Isnin, 23 Julai 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Catuan Air Hanya Gimik Politik UMNO/BN

Posted: 23 Jul 2012 04:08 AM PDT

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tiada keperluan untuk membuat catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa sekarang jelas membuktikan isu air dijadikan gimik politik untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pula menjadi alat UMNO untuk mengugut Kerajaan Selangor supaya memberi kelulusan pembinaan Loji Pembersihan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Kerajaan Pusat sebenarnya tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat. Malah, mereka cuba mensabotaj usaha Kerajaan Selangor melakukan perkara yang betul demi melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM225 juta. Justeru, perlu ada jawatankuasa bebas yang akan menentukan projek mana yang lebih efektif menyelesaikan kekurangan air terawat tetapi pada kos murah.

Kerajaan Pusat Barisan Nasional perlu mengakui kesilapan ketika menandatangani Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 dan kesilapan itu tidak boleh diperbetulkan sehingga sekarang.

Kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil alih SYABAS mengikut Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA). Keputusan Kerajaan Pusat untuk menghalang usaha ini jelas menunjukkan Kerajaan BN lebih menyebelahi syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan UMNO bukannya melindungi kepentingan rakyat.

Kita menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempertahankan hak mereka dan mengelak dimanipulasi pihak berkepentingan yang mahu mengaut keuntungan atas kos yang ditanggung rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet, Muhyiddin, sebenarnya tiada pengalaman dan tidak menyumbangkan sebarang idea bernas dalam pengurusan air. Malah, ketika beliau menjawat Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tariff air di negeri itu antara tertinggi di negara ini.

Ada juga usaha untuk menswastakan air kepada syarikat korporat MMC Corp Bhd yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bulkhary dan ini sudah tentu akan meningkatkan beban rakyat. Rakyat Johor berdepan dengan tariff air pada kadar tidak munasabah dan tidak mungkin menerima air percuma seperti di Selangor.

Kerajaan Barisan Nasional mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat.

YB ELIZABETH WONG
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri Belanja RM225 juta Untuk Projek Tebatan Sungai di Selangor

Posted: 23 Jul 2012 03:15 AM PDT

The Malaysian Insider

Kerajaan negeri Selangor akan membelanjakan RM225 juta jika kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan enggan memberi dana untuk projek tebatan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di loji Sungai Selangor 1 (SSP1) dan loji Sungai Selangor 3 (SSP3) di Sungai Selangor.

Menurut Exco Dr Xavier Jayakumar, pemohonan untuk pinjaman bagi projek itu telah dipohon pada awal tahun ini tetapi masih tiada sebarang respon dari Kementerian Kewangan.

Dr Jayakumar mengadakan sidang akhbar selepas melawat loji rawatan air di Precint 19, Putrajaya. Di sebelah kanan adalah Pengurus Besar Operasi ABBAS, Basar Ishak. — Foto oleh Saw Siow Feng
Dr Jayakumar berkata, projek ini penting untuk memastikan kadar air tidak dirawat (NRW) mesti dikurangkan dan tarif air mestilah adil dan mampu dimiliki oleh rakyat, dan memastikan bahawa kenaikan harga air hanya sekitar 12 peratus sahaja.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Andalas itu lagi, kenaikan harga oleh SYABAS sepanjang satu setengah tahun dari 2010 ialah sebanyak 34 peratus, dan 5 peratus sepanjang tahun ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersedia untuk membelanjakan hingga RM300 juta untuk belanja tambahan untuk meningkatkan teknologi untuk meningkatkan pengeluaran air terawat untuk tambahan 100 ke 150 juta liter sehari (MLD).

"Sebenarnya tidak ada krisis seperti didakwa oleh pihak SYABAS. Contohnya, menurut angka yang diberikan ABASS (syarikat air negeri) kepada kami, bekalan air dibekalkan ke Seri Kembangan secara berterusan walaupun itu merupakan kawasan bekalan dari pihak SYABAS," katanya dalam sidang media selepas diberi penerangan selama sejam oleh pegawai ABASS di loji rawatan di Precint 19, Putrajaya hari ini.

