. |
Dr MAZA oh Dr MAZA ― Eidit Hashim - hudud oh hudud Posted: 08 Sep 2012 03:00 PM PDT Artikel Dr Mohd Asri Zainal Abidin bertajuk Hudud oh Hudud yang disiarkan oleh sebuah laman portal berita baru-baru ini amat menarik untuk disorot kembali sebagai pencerahan kepada rumusan yang beliau ketengahkan. Di dalam artikel tersebut, terdapat beberapa rujukan yang dibuat beliau. Antaranya ialah buku Dr Mohamed Salim el Ewa Punishment in Islamic Law. Artikel Hudud oh Hudud itu menyebut bahawa penelitian Dr Mohamed Salim mendapati tiada penekanan terhadap hukum hudud sejak dari zaman Abbasiyah lagi. Apa yang perlu ditegaskan terlebih dahulu ialah penelitian Dr Mohamed Salim itu bukanlah dari kajian asal beliau tetapi ulasan terhadap pemerhatian Abu Yusuf, seorang ulama besar Hanafi di dalam kitab masyhurnya al Kharaj. Abu Yusuf menulis bahawa undang-undang hudud pada pemerintahan Harun al Rasyid tidak lagi dilaksanakan. Wallahualam. Tetapi untuk mengatakan bahawa tiada lagi penekanan terhadap undang-undang hudud sejak dari zaman Abbasiyah adalah melampaui olahan yang diberikan oleh Dr Mohamed Salim malah melampaui pemerhatian Abu Yusuf sendiri. Jika dirujuk The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, satu lagi sumber rujukan yang digunakan di dalam artikel tersebut, undang-undang hudud ada dikuatkuasakan pada zaman Uthmaniyyah malah pemerintah terakhir Mongul pernah memfatwakan hukuman hadd ke dalam undang-undang. Dari membuat satu sweeping statement yang boleh salah difahami, lebih tepat sekiranya Asri menulis perlaksanaan hukum hudud mempunyai naik turunnya berdasarkan realiti masyarakat. Turut disebut ialah fakta dari ensaiklopedia tersebut bahawa hukum hudud kini hanya terlaksana di Arab Saudi dan telah terhenti di negara-negara lain. Apa yang dinyatakan oleh Firhat Ziyadeh (dan bukannya John Esposito yang merupakan ketua editor) ialah sistem penal Islam tradisional telah berhenti dilaksanakan kecuali di Arab Saudi manakala banyak negara lain telah memasukkan hukum hudud ke dalam undang-undang penal moden mereka. (Setelah mencuba di perpustakaan UM dan UIAM, akses saya masih terhad kepada edisi 1995). Mungkin di ensaiklopedia edisi terkini, maklumat tersebut telah dikemaskini dengan perkembangan beberapa negara tersebut menghentikan perlaksanaannya. Namun apa yang pasti, tidak ada usaha untuk memansuh atau menarik kembali hukum hudud yang telah dimaktubkan sebagai undang-undang. Sekiranya sumber-sumber rujukan di dalam artikel Hudud oh Hudud diteliti dengan baik (termasuklah karangan Prof Tariq Ramadhan, fatwa Syeikh Mustafa al Zarqa dan kritikan Prof. Hashim Kamali), maka kita akan dapati wujudnya contoh jelas bahawa hukum hudud boleh diangkat sebagai undang-undang di dalam proses demokrasi dan terdapat pula ruang untuk meminda undang-undang tersebut atau menangguhkan perlaksanaannya di atas alasan fiqh atau siyasah (politik). Namun demikian di dalam artikel Hudud oh Hudud, rumusan yang ditekankan ialah 1) hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS hanyalah satu tafsiran syariah yang boleh dikritik, 2) manakala perlaksanaannya di Malaysia pada waktu ini tidak berhikmah kerana masih banyak pra syarat yang belum dipenuhi. Maka bolehlah disimpulkan bahawa inilah antara masalah yang melanda agenda Hudud di Malaysia sejak sekian lama. Setelah 55 tahun merdeka dan hampir genap 20 tahun pula enakmen jenayah syariah Kelantan diluluskan, kepimpinan intelektual dan politik kita masih berdebat untuk mewajarkan kritikan, menklasifikasi dan membenarkan golongan penentang Hudud serta melabel