Isnin, 8 Oktober 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


KLIA 2: Skandal Baru Projek Sistem Ruang Udara?

Posted: 08 Oct 2012 08:47 AM PDT

Kenyataan Media
8 Oktober 2012
Untuk Edaran Segera

Umum sedia maklum tentang kos projek lapangan terbang kos rendah KLIA2 yang telah menyaksikan pertambahan kos dari RM1.7 bilion, hingga ke RM3.9 bilion Mac lalu, sehinggalah diumumkan kos RM5 bilion pada Julai tahun ini oleh tidak lain dan tidak bukan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes. Pagi ini Timbalan Menteri Pengangkutan mengesahkan jumlah RM4 bilion – setakat ini.

Peningkatan hampir 200 peratus ini merupakan pembaziran Maha Besar oleh kerajaan BN, yang enggan diperjelaskan oleh Menteri Pengangkutan sedia ada. Praktis memulakan sesuatu projek dengan kos yang rendah yang kemudiannya ditambah dengan alasan penemuan keperluan yang luar jangkaan hanya memperkukuhkan persepsi bahawa proses perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan tidak telus.

Terbaru, saya dimaklumkan bahawa sistem Air Traffic Modernization Program (ATMOP) untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kawalan trafik udara KLIA2 dan ruang udara sekitar diselubungi kontroversi. Saya difahamkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 3 Oktober 2012 menganugerahkan Surat Tawaran (Letter of Award, LoA) kepada ENAV S.p.A. sebagai Perunding bagi ATMOP – iaitu untuk bertindak selaku perunding untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bagi komunikasi, pengemudian, pengawasan dan kawalan trafik udara di KLIA2 dan ruang udara sekitarnya.

Kontroversi berkisar mengenai isu-isu berikut:

1. Hubungan rapat ENAV-SELEX

Siri pendedahan sebelum ini berkait masalah-masalah sistem kawalan trafik udara di Subang yang dibangunkan syarikat Selex Sistemi Integrati (SELEX) dengan kerjasama Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT), iaitu syarikat yang turut berkait dengan anak DS Jamaluddin Jarjis.

Yang paling merisaukan adalah hubungan SELEX dan ENAV. Dalam satu kenyataan media bertarikh 11 Mei 2009, dengan terangnya disebut bahawa kedua-dua syarikat ini akan bekerjasama untuk menembus pasaran antarabangsa bagi perkhidmatan kawalan trafik udara.Persoalannya di sini: Bukankah lantikan ENAV sebagai perunding bagi ATMOP menimbulkan kemungkinan berlakunya percanggahan kepentingan (conflict of interest) oleh sebab rakan perniagaannya SELEX adalah sebuah syarikat pembekal sistem kawalan trafik udara?

Klausa 29.1 surat perjanjian antara ENAV dan DCA menyatakan bahawa Perunding mesti mematuhi semua undang-undang dan peraturan negara Malaysia, termasuk yang berkaitan isu perolehan. Disebabkan hubungan perniagaan ENAV dan SELEX, bukankah ENAV akan bertindak berat sebelah dalam menyarankan syarikat pembekal bagi sistem kawalan trafik udara nanti?

Klausa 33.1
surat perjanjian yang sama turut menyatakan Perunding tidak akan terlibat dalam aktiviti perniagaan atau profesional di Malaysia secara langsung mahupun tidak yang akan bercanggah dengan prestasi atau kewajipan yang akan ditanggung Perunding mengikut perjanjian tersebut. Disebabkan hubungan ENAV dan SELEX, adakah ENAV secara tidak langsung terlibat dalam aktiviti perniagaan dan telah melanggar klausa tersebut?

2. Harga projek ATMOP yang diumum ENAV

Klausa 1.4  dari senarai semakan projek ini menyatakan bahawa harga bumbung  (ceiling price) projek ini adalah RM27 juta. Namun mengikut satu kenyataan media yang dibuat ENAV pada 3 Oktober lalu (iaitu pada hari sama LoA dianugerahkan), kontrak tersebut diberi nilai 10 juta Euro, yang bersamaan dengan hampir RM40 juta. Rakyat Malaysia wajib diberi penjelasan: jumlah mana yang benar?

3. Isu masalah sistem yang dibangun SELEX masih belum terjawab

Turut merisaukan, isu kegagalan sistem yang dibangunkan SELEX pada 12hb September lalu. Hingga ke hari ini rakyat Malaysia masih belum mendapat gambaran sebenar apakah yang telah menyebabkan sistem kawalan trafik udara di Subang gagal antara jam 2 hingga 4 pagi. Gesaan saya dan pimpinan KEADILAN yang lain, bahawa satu audit bebas yang dilaksanakan International Civil Aviation Organization (ICAO) masih belum terjawab.