"Keengganan SYABAS untuk berbincang dengan kami juga menyebabkan kesukaran kami untuk menyelesaikan masalah ini.

"Oleh itu kerajaan negeri telah bersedia untuk mengambil alih kesemua dari 33 loji rawatan bekalan air di Selangor."

Kerajaan negeri melalui ABASS memiliki 4 daripada 33 loji rawatan bekalan air di seluruh negeri Selangor untuk bekalan air di seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan negeri juga mahu bertindak membawa SYABAS ke mahkamah kerana melakukan jenayah mengugut rakyat Selangor kerana memberitahu kepada umum terdapat krisis air akan berlaku walaupun angka-angka tersebut tidak mengatakan demikian.

"Ini adalah jenayah SYABAS kepada rakyat Selangor dengan menakutkan rakyat Selangor dengan krisis bekalan air seterusnya berlaku catuan."

Katanya lagi, projek ini siap pada 2015 agar tidak berlaku krisis air nanti.

Beliau juga berkata kerajaan negeri menimbang untuk teknologi membran seperti yang digunakan oleh Wessex Waters di United Kingdom.

"Satu kebaikan teknologi ini, ianya mudah digunakan tanpa mengganggu bekalan air semasa penambahbaikan nanti," kata beliau.

Demo Lebih Besar Jika Syabas Masih Degil

Posted: 23 Jul 2012 02:33 AM PDT

KeadilanDaily

Lebih 100 peserta berhimpun di hadapan Wisma Rozali dekat sini bagi menyatakan sokongan kepada langkah kerajaan Selangor untuk mengambil alih pegangan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei; Timbalan Pengerusi KEADILAN (AMK) Selangor yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Selangor, Azmizam Zaman Huri.

Turut serta, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau dikenali Dayangku Intan.

Himpunan bermula jam 12.00 tengah hari dan mereka berarak kira-kira 100 meter dari pintu masuk pasaraya Giant menuju pintu hadapan Wisma Rozali.

Peserta turut melaungkan slogan 'Kembalikan air kepada rakyat', 'Hentikan catuan air', 'Pecat Tan Sri Rozali dan 'Syabas jadi alat Umno.

Selain itu, kain pemidang tertera kenyataan 'Kerajaan Selangor segera ambil alih Syabas', 'Syabas peras ugut rakyat Selangor', 'RM8.65 bilion terlalu mahal' dan 'Rakyat Selangor hilang air percuma' turut dinaikkan.

Selepas berunding selama 15 minit, memorandum mengandungi tujuh tuntutan yang didraf AMK Selangor berjaya diserah kepada Ismail Hashim, Pengarah Eksekutif & Pentadbiran Sumber Manusia Syabas.

Antara tuntuan tersebut adalah membantah catuan bekalan air di Selangor oleh Syabas dan menyerahkan operasi air terawat kepada kerajaan negeri.

Memorandum turut membantah pembinaan Loji Langat 2 yang menelan belanja RM8.65 bilion.

Azmizam berkata, jika pentadbiran Syabas tidak mendengar suara mereka dan Rozali masih tidak meletakkan jawatan, satu himpunan lebih besar akan diadakan sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Awal minggu lalu, Syabas mengumumkan Selangor kini berdepan krisis bekalan air dan menyatakan hasrat untuk mencatu bekalan air di negeri itu, jika kerajaan negeri menolak pembinaan Loji Langat 2 .

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat tentangan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menegaskan bekalan air di Selangor masih mencukupi.

Khalid yang ragu dengan keputusan Syabas mengumumkan penstrukturan semula bagi mengelakkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menanggung kenaikan tarif air sebanyak 50 peratus.

Lafaz ‘Janji Ditepati’ Untuk Janji Yang Mana?

Posted: 22 Jul 2012 10:45 AM PDT

Malaysiakini
Oleh Afif Bahardin

Ramai sedia maklum, “Janji Ditepati” menjadi platform utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jelajah ke seluruh negara bagi melaungkan retoriktransformasi dan menjadi pentas untuk menyerang Pakatan Rakyat terutama sekali apabila “Janji Ditepati” singgah di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Tika "Janji Ditepati” menjadi jenama jelajah politik Perdana Menteri, saya tiada punya masalah, tetapi apabila ia menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara yakni “55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati” – itu masalah!

