Jumaat, 19 Oktober 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Sejarah Rembau yang semakin dilupai

Posted: 18 Oct 2012 04:46 PM PDT

Satu pandangan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Negeri Sembilan dari blog A.F. Yassin.

Rembau adalah merupakan sebuah kerajaan yang telah lama bertapak di tanah Melayu. Tapi ramai orang Melayu khususnya anak-anak Rembau tidak mengetahui sejarah ini. Rembau juga mempunyai perlembagaan sendiri sejak beratus-ratus tahun dahulu. A.F. Yassin menegaskan betapa perlunya pihak yang berwajib menulis semula buku ini dari tulisan jawi ke tulisan rumi.

Berikut petikan beliau :
Buku ini, Rembau, Sejarah dan perlembagaan (terbitan 1953) ditulis dalam Jawi. Ia diterjemah, dipinda dan dpadankan oleh Abbas bin Haji Ali, Guru Kanan di Sekolah Menengah King George V, Seremban. Cikgu Abbas berasal dari Chengkau, Negeri Sembilan. Buku ini dipadankan daripada karangan C.W.C Parr dan W.H. Mackerry yang tersiar dalam jurnal "Straits Branch Roral Asiatic Society, Bilangan 56," Disember tahun 1910 dan dikeluarkan oleh Jabatan Undang Dan Perlembagaan Adat dan Istiadat Melayu Rembau.

Sejarah yang dipaparkan dalam buku ini mengikat erat hubungan antara penduduk Rembau dengan masyarakat zaman lampau yang berpusat di Melaka dan kemudian berhijrah ke Johor.

Buku ini juga meninjau bagaimana negeri ini telah maju dan mempunyai peradaban dan kebudayaan , semenjak runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Masjid daif perlu dibaiki segera di Sabah

Posted: 18 Oct 2012 04:43 PM PDT

19 Okt 2012

KOTA MARUDU 18 Okt. - Meskipun keadaan Masjid Nurhikmah Kampung Bintasan Laut di sini agak uzur, namun, para jemaahnya tetap mengerjakan ibadah solat di situ tanpa ragu-ragu.

Selain itu, mereka juga terdedah kepada bahaya apabila sesetengah bahagian lantai masjid reput dan beberapa bahagian masjid yang berusia lebih 30 tahun itu juga dimakan anai-anai.

Pengerusinya, Zaton Mumin, 40, berkata, setiap kali hujan para jemaah juga terpaksa beralih tempat untuk bersembahyang kerana hujan menitis di ruang solat akibat bumbung dan siling usang turut bocor.

"Kami telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa agama di Daerah Kecil Matunggong untuk pembaikan masjid tetapi sehingga kini masih belum mendapat jawapan.

Pembeli rumah tuntut geran rumah

Posted: 18 Oct 2012 04:42 PM PDT

18 Okt 2012

SENAWANG: Lebih 30 pembeli rumah pangsa di Taman Sri Mawar di sini kecewa dengan Kerajaan Negeri Sembilan kerana kegagalan kerajaan negeri menyerahkan geran hak milik rumah walaupun telah selesai membuat pembayaran.

Selain daripada itu pembeli juga tidak puas hati apabila harga rumah dinaikkan tanpa dimaklumkan kepada pembeli.

Pembeli rumah Mohd Nawi Ibrahim, 55, berkata beliau membeli rumah pangsa secara sewa beli pada tahun 1991.

"Dalam surat perjanjian rumah ini berharga RM25,000. Saya membayar ansuran sebanyak RM138.22 selama 20 tahun.

"Bagaimanapun beberapa tahun lepas secara tiba-tiba saya mendapati harga rumah dinaikkan menjadi RM33,000. Kami tidak dimaklumkan dan saya hanya mendapat tahu ketika membuat pembayaran ansuran bulanan.

"Walaupun tidak puas hati atas kenaikan harga rumah tanpa alasan kukuh, saya tetap membayar ansuran bulanan dan mengikut kiraan ansuran saya sejak 1991, sepatutnya hutang saya sudah habis.

"Saya ada menuntut geran hak milik tetapi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memberi alasan geran hanya akan diberi selepas kesemua 48 pembeli rumah selesai membuat pembayaran.

"Ini tidak adil kepada pembeli rumah seperti saya yang membayar ansuran secara tetap dan sudah melangsaikan keseluruhan kos pinjaman rumah tersebut.

