N45 Dr Halimah Ali |
EXCO Pendidikan Selangor mengucap Selamat Berjaya Kepada Semua Calon UPSR Posted: 10 Sep 2012 09:05 AM PDT SHAH ALAM 10.9.12 Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) BERMULA 11/9/12. Demam peperiksaan ini bukan sahaja melanda pelajar yang menjadi calon setiap tahun tetapi juga ibubapa.Lebih-lebih lagi si ibu. Naluri ibubapa mahu melihat anak berjaya dalam merangkul semaksima mungkin A dalam ujian ini. Bolehlah dikongsi bersama keputusan anaknya dengan keluarga, sahabat handai, jiran tetangga bahkan ibubapa rakan-rakan sekolah anaknya. Bagi ibubapa yang di kalangan yang bergelar terpelajar, sudah tentu tekanan ini jauh lebih tinggi daripada ibubapa yang berpendidikan sederhana kerana mereka akan diselubungi malu berlipat kali ganda kerana dilihat seolah gagal mendidik anak. Ibubapa yang miskin tetapi mempunyai daya mahu berubah akan memberi segala-galanya untuk mempastikan anak mereka mencapai yang terbaik. Mereka bersungguh mahukan anak mereka mendapat pendidikan yang secukupnya untuk mempastikan kualiti hidup mereka lebih baik daripada dirir mereka. Keringat diperah, tulang empat kerat ligat melorong anaknya ke lorong kejayaan. Diakhiri dengan kedua tangan diangkat untuk berdoa, bermunajat. Tulus ikhitiar ibu dan bapa untuk buah hati yang bertempur di atas kertas, namanya ujian atau peperiksaan. Bermula dengan UPSR, PSRA, PMR, SMA,SPM, STAM,STPM......hingga ke menara gading.Ibubapa terus berkorban wang ringgit, air peluh dan air mata bagi mempastikan si anak berjaya membawa pulang kertas yang tercetak markah terbaik, keputusan cemerlang, mumtaz.... Walaupun keputusan ujian atau peperiksaan ini bukan segala-galanya tetapi ia telah memukau ramai ibubapa, anak-anak hingga ke pemutus dasar untuk riuh gempita tentang isu yang dianggap amat besar ini.Fenomena tahunan.....tiada yang baru.Namun natijah daripada keputusan yang buruk akan menjadi petanda awal tentang kesukaran masa depan pelajar ini. Di kira kurang cerah. Akan payah mendapat pekerjaan atau sumber pendapatan yang mencukupi dan kualiti hidup merudum dan kurang dihormati masyarakat. Justeru, persiapan rapi sepatutunya dilakukan oleh semua pihak untuk mempastikan kejayaan pelajar menghadapi peperiksaan. Sindrom demam peperiksaan disebabkan stress memuncak di ambang peperiksaan boleh menjadi wabak yang lazim sekiranya fenomena belajar intensif di saat akhir dibiarkan bercambah dan berakar umbi sebagai norma dikalangan pelajar. Saya mengharapkan pelajar kita belajar untuk berjaya dalam kehidupan kita dengan melalui peperiksaan yang hanya mengukur kejayaan mereka menguasai elemen ilmu, pengetahuan dan kemahiran penting dalam mengurus hidup diri,keluarga dan masyarakat melalui penggunaan bijak lambakan sumber-sumber yang dikurniakan Ilahi. Saya mendoakan semua calon-calon peperiksaan awam akan berjaya memperolehi keputusan peperiksaan yang terbaik. Usaha,usaha,usaha Berdoa Bertawakkal Mudah-mudahan berjaya. |
You are subscribed to email updates from N45 Dr Halimah Ali To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan