Jadi, apa yang saya alami dahulu jauh lebih sukar dari apa yang saya hadapi pada masa sekarang. Saya sudah lali dengan semua ini.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini, saya bukan sahaja tidak serik, malah perjuangan saya untuk rakyat tidak akan terhenti selagi isu-isu yang membabitkan rakyat ini tidak dinoktahkan dan satu formula penyelesaian yang positif untuk rakyat dan menjamin masa depan untuk warga Felda.

Kita kena ingat, Felda wujud sebelum merdeka iatu pada tahun 1956. Kalau hari ini, kita tidak berjuang mempertahankan hak 97 peratus peneroka Felda, macam-macam perkara boleh berlaku pada masa akan datang.

Oleh kerana itu, saya telah beriltizam untuk terus berjuang dan menggunakan apa sahaja saluran untuk membantu mengatasi masalah peneroka. Saya sudah bertemu dengan Menteri Besar Johor, cubaan untuk berjumpa Perdana Menteri sudah dibuat berkali-kali tetapi masih gagal, saya juga sudah menghantar surat menghadap Yang di-Pertuan Agong dan saya harap permohonan saya diperkenankan oleh baginda untuk sampaikan hasrat kita.

Maknanya segala platform yang ada telah digunakan yang penting hak rakyat diutamakan.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah saudara bersetuju Felda adalah satu projek yang dicontohi dunia, terutamanya oleh negara-negara Afrika dan Amerika Selatan sehingga ada negara mengambil contoh Felda sebagai model untuk dilaksanakan di negara mereka. Adakah saudara bersetuju jika dikatakan Felda ini amat berjaya dari segi matlamat penubuhannya?

MAZLAN: Setiap kali kalau saya mengulas mengenai sejarah Felda ini, saya tidak pernah lupa untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Allahyarhan Tun Abdul Razak. Bagi saya, gagasan beliau untuk mewujudkan Felda sehingga menjadi contoh dunia menunjukkan kehebatan pemimpin dahulu.

Maknanya, apa yang baik saya tidak pernah nafikan. Bahkan, ketika berceramah, jika saya teringat saya akan meminta hadirin untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada beliau kerana mengingati tokoh yang hebar seperti beliau.

Saya difahamkan, ketika peringkat awal beliau ingin membuka Felda di kawasan hutan belantara yang ketika itu negara masih diancam dengan komunis, beliau telah melantik beberapa wakil di kalangan beberapa anggota tentera berunding dengan pihak komunis supaya projek penerokaan hutan ini tidak diganggu oleh komunis.

Kisah ini disampaikan sendiri kepada saya oleh ahli keluarga salah seorang pegawai tentera itu. Antara kawasan yang terlibat termasuklah di kawasan–kawasan seperti di Bentong, Pahang dan di Grik, Perak.

Maknanya ini adalah kehebatan Tun Razak dan pegawai-pegawai beliau di zaman itu yang tidak dapat dinafikan.

Tetapi yang menjadi persoalan pada hari ini ialah mengapa pemimpin-pemimpin hari ini mengkhianati asas-asas yang telah dibangunkan oleh Tun Razak. Bagaimana satu kawasan yang sebegitu luas harus dikorbankan demi kepentingan pemimpin-pemimpin hari ini.

Apa akan berlaku jika saham FGVH terus jatuh dan prestasinya lemah? Dan, kita juga bimbang nasib Bank Bumiputra iaitu satu-satunya institusi kewangan yang dibangunkan untuk membela nasib orang Melayu menimpa Felda.

Ini semua tidak mustahil untuk berlaku. Atas sebab kebimbangan inilah menyebabkan saya dan beberapa sahabat di kalangan anak-anak peneroka maklumkan kepada peneroka bahawa penentangan Anak bukan hanya berlandaskan kepentingan politik semata-mata.

Separuh daripada ahli Anak terdiri daripada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat (PR) manakala separuh lagi adalah penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) dan ada juga yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Bersama-sama mereka inilah kami mendokong aspirasi untuk menyelamatkan hak mereka.

Tiada ulasan:

Nuffnang