Kementerian Pengangkutan wajib menjawab pertanyaan-pertanyaan di atas dan memberi jaminan bahawa ketiga-tiga klausa di atas tidak dilanggar oleh Kementerian dan DCA. Rakyat tidak mampu membiarkan SELEX yang masih belum selesai permasalahannya di ATCC Subang mendapat kontrak untuk KLIA2 menerusi hubungan syarikat tersebut dengan ENAV.

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
merangkap Naib Presiden KEADILAN

Isu Penutupan Pasar Malam Kampung Kerinchi

Posted: 08 Oct 2012 06:43 AM PDT

Kenyataan Media
Untuk Sebaran Segera
08 Oktober 2012

Isu Penutupan Pasar Malam Kampung Kerinchi yang setelah hampir 30 tahun bertapak dan memberikan khidmat kepada masyarakat sekitar akan tinggal lipatan sejarah selepas ini. Peniaga-peniaga di kawasan tersebut telah diarah untuk menutup perniagaan mereka tujuh bulan lalu.

Pada 2 April 2012, permohonan saya untuk penundaan penguatkuasaan penutupan pasar tersebut diluluskan oleh Pengarah Jabatan Pemudahcara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja. Perniagaan para peniaga diteruskan di kiri dan kanan bahu jalan, Lorong Kerinchi Kiri 1.

Perniagaan berjalan seperti biasa sehinggalah pada 7 September 2012, bila para peniaga memaklumkan saya tentang kehadiran pihak Penguatkuasa DBKL untuk kerja penutupan. Perbincangan diadakan pada hari yang sama, dan diputuskan penyelesaian menerusi satu tapak alternatif berdekatan buat peniaga yang sudah berniaga berdekad lamanya di Kampung Kerinchi.

Malang, kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 9 September 2012, hanya menyebut tentang peluang yang diberi kepada peniaga yang masih ingkar terhadap arahan tutup tujuh bulan lalu. Sekali lagi, pada 10 September 2012, saya hadir mengadakan sidang media berkenaan isu yang sama yang turut dihadiri Pengerusi JMB Flat PKNS 17 Tingkat, En Zamri dan Peniaga-peniaga yang menyatakan pihak DBKL perlu memberikan masa dan waktu penangguhan bagi menutup pasar malam berkenaan.

Sedang perbincangan berlangsung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik, para peniaga dikejutkan dengan berpuluh pegawai penguatkuasa DBKL pada 5 Oktober 2012. Rundingan dengan pihak DBKL menghasilkan pembatalan sebarang kompaun dan saman keatas peniaga yang terus beroperasi. Hari ini, nasib para peniaga masih lagi tidak terjawab. Walau Projek Pembangunan Semula Flat 4 Tingkat PKNS sedang berjalan dan jika tapak pasar malam berkenaan menjadi penghalangnya, pihak berwajib bersama DBKL perlu melunaskan perkara-perkara berikut:

i. Laporan impak persekitaran dan tahap keselamatan di kawasan terbabit untuk diteliti dan dinilai oleh peniaga dan penduduk di kawasan tersebut, sekiranya benar menghalang pembangunan semula yang sedang berlaku. Ketelusan sebegini akan membantu peniaga-peniaga juga mendapatkan tapak alternatif yang selamat, tidak menghalang laluan dan memanfaatkan semua pihak. Hal ini juga penting memandangkan ada dua laluan masuk ke tapak projek selain laluan yang digunakan peniaga-peniaga pasar malam Kampung Kerinchi.

ii. Pengesahan dan kelulusan tapak alternatif bagi semua peniaga yang sedia ada. Para peniaga sudahpun memberi cadang balas untuk tapak alternatif bagi mereka meneruskan perniagaan. Sehingga tapak tersebut memuatkan para peniaga, maka saya meminta agar mereka diberi laluan untuk meneruskan aktiviti perniagaan di Kampung Kerinchi tanpa dihalau, ataupun disaman. Permohonan dibuat memandangkan kenyataan Menteri Wilayah sendiri untuk tapak alternatif buat peniaga. Lunaskan janji tersebut, jangan menghalau dan menuduh sembarangan.

Nurul Izzah Anwar,
Ahli Parlimen Lembah Pantai

merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Tiada ulasan:

Nuffnang