Rabu, 15 Ogos 2012

.

.


Mufti: K'jaan bermaruah tak akan biar gelar 'kafir harbi'

Posted: 14 Aug 2012 11:52 AM PDT




WAWANCARA Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berpendapat bahawa kerajaan yang bermaruah tidak akan membiarkan pihak yang mencabar kuasa mereka seperti tindakan mengisytiharkan perang dengan menggelar golongan tertentu sebagai "kafir harbi".

Katanya, pandangan bahawa haram bagi umat Islam menyokong DAP yang diutarakan guru pondok, Abdullah Sa'amah itu juga merupakan pendapat "ketinggalan zaman dan bersifat kebudak-budakan".

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Pandangan Abdullah, yang turut menggelarkan DAP sebagai "kafir harbi" itu mencetus kontroversi apabila ditonjolkan melalui laporan Utusan Malaysia minggu lalu.

Juanda berkata, sikap "meraikan dan memberi ruang kepada pandangan ekstrem dan anti-demokrasi" seperti itu merupakan satu perkara yang amat mendukacitakan.

Berikut adalah wawancara dengan Dr Juanda Jaya yang dijalankan melalui emel:
Malaysiakini: Apa pandangan Dr berhubung pandangan Abdullah Sa'amah bahawa haram kepada umat Islam menyokong DAP? Apakah hujah yang digunakan berasas dan apakah pula kesan pandangan sebegini kepada masyarakat?

Dr Juanda: Saya rasa pandangan pelik sebegini tidak wajar diraikan. Dalam negara yang berperlembagaan, ada undang undang, mengamalkan demokrasi, juga negara yang memperakui kebebasan beragama oleh mana mana pengikut agama, maka pandangan pelik sebegini tidak sewajarnya diraikan.

Ini pandangan orang yang ketinggalan zaman dan bersifat kebudak-budakan. Barangkali pandangan ekstrem sebegini muncul akibat sikap ekstrem pihak lain yang melingkari keadaan masing masing. Namun jika ada pihak yang mahu meraikan dan memberikan ruang kepada pandangan ekstrem dan anti demokrasi serta sukakan perbalahan dan pergaduhan di dalam sebuah negara yang aman damai seperti Malaysia ini, maka ia adalah suatu sikap yang amat mendukacitakan.

pandamaran dap balloon 110312Ia adalah sikap yang anti-perlembagaan negara dan anti-demokrasi yang diakui oleh undang-undang. Sikap sebegini tidak wajar wujud pada seorang Muslim dan rakyat Malaysia.

Kalau nak marah kepada bukan Islam sekalipun, sikap isytihar perang adalah sikap yang amat tidak cerdik. Ini dinamakan mahu ambil alih tugas kerajaan dan pemerintah yang sah. Sikap mahu melabelkan pihak tertentu layak diperangi adalah mencabar kuasa pemerintah yang sah. Ulil amri yang ada maruah diri sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba secara terang terangan mahu mengambil alih tugas mereka yang sah di sisi undang-undang dan agama.

Sepatutnya orang Islam meletakkan diri sebagai umat dakwah, yakni sentiasa berusaha mendakwahkan bukan Islam untuk memahami Islam secara lebih baik dengan bertunjangkan al-Quran dan al-Hadis. Islam tidak kasar dan suka bergaduh dengan bukan Islam. Soal hidayah urusan Allah. Kita yang wajib berdakwah, bukan bergaduh. Ini umat Islam yang sebenar. Sikap suka bergaduh dan mirip teroris seperti ini bukan sikap umat Islam yang meletakkan dakwah dan penyampaian agama secara berhikmah sebagai satu keutamaan. Imej Islam boleh tercalar oleh mereka yang ekstrem sebegini.

Malaysiakini: Bagaimana pandangan ini harus ditangani oleh pelbagai pihak, termasuk masyarakat, pihak berkuasa agama dan kerajaan?

Dr Juanda: Saya syorkan jika pihak berkuasa mahu menerima pandangan pelik sebegini, maka suatu kajian dan peraturan baru perlu diperkenalkan terutama berkaitan dengan kewarganegaraan dan berparti politik. Soal bernegara dalam Islam adalah amat dinamik dan berkembang menurut zaman. Sistem kependudukan zaman Nabi dan sahabat ribuan tahun lalu pasti berbeza dengan apa yang wujud pada hari ini dalam sistem nation state. Hak demokrasi dan berpolitik  juga adalah suatu hak yang diakui oleh Islam. Oleh itu, jika pihak berkuasa mahu menerima pandangan pelik sebegini, maka ubahlah sistem yang ada. Tapi saya percaya, rakyat majoriti tidak akan menerima perubahan terhadap sistem yang sudah utuh ini buat masa ini.