“Janji” membawa maksud pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu; manakala “Ditepati” pula bermaksud tidak memungkiri atau memenuhi janji yang telah dilafaz. Jika “55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati” menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara, makanya kita harus merujuk kepada janji yang mana? Adakah janji Program Transformasi Kerajaan (GTP), atau janji manifesto Cemerlang,Gemilang,Terbilang, atau janji Wawasan 2020?

Janji manakah yang telah dipenuhi dan tepati seperti dimaksudkan eksekutif hari ini?

Bagi berlaku adil baik untuk rakyat dan sang pemerintah, wajar kita menyoroti kembali latar masa sejarah, 55 tahun ke belakang iaitu tanggal 31 Ogos 1957, tarikh keramat di mana Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka’ selepas beliau membacakan satu pemasyhuran keramat. Arakian pemasyhuran tersebut menandakan detik perubahan dalam sejarah tanahair. Beralihnya dari status sebuah negara terjajah kepada negara bangsa yang bebas dan merdeka. Maka tiada ‘janji-janji’ lain yang lebih layak untuk diangkat sebagai ‘Janji’ melainkan teks keramat – Pemasyhuran Kemerdekaan.

Ketika Pemasyhuran ini mula diperkenalkan, seluruh rakyat diminta membaca dan menghayatinya. Rakyat ketika itu rata-rata menyebut bahawa isi kandungan pemasyhuran tersebut sebagai sesuatu yang amat bernilai, sesuatu yang diibaratkan sebagai ‘sijil kelahiran’ negara merdeka. Malangnya, berbeda dengan dokumen penting negara lain seperti ‘Sumpah Pemuda 1928′ di Indonesia, pidato ‘Tryst with Destiny’ oleh Jawaharlal Nehru, Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang dikarang Thomas Jefferson; pemasyhuran negara ini telah karam hampir tidak dibaca, apatah lagi diwacanakan secara serius. Apa yang penulis paling khuatiri adalah dengan pudarnya dakwat pemasyhuran, maka semangat idealismenya juga turut terhakis.

Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 menyebut:

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Jelas Pemasyhuran Kemerdekaan menyebut akan prinsip asas pembentukan negara bangsa Malaysia ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dengan penekanan khusus diberikan dalam menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini terpelihara. Sekali lagi kita tertanya, apakah 55 tahun merdeka, pemerintah Umno dan BN telah berjaya memenuhi atau menjunjung prinsip asas yang termaktub ini?

Amalan demokrasi yang matang dan baik haruslah mempunyai beberapa asas yang penting seperti suruhanjaya pengendali yang bebas dari segala bentuk tekanan politik, akses kepada media yang adil dan bebas, gelanggang politik yang sama luas’ dan rata untuk semua pihak serta punya usaha yang efektif dan berterusan untuk melibatkan seluruh rakyat di dalam proses itu.

Perbezaan pendapat atau pandangan politik juga diraikan di dalam amalan demokrasi yang matang, dan lebih penting perdebatan mahupun wacana serius dan berterusan adalah penting dalam menjelaskan kebijakan atau apa jua agenda yang ingin dibawa oleh sesiapa dapat diketengahkan kepada umum dan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak.

Dalam amalan demokrasi di Malaysia, adalah salah apabila rakyat masih dimomokkan dengan hujah bahawa setiap lima tahun kita mengundi, membuktikan amalan demokrasi sudah terlaksana. Walhal proses demokrasi itu harus berterusan sehari-hari dan menjadi amalan kerajaan untuk melibatkan rakyat secara aktif di dalam proses itu. Lebih malang apabila amalan pilihanraya setiap lima tahun itu juga turut dinodai dengan penyelewengan dan penipuan yang melampau.

Kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan daftar pemilih dikemaskini dan bersih dari pengundi dicurigai, amalan politik wang yang membarah, ‘gelanggang’ yang tidak sama rata antara parti pemerintah dan parti pembangkang, serta kebebasan media yang disekat – sekat; menunjukkan bahawa kerajaan Umno dan BN yang telah memerintah sejak 55 tahun lepas gagal untuk menepati ‘janji’ yang dimeterai bersama Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafaz Tunku Abdul Rahman.

Bagaimana pula dengan janji untuk menjunjung hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat seperti yang termaktub di dalam Pemasyhuran dan juga Perlembagaan negara? Saat artikel ini ditulis, mereka yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting masih lagi tidak dibebaskan, bahkan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan pun masih tidak dibuat lagi.

55 tahun merdeka, kita dihantui undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta dan juga Peraturan Polis. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjuarai transformasi, retorik pemansuhan akta seperti ISA, Akta Darurat dan juga beberapa akta lain. Malangnya transformasi yang dijanjikan masih tidak terlaksana dan sekadar indah khabar dari rupa.

Dengan kesedaran ini, tatkala slogan sambutan Kemerdekaan tanah air kali ke – 55 diumum sebagai '55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati', tiada kata-kata yang lebih memualkan yang pernah lahir daripada Umno dan BN setakat hari ini.

Retorik politik sebegini rupa; mempergunakan sambutan nasional negara, sambutan yang sepatutnya menjadi hak milik seluruh rakyat, sebagai alat untuk parti pemerintah melaungkan pujuk – rayu, bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan bahawa inilah masa untuk segenap rakyat membalas budi.

Tindakan Umno dan BN mempergunakan sambutan Kemerdekaan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 sebagai alat kempen adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, memalukan dan memualkan. Strategi terbaru Umno dan BN ini membuktikan betapa mereka terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Konotasi seolah-olah rakyat terhutang budi kepada Umno dan BN, maka, bagi mengenang jasa, rakyat perlulah meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan di bawah Umno dan BN. Rakyat diminta untuk tidak merenung jauh dan terima sahaja bahwa janji sudah dilaksana, oleh itu teruskan saja mengundi mereka menjadi kerajaan.

Perdana Menteri hari ini masih melaungkan Transformasi. Banyak wang dibelanjakan untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), dengan berbagai bentuk laporan dikeluarkan. Hakikatnya rakyat sedar. Janji asas yang terkandung di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, sehingga hari ini gagal ditepati oleh Umno dan BN.

Melihat retorik politik terbaru yang dilaungkan Umno dan BN hari ini (baca : 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati), rakyat harus faham bahawa sebenarnya ini sajalah yang termampu dilakukan oleh Umno dan BN. Kerajaan autokratik ini sudah tiada kemampuan dan iltizam untuk meneruskan atau menjuarai apa yang kita panggil perubahan. Pada mereka, semuanya sudah tepu, maka rakyat terimalah seadanya. Mana–mana suara yang menentang atau tidak senada dengan mereka, maka orang-orang ini adalah pengkhianat.

Rakyat harus jelas akan janji yang kita wajib tuntut. Rakyat perlu kembali menoleh ke masa lampau – 55 tahun lalu. Generasi pendiri negara bangsa Malaysia yang merdeka ini berdiri di atas 'janji' yang sama.

Janji ini dibacakan pertama kalinya oleh Tunku Abdul Rahman dan diuar-uarkan ke seluruh negara. Janji yang menjadi tiang seri tertegaknya negara ini termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan telah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Janji tersebut bagaimanapun mutakhir ini kelihatan jarang–jarang sekali meniti di bibir, bukan hanya di kalangan rakyat terbawah, bahkan cuba ditepis jauh–jauh oleh mereka yang telah kita amanahkan dengan kuasa dan masa depan negara kita.

Selagi janji ini tidak ditepati, jangalah sesiapapun tanpa segan melaungkan bahawa tugas mereka sudah selesai. Janji ini akan terus kita tuntut, kerana saya dan anda semua tahu, janji yang ini masih lagi belum terlaksana;

"….dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa."

- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957

Malaysia Hilang RM893b Dalam Aliran Keluar Haram, Kata penyelidik

Posted: 22 Jul 2012 10:36 AM PDT

The Malaysian Insider

Sejumlah RM893 billion dipercayai keluar daripada cukai ekonomi Malaysia ke luar negara antara 1970 dan 2010, demikian berdasarkan laporan kaji selidik berpangkalan di London, meletakkan negara berada di tangga tertinggi antara 20 negara membangun yang dilabelkan sebagai "tewas" dalam kehilangan modal.

Jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada hutang Malaysia yang berjumlah RM257.2 bilion pada 2011, menurut laporan media sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Tax Justice Network (TJN), satu organisasi professional berpangkalan di London termasuk ahli-ahli ekonomi dan perunding cukai, Malaysia sekarang menduduki tangga ke-12 dua anak tangga di atas RM533 bilion aliran keluar Singapura dan ketiga di bawah Indonesia yang berjumlah RM1 trilion.

Menurut penyelidik James Henry di The Guardian UK hari ini, "ekonomi luar pesisir" meninggalkan satu impak utama dengan anggaran-anggaran ketaksamaan kekayaan dan pendapatan baru dalam mana-mana negara, serta anggaran-anggaran nisbah pendapatan negara dan hutang.

"Yang lebih penting — (ia akan) mempunyai kesan negatif amat penting di pangkalan-pangkalan cukai tempatan 'sumber' negara," kata Henry dipetik akhbar berkenaan.

Bekas ahli ekonomi dan ketua di perundingan McKinsey, dalam menyediakan laporan penyelidikan bertajuk "The Price of Offshore Revisited" untuk TJN, telah memperolehi data daripada Bank of International Settlements (BIS), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan para penganalisis sektor swasta untuk menyimpulkan bahawa lebih empat dekad lalu, satu anggaran mencemaskan sejumlah RM66 trilion atau mungkin RM100 trilion telah membanjiri daripada negara asal mereka merentasi dunia meresap masuk ke dalam "rekahan sistem kewangan".

Menurut The Guardian, ini malah lebih besar daripada saiz keseluruhan ekonomi Amerika.

Kajian berkenaan menunjukkan bahawa aset tersembunyi luar negara oleh mereka yang mahu mengelak cukai-cukai menandakan pekali gini rasmi sebuah negara menderita akibat kehilangan modal tidak akan mencerminkan satu gambaran sebenar.

"Standard mengukur ketaksamaan, yang cenderung untuk bergantung kepada kaji selidik pendapatan isi rumah atau kekayaan dalam setiap negara, secara radikalnya memperkecilkan jurang benar antara kaya dan miskin," lapor The Guardian.

Ahli TJN John Christensen berkata ini bermaksud bahawa ia menunjukkan ketaksamaan mungkin menjadi lebih "teruk," daripada perangkaan rasmi.

"Tetapi ahli-ahli politik masih bergantung pada lelehan memindahkan kekayaan untuk orang lebih miskin.

"Data baru ini menunjukkan bertentangan telah berlaku: untuk tiga dekad kekayaan luar biasa telah dialir ke dalam akaun-akaun luar negara satu bilangan yang kecil yang sangat kaya," katanya lagi.

Pada Disember tahun lalu, pemerhati Amerika Syarikat, Global Financial Integrity melaporkan bahawa Malaysia telah kehilangan RM150 bilion melalui kehilangan modal dalam 2009 sahaja, keempat tertinggi untuk negara-negara membangun.

Pemerhati itu juga mendapati bahawa Malaysia telah kehilangan sejumlah US$338 bilion (RM1.08 trilion) pada dekad pertama abad ini manakala RM930 bilion telah keluar dari negara antara 2000 dan 2008, bertambah kepada RM218 bilion setiap tahun dari permulaan RM71 bilion dalam tempoh itu.

Pembangkang pusat telah lama mengkritik Barisan Nasional (BN) atas kekurangan dalam menguruskan fiskal Malaysia ekoran perbelanjaan yang mana dakwa mereka bakal menyebabkan negara ini berhadapan dengan krisis hutang suatu masa nanti.

Tiada ulasan:

Nuffnang