Rabu, 15 Ogos 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Rama-rama cacat di Fukushima

Posted: 15 Aug 2012 12:36 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TOKYO - Beberapa mutasi genetik ditemui pada tiga generasi rama-rama dekat loji nuklear Fukushima yang tidak lagi beroperasi, kata beberapa saintis semalam.

Penemuan tersebut meningkatkan kebimbangan penduduk setempat bahawa radiasi akibat kebocoran loji nuklear akan memberi kesan ke atas spesies lain.

Beberapa saintis berkata, kira-kira 12 peratus larva rama-rama pale grass blue yang terdedah kepada radiasi nuklear selepas bencana tsunami melanda timur laut Jepun pada Mac 2011 didapati mengalami keganjilan seperti mempunyai kepak kecil dan mata yang rosak.

Seorang saintis berkenaan, Joji Otaki yang merupakan profesor madya di Universiti Ryukyu, Okinawa memberitahu, semua serangga tersebut dibiakkan di dalam sebuah makmal di luar zon radioaktif dengan 18 peratus anak rama-rama berkenaan memiliki masalah yang sama.

Bagaimanapun, angka tersebut meningkat kepada 34 peratus apabila melibatkan generasi ketiga spesies berkenaan.

Kumpulan penyelidik tersebut turut mengumpulkan sebanyak 240 ekor rama-rama di Fukushima pada September tahun lalu iaitu enam bulan selepas bencana tsunami tersebut berlaku.

Otaki berkata, sebanyak 52 peratus serangga itu mempunyai sifat abnormal sekali gus merupakan satu nisbah yang tinggi. - AFP

Twitter PLUStrafik langkah mudah dapatkan maklumat trafik terkini

Posted: 15 Aug 2012 12:31 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Twitter PLUSTrafik merupakan langkah mudah PLUS untuk memaklumkan pengguna lebuh raya tentang keadaan trafik terkini, kata Ketua Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Berhad Mohd Nizam Ismail.

Mohd Nizam berkata sejak perkhidmatan twitter di www.twitter.com/plustrafik diperkenalkan pada Januari tahun lalu, perkhidmatan ini diikuti lebih daripada 75,000 orang pengguna.

"Jumlah ini semakin meningkat setiap hari dan perkhidmatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nizam, antara lebuh raya kendalian PLUS yang boleh diakses maklumat trafik ialah Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya ELITE, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Seremban-Port Dikson, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

"Menguruskan hampir 1,000 kilometer lebuh raya adalah tugas yang mencabar.

Oleh itu, kami perlu mempelbagaikan saluran untuk memaklumkan orang ramai tentang keadaan trafik di lebuh raya kendalian kami.

"Selain mengikuti Twitter PLUSTrafik, maklumat terkini turut dipaparkan di papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi-lokasi strategik sepanjang lebuh raya.

"Jika ada sebarang masalah, orang ramai boleh menghubungi talian PLUSLine 1800880000 yang beroperasi 24 jam setiap hari," tambahnya.- Bernama

24 kanak-kanak istimewa diraikan menjelang Aidil Fitri

Posted: 15 Aug 2012 12:30 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Zailah bergambar kenangan dengan kanak-kanak istimewa di Sekolah Pendidikan Khas AsSyakirin pagi tadi)

RANTAU PANJANG: 24 kanak-kanak istimewa mendapat perhatian khas dari anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Zailah Yusof pagi ini.

Zailah telah berkunjung ke sekolah mereka, Sekolah Pendidikan Khas AsSyakirin Rantau Panjang pagi ini bagi bertemu mereka menjelang Aidil Fitri ini.

Mereka diberikan hamper dan duit raya sempena kunjungan itu.

Bagi Zailah, beliau menjalankan tugas ini sebagai menunaikan tanggungjawab untuk menceriakan kanak-kanak istimewa ini.

Semalam, Zailah telah mengunjungi orang-orang tua dan miskin di Kampung Chicha dekat sini bagi menyampai bantuan kepada mereka.

Bantuan berupa beras, tepung, gula dan lain-lain diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Aidil Fitri ini.

HARAKAHDAILY/-

Bahagian Atas Sebuah Pasar Raya Di Rompin Musnah Terbakar

Posted: 15 Aug 2012 12:24 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BAHAU: Tindakan pantas 15 anggota pasukan bomba sukarela Rompin dan Palong 6 berjaya mengawal kebakaran daripada merebak di sebuah pasar raya dua tingkat di Rompin dekat sini, awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau Nuhazhim Mohd Shah berkata dalam kejadian 1.40 pagi itu, anggota pasukan bomba sukarela berkenaan yang sampai dulu di tempat kejadian bertindak pantas mengawal api daripada merebak ke bangunan 12 blok kedai.

"Dalam kejadian itu, hanya bahagian atas kedai dua tingkat yang dijadikan pasar raya itu musnah terbakar," katanya ketika dihubungi.

Katanya bomba menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan kebakaran itu pada 1.58 pagi.

Beliau berkata 18 anggota bomba dari balai Bahau, Gemas dan Sri Jempol bersama tiga jentera bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal api dalam masa kira-kira setengah jam dan api dipadam sepenuhnya sejam kemudian.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, sebuah rumah di Kampung Datuk Mansur, Seremban musnah dalam satu kebakaran pada kira-kira 8.30 pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiga jentera termasuk 'water tanker' bersama 15 anggota dari balai bomba Seremban dan Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.46 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. - BERNAMA

Perebutan Pulau: 100 Rakyat Taiwan Protes Di Pejabat Kerajaan Jepun

Posted: 15 Aug 2012 12:13 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TAIPEI: Kira-kira 100 rakyat Taiwan berkumpul di hadapan pejabat kerajaan Jepun sebagai bantahan kepada rancangan negara itu untuk merebut pulau yang turut dituntut Taiwan dan China.

Bantahan di Taipei pada Rabu berlaku selepas sekumpulan aktivis dari Hong Kong singgah di perairan Taiwan sebelum berlayar ke pulau-pulau yang menjadi rebutan itu untuk menunjukkan tuntutan China kepada mereka.

Pulau tersebut yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China, telah lama menjadi pusat pertikaian wilayah maritim antara China dengan negara jirannya itu.

Awal tahun ini, Gabenor Tokyo, Shintaro Ishihara mencadangkan Jepun menggunakan dana awam untuk membeli pulau itu daripada pemilik persendirian.

Tindakan itu sekali gus menyebabkan Beijing mengecam dan menyifatkannya sebagai menyalahi undang-undang serta mencabul kedaulatannya.

Hubungan diplomatik antara Beijing dan Tokyo berada pada tahap terendah pada 2010 selepas Jepun menahan seorang kapten bot nelayan China.

SINAR HARIAN/-

PR desak Najib tuntut Myanmar henti bunuh warga Rohingya

Posted: 15 Aug 2012 12:10 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa mengambil langkah proaktif bagi membantah pembunuhan kaum Rohingya yang sedang berlaku di Myanmar.

[Nurul Izzah] Mengecam pembunuhan tersebut, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menuntut ia dihentikan serta-merta.

"Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan jangan guna alasan diplomatik untuk tidak bertindak kerana pengajaran dari pembunuhan kaum di Bosnia dan Rwanda jelas menunjukkan hanya tindakan pantas masyarakat antarabangsa seawal mungkin akan mendatangkan hasil.

"Justeru Pakatan menggesa Najib menuntut kerajaan Myanmar mengambil tindakan serta-merta untuk menghentikan pembunuhan kaum dan membenarkan masyarakat antarabangsa memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Najib turut digesa agar menuntut Asean mengarahkan kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan kaum ini kerana Malaysia memainkan peranan penting dalam membolehkan Myanmar menjadi anggota Asean sejak 1997.

"Najib juga perlu menuntut negara China, yang mana Malaysia telah mempunyai hubungan diplomatik lebih 40 tahun, dan Amerika Syarikat, yang mula melonggarkan sekatan ekonomi kerana reformasi politik di Myanmar, untuk campur tangan dan memberi nasihat kepada Myanmar bagi melindungi semua golongan minoriti dan menghentikan pembunuhan kaum," kata Izzah.

Langkah lain termasuk, menuntut Bangladesh yang mempunyai talian diplomatik dengan Malaysia termasuk dari segi kehadiran warganegara itu yang dianggarkan lebih 500,000 di Malaysia untuk mendesak Myanmar membuka sempadan dan memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa tersebut.

"Kita juga menuntut OIC di mana Najib sedang sertai perjumpaan di Mekah untuk mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Pakistan, Maghribi, Azerbaijan dan Togo adalah ahli Majlis Keselamatan) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta," tegas beliau.

"Najib juga perlu menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa yang mengatakan mana-mana kerajaan yang gagal melindungi kumpulan minoriti dianggap menyemarakkan semangat perkauman serta pembunuhan kaum di Myanmar dan seluruh dunia," tambahnya.

Menurut Izzah, Malaysia wajib bertindak pantas kerana bukan sahaja Najib telah menobatkan Malaysia sebagai mempunyai 'Demokrasi Terbaik' di dunia malah ia sebuah negara contoh dengan Umno sebagai parti pemerintah yang terbesar di dunia untuk membuktikan kenyataan beliau itu benar dan tidak palsu.

"Masa untuk menunjukkan kepimpinan moral sudah tiba," cabarnya.

keadilandaily/-

Polis belasah peserta protes bakar diri

Posted: 15 Aug 2012 12:08 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BEIJING - Protes sekumpulan penduduk Tibet dengan membakar diri di barat China berakhir dengan kematian selepas seorang perusuh dibelasah anggota polis yang bertindak bagi menyuraikan tunjuk perasaan itu, kelmarin.

Keganasan tercetus di wilayah pentadbiran Aba, Sichuan yang sebelum ini menyaksikan berpuluh kes membakar diri sejak beberapa tahun lalu, sehingga memaksa kawasan di bawah pengaruh biara itu dibanjiri polis dan pasukan keselamatan.

Stesen radio Free Asia melaporkan, ketika rusuhan sami Kirti, dua individu dipercayai telah membakar diri di khalayak ramai.

Susulan itu, sepasukan polis cuba menyuraikan rusuhan di lokasi kejadian, namun berakhir dengan pertempuran bersama penduduk Tibet.

Kejadian itu mengakibatkan seorang daripadanya dipukul sehingga mati.

Sejak 2009, hampir 50 penduduk Tibet membakar diri bagi memprotes dasar kerajaan China selain mendesak pemimpin mereka yang hidup dalam buangan, Dalai Lama dikembalikan semula.

Januari lalu, satu siri pertempuran yang sama turut berlaku di Sichuan menyebabkan enam penduduk Tibet terbunuh.

sinar harian/-

Muslimah saman Disney kerana larang pakai tudung

Posted: 15 Aug 2012 12:06 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Ketua Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (American Civil Liberties Union) Mark Rosenbaum (bertali leher merah) berucap sambil bekas pekerja Disney Imane Boudlal, (bertudung) melihat pemberita selepas mereka mengumumkan tuntutan mahkamah terhadap Disney, atas dakwaan diskriminasi dan gangguan kerana kepercayaan agamanya di ibu pejabat ACLU di Los Angeles, California OGOS 13, 2012. REUTERS / Jason Redmond)

LOS ANGELES: Seorang bekas pekerja restoran Disneyland menyaman Walt Disney Co pada Isnin lalu atas alasan gangguan dan diskriminasi agama, mengatakan beliau dipecat hanya kerana mahu memakai tudung di tempat kerja.

Imane Boudlal, seorang Muslim yang berusia 28 tahun, bekerja sebagai pelayan di Storytellers Cafe, sebuah restoran di dalam Disney's Grand California Hotel & Spa di Disneyland di Anaheim, California, menurut aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan.

Selepas dua tahun bekerja, Boudlal meminta kebenaran untuk memakai tudung ketika di tempat kerja.

Beliau menawarkan untuk memakai tudung yang sepadan dengan warna pakaian seragam beliau atau yang memaparkan logo Disney.

Menurut tuntutan mahkamah itu, pengurus Disney menafikan permintaan tersebut, dengan alasan ia akan melanggar dasar syarikat yang berkaitan 'penampilan' pekerja mereka semasa bertugas.

Disney juga melarang tatu yang jelas kelihatan dan kuku yang melebihi satu perempat inci, jelas tuntutan mahkamah itu lagi.

Boudlal telah diberikan pilihan untuk bekerja di bahagian belakang, jauh daripada pelanggan, atau memakai topi gaya fedora di atas tudungnya.

Apabila Boudlal enggan, dia terus dipecat dari jawatannya, jelas tuntutan mahkamah.

Seorang warganegara Amerika Syarikat yang dilahirkan di Maghribi, Boudlal berkata beliau juga menjadi subjek kepada penghinaan anti-Arab dan anti-Islam, termasuk dipanggil "pengganas" dan "unta" oleh rakan sekerja dan penyelia.

Beliau berkata beliau melaporkan kejadian tersebut kepada pengurus tetapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan.

"Disneyland memanggil dirinya sebagai tempat yang paling gembira di bumi, tetapi saya menghadapi banyak gangguan sejak saya mula bekerja di sana," Boudlal berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika.

"Ia hanya menjadi lebih buruk apabila saya memutuskan untuk memakai hijab."

Jurucakap Disney bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Kes ini adalah kes Boudlal melawan Disney.

harakahdaily/-

Fauziah bukan pemberi maklumat kami, kata PKR

Posted: 15 Aug 2012 12:02 AM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pemberi maklumat yang didakwa dikaitkan dengan pemberian tender projek sambungan LRT Ampang kepada George Kent Bhd bukanlah pegawai kanan Kewangan Kewangan, Fauziah Yaacob.

Ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli yang mengecam penulis blog Umno kerana mensasarkan Fauziah dan mendakwa dia adalah pemberi maklumat tersebut.

Rafizi (kanan) berkata, mungkin Fauziah menjadi sasaran mudah kerana
beliau adalah satu-satunya wanita dalam jawatankuasa berkenaan.

Zuraida, yang juga ketua Wanita PKR, turut mengutuk serangan ke atas Fauziah dan berkata perbuatan menyiarkan gambar Fauziah dalam blog yang membuat tuduhan tersebut, adalh tidak wajar.

Beliau mendakwa ia sebagai satu cubaan untuk menutup mulut penjawat awam daripada memberi maklumat kepada pembangkang.

Zuraidah berkata beliau boleh mengesahkan bahawa Fauziah bukan individu yang menyerahkan dokumen berkenaan kepada PKR.

malaysiakini/-

260 pesakit di hospital terima hamper wakil rakyat

Posted: 14 Aug 2012 11:58 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH: Menjelang lebaran tidak lama lagi, 260 pesakit di Hospital Tanah Merah dapat menyembuyikan rasa sedih dan sayu seketika kerana dikunjungi wakil-wakil rakyat semalam.

Lawatan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Gual Ipoh, Wan Yusuf Wan Mustafa dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak dapat melegakan perasaan mereka.

Rombongan wakil rakyat juga disertai Muslimat PAS Tanah Merah, pemuda dan penghulu-penghulu. Kehadiran mereka diiringi pegawai hospital terbabit.

Setiap pesakit menerima hamper sebagai buah tangan, pengubat duka ketika menjalani rawatan di hospital.

Pada kunjungan itu Abdul Fattah juga menyumbangkan kerusi roda kepada seorang warga emas, Zaharah Abdul Rashid, 75, yang terlantar sakit. Beliau berasal dari Kampung Pondok Lama Tanah Merah.

Mereka juga mengunjungi wad kanak-kanak sambil menghulur buah tangan di samping bermesra dengan pesakit dan keluarga mereka.

"Acara ini merupakan aktiviti rutin bagi setiap wakil rakyat di Kelantan. Melalui kunjungan ini diharap dapat melahirkan perasaan gembira pesakit ketika mereka sedang terlantar sakit.

"Malah Islam amat menuntut umatnya menziarahi orang sakit dan mendoakan kesejahteraan buat mereka," katanya ketika ditemui selepas itu.

Hari ini Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco melawat pesakit di Hospital Raja Peremuan Zainab II.

harakahdaily/-

PKR lancar kempen turun harga kereta

Posted: 14 Aug 2012 11:55 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: PKR hari ini melancarkan kempen 'Turunkan Harga Kereta' mengambil kesempatan cuti balik kampung Hari Raya Aidilfitri.

Pelancaran dilakukan di Ibu Pejabat PKR oleh Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad tengahari ini.

Menurut Nik Nazmi, pelancaran itu bertujuan agar cadangan PKR menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat sampai ke seluruh pelosok negara.

Sebanyak 50 ribu pelekat kereta 'Turunkan Harga Kereta' telah dicetak dan akan diagihkan mulai hari ini di sekitar Lembah Klang.

"Untuk minggu ini, kita akan mengagihkan pelekat ini di tol-tol, manakala selepas cuti Hari Raya kita akan mengagihkannya keseluruh negara melalui pejabat-pejabat PKR setempat," katanya.

Selain dari pelekat kereta, PKR juga turut mengubahsuai sebuah kereta Proton Tiara bagi menjadi kereta rasmi kempen tersebut.

"Bermula 24 Ogos ini, pasukan kempen akan mula menjelajah tempat-tempat yang dipilih di Lembah Klang dan seluruh negara sebagai sebahagian dari Jelajah Turunkan Harga Kereta.

"Kita juga akan turut mengadakan forum yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat yang akan bermula 2 September nanti," sambungnya lagi.

PKR juga turut mengadakan kempen di laman sosia www.facebook.com/turunkanhargakereta dan menyeru seberapa ramai rakyat menyokong laman ini dan menyebarkan logo kempen.

PKR yakin desakan menurunkan harga kereta adalah satu tuntutan yang disokong oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

"Logo kempen dipilih tidak melambangkan unsur politik supaya semua rakyat tanpa mengiran latar belakang dan kepercayaan politik boleh bersatu dan bersetuju bahawa masanya telah tiba untuk memastikan harga kereta tidak membebankan rakyat," sambung beliau lagi.

PKR turut meminta rakyat Malaysia membantu mempromosi kempen ini dengan menghiasi laman facebook dan twitter dengan logo 'Turunkan Harga Kereta' bermula hari ini.

harakahdaily/-

Tahanan Palestin seludup sperma untuk isteri

Posted: 14 Aug 2012 11:51 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TEBING BARAT - Seorang bayi lelaki selamat dilahirkan di hospital di Nablus melalui pembedahan, kelmarin hasil daripada sperma milik bapanya yang diseludup keluar dari penjara Hadarim di tengah Israel.

Bayi sihat dinamakan Muhannad itu adalah anak ketiga kepada tahanan Palestin, Ammar, 37, yang kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan Dallal Ziben, 32.

Menurut Dallal, walaupun dia tidak pernah bertemu dengan suaminya sejak 15 tahun lalu, impiannya untuk mempunyai seorang anak lelaki termakbul dengan izin ALLAH SWT selepas dia menjalani prosedur permanian beradas.

Bagaimanapun, butiran lanjut bagaimana sperma milik suaminya itu berjaya diperoleh dengan selamat tidak didedahkan.

Dalam satu kenyataan, doktor yang melakukan prosedur tersebut memaklumkan mereka ada melakukan proses pemisahan jantina sebelum menjalankan prosedur permanian beradas itu sebanyak tiga kali kerana Dallal berhasrat untuk mendapatkan anak lelaki.

Sementara itu, Samer Samaro dari kementerian hal ehwal banduan di Nablus menyatakan, tahanan mempunyai hak untuk mendapatkan anak walaupun mereka berjauhan dari isteri dan keluarga tercinta.

"Kami berharap, isu ini mendapat persetujuan dari pihak Israel kerana ia adalah hak asasi manusia sejagat," tegasnya.

sinR HARIan/-

37 terbunuh serangan berani mati di Afghanistan

Posted: 14 Aug 2012 11:47 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Salah seorang mangsa letupan)

KABUL: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh selepas beberapa siri pengeboman di Afghanistan, termasuk satu serangan di mana tiga pengebom berani mati melakukan serangan di barat daya Afganistan.

Letupan di Zaranj, ibu negeri wilayah Nimroz, di sepanjang sempadan Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang dan mencederakan 80 orang.

"Pengebom meletupkan diri dalam pasar yang sesak kerana menjadikan orang awam sebagai sasaran, tiada pengkalan tentera kerajaan yang berdekatan tempat tersebut," Gabenor wilayah tersebut, Abdul Karim Barahawi, memberitahu agensi berita Reuters.

Tiga pengebom berani mati dari kumpulan 11 orang pengebom meletupkan diri di kawasan berasingan di bandar, salah satunya di luar hospital, kata polis.

"Ini adalah sebuah kumpulan yang terdiri dari 11 pengebom yang mahu mengadakan serangan serentak di seluruh bandar," timbalan ketua polis wilayah Mujibullah Latifi memberitahu agensi berita AFP.

"Pasukan keselamatan membunuh dua dari tiga pengebom berani mati malam tadi dan menahan tiga yang lain pagi ini. Tiga pengebom berani mati yang lain berjaya meletupkan bom manakala tiga yang lain ditembak mati."

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap kajian itu, tetapi serangan seumpama ini biasanya dikaitkan dengan Taliban, yang berjuang untuk menggulingkan kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong oleh Barat.

Wartawan Al-Jazeera, Jennifer Glasse, melaporkan dari Kabul, berkata serangan ini "menandakan hari yang paling menakutkan untuk orang awam Afghanistan pada tahun ini".

Nimroz merupakan wilayah yang biasanya aman tetapi telah berlaku peningkatan dalam keganasan baru-baru ini di wilayah tersebut.

Bom juga diletupkan di sebuah pasar di wilayah utara Kunduz, mengorbankan 10 orang dan mencederakan 36 yang lain.

Letupan, yang membunuh beberapa orang kanak-kanak itu berlaku ketika orang-ramai yang selesai membeli barang-barang sedang menuju rumah ke rumah untuk berbuka puasa.

Sabtu lalu, seorang anggota polis Afghanistan membunuh 11 pegawainya di daerah Dilaram.

harakahdaily/-

Ular sawa gergasi ditangkap

Posted: 14 Aug 2012 11:38 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

FLORIDA : Seekor ular gergasi sepanjang 5.4 meter dengan 87 telur ditangkap ketika ia berkeliaran di Taman Negara Everglades.

Ular sawa Burma seberat 70 kilogram itu adalah yang paling besar pernah ditemui di Florida dan dipercayai yang terbesar pernah ditangkap di Amerika Syarikat.

Ular jenis itu berasal dari Asia Tenggara tetapi beribu-ribu ekor haiwan berkenaan dipercayai hidup di taman negara itu selepas dilepaskan oleh penduduk dan beranak-pinak.

Dan saintis memberi amaran, haiwan sebesar itu boleh memusnah hidupan lain.

Pakar dari Muzium Florida, Kenneth Krysko berkata: "Ular sepanjang 17 kaki akan memakan apa saja yang diingininya.

"Ular ini hidup sejak sekian lama di hutan. Tidak ada apa yang dapat menghalang mereka dan hidupan liar lain berdepan dengan masalah."

Ular sawa yang dibunuh itu mempunyai bulu di dalam perutnya. Saintis merancang untuk mengenal pasti hidupan liar yang dimakannya.

Ular sawa Burma membiak di kawasan iklim panas dan lembap di Everglades selepas banyak di antaranya dibebaskan oleh pemiliknya.

Pakar berkata, yang lain mungkin terlepas dari kedai haiwan peliharaan selepas Taufan Andrew pada 1992 dan membiak sejak itu.

Ular itu membunuh mangsa dengan membelit dan melemaskannya. Mereka mampu menelan haiwan sebesar rusa dan buaya.

Pengimportan ular sawa kini diharamkan di Florida dan kerja memburunya dibenarkan.

Bagaimanapun, langkah itu memberi kesan yang kecil saja terhadap populasi mereka.

Pakar bilogi Muzium Florida, Rob Robins berkata, haiwan itu sukar ditangkap dan memandangkan mereka sudah membiak di Everglades, usaha untuk menghapuskan mereka tidak mungkin dapat dilakukan.

"Saya percaya anda akan melihat lebih banyak ular seumpama itu ditangkap," katanya. - DM

Pengusaha pasaraya degil berdepan tindakan

Posted: 14 Aug 2012 11:26 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

AYER KEROH – Tindakan pasaraya menjual barangan tidak menepati syarat ditetapkan mengundang padah, apabila kesemua barangan terbabit disita dalam operasi Jabatan Kesihatan sempena Aidilfitri.

Dalam operasi dipanggil Ops Raya bermula 1 Ogos hingga semalam, sebanyak 3,488 jenis barang disita Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melibatkan nilai RM19,332.99.

Timbalan Pengarahnya, Dr Ismail Ali berkata, nilai rampasan keseluruhan melibatkan RM43,557.61 iaitu barangan yang menyalahi Akta Makanan 1983.

Menurutnya, biarpun pihaknya sudah memaklumkan kepada pengusaha premis atau pasaraya seluruh negeri mengenai operasi yang dijalankan, masih ramai yang degil.

"Semasa serbuan, banyak makanan yang sudah tamat tarikh luput, rosak, tercemar, tidak berlabel dan tidak mempunyai maklumat lengkap, menyebabkan kita terpaksa ambil tindakan rampas," katanya ketika mengikuti operasi berkenaan, di sebuah pasaraya dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Seet Har Cheow dan Timbalannya, Datuk Abdul Wahab Abdul Latip.

sinar harian/-

Raja segala ikan, sekilo RM300

Posted: 14 Aug 2012 11:21 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

JERANTUT: Harga ikan patin muncung Sungai Pahang mendominasi senarai harga ikan air tawar di negeri ini apabila mencecah RM280 hingga RM300 sekilogram, sekali gus mengatasi harga jelawat yang dijual pada kadar RM220 hingga RM250 sekilogram.

Bagaimanapun, harga yang tinggi bagi mendapatkan ikan yang boleh dianggap sebagai identiti negeri itu bukanlah penghalang sebaliknya orang ramai tetap mahukan ikan berkenaan seraya membuatkan permintaan terhadap patin muncung meningkat dua kali ganda berbanding biasa.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar di daerah ini mendapati patin muncung pasti menjadi pilihan terutama di hujung minggu iaitu apabila anak penduduk yang pulang dari perantauan untuk menjalani ibadat puasa bersama keluarga masing-masing.

Di Jerantut, lokasi paling panas mendapatkan ikan air tawar segar ialah di Pekan Sehari Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Besar Jerantut yang mula dikerumuni orang ramai sejak awal pagi.

Patin muncung, jelawat, temoleh, tapah, patin perak, patin buah, tenggalan, gerahak, baung kenderak, baung akar dan kerai adalah antara ikan sungai yang sering diburu penduduk setempat setiap kali ke pasar kerana rasanya yang enak jika dijadikan masak tempoyak, pais tempoyak, gulai rom dan masak asam belimbing buluh.

Seorang peniaga di pasar besar Jerantut, Ruslan Wahab, 54, berkata permintaan ikan sungai sentiasa mendapat sambutan pembeli walaupun harganya mahal.

"Saya mendapat bekalan ikan dari nelayan sungai di Kampung Pulau Mangsuk, Lada, Batu Embun, Jerantut Feri dan Kuala Teh. Biasanya ikan sungai yang dijual akan habis dalam masa sejam saja kerana pembelinya tetap ada walaupun harga ikan sungai asli cukup mahal.

"Ada kala, nelayan sungai selama ini menjadi pembekal, tidak dapat memenuhi permintaan kami kerana ada juga pelanggan sudah menunggu di jeti semata-mata mahu mendapatkan ikan sungai segar.

"Harga patin muncung memang mahal sekarang terutama bagi yang mempunyai berat sekitar satu hingga tiga kilogram. Bagi yang bersaiz lebih besar, harganya murah sedikit tetapi masih melebihi RM200 setiap kilogram," katanya.

Katanya, harga bagi ikan sungai asli yang lain seperti temoleh mencecah RM40 sekilogram, juara (RM24), tapah (RM60), patin buah (RM100), tenggalan (RM80), baung kenderak (RM24), gerahak (RM55), baung akar (RM40), kerai kunyit (RM30) dan kerai jelawat (RM60).

Katanya, ikan sungai asli sering mendapat permintaan ramai kerana rasa isinya yang jauh lebih sedap berbanding ikan sungai diternak dalam sangkar.

Harian Metro

Obama minta diberitahu penemuan makhluk asing

Posted: 14 Aug 2012 11:15 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PASADENA, California - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar kecil) kelmarin telah mengusik beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang bertanggungjawab dalam penerokaan kenderaan Curiosity di Marikh.

Obama memberi arahan kepada mereka agar memaklumkan dengan segera kepadanya jika mereka bertemu dengan makhluk asing di planet tersebut.

"Jika secara kebetulan anda bertemu dengan hidupan asing di Marikh tolong beritahu saya dengan segera," kata Obama sambil bergurau ketika dia menghubungi para saintis di sebuah makmal NASA di California dari pesawat Air Force One.

"Saya mempunyai banyak perkara lain yang perlu difikirkan namun ia (penemuan itu) akan berada dalam senarai utama saya. Walaupun ia hanya sejenis mikro organisma, saya sangat teruja untuk mengetahuinya," kata Obama.

Kenderaan robotik Curiosity itu mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.

Ia mendarat di Kawah Gale yang mempunyai pemandangan Gunung Sharp dan jerebu.

Kos projek yang dikendalikan NASA itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).

Kenderaan robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 566 juta kilometer selama lapan bulan sebelum ia tiba di Marikh. - AFP

Ops Selamat hari ke 2: 287 kemalangan dicatatkan

Posted: 14 Aug 2012 11:06 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR — Sebanyak 287 kes dengan satu kemalangan maut di sekitar ibu negara dicatat sepanjang dua hari Ops Selamat yang bermula Ahad lepas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Beliau berkata, sebanyak 120 kes dicatat pada hari pertama Ops Selamatdiikuti 167 kes semalam dengan satu kemalangan maut membabitkan pejalan kaki di Jalan Puchong.

"Kami masih cuba untuk meminimakan angka kemalangan ini, terutama kemalangan maut, dan apa yang dapat saya lihat sejak dua hari Ops Selamat dilancarkan, ada sedikit penurunan kes kemalangan berbanding sebelum ia dilancarkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Taman Desa, di sini semalam.

Mohmad menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya serta merancang perjalanan mereka bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama yang ingin pulang ke kampung. — BERNAMA

Nyawa bagai dihujung tanduk

Posted: 14 Aug 2012 08:31 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BAGAN SERAI - Lebih 50 petani, di sini menyifatkan nyawa mereka bagai di hujung tanduk apabila tiang elektrik yang berada di tengah-tengah sawah masih tidak dipindahkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Justeru, petani di bawah Unit Masjid Tinggi ini menggesa TNB memindahkan lebih sepuluh tiang elektrik yang ditanam di tengah-tengah tanah sawah bagi memudahkan urusan menuai padi.

Timbalan Ketua Unit Masjid Tinggi, Muslan Mohd Hanafiah, 36, berkata, masalah itu berlarutan sejak tiga tahun lalu apabila syarikat berkenaan berjanji untuk memindahkan tiang elektrik tersebut setelah pemasangan tiang elektrik baru siap di sepanjang jalan ban masuk ke kampung Parit Haji Ali, di sini.

Bagaimanapun, sehingga kini usaha pemindahan tiang elektrik itu masih tidak dilaksanakan dan ia menyukarkan petani menuai padi, lebih-lebih lagi dengan keadaan kabel elektrik yang semakin mengendur.

"Keadaan lebih berbahaya buat pengguna jentera padi yang bimbang kemungkinan berlaku renjatan elektrik.

"Selain itu, petani turut berhadapan dengan kemungkinan gagal menuai sepenuhnya disebabkan bimbang keselamatan diri dan perkara itu pasti merugikan kami," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini.

Pemandu mesin padi, Khairul Anuar Jamhari, 32, berkata, masalah kewujudan tiang elektrik itu melibatkan keluasan kawasan kira-kira 40 hektar dan berjarak hampir 1.5 kilometer.

Menurutnya, TNB perlu segera memindahkan tiang elektrik itu memandangkan musim menuai padi sudah tiba dan pihaknya tidak mahu berdepan risiko kehilangan nyawa akibat keadaan kabel elektrik yang kendur.

"Perkara ini pernah diadukan kepada syarikat berkenaan, bagaimanapun mereka menyatakan akan melaksanakan kerja pemindahan apabila sudah mempunyai peruntukan.

"Bagaimanapun, sudah beberapa bulan sejak aduan dikemukakan, kami masih belum melihat sebarang usaha pemindahan dan perkara ini sudah pasti merunsingkan kami, "katanya.

Sementara itu, sumber dari TNB Bagan Serai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima aduan petani mengenai keadaan tiang elektrik yang masih belum dipindahkan.

Menurutnya, satu kertas kerja disiapkan bagi tujuan pemindahan tiang elektrik itu membabitkan peruntukan sejumlah RM9.8 juta dan projek itu membabitkan 38 lokasi di seluruh daerah ini.

"Kerja-kerja pemindahan tiang elektrik ini masih belum dilaksanakan disebabkan ia melibatkan elektrik bervoltan tinggi yang memerlukan kos kerja yang tinggi.

"Setakat ini, kertas kerja mengenai perlaksanaan projek itu sudah disiapkan dan kami hanya menunggu kelulusan peruntukan daripada TNB Pusat bagi memulakan projek berkenaan," katanya.

Katanya, projek pemindahan tiang elektrik itu dijangka akan bermula awal tahun hadapan dan berharap masalah dihadapi petani akan selesai segera.

RM10 Juta Untuk Belot?

Posted: 14 Aug 2012 08:23 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Phobia akan berlaku pembelian calon atau wakil rakyat di Sabah kini sudah mula dirasakan. Ini berikutan sudah ada perundingan-perudingan kecil menerusi 'calo-calo' politik dengan orang tertentu.

Sudah ada tawaran dengan nilai berbagai-bagai dibuat ke atas mereka yang berpotensi menang di dalam pilihan raya akan datang.

Karim Ghani (kiri) bersama Wilfred Bamburing.
Politik beli calon dan beli wakil rakyat semacam sudah menjadi budaya di Sabah. Perilaku ini adalah sejarah yang diketahui umum. Semacam tidak sah kalau aktiviti pembelian ini tidak berlaku. Di Sabah pembelian bukan setelah seseorang menang, tetapi sebelum menang lagi ia sudah berlaku.

Mereka yang berjaya mendaftarkan diri sebagai calon sudah ada nilai harga tersendiri mengikut kelas dan standardnya. Diibaratkan ketika masih dalam telor lagi sudah ada harga.

Tektik menajakan calon bebas atau menawarkan imbuhan kepada calon belot sudah menjadi permainan biasa yang tidak menghairankan. Kalau urusan ini tidak berlaku seakan pilihan raya Sabah tidak sah. Cakap-cakap ataupun tawar menawar bukan lagi di dalam gelap tetapi secara terus terang dilakukan oleh calo atau wakil masing-masing.

Bekas Ketua Penerangan Umno Sabah yang kini menjadi penggerak utama PKR Sabah, Abdul Karim Ghani secara tidak langsung telah menyebutkan perkara ini kepada saya ketika di lapangan terbang Kuching sewaktu menanti ketibaan Anwar Ibrahim. Apabila saya mengajukan apakah kemungkinan politik beli calon dan wakil rakyat boleh mengagalkan agenda menawan Sabah, beliau dengan cepat mengatakan, "iya ini sudah tentu berlaku...," bahkan tekannya ia sudah berlaku.

Politik munafik ini menurutnya ada dua versi, pertama mereka akan menaja calon-calon tertentu untuk ikut bertanding dan kedua akan membeli wakil rakyat yang menang. Katanya mereka sanggup memberi berapa banyak yang mahu. Tentulah harga yang menang lebih tinggi dari yang (calon) yang kalah.

"Sudah kedengaran kini ada seseorang berpotensi, tidak perlu saya menyebut namnaya sudah didatangi broker Umno menawarkan wang sekiranya sedia berpaling tadah," kata Karim. Menuruntnya beliau difaham broker itu adalah atas suruhan Ketua Menteri, Musa Aman.

Jelas Karim lagi setakat ini jumlah paling tinggi ditawarkan sebanyak RM10 juta. Kalau anda sedia menjadi alat Umno, mengkhianti hasrat rakyat yang mahukan perubahan, upahnya RM10 juta. Begitulah tutur broker berkenaan kepada bakal calon berpotensi itu, cerita Karim.

Fenomena itu membimbangkan beliau dan ia boleh mengganggu agenda merampas Sabah yang nampak sangat cerah kini. Bagaimana pun atas usaha dan semangat ingin melihat politik Sabah berubah dan tidak menjadi monopoli satu kuasa beliau berharap semoga aportunis-opirtunis yang mencari wang dengan cara ini tidak akan berlaku lagi.

Dan Umno sebagai berpotensi melakukan perdagangan manusia yang keji sebegini diharap akan menghentikan dan cubalan membawa politik gentleman dan bersendikan undang-undang. Dalam pada itu fenomena jahat yang mengkhianati prisip demokrasi ini diatasi dengan adanya kerjasama SPRM. SPRM perlu bertindak mengikut mekanismenya sendiri bagaimana untuk memberkas orang-orang yang mengamalkan politik rasuah dan jahat ini.

Mungkin tindakannya bermula sejak dari broker lagi kerana mereka juga mendapat untung mudah dengan menguruskan 'perdagangan manusia' sebegini.

SELATAN ONLINE/-

Dapat RM2 juta keluarkan fatwa haram undi DAP

Posted: 14 Aug 2012 08:16 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

MINGGU lepas, pada 8 Ogos 2012, seorang pengasas pondok Geting, Abdullah Sa'amah mengeluarkan fatwa mengharamkan orang Islam mengundi DAP.

Malah beliau turut mengharamkan orang Islam mengundi parti-parti yang bekerjasama dengan DAP sambil menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.

Nampaknya pengasas pondok ini mengeluarkan fatwa pelik kerana ada imbuhan besar bakal diterimanya. Selang tidak sampai seminggu fatwanya disiarkan dalam Utusan Malaysia, beliau menerima sumbangan RM2 juta.

ReJaM© "Jual beli fatwa lebih untung daripada jual unta... "

HARAKAHDAILY/-

Fitnah, rasis, cemarkan Ramadan

Posted: 14 Aug 2012 08:05 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Hanya beberapa hari saja lagi Ramadan Kareem tahun ini akan melabuhkan tirainya. Mereka yang penuh takwa, yang merasakan nikmat dan indahnya Ramadan, kepergian bulan mulia ini diiringi dengan air mata – entah berjumpa lagi atau tidak tahun depan.

Sepanjang Ramadan ini, majlis dan surau terutama di bandar, meriah dan makmur dengan kehadiran jemaah yang melimpah – lebih daripada biasa – bersolat tarawih, bertadarus, qiamullail dan segalanya. Lebih lagi dengan menunggu ketibaan malam Lailatul-Qadr.

Demikianlah mereka mendakap Ramadan Kareem dengan penuh khusyuk, di masjid dan surau yangn menjadi destinasi utama untuk beribadah. Itulah wajah umat yang berusaha untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Tetapi malangnya, di luar masjid, terutama di dunia politik, keadaan jauh berbeza dengan suasana di rumah Allah itu. Dunia politik tanah air, walaupun pada bulan Ramadan, terus menerus diselubungi suasana fitnah, perkauman yang seru, penyelewengan, tipu daya, perlakuan orang-orang yang sempit fahaman agamanya, malah keadilan Islam menjauh.

Semuanya ini adalah sampah sarap dan kotoran yang memudaratkan manusia pada ketika umat yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT menjalankan ibadah Ramadhan yang murni itu.

Fahaman Islam yang sempit disebabkan kejahilan, kekeliruan dan mungkin juga dikeranakan oleh kepentingan duniawi adalah gejala yang merosakkan kesyumulan Islam yang menuntut umatnya bersikap wasatiyyah – sederhana, seimbang, adil dan menjadi saksi antara manusia dan Rasul pula menjadi saksinya.

Yang lebih mengerikan ialah suasana fitnah yang marak menyala, beriringan dengan suara dan aksi perkauman yang sangat mengerikan, seolah-olah menjadi budaya masa kini. Pada hal Islam menentang keras segala bentuk perkauman kerana ia suatu kezaliman. Malah Nabi SAW sendiri dalam hadisnya mengatakan tidak mengaku umatnya mereka yang meniupkan perkauman.

Fitnah yang tajam dan hasutan begitu berleluasa untuk menghancurkan musuh politik dengan apa carapun – baik melalui siaran media cetak, temu ramah, tayangan video, media on-line, blog, majlis parti politik dan pelbagai lagi. Lebih-lebih lagi menjelag pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Seolah-olah pelaku yang meniupkan fitnah, hasutan dan perkauman yang tajam ini tidak terikat dengan batas hukum, undang-undang, etika moral dan kemanusiaan. Mereka melakukan dengan cara 'membujur lalu melintah patah'. Seolah-olah dunia politik adalah medan untuk melakukan segalanya demi untuk kuasa.

Tiupan perkauman yang kencang – melaga-lagakan antara kaum dan parti politik menjadi fenomena terkini dan nampaknya tidak ada tanda-tanda akan berhenti.

Ternyata politik survival of the fittes dan konsep politik Machiavelli – tujuan menghalalkan cara - menjadi amalan pelaku politik sekular ini. Dalam keadaan begini – yang berlaku walaupun pada bulan Ramadan – memberi gambaran seolah-olah tidak ada tempat untuk memikirkan dosa pahala.

Dalam suasana yang gawat ini, golongan intelektual, malah sesetengah agamawan juga membisu seribuh bahasa. Malah lebih malang lagi ada pula segolongan kecil mereka ini yang ikut serta 'merancakkan' suasana seperti ini, sama ada mereka sedar ataupun tidak.

Disebabkan kegawatan ini, tentu saja ada yang bertanya, di mana roh dan semangat Ramadan. Di mana sentuhan kekudusan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran dan Lailatul Qadr. Di mana perginya jati diri Melayu/Islam, kalau adapun jati diri mereka. Jelaslah bahawa politik sekular memungkinkan semuanya ini berlaku.

Oleh itu, sungguh malang, negara Melaysia yang akan menyambut 55 tahun merdeka di selubungu suasana yang sedemikian rupa. Ini adalah 'penyakit' yang sangat merbahaya sedang menyerang tubuh umat di negeri ini.

Kita akan menyambut Edul-fitri dalam dalam dua tiga hari lagi dan selepas itu akan menyambut ulang tahun ke 55 kemerdekaan negara ini, tetapi sungguh malang ia akan disambut dalam suasana yang sedemikian rupa.

Di sinilah, menurut pendapat saya, para pendukung gerakan Islam dan politik Islam seperti PAS menggandakan usaha mereka untuk menjernihkan semula suasana yang kotor dan memudaratkan ini.

Saya percaya masih ramai lagi umat Islam yang prihatin, para intelektual dan ulama yang berwibawa, sedang berusaha membetulkan kerosakan dalam masyarakat ini. Walaupun usaha ini amat sukar, tetapi ini sebenarnya adalah jihad menentang kemungkaran. Tentunya fitnah, hasutan, perkauman yang sempit dan seumpamanya ini adalah kemungkaran.

Edul-Fitri yang akan kita sambut ini hanya bermakna jika segala kemungkaran – terutama di pentas politik ini – dapat dibersihkan. Inilah cabaran yang sangat besar dihadapi oleh umat dan mari kita memanjatkan doa semoga Allah SWT menyelamatkan negara dan umat ini.

Allahu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar!
Selamat Menyambut Edul-Fitri, maaf zahir batin

harakahdaily/-

Perkataan Allah dan Muhammad di tapak kasut

Posted: 14 Aug 2012 08:01 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

harakahdaily/-

Rakyat Libya bantu pemberontak Syria bertempur askar rejim Bashar

Posted: 14 Aug 2012 07:46 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

EMPAT anggota pemberontak menunjukkan seorang juruterbang (duduk) yang ditangkap selepas jet tentera Syria yang dikendalikan jatuh ditembak di Deir el-Zour, Syria kelmarin.

DAMSYIK - Sejumlah pejuang veteran dalam perang saudara di Libya pada tahun lalu kini tampil di barisan hadapan untuk membantu melatih dan menyusun pemberontak dalam situasi yang lebih meruncing berbanding ketika perang menentang Muammar Gaddafi, kata seorang pejuang berdarah Libya-Ireland kepada agensi berita Reuters.

Gaddafi mati dibelasah para pemberontak Libya pada 20 Oktober tahun lalu selepas berbulan-bulan menghadapi tentangan daripada penduduknya. Pejuang veteran Libya yang bertempur bersama kumpulan pemberontak di Syria itu, Hussam Najjar berasal dari Dublin dan memiliki bapa berdarah Libya manakala ibunya berbangsa Ireland.

Dia yang menggelarkan dirinya Sam, merupakan seorang penembak tepat terlatih.

Sam dahulunya merupakan anggota unit pemberontak yang menggempur kompleks Gaddafi di Tripoli setahun lalu. Unit tersebut diketuai oleh ketua militia dari pergunungan barat Libya, Mahdi Al-Harati.

Mahdi kini mengetuai sebuah unit pemberontak di Syria yang kebanyakannya disertai oleh warga tempatan selain beberapa pejuang asing termasuk 20 anggota kanan yang pernah menganggotai unit pemberontak di Libya pada tahun lalu.

Menurut Hussam, dia diminta oleh Mahdi untuk menyertai unit tersebut dari Dublin beberapa bulan lalu.

Pasukan pejuang Libya itu membantu pemberontak Syria itu termasuk beberapa pakar komunikasi, logistik, isu kemanusiaan dan senjata berat.

Menurut Hussam, mereka mengendalikan kem latihan dan mengajar kecergasan serta taktik di medan perang.

Sementara itu, satu klip video di YouTube menunjukkan seorang juruterbang tentera Syria ditahan beberapa anggota pemberontak.

Juruterbang itu menaiki sebuah jet tentera Syria yang jatuh ditembak di Deir el-Zour, Syria kelmarin.

Konflik di Syria bermula pada Mac tahun lalu apabila para pemberontak menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.

Lebih 20,000 orang dianggarkan terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.

Para pemberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran gagal membawa pembaharuan demokrasi dalam pentadbirannya. - Agensi

Pemuda PAS Ktan minta Nasharuddin lepas MP Bachok

Posted: 14 Aug 2012 07:39 PM PDT

25 Ramadhan 1433H. [MOD] -

(Nasharudin bersama Presiden Umno dan beberapa pemimpin Arab di Mekah)

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) meminta bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan pendiriannya dengan jelas samada masih ingin bersama PAS atau membawa haluan yang bertentangan dengan kehendak parti.

"Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu," kata Setiausahanya, Mohd Nuri Mat Yaacob dalam kenyataannya yang dihantar kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Nasharudin yang dikeluarkan oleh beliau seperti yang tersiar di dalam Buletin Utama TV3 hari ini di mana beliau mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.

Beliau juga dilihat bersama-sama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Mekah sedangkan pada awal Ramadhan lalu beliau telah pergi ke sana.

"DPPNK melihat cadangan beliau tersebut hanyalah mengulangi hujah-hujah yang diratib oleh pemimpin-pemimpin Umno selama ini.

"Sedangkan semua pihak sedia maklum bahawa kerajaan pusat yang ditunjangi oleh Umno dan BN lah yang sebenarnya menghalang pelaksanaan hudud di Kelantan selama ini," kata Nuri dalam kenyataannya.

Ditambah dengan sikap beliau yang dilihat pro Umno sejak kebelakangan ini, DPPNK melihat amat wajar untuk beliau membuat pengisytiharan rasmi adakah beliau masih setia bersama PAS atau sebaliknya.

"Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu," katanya.

Bagi DPPNK, katanya, PAS sedikitpun tidak rugi jika individu seperti beliau mengangkat kaki meninggalkan parti.

harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Nuffnang