"Bayangkan ada beberapa pembeli rumah (sewa beli) di blok ini yang baru setahun tinggal. Tak kan saya kena tunggu dua puluh tahun lagi (tunggu pembeli ini melangsaikan pembayaran penuh) untuk dapatkan geran hak milik saya? Sedangkan saya tidak ada sumber pendapatan tetap lagi kerana telah bersara. Ini tidak adil kepada pembeli rumah yang sudah melangsaikan pembayaran secara sepenuhnya," kata Mohd Nawi.

S Xavier , 42, turut menyatakan perasaan kecewa beliau apabila Kerajaan Negeri menaikkan harga rumah yang asalnya RM25,000 kepada RM33,000 tanpa perbincangan dengan pembeli rumah.

"Saya juga tidak puas hati dengan alasan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berkata geran hak milik hanya akan diberi kepada apabila semua pembeli rumah selesai melunaskan kos rumah tersebut.

Tunggu semua bayar

"Bayangkan ada 48 pembeli rumah dalam satu blok. Logikkah kalau saya kena tunggu kesemua 48 pembeli rumah ini selesai membuat pembayaran untuk menerima geran hak milik? Bagaimana dengan keadaan ada kes pembeli rumah lari begitu sahaja?

"Apakah kerana ada pembeli rumah yang liat tidak mahu membayar ansuran maka pembeli rumah yang selesai pembayaran jadi mangsa?

Xavier berkata ada tujuh blok rumah pangsa dan setiap blok mempunyai empat tingkat dengan 48 unit rumah.

Henti tindakan zalim kepada warga pendidik

Posted: 18 Oct 2012 02:21 AM PDT


Harakahdaily  18 Okt 2012 

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mendesak kerajaan menghentikan tindakan tidak profesional, penganiayaan dan kezaliman kepada warga pendidik.

Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, wujud penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya di peringkat Jabatan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah iaitu pengetua dan guru besar.

Malah katanya, Kementerian Pelajaran seolah-olah gagal mengawal pegawai-pegawai tertinggi dari segi penurunan kuasa, pelaksanaan peraturan dan prosedur dalam melaksanakan tindakan.

Menurut Normala, beberapa kes telah dikenal pasti, antaranya seorang guru Omar Bakar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Perah, Parit Perak telah dibuang kerja hanya kerana tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Pelajaran Perak menukarkannya ke SK Sungai Samak Hutan Melintang.

"Beliau tidak setuju kerana tidak tahan menurut arahan bertukar sebelum ini sebanyak lima kali. Beliau diarahkan bertukar pada 16 Jun 2006 namun beliau telah dibuang kerja ketika kesnya masih dalam proses rayuan supaya tidak dipindahkan," katanya.

Kes kedua katanya, melibatkan suami isteri yang meraikan rakannya yang merupakan ahli keluarga Adun Paroi (PAS) datang menziarahi dan minum petang dirumahnya.

"Kedua-dua mereka Abdul Latif Aminon dipindahkan dari SMK Felcra Bukit Kepong Muar ke SMK Kota Masai Pasir Gudang dan isterinya Hasmah Mohamad Jaiz dari sekolah sama ke SMK Kota Masai 2 pada Febuari 2011," katanya ketika dalam sidang media di lobi Parlimen.

Malah katanya, ada kes yang cukup memalukan apabila seorang guru ditumbuk dan diterajang pada Hari Guru 16 Mei 2012 di hadapan pelajar sekolah.

Guru terbabit, Azman Mohamad Nadzir, katanya mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri, lebam di bahagian badan serta anak matanya akibat diserang oleh seorang guru yang merupakan penyokong Umno di sekolah yang sama.

Jelas Normala, wujud sikap 'double standard' dalam pelaksanaan tindakan terhadap guru-guru yang menyokong parti pembangkang tetapi di satu pihak yang lain, penglibatan guru-guru dalam politik dan memegang jawatan tidak pula dikenakan sebarang tindakan bahkan terus dipertahankan.

Sehubungan itu, Pendidik meminta kerajaan mengambil tindkan tegas terhadap pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD dan sekolah yang bertindak tidak profesional tidak mengikut prosedur dan mengikut telunjuk orang politik Umno BN yang ada agenda tertentu.

Pendidik juga mencadangkan agar kementerian membentuk satu jawatankuasa bebas di bawah Parlimen bagi menangani dan mengendalikan  kes-kes penganiayaan yang melibatkan guru.

Ekoran itu, Pendidik turut menyerahkan memorandum 'Desakan Menghentikan Tindakan Tidak Profesional ke atas Warga Pendidik' kepada wakil Ahli Parlimen Kota Raja dan Sik, Dr Siti Mariah Mahmud dan Che Uda Che Nik.

Tiada ulasan:

Nuffnang