Nurul Izzah Anwar |
Posted: 18 Jun 2012 07:33 PM PDT Bercakap benar bukan sahaja tuntutan agama malah terhadap pemimpin negara khususnya apabila menyentuh perihal keselamatan dan kedaulatan negara. Mutakhir ini, tiga isu utama menggamit fikiran ramai, iaitu perihal penjualan rahsia kerajaan melibatkan kapal selam Scorpene; keupayaan sistem kawalan ruang udara yang dipersoalkan; dan keganasan politik yang masih belum dapat kecaman jelas pimpinan atasan. Peluang Perdana Menteri (PM) untuk bersuara dengan membuat kenyataan rasmi menjawab ketigatiga isu ini masih belum diambil. Usul tergempar Parlimen untuk membahaskan pendedahan penjualan rahsia sulit pertahanan negara mengenai kapal selam Scorpene ditolak bulat-bulat Speaker Dewan Rakyat. Saranan agar sistem kawalan ruang udara yang baru dipasang untuk diaudit pertubuhan udara antarabangsa juga tidak diendahkan. Malahan, walau jelas kontrak RM280.6 juta dianugerahkan secara tender terus kepada keluarga bekas Menteri, penjelasan lanjut kebolehan syarikat tidak diberi. Rungutan pegawai trafik udara berserta senarai kecacatan sistem tidak terjawab. Panggilan untuk mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk politik samseng sebagaimana Malam Berdarah Lembah Pantai, 24 Mei lalu dan meminta Suhakam menyiasat beberapa kejadian ganas juga diketepikan. Sudah tiba masanya, PM mempamerkan kepimpinan, keikhlasan dan tanggungjawab walaupun gagal menjamin pilihan raya yang bebas dan adil, sering berdolak-dalik dan menarik balik dasar dengan mudah. Contohnya, penarikan Skim Baru Perkhidmatan Awam, cubaan pembekuan dana PTPTN untuk Selangor, pembubaran usaha sama Mas-AirAsia dan pengurusan ekonomi yang lemah – menjadi lumrah dan penanda aras identiti kerajaan BN pimpinan beliau. Sehubungan dengan itu, PM mesti berani melakukan reformasi yang menjamin pentadbiran kerajaan agar lebih telus dan amanah berdasarkan prinsip timbang-tara dan pemisahan kuasa melalui reformasi Parlimen yang menyeluruh. Reformasi Parlimen iaitu membenarkan penubuhan Jawatankuasa Tetap Parlimen dalam pentadbiran utama kerajaan seperti Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pertahanan, Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Perhubungan Luar Negara dan Pembelian Aset Negara yang dapat mengelakkan salah guna kuasa, unsur rasuah dan pembaziran. Ia memastikan segala dasar penuhi prinsip yang mengutamakan kepentingan rakyat. Bayangkan, kerajaan mahukan tambahan belanjawan sebanyak RM14 bilion untuk tahun ini; membeli peralatan perang melebihi RM12 bilion; dan RM12 bilion untuk membayar PKFZ. Kemahuan kerajaan yang pelbagai terlaksana jua tanpa perlu merujuk kepada sebarang Jawatankuasa di Parlimen dan apabila ada Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) – itu pun belum bersidang setelah tiga bulan yang lalu – membuktikan reformasi Parlimen sangat diperlukan. Kuasa rakyat melalui Parlimen untuk menyemak dan meluluskan sebarang perjanjian antarabangsa sudah tentu dapat mengelakkan kehilangan kedaulatan negara seperti dalam urusan sempadan Pulau Batu Putih (dengan Singapura), Blok L dan M (dengan Brunei) dan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Australia (Mafta) melibatkan isu Lynas dan sisa toksik. Sesi soal jawab mingguan secara terus kepada PM dengan Parlimen dapat memberikan peluang beliau memberikan penjelasan isu seperti perincian perbelanjaan RM2 juta untuk lawatan sambil menghadiri majlis pertunangan anak PM ke Kazakhstan dan yang terbaru perbelanjaan RM3 juta untuk lawatan kerja ke kota New York dan Washington DC sambil menghadiri program peribadi; dan juga penjelasan kenapa lawatan ke Milan dan Dubai selama empat hari pada waktu yang sama tidak didedahkan dalam jawapan rasmi di parlimen. Reformasi Parlimen mungkin akan menjamin soalan saya agar kerajaan menyenaraikan nama ahli keluarga menteri dan timbalan menteri kabinet yang memperoleh projek tertutup atau melalui tender yang melebihi RM5 juta dari 2000-2011 tidak ditolak mudah Speaker Dewan. Reformasi Parlimen turut menentukan bahawa Parlimen tidak menjadi Rubber Stamp di mana lapan rang undang-undang disegerakan dalam satu hari tanpa penelitian, pembahasan dan keputusan untuk memenuhi mandat diberikan rakyat. Diharap beliau mencerahkan keadaan, bukannya seperti jerebu teruk yang sekali lagi melanda negara sebagai peringatan tahunan akan kegagalan diplomasi PM menuntut negara jiran menghalang kebakaran yang ramai berpendapat melibatkan syarikat perladangan negara yang nampaknya tidak mahu mendengar nasihat apa lagi arahan PM yang tumpul pengaruhnya. Akhir sekali, semua ini wajib dibuat PM yang sepatutnya jangan segan bersuara sekiranya beliau benar-benar PM kepada rakyat Malaysia dan bukan untuk keluarga dan kroni sahaja. Mungkin inilah kepimpinan silence is golden yang mahu diterapkan di dalam kerajaan. Apa kata Najib? Shhhhhhh, diam. (Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 19 Jun 2012) |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan