Jumaat, 26 Oktober 2012

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud


Hudud : Lim Kit Siang selar MCA

Posted: 26 Oct 2012 12:08 AM PDT


Penasihat DAP Lim Kit Siang menyelar pemimpin MCA yang membisu berhubung jawapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa hudud hanya melibatkan golongan Muslim dan tidak terpakai untuk bukan Islam.

Jawapan menteri yang memegang portfolio agama Islam itu kata  Lim, jelas bercanggah dengan pendirian Datuk Seri Chua Soi Lek yang begitu tegas dan nyata menolak pelaksanaan hukum Islam di negara ini.
"Masih tiada jawapan lagi dan yang ada cuma senyap sunyi!

"Bagaimana ini boleh terjadi apabila sejak dua tahun lalu, Chua telah mengepalai puak-puaknya yang terdiri daripada menteri dan timbalan menteri MCA mengelilingi negara dengan satu-satunya tema kempen iaitu "tipu" untuk mengatakan hudud tidak akan melibatkan orang bukan Islam," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Ipoh Timor itu menjelaskan lagi, dengan sikap Dr Chua berkenaan hudud itu, "mereka tentu sekali akan memarahi Jamil Khir kerana 'menipu' di Parlimen.
"Adakah mereka akan meminta tindakan keras terhadap Jamil daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memandangkan jawapan parlimennya bercanggah dengan pendirian MCA di dalam Barisan Nasional (BN) atau adakah MCA akan memutuskan perikatannya dengan Umno disebabkan jawapan parlimen Jamil?" soal Lim.
"Adakah Chua pemimpin MCA cuma bermain politik, tanpa benar-benar yakin dengan apa yang diperjuangkan, dan peranan mereka hanyalah seperti yang digambarkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  iaitu "pendirian tidak bertolak ansur" MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan "menakut-nakutkan" komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.
"

Tambahnya, disebabkan itulah MCA "tidak pernah membantah" apabila Mahathir secara sebelah pihak, sembarangan dan tidak mengikut perlembagaan membuat "deklarasi 929" bahawa Malaysia adalah Negara Islam pada Persidangan Delegasi Nasional Gerakan, 29 September 2001.
Veteran DAP itu turut menyelar MCA yang menurutnya tidak konsisten dalam isu hudud, seperti mana DAP yang berpegang pada prinsip bahawa ia tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia yang majmuk dan ia bukannya sebahagian daripada dasar bersama Pakatan Rakyat.
"Sebaliknya, MCA hanya memainkan wayang politik yang tidak bertanggungjawab memandangkan apabila sampai kepada analisis terakhir, mereka akan menurut kehendak dan arahan Umno," katanya dalam kenyataan itu lagi.

Jihad dan Pengorbanan

Posted: 25 Oct 2012 04:07 PM PDT

Muqaddimah

Perjuangan menegakkan Islam secara syumul di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya adalah merupakan sesuatu kerja yang tidak mudah lagi mengambil masa yang panjang seperti firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubah : ayat 42;
  

Maksudnya;

"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah dan mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka akan mengikutimu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dan berkata : Sesungguhnya kalau kami sanggup tentulah kami akan pergi bersamamu. (Dengan sumpah dusta itu) Mereka membinasakan diri mereka sendiri sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta."

Perjuangan ini menuntut penganut-penganut dan pencinta-pencintanya kepada kesungguhan dan pengorbanan. Oleh itu kefahaman tentang konsep pengorbanan sebenar dan keperluannya mestilah difahami oleh petugas-petugas perjuangan Islam ini.

Pengertian pengorbanan

Pengorbanan berasal daripada perkataan korban. Menurut Kamus Dewan antara lain ia bermaksud; pemberian iaitu kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu sebagai tanda kebaktian, kasih dan lain-lain.

Pengorbanan itu juga memberi maksud perihal mengorbankan segala yang punya seperti jiwa raga, harta benda, masa, kehidupan dan segalanya untuk tujuan mencapai sesuatu matlamat.  Dalam teori ekonomi disebut sebagai "kos melepas" untuk mendapatkan marginal sesuatu yang optimum.

Dalam Bahasa Arab ia disebut "qurban" iaitu dari kata dasar "qarraba" yang bermaksud mendekatkan. Maka dari sudut istilah ia membawa maksud; segala bentuk daya usaha yang membawa diri seseorang mendekatkkan dirinya kepada Allah SWT.

Dari sudut fikrah harakiyyah, pengorbanan juga disebut "tadhiyyah".  Ia mengandungi makna yang luas merangkumi pengorbanan maddiyah, maliyyah, fikriyyah, nafsiyyah dan jasadiyyah. Penggunaan istilah ini telah dimasyhurkan oleh asy-Syahid Hasan al-Banna. Beliau telah meletakkan tadhiyyah sebagai rukun kelima dalam membina 10 rukun baiah bagi pembentukan keperibadian anggota Jemaah. Natijahnya terbentuk baitul muslim, mujtama' muslim dan daulah Islamiyyah. Justeru itu ia menjadi pra syarat yang mesti dihayati oleh petugas-petugas perjuangan Islam.

Realiti kehidupan duniawi

Menegakkan Islam atau melaksanakan amal makruf nahi mungkar ini adalah usaha dan kerja yang bertentangan dengan hawa nafsu manusia dan kehendak syaitan laknatullah. Tuntutan hawa nafsu dan bisikan syaitan memang suka kepada kejahatan dan mengajak manusia terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Yusuf : ayat 53;
Maksudnya;

" ….sesungguhnya nafsu manusia itu sangat mendorong melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah mereka daripada hasutan nafsu itu) Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

FirmanNya lagi dalam surah Faatir : ayat 6;

Maksudnya;

"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya) sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni api neraka yang menyala-nyala (menjulang-julang)."

Angkara nafsu dan syaitan

Akibat daripada angkara nafsu dan syaitan menjadikan manusia lebih menyukai kehidupan duniawi, lalai dan leka serta mementingkan diri sendiri. Namun Allah SWT tidak menyukai cara hidup begini dan mengancam dengan amaranNya dalam surah at-Taubah : ayat 24;
  
Maksudnya;

"Katakanlah (wahai Muhammad):Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau pasangan) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksa); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Seterusnya Allah SWT menegaskan bahawa kehidupan dunia hanyalah mainan dan sia-sia saja seperti firmanNya dalam surah al-Ankabut : ayat 64;

 
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat)".

Pengorbanan yang dituntut

Justeru itu kita perlu berjuang melaksanakan perintah Allah, demi mencapai keredhaanNya. Perjuangan itu pula memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menjurus kepada melaksanakan perintah Illahi bagi menjamin diri dan jiwa raga mencapai keredhaanNya.

Firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubah : ayat 111;
 


Maksudnya; 


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian itu) sebagai janji yang benar di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya selain daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan ketahuilah bahawa jual-beli itu ialah kemenangan yang besar."

Allah SWT juga menyifatkan bahawa orang-orang yang mati mengorbankan dirinya untuk perjuangan pada jalan Allah itu, sebagai suatu kematian yamg amat mulia. FirmanNya dalam surah Ali Imran : ayat 169 -171;



169.Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
170.(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
171.Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

Maka dapatlah disimpulkan bahawa para petugas Islam mestilah bersedia untuk berkorban di dalam perkara berikut:

i.  al-anfus   :  Diri (perasaan, tenaga, akal, masa dan nyawa)
ii. al-amwal : Harta benda (Sanggup mengeluarkan zakat, bersedeqah, hidup sederhana,   mengeluarkan belanja untuk kegunaan Jemaah, melakukan kebajikan kepada yang   memerlukan).

Kedudukan pengorbanan dalam Islam

1. Perintah Allah SWT 

Pengorbanan yang dilaksanakan dalan Jemaah Islam merupakan suatu tuntutan Allah SWT terhadap orang-orang yang beriman. FirmanNya dalam surah at-Taubah : ayat 41; 

 
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui".

2. Sunnah Rasul

Tuntutan berkorban dalan Jemaah Islam juga adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan para solihin. Firman Allah lagi dalam surah at-Taubah : ayat 88; 


"(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya".

3. Faktor kejayaan

Pengorbanan adalah elemen penentu kejayaan dalam perjuangan. Kejayaan akan menjadi manis dan lebih bererti. Lumrah kehidupan mengajar kita bahawa sesuatu kejayaan, kemenangan dan kebahagian memerlukan pengorbanan. Keterangan ayat-ayat al-Quran tersebut dalam surah as-Saaf dan at-Taubah menjelaskan kepada kita bahawa pengorbanan adalah faktor penentu sesuatu kejayaan. Bak kata pepatah "jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Cita-cita untuk mendapatkan kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan hanya akan menjadi angan-angan dan omongan kosong sahaja.

4. Keperluan dakwah

Tidak ada kejayaan dalam dakwah tanpa pengorbanan. Inilah hakikat yang pasti dilalui oleh para amilin dalam usaha-usaha dakwah dengan jelas dan nyata. Mereka mestilah mempersiapkan  diri serta bersedia berkorban untuk meleburkan diri dalam perjuangan jika ingin melihat matlamat perjuangan Islam menjadi kenyataan.

Dakwah tidak akan hidup dan berkembang melainkan dengan jihad. Jihad pula tidak akan berlaku tanpa pengorbanan. Inilah jalan yang telah ditempuh oleh para nabi dan solihin sepanjang zaman seperti dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa : ayat 74;



"Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar".

Demikianlah peri pentingnya kefahaman yang dihasilkan daripada tarbiyah yang berkesan melahirkan pengorbanan dan dapat membuahkan kemenangan di dunia dan akhirat.

Kisah-kisah Pengorbanan dalam al-Quran dan as-Sunnah

1. Kisah Qabil dan Habil anak-anak kepada Nabi Adam a.s.

Allah SWT merakamkan kisah pengorbanan dalam surah al-Maidah : ayat 27;

"Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah) lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!" (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa"

2. Kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Kisah teladan dari dua orang Nabi anak beranak yang sanggup berkorban apa sahaja walaupun dengan nyawa kerana kasih dan patuh terhadap perintahNya dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah as- Shaffat : ayat 102 – 105;
102. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
103. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
104. Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

3. Kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Saidina Abu Bakar telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya untuk perjuangan bersama-sama Rasulullah s.a.w. Baginda bertanya kepadanya: "Apakah yang kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?" Lalu beliau menjawab: " Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya"

4. Kisah Suhaib r.a.

Antara para sahabat Rasulullah s.a.w, Suhaib telah mengorbankan seluruh harta yang dimiliki demi perjuangan membantu baginda. Lantas Allah SWT mengiktirafnya bersama-sama orang-orang sepertinya dalam al-Quran pada surah al-Baqarah : ayat 207;
š
207.Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya.

Rasulullah s.a.w dengan gembira menyambutnya seraya berkata:"Wahai Suhaib, Tuhanmu telah membeli daganganmu (menerima pengorbananmu)".

5. Kisah para sahabiyah yang bersama-sama Rasulullah s.a.w

Saidatina Khadijah r.a. adalah orang yang mula-mula beriman dan melakukan pengorbanan harta benda dan kemewahan serta keselesaan hidupnya untuk bersama-sama baginda. Sumaiyyah pula syahid mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan aqidah. Ummu Sulaim (Khansa') pula sanggup mengorbankan tiga anak-anak lelakinya di medan jihad. Beliau begitu sedih mengadu kepada baginda bahawa dia tidak ada anak lelaki lagi untuk pergi ke medan jihad.

Nusaibah pula pergi ke medan perang dan sanggup menjadikan dirinya sebagai benteng melindungi baginda. Asma' pula dengan penuh keletihan sarat mengandung sanggup mendaki bukit untuk menghantar bekalan dalam keadaan para pemuda tangkas Quraisy memburu Rasulullah s.a.w dan bapanya Abu Bakar yang sedang bersembunyi dalam peristiwa hijrah.

Sesungguhnya mereka semua telah melakukan pengorbanan yang sangat bernilai demi perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Begitulah tarbiyah nabawiyyah yang dinikmati oleh para sahabat secara praktikal yang menjadi contoh teladan bagi kita.

Ganjaran dari Allah SWT kepada mereka yang berkorban

Allah SWT menjanjikan ganjaran di dunia dan akhirat kepada mereka yang sanggup berkorban seperti firmanNya dalam surah as-Shaff : ayat 10 -13;

 
10.Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
12.(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan yang besar.
13.Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

FirmanNya lagi pada surah Saba' : ayat 39;


39.Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia- lah jua sebaik-baik pemberi rezeki".

Seterusnya firmanNya pada surah Ali Imran : ayat 157;

 
157.Demi sesungguhnya! jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum), Sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

Adalah berdasarkan ayat-ayat di atas ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT berbentuk pada dua peringkat di dunia dan akhirat.

1. Ganjaran di dunia

i.   Mendapat pertolongan Allah SWT dalam urusan duniawinya.
ii. Menikmati kemenangan hasil perjuangannya
iii.Mendapat jaminan Allah SWT tentang rezekinya tanpa disedari dari mana datang     puncanya.
iv. Allah SWT menggantikan dengan berlipat ganda segala yang telah dibelanjakan ke jalanNya.

2. Ganjaran di akhirat

i.   Mendapat jaminan keselamatan dari azab neraka yang pedih.
ii. Mendapat keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan.
iii.Dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
iv. Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di syurga bernama "Adn".


Kesimpulan

Kita hendaklah mengambil contoh teladan generasi terdahulu yang telah beroleh kemenangan dalam perjuangan menegakkan Islam. Jadikanlah perjuangan ini dalam gerak kerja amal jamaie keutamaan yang didahulukan. Pastikan setiap detik masa yang dianugerah oleh Allah SWT tidak berlalu dengan sia-sia dan sentiasa dalam ruang lingkup bersama-sama Jemaah.

Sayugia didalam kesibukan gerak kerja amal jamaie janganlah lupa memastikan zuriat kita bersedia menjadi pewaris dan generasi pelapis perjuangan. Yakinlah bahawa pengorbanan yang dilakukan untuk perjuangan Islam merupakan suatu perniagaan atau pelaburan yang sangat menguntungkan. Yakinlah juga bahawa segala kepayahan dan perit getir mengharungi liku-liku perjuangan Islam akan mendapat pertolongan dari Allah SWT yang telah dijanjikanNya. Siapakah yang pasti dan lebih baik menunaikan janjiNya selain dari Allah?

Tiada ulasan:

Nuffnang