pihak-pihak tertentu sebagai berslogan. Mereka ini merasakan agenda spesifik seperti hudud tidak wajar dibincangkan pada waktu dan tika ini lalu mengangkat alasan intelektual sebagai justifikasi rumusan mereka. Namun demikian olahan sumber keintelektualan yang cuba diketengahkan kadangkala tidak tepat, selektif dan mengelirukan. Yang dikhuatiri akan ada pembaca yang tergelincir pemahamannya dan membuat rumusan bahawa agenda Hudud bukan lagi menjadi agenda Islam. Apakah faedah semua ini kepada umat Islam dan pemeliharaan aqidah mereka? Seharusnya setelah tempoh sebegini lama, perbincangan dan debat kita dalam soal ini telah menjadi lebih konstruktif dan mendalam. Kepada semua "Dr MAZA" di luar sana, ulasan Dr Khairudin Razali, setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat mengenai soal perundangan dan perlaksanaannya saya kira harus diberikan perhatian sewajarnya. Bagi golongan demokrat Islamis (meminjam istilah Dr Azzam Tamimi), perjuangan menegakkan hukum hudud adalah perjuangan perundangan dan perlaksanaan. Melegislatifkan hukum hudud menunjukkan komitmen mereka untuk memartabatkan Islam dalam soal kenegaraan. Dikala "Dr MAZA" mahu kita semua mengakui perjuangan menegakkan hukum hudud bukan sesuatu yang berhikmah pada waktu dan tika ini, hakikatnya hukum hudud ini telah pun diundang-undangkan di Kelantan dan Terengganu. Begitu juga Asri boleh sahaja berpandangan bahawa PAS terus berslogan di dalam isu hudud kerana semua orang mempunyai hak untuk memberikan pendapat. Hakikatnya PAS tetap merupakan satu-satunya kumpulan Islamis di Malaysia yang telah mengangkat agenda Hudud ke dalam proses legislatif, menjadikannya satu undang-undang di Kelantan dan Terengganu di kala parti pemerintah nasional terus berada di dalam "perpetual preparation". Itu bukan polemik, itu bukan slogan ya… itu adalah fakta. Maka di dalam konteks enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu inilah – kepada dua kumpulan penentang hukum Hudud yang disebut di dalam artikel Hudud oh Hudud (si pengkritik dan si penangguh); nyatakan dengan jelas keraguan kamu! Ikutlah resam Prof Hashim Kamali yang dengan jelas menyatakan pandangan beliau. Apakah kritikan dan pra syarat itu? Memasukkan peranan taubat dalam peruntukan undang-undang? Referendum di kalangan non-Muslim? Peningkatan tahap pendapatan sebenar? Penurunan kadar pengangguran? Senaraikan ia dengan jelas. Jadikan ia pra syarat yang boleh dinilai dan dicapai secara objektif. Gunakan platform yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk mewartakan pra syarat yang perlu dicapai, mencadangkan peruntukan dan bahasa polisi yang perlu diubah, ditambah atau dibuang agar hukum hudud di Kelantan dan Terengganu dapat dijayakan. Kerana pada akhirnya, semua pra syarat yang dilaksanakan itu memberi kebajikan dan manfaat kepada rakyat. Alangkah indah sekiranya dalam edisi ensaiklopedia Oxford yang akan datang memuatkan fakta kejayaan hukum hudud di Kelantan dan Terengganu sebagai contoh perlaksanaan sistem penal Islam moden di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Jika tidak selesa dengan kerajaan PAS Kelantan, si pengkritik dan si penangguh boleh beralih kepada kerajaan Umno Terengganu atau vice versa. Kerana di saat itu, ramai akan menilai kejujuran individu-individu dari kumpulan-kumpulan ini bahawa sama ada penentangan mereka ini benar-benar kerana ada kekurangan pada peruntukan undang-undang hudud atau ketidaksempurnaan pada pra syarat atau kerana ada penyakit di hati-hati mereka lalu terus menerus beretorik dan berdalih. Memandangkan golongan yang