NONENegara sejak merdeka sudah menerima sistem memberikan kewarganegaraan kepada penduduk asal dan mereka yang layak yang telah datang ke Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Ini sistem yang telah utuh. Ini juga menunjukkan setiap mereka yang menerima Malaysia sebagai negara mereka adalah mereka yang akur kepada segala perjanjian dan peraturan menjadi rakyat negara ini.

Orang Islam yang menerima syarat dan perjanjian ini terikat kepada isi perjanjian yang telah dimeterai. Ia suatu kewajipan yang mesti dipenuhi. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Orang orang beriman itu terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang mereka telah persetujui, kecuali perjanjian yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Bahkan mereka yang terima perjanjian ini adalah orang-orang zimmi yang Nabi SAW perintahkan umat Islam untuk melindungi mereka dan memberikan hak-hak kepada mereka. Ini perintah Nabi SAW.

Malaysiakini: Bagaimana sikap politik yang harus diambil oleh umat Islam dalam suasana demokrasi dan kepelbagaian kaum di negara ini?

Dr Juanda: Saya ingin menarik perhatian ummat Islam terhadap Hadis Abu Bakrah seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim mengenai kesaksian palsu atau syahadtuz zur:

Maksudnya; Daripada Abi Bakrah katanya, Rasulullah SAW bersabda: Mahukah kamu semua jika aku beritahukan tentang sebesar-besar dosa besar? Kami menjawab: Sudah tentu (kami mahu) wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Menyekutukan (syirik) Allah dan menderhakai kedua ibu bapa dan berkata dusta (palsu). Pada masa itu baginda sedang bersandar lalu baginda duduk dan bersabda: Ingatlah (juga dosa yang sangat besar ialah) perkataan palsu dan kesaksian palsu. Baginda tidak henti-henti mengulanginya sehinggalah kami berkata: Alangkah baik kalau baginda berhenti (diam dan tidak mengulanginya lagi). Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

NONEHadis ini amat relevan dalam kehidupan berdemokrasi di dalam negara kita pada hari ini – di mana sistem demokrasi diterima dan kepelbagaian adalah suatu realiti yang tidak dapat dielakkan. Memahami rangka demokrasi yang positif dan kepelbagaian yang merupakan realiti amat penting agar kehidupan bernegara akan terus berada dalam keadaan rukun dan damai.

Sistem dan realiti ini sudah wujud separuh abad di Malaysia dan terbukti apabila sistem ini dihormati, negara aman damai. Jelasnya, jika semua pihak jujur dalam berpolitik maka kebenaran dan kejujuran yang akan berjaya. Rakyat mesti difahamkan terutama umat Islam, proses membina negara adalah tugasan semua pihak. Ia bukan hanya kerja orang politik sahaja. Semua wajib terlibat dengan politik walaupun bukan mesti mereka masuk dalam mana-mana parti politik. Semua juga wajib memilih dan mengundi mereka yang benar benar layak untuk memegang tampuk kepimpinan, sebab kesilapan pemilihan akan membawa bahana kepada negara.

Dalam bahasa yang mudah, dukunglah pihak yang membawa agenda yang menepati kehendak agama dan membawa kestabilan negara, juga pangkahlah calon yang benar benar layak, ada sifat al-quwwah (kekuatan) dan al-amanah. Jika didukung pihak yang tidak membawa agenda untuk kemakmuran agama dan negara maka itu adalah kesaksian palsu yang diharamkan oleh islam.

Demikian juga, jika dipangkah individu yang tidak layak menjadi pemimpin, maka itu juga adalah kesaksian palsu yang diharamkan oleh agama, yang merupakan suatu dosa besar yang paling besar. Kesedaran bahawa kehidupan politik dalam bernegara adalah termasuk urusan agama amat dituntut dpd umat Islam di Malaysia

Wawancara dijalankan oleh Jimadie Shah Othman.

Source: http://www.malaysiakini.com/news/206284

Tiada ulasan:

Nuffnang