menentang hudud cuma ada tiga, adakah mereka ini terjerumus masuk menjadi golongan pertama yang rosak akidahnya? Dan kepada sipenguasa di Negeri Kelantan dan Terengganu, sedarlah bahawa realiti politik sekarang bermakna agenda Hudud di Malaysia besar kemungkinannya akan bermula di negeri-negeri anda. Maka beban tanggungjawab yang besar bukan pada bahu si pengkritik atau si penangguh tetapi pada bahu si penguasa yang beriya untuk melaksanakan hukum hudud ini. Kerajaan negeri boleh menawarkan kepimpinan di dalam soal ini dengan menyediakan platform khusus bagi membolehkan pihak yang berkepentingan untuk menyatakan maklum balas mereka. Di Kelantan, beban tugas ini bukanlah terletak di atas pundak YAB Tuan Guru Menteri Besar sahaja. Yang lebih utama ialah peranan exco dan pegawai yang masih muda bertenaga tapi tampak kurang inisiatif, longlai dan alah kepada semangat dan kegigihan seorang menteri besar yang telah berumur 81 tahun. Masa untuk berseminar membuat penerangan telah tamat. Kini adalah masa untuk lebih sophisticated; bermesyuarat mengenai polisi dan mekanisme serta melakukan lawatan kajian di lokasi-lokasi perlaksanaan hudud di serata dunia. Kekangan perlembagaan harus dimanfaatkan sebagai satu peluang masa untuk memperjelaskan pra syarat yang perlu dan berusaha pula untuk mencapainya. Tunjukkan komitmen ini dengan mengangkat agenda perlaksanaan Hudud dengan menetap bajet khas di dalam peruntukan kewangan negeri 2013 sebagai contohnya. Ianya bukan mudah dan bukan pula murah tapi rakyat akan menilai semua kesungguhan ini bagi meningkatkan keyakinan mereka akan keadilan enakmen jenayah tersebut. Ini kerana kita tidak mahu enakmen itu menjadi contoh satu lagi kegagalan undang-undang hudud zaman moden lalu menjadi fitnah kepada Islam. Kerajaan negeri oleh itu harus berjiwa besar dan bersungguh di dalam mengecilkan seberapa banyak alasan dan dalih untuk menangguh hukum hudud di samping menambah baik kekurangan yang ada. Tunjukkan kebijakan dan kerendahan hati di dalam mengurus permintaan si pengkritik dan si penangguh berteraskan semangat Umar Abd Aziz dan Harun al Rasyid. Seperti yang selalu diulang oleh YAB PM, zaman government know best telah berakhir. Kerajaan Negeri Kelantan perlu memahami bahawa kebijakan itu tidak lagi berpusat pada sipenguasa tetapi telah beralih pada rakyat yang kini jauh lebih peka dan berilmu. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang diamanahkan dengan kekayaan hasil negeri yang banyak – boleh saja meminda peruntukan enakmen jenayah syariah mereka di dalam perkara yang mereka panggil sebagai Hudud PAS yang jumud itu. Malah dengan sumber yang mereka ada, mereka pastinya mampu mengkaji persediaan spesifik yang perlu ada dan perlu dicapai berdasarkan prinsip yang ditegaskan oleh YAB TPM sebelum enakmen tersebut dapat dilaksanakan di Terengganu. Malah jika difikirkan, berbanding di Kelantan, usaha di Terengganu boleh membawa hudud lebih dekat kepada perlaksanaan pada masa hadapan. Apa yang perlu ada sekarang ialah kemahuan politik untuk melakukannya. Selamat meraikan kemerdekaan Malaysia yang ke-55 dan selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga hari-hari yang cemerlang ini memberi kita inspirasi akan apa yang mesti dilakukan dalam soal perlaksanaan hudud di Malaysia. Sekian. * This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider. Source: http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/dr-maza-oh-dr-maza-eidit-hashim/ |
You are subscribed to email updates from Ustaz Yusof Embong (UYE) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan